Thursday, July 8, 2021

Zulkaedah 27, 1442 (Semarak Haji): Men from Mars, women from Venus - bilik berkat di Tanah Suci...(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


HARI Raya Haji dikenali juga Hari Raya Korban. Selain binatang ternakan seperti lembu dan kambing dikorbankan demi mendekatkan diri kepada Allah SWT (ke arah menjadi insan bertakwa), setiap insan perlu melakukan pengorbanan tidak terkecuali pasangan suami isteri di Tanah Suci terhadap satu sama lain ketika menunaikan haji.


Sempena Aidil Adha tidak lama lagi, ruangan ini mencelotehkan sekelumit gelagat suami isteri di Tanah Suci yang insya-Allah menyingkap perbezaan lelaki-perempuan dari segi perasaan, emosi, fikiran, tanggapan, dan sebagainya. Apabila mengetahui perbezaan itu, diharapkan suami isteri bermuhasabah diri seterusnya sedia 'melakukan pengorbanan'.


Ingatlah ada pandangan cendekiawan menyatakan 'men are from Mars, women are from Venus (lelaki asalnya dari planet Marikh, perempuan dari Musytari). Perbezaan ini turut berlaku di Tanah Suci ketika pasangan suami isteri mengerjakan haji, dan sinilah kedua-duanya perlu melakukan pengorbanan demi keutuhan hubungan suci mereka. Mentelaahan godaan 'untuk tidak berkesefahaman' adalah tersangat tinggi di Tanah Suci'.


Sebahagian jemaah ke Tanah Suci akan 'mendarat' di lapangan terbang di Jeddah. Selepas itu mereka akan menempuh perjalanan lebih 400 kilometer ke Madinah Al-Munawarrah, antara 6-8 jam. Di Madinah, mereka akan berusaha untuk solat 40 waktu (tempoh waktu berada di Madinah 8-10 hari).


Di Madinah, sebelum memulakan perjalanan menunaikan umrah atau haji, sejumlah tazkirah akan diberikan ustaz dan juga ustazah. Berdasarkan pengalaman saya, ada ustaz berkata jemaah lelaki apabila sudah berihram janganlah 'terlalu dekat-dekat' dengan isteri. Ini kerana dibimbangi seseorang itu akan 'mendekati' hal-hal yang berkaitan pantang larang dalam ihram.


Kalau boleh ketika dalam bas menempuh perjalanan jauh Madinah-Makkah biasanya dalam kegelapan malam yang lebih 400 kilometer itu lelaki duduklah dengan lelaki dan perempuan duduk dengan perempuan. 


Masalahnya, ada pula sang ustazah berceramah menyatakan suami perlu menunjukkan perhatian lebih kepada sang isteri dan demikian juga sebaliknya. Inilah peluang untuk suami isteri mengeratkan hubungan selepas puluhan tahun di tanah air suami sentiasa sibuk mencari rezeki manakala isteri sibuk dengan urusannya termasuk membesarkan anak-anak. Jadi, dalam bas duduklah bersama, layanilah pasangan anda sebaik mungkin. Agaknya, inilah 'bulan madu kali kedua'!


Demikian perbezaan pemikiran antara lelaki dan perempuan sudah bermula...sang ustaz dengan 'pemikiran dan perasaan kelelakiannya' manakala si ustazah dengan 'pemikiran dan perasaan kewanitaannya'. Naluri masing-masing adalah berbeza...ya ingatlah 'men are from Mars, women are from Venus'. Walaupun pandangan ini mengarut, sekurang-kurangnya ia mengingatkan bahawa lelaki dan wanita itu tetap berbeza...dan di sinilah pengorbanan antara kedua-dua pihak amat penting.


Di Madinah, cabaran 'perbezaan pemikiran dan perasaan' lelaki-wanita ini tidak ketara; almaklum jemaah baru sampai, lagi pun mereka tidak lama di kota Nabi itu tetapi apabila berada di Makkah selama lebih sebulan; suasana sekeliling sungguh mencabar jiwa.


Akan kelihatanlah 'di mata mereka' pasangan suami isteri jemaah sesetengah negara Arab dan Eropah berjalanan berpimpinan tangan ke masjid. Malah ada yang duduk di sisi suami atau isteri dalam Masjidilharam sekalipun pegawai dan petugas masjid menyuruh wanita ke kawasan khas untuk mereka. Segelintir jemaah Indonesia pula menunjukkan perlakuan sama, ada seolah-olah sedang 'bermadu cinta' dalam Masjidilharam (di luar waktu solatlah).


Apabila menyaksikan suasana begitu, ada isteri-isteri jemaah Malaysia mahu suami mereka melakukan aksi yang sama. Lengan suami mahu 'disauk' (sekalipun berlapik dengan telekung) sambil mereka berjalan beriringan ke masjid.


Subhanallah, situasi inilah yang menyebabkan sesetengah suami 'panik'. Al-maklumlah seumur hidup mereka ketika ke masjid di Malaysia tidak pernah pula isteri 'memaut' lengan sambil berjalan beriringan. Peluh mulai memercik di dahi sang suami...bukan kerana panas tetapi 'takut'! Apabila tidak bersama dalam tempoh waktu panjang, 'diperlakukan' begitu mereka menjadi 'tidak tentu arah'!


Demikianlah, perbezaan pandangan lelaki-perempuan (suami isteri) mengenai bab sekecil berpegangan tangan ke masjid ini boleh mencetuskan rantaian masalah lain. Di sini perlunya untuk kedua-dua pihak 'melakukan pengorbanan' - cuba memahami perbezaan naluri antara satu sama lain dan mencari jalan penyelesaiannya.


Disebabkan ruangan ini terhad, tidak dapatlah saya mencelotehkan hal-hal lain berkaitan suami isteri di Tanah Suci seperti ada suami isteri veteran yang 'terlajak' ketika ihram, namun saya mengakhirinya dengan satu 'maklumat menggembirakan' bahawa ada BILIK BERKAT di Tanah Suci.


Jadi, jangan malu, carilah ia agar hubungan suami isteri tidak keroh dan pada masa yang sama jemaah dapat menunaikan rukun, wajib dan sunat umrah dan haji dengan sempurna bagi memperolehi haji mabrur yang balasannya tiada lain melainkan syurga!

No comments: