Saturday, May 8, 2021

Ramadan 26, 1442: Kekurangan itu kebahagiaan, nikmat…

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w


Renungan

"Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah, carilah wasilah yang dapat mendekatkan kepada-Nya, dan berjuanglah di jalan-Nya." (Al-Maidah 5:35)


RAMADAN 20 tahun lalu saya berada di Pakistan, mengikuti rombongan bantuan di Peshawar. Di tempat-tempat jualan saya perhatikan, penduduk tempatan begitu ghairah menjual kiub-kiub tebu yang menjadi antara jaudah berbuka puasa.


Di Malaysia, di bazar Ramadan antara air minuman laris adalah air tebu, tetapi di Pakistan, air tebu tidak dijual, sebaliknya bungkusan kiub tebu pula jadi buruan. Saya perhatikan penjual meracik (membuang kulit) batang tebu, memotongnya kecil-kecil mengikut ruas, membelahnya seterusnya memasukkannya ke dalam bungkusan untuk dijual.


Sedap juga mengunyah kiub tebu ketika berbuka puasa. Apa kata kita memperkenalkan kaedah baru ‘menikmati’ keenakan tebu cara Pakistan ini di Malaysia? Kehidupan serba kekurangan di Pakistan menjadikan ‘aktiviti’ mengunyah tebu sebagai satu nikmat, satu kebahagiaan kepada penduduknya.


Minuman air tebu adalah baik untuk kesihatan; ia membekalkan glukosa kepada tubuh yang disimpan sebagai ‘glycogen’ dan dibakar otot apabila tenaga diperlukan. Sebenar ada banyak kelebihan ‘mengunyah’ atau minum air tebu; antaranya menyejukkan tubuh, menyihatkan organ, bertindak sebagai pelawas semula jadi dan menguatkan gigi.


Cara orang Pakistan menikmati tebu mengingatkan saya nostalgia mengenai makanan semasa saya kecil-kecil dulu (tahun 70-an), apatah lagi saat  Ramadan sekarang ini. Dulu sama seperti orang Pakistan, saya pun kuat mengunyah tebu. Tapi budak sekarang mana tahu ‘kunyah tebu’, mereka tahu minum air tebu saja.


Pada zaman serba mewah sekarang, kanak-kanak pun tidak beberapa peduli tentang makanan ‘free’ yang disediakan itu pada majlis-majlis tertentu di kampung seperti ketika berbuka puasa, moreh, Maulidurasul, kenduri arwah (biasanya pada bulan Syaaban) dan malam Nifsu Syaaban.


Ketika itu kanak-kanak tidak sabar-sabar menanti majlis berkenaan di mana kanak-kanak juga diberi layanan istimewa dari segi makanan. Mungkin pada zaman sekarang, makanan sudah berlambak di rumah, jadi tiada apa perlu dikejarkan di masjid atau surau.


Saya masih ingat ketika pada suatu majlis Maulidurasul, pihak pentadbiran masjid telah menyediakan sebuah kapal yang berisi telur rebus yang dimasukkan dalam bekas-bekas cantik atau dijadikan bunga telur. Saratlah kapal itu dengan gantungan telur dalam pelbagai bentuk gubahan.


Pada pertengahan majlis, telur-telur diagih-agihkan kepada kanak-kanak yang hadir. Untuk mendapatkannya, kanak-kanak perlu memasuki kawasan masjid dan melangkah keluar melalui pintu gerbang.


Agak saya, ketika itu orang kampung melalui kehidupan zaman susah, jadi seorang kanak-kanak hanya mendapat sebiji telur. Sebiji telur ini amat berharga, ia ditatang oleh seorang kanak-kanak dan selepas puas ‘bermain’ dengannya barulah dikopek kulit dan dimakannya. Jika seorang budak mendapat sebiji telur tetapi adiknya tidak dapat, si abang sanggup membelah telur itu untuk dikongsi bersama si adiknya.


Demikianlah pada zaman itu ‘nilai’ sebiji telur amat tinggi. Saya masih ingat apabila ibu atau ayah pergi ‘rumah orang kahwin’ dan membawa balik telur rebus (dimasukkan dalam kotak kecil yang diperbuat daripada kertas manila atau kotak rokok atau dijadikan bunga telur malah ada yang masukkan dan diikat dalam kertas tisu saja) sebagai buah tangan, telur itu selepas dikopek akan dibahagi lapan (kerana adik beradik saya lapan orang).


