Friday, March 10, 2023

Syaaban 17, 1444: 'Kayakan' masyarakat, bukan masjid...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. 

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr


SELALUNYA ketika melalui sebuah persimpangan jalan sibuk berhampiran rumah saya, saya terpandang kain pemidang hebahan program masjid - sebuah masjid kira-kira 10 kilometer dari situ kerap mengundang penceramah 'top' tanah air. Bayaran penceramah ini tentu mahal, bagaimana masjid ini dapat mengundang mereka secara kerap?


Dalam sebulan ada dua tiga penceramah 'glamour' tanah air diundang, antara yang pernah bertandang adalah Ustaz Dusuki Abdul Rani, Dato' Dr Norhafizah Musa dan Dato' Dr  Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim. Tentu ada rahsia masjid ini kerap mendapatkan penceramah-penceramah hebat, fikir saya.


Suatu hari, tanpa dirancang, saya 'tersampai' ke masjid ini. Apabila tiba waktu, saya solat zuhur berjemaah dan selepas itu meninjau-ninjau kawasan masjid. Sahlah, masjid ini sangat aktif.


Pada papan kenyataan, saya lihat ada jadual pengajian - selain kuliah maghrib dan subuh, ada kelas pengajian waktu dhuha dan selepas isyak. Ada beberapa 

lagi program...untuk AJK masjid ada disediakan jadual tugasan terperinci masing-masing...tidaklah AJK berpeluk tubuh sahaja.


Melihat paparan penyata kewangan, terpegun saya; pada bahagian baki wang masjid pada setiap bulan adalah kecil sahaja - ada bulannya kurang RM10,000. Baki paling rendah adalah RM7,000. Ertinya masjid ini telah menggunakan  hampir keseluruhan wang perolehannya untuk menjayakan program mengimarahkan masjid termasuk menjemput penceramah 'top'.


Demikianlah ada pengurusan masjid yang 'pemurah' dan ada yang 'kedekut'.

Tidak lama dahulu, ketika saya berbual-bual dengan seorang siak sebuah masjid, beliau tidak sabar-sabar menceritakan dia sudah meletakkan jawatan. "Mana boleh tahan," katanya. "Nak minta duit beli sabun pencuci dan berus jamban pun susah nak dapat. Kadang-kadang terpaksa guna duit sendiri."


Demikianlah betapa susahnya pengurusan sesetengah masjid mengeluarkan duit simpanan yang dikutip daripada derma orang ramai, sama ada melalui kotak yang diedarkan pada setiap Jumaat ataupun tabung tetap di masjid.


Duit itu adalah sumbangan orang yang mahu melihat masjid diimarahkan dengan program yang dapat mendekatkan masyarakat kepada Ilahi, tetapi lain pula terjadi - ada sesetengah ahli jawatankuasa masjid terlalu berminat menimbun wang sedekah dalam bank.


Sesetengah setiausaha dan bendahari masjid bersaing antara satu sama lain, masjid mana yang mempunyai simpanan paling banyak. Mereka yang menyimpan paling banyak bangga, kononnya berjaya mengkayakan masjid, hakikatnya masjid tidak perlu dikayakan, yang perlu dikayakan adalah masyarakat, sama ada dari segi kehidupan harian ataupun keimanan mereka.


Seorang motivator yang berceramah di sebuah masjid (penulis ada di situ), bercakap berterus terang: "Kalau jawatankuasa masjid tidak tahu buat kerja, muka pun tak ada ketika solat jemaah, lebih baiklah letak jawatan. Janganlah gila pangkat dan kedudukan, bagilah pada orang yang boleh buat kerja."


Beliau meminta jemaah melihat sekeliling dan berkata: "Lihatlah muka yang datang ke masjid, asyik-asyik muka yang sama. Mana dia anak-anak muda kita? Tanyalah diri sendiri mengapa mereka tidak datang ke masjid?"


Katanya, AJK perlu menguruskan masjid dengan berkesan. Makmurkan masjid. Buat program-program yang dapat menarik minat anak-anak muda. Untuk tujuan ini, tentulah perlukan peruntukan kewangan yang banyak.


"Inilah masanya untuk kita gunakan wang derma orang ramai itu. Janganlah simpan wang banyak-banyak dalam bank, tak mahu keluarkan. Orang yang dermakan wang itu mahu melihat wang itu digunakan untuk manfaat orang ramai, ini simpan dalam bank banyak-banyak buat apa?" tanyanya.


Beliau membidas AJK masjid yang gemar berbincang mengenai apa makanan yang hendak disediakan selepas majlis ceramah dan sebagainya tetapi tidak pula membahaskan dan menjayakan program apa yang sesuai bagi memakmurkan masjid terutama bagi menarik generasi muda.


Katanya, pemuda-pemudi sudah tahu aktiviti yang berlangsung di masjid seperti kelas pengajian, majlis marhaban (ketika sambutan Maulidur Rasul), bacaan Surah Yassin pada malam Jumaat, jadi mereka tidak tertarik untuk datang kerana majlis-majlis seumpama itu pada fikiran mereka hanya sesuai untuk orang tua.


“Cuba buat kelainan, buatlah sesuatu yang dapat memikat mereka,” katanya.


Penulis teringat ada pengurusan beberapa masjid sudah menjayakan projek seperti membina gelanggang sepak takraw di tepi masjid. Apabila azan, budak-budak berhenti bermain dan diajak untuk solat berjemaah. Ada pengurusan masjid sudah memajukan kelas komputer, golongan muda dapat dibimbing meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang teknologi maklumat.


Demikianlah banyak program dapat dimajukan di masjid sebagai pendekatan menarik sebanyak mungkin anggota masyarakat ke rumah Allah itu, tidak kira daripada golongan veteran, wanita, muda-mudi dan juga kanak-kanak.


Bagaimanapun sebahagian besar harapan orang ramai tidak tercapai kerana realitinya kebanyakan pengurusan masjid dimonopoli golongan tertentu yang ada kepentingan. Mereka berada di kedudukan berkenaan bukan dilantik oleh ahli kariah tetapi dipilih pihak berkuasa.


Apabila ini berlaku (pelantikan orang yang tidak mencintai rumah Allah), berlakulah kelemahan pengurusan masjid seperti sekarang. Jika solat waktu pun AJK jarang hadir, bagaimana mereka boleh mengaktifkan masjid?


Selain kelemahan pengurusan, mereka yang mentadbir masjid dan surau juga perlu memperhalusi kaedah mendapatkan derma daripada orang ramai. Ini agar pendapatan yang diperolehi, walaupun daripada derma orang ramai, hendaklah bersih sebersihnya, jauh daripada unsur syubahat.


Wang sedekah perlu diperolehi sebersih-bersihnya agar masjid dapat sentiasa dimakmurkan. Wang masjid adalah untuk digunakan untuk kepentingan umum bukan dihimpun dalam bank!

No comments: