Monday, May 31, 2010

Malu menyaksikan gelagat pemimpin Melayu-Islam

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakinya." (Al-Qashash: 56)
***

TARIKHNYA 20 Mei 2010. Jam 12.02 tengah malam. Apabila pembaca berita Nightline TV3 mula menyampaikan berita berhubung ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) di Kuala Lumpur, yang antara lain menyebut beliau mencadangkan negara-negara Islam mewujudkan model baru ekonomi yang dibangunkan untuk memenuhi kehendak khusus dunia Islam, saya tidak dapat tahan lagi, lantas saya TUTUP televisyen.

Sekalipun hampir saban malam, saya setia menanti Nightline untuk mengikuti perkembangan terkini dunia, pada malam itu hati saya bengkak, teringat bahawa di negaraku yang tercinta ini sudah diluluskan lesen judi bola Piala Dunia yang akan berlangsung Jun ini. Kemudian pilihan raya Sibu pada 15 Mei yang dicemari politik wang yang sangat besar, jadi bagaimana saya dapat mendengar ucapan daripada tokoh berkenaan. Cakap mestilah serupa bikin, jangan jadi biawak, lidah bercabang dua.

Sebagai seorang Islam, saya begitu malu dengan perkembangan ini. Bagaimana saya mahu menyorok muka ini, harga diri umat Islam sudah jatuh pada peringkat paling rendah. Saya teringat kata-kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat“…Umno dan BN membeli rakyat seperti membeli ayam itik. Binatang ternakan boleh dibeli, tapi jika manusia pun ingin dibeli, jelas sekali manusia sudah ingin di samakan dengan ayam itik.”

Masakan Menteri Besar Kelantan tidak bercakap sepedih itu kerana PM merangkap Pengerusi BN, Najib ketika kempen pada pilihan raya menjanjikan RM5 juta untuk projek tebatan banjir di Sibu berkata: “Saya mahu membuat perjanjian dengan kamu. Boleh kita buat perjanjian atau tidak? Perjanjian itu sungguh mudah. Saya tolong kamu, kamu tolong saya.” Selain itu sekolah-sekolah Cina di Sibu disogok RM18 juta manakala gereja RM1.7 juta.

Sogokan ternyata gagal memenangkan BN di Sibu, sebuah kawasan yang bermajoritikan orang Cina tetapi mengapa di Hulu Selangor yang lebih 50 peratus daripada pengundinya adalah orang MELAYU-ISLAM, BN boleh menang? Menurut Ketua Umum KEADILAN, Dato’ Seri Anwar Ibrahim lebih RM100 juta dilambak atau dijanjikan pada masa kempen pilihan raya Hulu Selangor. Jadi mungkinkah ada masalah dengan harga diri orang Melayu-Islam ini?

Penulis sebagai ‘orang tua’ yang berusaha ke masjid sekerap mungkin, terkesan dengan kata-kata ustaz-ustaz pada kelas pengajian bahawa perkara paling berharga pada diri seseorang adalah IMAN yang tidak boleh dibeli dengan wang jutaan ringgit malah dunia ini dan isinya sekalipun. Tawaran apapun tidak boleh dilayan, yang paling mustahak iman itu perlu dipertahankan buat selama-lamanya.

Jika iman menjadi sandaran, apalah sangat tawaran “saya tolong kamu, kamu tolong saya itu.” Bagi orang beriman, pertolongan wang tunai RM1,000 dan janji RM50,000 bagi imbuhan tanah Felda tidak ada sebarang makna. Malah jika kamu beri aku RM1 juta, RM2 juta malah RM10 juta pun, aku tidak akan menjual iman aku. Harga diri aku lebih mahal daripada itu semua. Malah ada yang rela mati daripada menggadaikan iman.

Tetapi apa sudah jadi kini? Orang Melayu-Islam yang sepatutnya kebal, tidak makan sogokan, terbukti menjadi sebaliknya. Hanya dengan sebungkus nasi, jamuan, dan kertas warna biru, hijau merah dan seterusnya, mereka menjadi kelabu mata, sehingga tergamak mengadakan majlis bacaan Yasin dan solat hajat dalam masjid bagi mendoakan kemenangan si dia yang namanya kononnya mewakili tiga bangsa.

Jadi berdasarkan perkembangan ini, orang Islam yang beriman menjadi tersangat malu dengan penganut agama lain. Kamu kata agama kamu tinggi, tetapi dengan sedikit sogokan dan lambakan wang saja, kamu sudah boleh dibeli, apa ni? Kamu sebagai pemimpin yang cakap berdegar-degar pasal Islam, keharmonian Islam, tidak malukah kamu kepada orang agama lain apabila kamu menabur wang sana sini dengan cakap-cakap “saya tolong kamu, kamu tolong saya.” Apa, inikah yang diajarkan oleh Islam?