Cara membelah telur rebus itu menjadi lapan (atau pecahah lain) adalah unik dan sukar dilihat lagi pada zaman sekarang ini. Telur yang sudah dikopek itu diletakkan dalam telapak tangan; ayah akan memegang satu hujung benang dan salah seorang anaknya akan memegang hujung yang satu lagi. Benang yang ditarik kuat dan dalam keadaan tegang ‘dibenamkan’ di atas telur tadi. Maka dibelahlah telur itu dalam pecahan dikehendaki seperti setengah, satu perempat atau satu perlapan, mengikut bilangan anak dalam sesebuah keluarga.


Bagi saya mendapat satu perlapan daripada satu biji telur sebenarnya tidaklah mencukupi kerana dengan sekali ‘ngap’ saja sudah habis. Tetapi ada cara menikmatinya, makanlah sedikit demi sedikit; kesedapannya hanya diketahui orang yang pernah melaluinya. Kata orang itulah detik bahagia sesebuah keluarga! Namun orang tua kasihan melihat anak-anak yang terpaksa melalui semua itu (kata mereka kasihan tengok budak-budak terkulat-kulat) tetapi apa hendak dikata; itu saja yang mampu mereka lakukan!


Namun ‘cerita telur’ ini tidaklah sesedih cerita ‘daging’ yang pernah saya dengar orang-orang tua membicarakannya. Pada tahun-tahun 1960-an dan 70-an dulu, orang kampung sebenarnya jarang benar makan nasi berlaukkan daging (lembu, kambing atau ayam); mereka mungkin makan daging setahun satu atau dua kali iaitu pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.


Keadaan ini agaknya samalah seperti di kampung-kampung orang Kemboja sekarang ini di mana ada satu iklan rayuan menyatakan kanak-kanak di sana makan nasi berlaukkan daging setahun sekali, itu pun jika ada sukarelawan dan dermawan dari Malaysia melakukan korban atau menderma.


Suatu hari seorang budak terlalu benar hendak makan daging. Mengidam agaknya. Hendak tunggu hari raya lambat lagi, jadi apabila ada majlis kahwin di kampung, terbukalah peluang untuk makan daging.


Maka si ibu pun pergi. Masa dulu, jarang (malah pantang) tetamu bawa anak-anak ke majlis kahwin. Malah pasangan suami isteri pun jarang pergi bersama-sama, orang lelaki pergi bersama orang lelaki, orang perempuan sesama orang perempuan.


Pada majlis itu, dapatlah si ibu makan daging lembu. Apabila teringatkan permintaan anaknya, dia pun mengambil seketul daging dan memasukkannya di celah antara gigi dan pipinya. Dia terus ‘menanggung’ daging itu dalam mulutnya; tidak bercakap lagi, hanya mengangguk dan menggeleng-geleng kepala apabila ditanya.


Apabila sampai di rumah, barulah dia mengeluarkan ketulan daging tadi dan memberikan kepada anaknya, Maka termakbullah hajat si anak hendak makan daging!


Zaman penuh nostalgia itu sudah berlaku. Kini apabila saya membawa pulang telur majlis orang kahwin dan meletakkannya di atas meja makan, telur itu tetap 'bergolek' di situ selama beberapa hari tanpa diusik.


Itulah zaman mewah sekarang ini, telur rebus tidak menggerakkan minat anak-anak untuk mengambil apatah lagi memakannya! Itu agaknya buah tangan majlis kahwin sudah berubah, baharu-baharu ini saya diberikan satu paket kecil mengandungi coklat ketika melangkah pulang pada satu majlis perkahwinan. Ertinya nostalgia ‘telur’ sudah terkubur apatah lagi mengunyah tebu seperti apa yang saya lihat di Pakistan


Friday, May 7, 2021

Ramadan 25, 1442: Bagaimana Ramadan kita?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


WAHAI Tuhan...ku tak layak ke syurga-Mu...namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu...ampunkan dosaku terimalah taubatku sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar...


Ramadan yang penuh barakah, jaminan pengampunan dan pembebasan api neraka itu akhirnya meninggalkan kita. Sedih mengenangkan pemergian Ramadan, dikesempatan ini diucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, semoga Allah SWT memberkati kita semua. Amin.


Persoalannya, bagaimanakah Ramadan kita? Bagaimana pencapaian kita sebagai graduan Universiti Ramadan yang mesti dilalui setiap tahun oleh setiap Muslim yang cukup syaratnya? 


Sebahagian kita mungkin sudah menjadi graduan Universiti Ramadan 20, 30, 40 atau 50 kali; kali ini tanyalah hati kita, adakah kita seronok Ramadan ini berakhir bagi membolehkan kita berhari raya atau kita terharu dan sedih kerana bulan penuh keberkatan itu sudah pergi sedangkan pada tahun depan belum ada ketentuan kita akan menjadi siswa-siswi Universiti Ramadan sekali lagi.