Pada setiap sambutan Maulud Nabi, pemimpin kerap mengingatkan umat Islam, jadikan Nabi Muhammad s.a.w. suri teladan, jadi apakah memberi lesen judi itu mengikut sunnah? Sepatutnya kamu berkata imanku tidak akan digadaikan hatta jika duit judi berbilion-bilion ringgit boleh masuk dalam kantung negara.

Pemimpin yang meluluskan lesen judi inilah yang mendahului perarakan Maulud, begitu bersemangat berselawat, memuji-muji Nabi. Apakah lidah kamu bercabang, memuji Nabi tetapi mengingkari ajaran baginda?

Pada majlis ini, kamu juga kerap berkata, jadikan al-Quran panduan atau pedoman hidup; maka tidak terjumpakah kamu Ayat 90 Surah Al-Maidah ini yang bermaksud, “Wahai orang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan tenung nasib dengan anak panah adalah perkara keji yang termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya.” Atau kamu nampak perkataan BERJAYA saja, lantas kamu memberi lesen judi padanya?

Sunday, May 30, 2010

Babi ditakuti tetapi tidak JUDI, rasuah dan todi

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya pada waktu pagi dan petang. Dia-lah yang memberi rahmat kepada kamu - dan malaikat-Nya pula (berdoa bagi kamu) - untuk mengeluarkan kamu daripada gelap-gelita (kufur dan maksiat) kepada cahaya yang terang-benderang (iman daripada taat); dan adalah Ia sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada orang-orang yang beriman (di dunia dan akhirat)." (al-Ahzab: 41-43)
***

(Artikel ini dikemukakan kembali berdasarkan perkembangan semasa. Orang kita tidak takut bahana JUDI dan TODI, sebaliknya bahana babi, digembar-gemburkan. Kalau dalam isu babi termasuk di Selangor dan Kedah, wartawan gemar membongkar kisah dari ladang babi, tetapi dalam kes JUDI dan TODI terutama dalam isu pemberian lesen JUDI BOLA, akhbar-akhbar arus perdana senyap saja.

Saya diberitahu seorang rakan, wartawan Melayu pernah bertanya kepada MB Kedah akan masalah ladang babi di sana, jawapan yang diterima sungguh menyentak jiwa - "Kamu makan babikah?" Yalah, wartawan Cina yang makan babi pun tak mengemukakan persoalan itu, wartawan Melayu pula menyibuk pasal babi.

Kini masalah JUDI yang sangat serius menimpa negara kita. JUDI BOLA diberi lesen, apakah wartawan dan akhbar Melayu arus perdana yang beragama Islam ada sibuk nak bertanya pemimpin-pemimpin Melayu beragama Islam; Kenapa ni Dato' negara kita kan negara Islam, buat apa LESEN JUDI ini? Adakah wartawan ini peka, tidakkah ISU JUDI ini yang kena dengan batang hidung mereka lebih hebat daripada isu babi?
*

Kali pertama saya ke Dubai, UAE tahun 1992. Pakej penginapan di sebuah hotel di sana termasuklah minum pagi. Ketika mengambil lauk-pauk, saya terperasan di sebelah bekas daging ayam, disediakan daging babi. Istimewanya, setiap jenis makanan yang dihidangkan ada labelnya. Kalau lauk 'ayam' ditulis 'chicken', daging lembu ditulis 'beef' manakala daging babi ditulis 'pork'.

Guanno ni, kata hati saya, di tanah Arab pun disediakan makanan haram itu. Macam mana ni, mahu makan atau tidak? Maksud saya bukan makan daging babi itu tetapi makanan lain. Apakah boleh dimakan hidangan 'chicken' yang terletak bersebelahan dengan 'pork'?

Akhirnya saya terpaksa berpuas hati dengan menikmati roti bercicahkan air kopi. Guano, hotel-hotel pak syekh Arab ini, rungut hati saya. Hidangan daging babi disediakan, bercampur-gaul dengan makanan lain.

Ketika itu, saya yang kurang pengalaman, ingat negara-negara Arab bebas daripada hidangan daging babi, tetapi rupa-rupanya tidak begitu. Kota-kota seperti Dubai, Beirut dan Doha yang menjadi transit utama penerbangan nampaknya sudah menepati cirri-ciri antarabangsa, termasuk menghidangkan makanan dan minuman haram. Bir adalah biasa saja di hotel.