Tiga puluh atau 40 tahun lalu, saya seronok Ramadan pergi kerana dapat berhari raya. Ya, hari raya adalah kegembiraan bagi kanak-kanak dan orang muda. Pada permulaan celoteh kali ini izinkan saya menyorot ke zaman itu; zaman jahiliah yang malangnya turut 'dikongsi' sesetengah orang dewasa.


Kegembiraan hari raya kanak-kanak pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an adalah hal berkaitan duit, makan dan sedikit hiburan tidak seperti generasi baru sekarang yang asyik mahsyuk dengan tablet masing-masing. Dari segi duit, zaman kecil saya tidaklah mewah. Dapat 10 sen ketika berkunjung ke rumah orang pun sudah dikira cukup baik. 


Dari segi makanan, sekarang baru saya terfikir mengapa orang dulu taksub menyediakan juadah yang 'macam setengah mati' memasaknya seperti dodol sehingga ada yang meninggalkan puasa dan pada malam harinya tak pergi ke surau atau masjid untuk solat waktu dan tarawih. Letih memasak dodol tak terkira kerana tempohnya terlalu lama, mungkin lima atau enam jam.


Bagi sesetengah remaja dan anak muda, hari raya dinanti-nanti kerana boleh menziarahi rumah anak dara yang berkenaan di hati kerana "pada hari raya rumah terbuka dan tiada orang suka untuk marah-marah." Pengalaman saya dan beberapa kawan, pernah melawat ke rumah seorang anak dara jam 12.00 tengah malam, dan "betul, bapaknya tak marah pun!"


Dari segi hiburan, apa yang mengasyikan, adalah bermain 'bom' (seperti meriam buluh, mercun, bunga api) dan terbabit dalam 'peperangan menembak roket' sesama kawan-kawan. Ya apa faedah melakukan perkara-perkara lara ini pada malam-malam bulan Ramadan yang mulia?


Sekarang apabila memasuki 'usia tua', barulah saya tahu bahawa diri ini sudah terlalu banyak membuang masa pada perkara-perkara tidak berfaedah ketika berada di bulan barakah Ramadan dan juga bulan mulia Aidilfitri.


Terasa mahu memutar balik jarum jam supaya saya kembali ke zaman bujang yang penuh 'kesia-siaan' itu bagi menukar haluan hidup. Namun itu tidak mungkin, jadi usia yang berbaki ini (saya ada berbaki kurang 10 kali lagi memasuki Universiti Ramadan jika saya mati mengikut usia Rasulullah s.a.w.) saya cuba-cuba membaiki diri yang selama ini sudah tersasar jauh daripada kehendak agama dalam menyambut Ramadan dan Aidilfitri.


Namun, saya tidak salahkan diri saya sepenuhnya, punca saya jadi begitu; sebahagiannya disebabkan pembawaan dan contoh tidak betul oleh anggota masyarakat termasuklah pemimpin kita. 


Jika orang dulu dengan 'kesesatan mereka' apa kurang dengan orang Melayu sekarang. Bagi kebanyakan orang Melayu, Ramadan dan Aidilfitri sudah menjadi semacam satu budaya; tidak terikat kepada apa dikehendaki Islam daripadanya. 


Permulaan Ramadan adalah barakah Allah SWT, tetapi orang Melayu dan kini menjangkiti orang Malaysia, Ramadan bermakna bulan pesta - daripada pesta makanan kepada pesta membeli belah. Seolah-olah Ramadan itu pesta makan sedangkan puasa itu bermakna tidak makan. 


Pemimpin dan pemerintah menggamatkan lagi suasana. Ada yang mahu menjual puasa dan raya sebagai bahan promosi pelancongan. Mereka suruh orang luar datang, tengok apa orang Melayu buat pada bulan mulia ini. 


Malang sungguh, mereka tidak suruh orang Melayu meningkatkan amal ibadat dan penghayatan terhadap bulan mulia ini supaya orang luar tertarik dengan Islam, sebaliknya meminta orang Islam melakukan perkara yang tidak disuruh oleh Islam seperti memasang pelita tujuh likur, sibuk dengan majlis makan-makan dan menganjurkan majlis di mana lelaki dan perempuan bebas bergaul termasuklah rancangan hiburan di TV. 


Bagi anak-anak inilah Ramadan dan Aidilfitri yang mereka ketahui. Mereka didedahkan perkara ini tahun demi tahun; melepasi usia kanak-kanak, remaja, dewasa dan seterusnya tua. Kalau tidak kesedaran, kemungkian mereka membawa konsep salah ini hingga ke liang lahad. Apatah lagi sekarang generasi baru gila gadjet elektronik, tanpa mempedulikan persekitaran mereka.


Mungkin pada usia tua seperti saya ini barulah timbul sedikit kesedaran bahawa Ramadan dan Aidilfitri yang bermati-matian kita raikan itu adalah tersasar daripada kehendak Islam. Islam tidak menyuruh kita bergolok gadai memenuh dan mengisi nafsu menyambutnya tetapi ada peraturan, tata cara dan disiplinnya! 


Pada hari-hari terakhir Ramadan ini terutama pada malamnya teruskanlah amalan mulia seperti solat tarawih dan qiyam, bersedekah, tilawah al-Quran, berdoa, berzikir, berisytifar, bertakfakur tetapi elakkan kerja-kerja lara seperti melepak-lepak di bazar Ramadan, bergaduh, memutuskan silaraturahim apatah lagi melakukan syirik bagi membolehkan kita mendapat Lailaturqadar-Nya, insya-Allah

Thursday, May 6, 2021

Ramadan 24, 1442: Sedikit peringatan menjelang lebaran (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


MENJELANG Aidilfitri saya membaca sejumlah buku-buku agama bagi membantu saya merenung kehidupan. Saya menyiarkan sedikit sebanyak apa yang saya baca itu tanpa membuat komen; terpulanglah kepada pembaca untuk memikir-mikirkannya pada waktu mulia ini.


Antara buku sempat saya baca adalah 'Sifat & Sikap Penghalang Kejayaan Seorang Muslim' karya Abu Sulaiman Ad-Darani (terbitan Jasmin Enterprise); satu daripada babnya menghurai 'Pemimpin Yang Mengelabui Rakyat' ada menyatakan  para pemimpin atau penguasa memikul tanggungjawab yang berat dalam menegakkan ketertiban, keamanan dan keadilan dalam tata hidup masyarakat.


"Namun sebaliknya jika ada pemimpin atau penguasa yang zalim, curang, atau menipu rakyat bererti telah berkhianat atas kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan membuat kekacauan dan kerosakan di muka bumi. Perbuatan semacam ini termasuk dosa besar yang diancam oleh Allah dengan seksaan yang pedih di akhirat kelak," tulis pengarang.


Bagi menguatkan hujah, penulis memetik ayat-ayat al-Quran dan hadis. Antara ayat al-Quran: 


1. "Tidak ada jalan melainkan atas orang-orang yang menzalimi manusia, dan membuat kerosakan di bumi dengan tidak benar, bagi yang berbuat demikian itu adalah azab yang pedih." (Asy-Syura: 42)


2. "Dan tidak pernah Tuhanmu membinasakan kota-kota sebelum Dia mengutus di ibu kotanya seorang Rasul yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka. Dan tidak pernah (pula) Kami membinasakan kota-kota, kecuali penduduknya dalam keadaan zalim." (Al-Qashash: 59)


3. "Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahawa Allah lalai daripada yang diperbuat oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah menangguhkan kepada mereka sampai hari di mana mata (mereka) terbelakang." (Ibrahim 42)


Begitu juga Rasulullah s.a.w. mengingatkan ancaman seksa bagi para pemimpin dan penguasa yang zalim dan suka menipu rakyat. Antara hadis itu adalah:


1. Celakalah para penguasa, celakalah para pemangku urusan rakyat dan celakalah orang-orang yang dipercaya mengurusi kepentingan umum, sungguh ramai orang pada hari kiamat nanti berangan-angan kecurangan-kecurangan mereka tergantung di atas bintang Tsurayya. Mereka akan diseksa kerana mereka dahulu tidak mahu melakukan sesuatu yang menjadi amanahnya." (HR Ahmad daripada Abu Hurairah)


2. "Manusia yang paling berat seksanya pada hari kiamat adalah penguasa zalim." (HR Thabrani daripada Abdullah bin Mas'ud)


3. "Akan datang kepada hakim yang adil suatu saat pada hari kiamat nanti ia berangan-angan alangkah baik kalau dahulu (di dunia) tidak pernah memutuskan perkara antara dua orang sekalipun perkara sebutir kurma." (HR Al-Bazar dan Thabrani daripada Abu Hurairah)


4. "Akan muncul penguasa-penguasa derhaka serta zalim. Barangsiapa membenarkan kezaliman mereka dan membantu mereka berbuat zalim, maka aku (Nabi SAW) bukan tergolong dia dan dia pun bukan tergolong umatku, dia tidak akan dimasukkan ke syurga." (HR Ahmad Tirmidzi daripada Ka'ab bin Ajrar)


5. Siapa pun pemimpin yang curang kepada rakyatnya, maka akan masuk neraka." (HR Thabrani)