Kalau sesetengah orang Arab di beberapa negara Arab sudah tidak sensitif dengan babi, bagaimana pula reaksi orang Melayu Malaysia yang boleh dikatakan semuanya beragama Islam. Oohh, berdasarkan perkembangan semasa, orang Melayu tetap sensitif dengan babi.

Pantang cakap babi, orang Melayu akan melenting. Dengar babi saja pun orang Melayu tak nak, apa lagi makan babi. Mungkin itu sebabnya nama babi itu ditukar kepada khinzir.

Beberapa minggu kebelakangan ini, saya telah menerima sejumlah e-mel dan SMS menyentuh isu babi ini. Seorang peminat Harakah, meminta pihak editorial Harakah membuat satu keluaran khas mengenai isu babi ini.

Katanya, dia tidak berpuas hati dengan cercaan pihak tertentu termasuk akhbar arus perdana yang memutarbelitkan isu ladang ternakan babi secara moden di Selangor. Katanya, dakwaan itu perlu ditangkis, jangan biarkan puak-puak ini bertindak kotor, menipu rakyat terutama orang Melayu.

Seorang pembaca menghantar e-mel menempelak saya, sidang pengarang Harakah dan kerajaan Pakatan Rakyat dengan mendakwa berikutan kesediaan kerajaan Selangor memberi laluan kepada pusat ternakan babi moden itu, 'tidak lama lagi akan terbinalah ladang babi terbesar di Kedah dan Perak'.

"Itulah," tulisnya, "bahana memilih Pakatan Rakyat. Orang Melayu terpaksa hidup dalam lingkungan babi-babi ini."

Seorang lagi menulis: "Lebih baik bina ladang babi moden itu di Pulau Ketam. Di sana banyak orang makan babi."

Penulis tidak mahu komen mengenai isu penternakan babi ini, hanya menyerahkannya kepada kebijaksanaan kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat untuk menanganinya.

Cuma yang mahu disentuh penulis adalah mengenai kebagusan orang Melayu yang menolak benda haram seperti babi. Dengar saja mereka sudah jijik. Penulis yakin tidak ada orang Melayu-Islam yang makan babi. Sebab sudah jelas makan babi haram.

Di sini penulis berfikir jika orang Melayu-Islam 100 peratus jijik dan tidak makan daging babi kerana 'keharamannya', alangkah bagusnya jika 100 peratus daripada mereka jijik dan berusaha menolak perkara haram seperti rasuah, riba, mencuri, khianat, kesaksian palsu atau mengambil harta dan kuasa dengan sumpah palsu.

Selain daging babi yang sudah jelas haram dimakan, makan atau menggunakan faedah daripada hasil yang haram adalah juga haram. Allah Azza Wa Jalla berfirman dalam al-Quran, ayat 29 Surah An-Nisa' yang bermaksud: "Hai orang-orang beriman, janganlah kamu makan harta orang lain dengan jalan yang batil..."

Ibnu Hibban meriwayatkan, "Tidak akan masuk syurga, daging dan darah yang tumbuh daripada usaha yang haram. Bahkan neraka lebih patut baginya. At-Tarmizi pula meriwayatkan; "Tidak baik (subur) daging yang tumbuh daripada usaha haram, melainkan neraka lebih patut baginya."

Dalam buku 'Penenang Jiwa - Pengubatan dan Rawatan' yang diterjemahkan daripada kitab Imam Al-Ghazali 'Mukashafah Al-Qulub' ada ditulis: "Al-Bazzar (meriwayatkan); "Sungguh tidak ada agama bagi orang yang tidak amanah, solat dan zakat. Siapa yang memakai baju daripada duit yang haram, maka tidak diterima solatnya sehingga baju itu dilepaskan. Sesungguhnya Allah Maha Mulia dan Maha Agung. Tidak akan diterima solat lelaki yang memakai pakaian haram."

Ahmad daripada Ibnu Umar, dia berkata, "Siapa membeli pakaian 10 dirham tetapi satu dirham daripadanya adalah haram, Allah tidak akan menerima solatnya selama ia dipakai." Kemudian dia memasukkan dua jarinya ke dua-dua telinganya sambil berkata, "Tuli saja aku jika Nabi tidak mengatakannya." Al-Baihaqi (meriyawatkan), "Siapa yang membeli barang curi, sedang dia tahu, maka dia turut berdosa."

Berdasarkan pembacaan, pemerhatian dan pengalaman penulis, orang Melayu jijik sekali dengan babi. Tiada orang Melayu-Islam yang makan daging babi, apatah lagi sentuh atau berdekatan dengan babi (kecuali 'tokoh' yang menunjukkan tanda bagus di kandang babi di Jerman).

Tetapi berdasarkan suasana persekitaran, ada orang Melayu-Islam tikam ekor (berjudi), minum arak (todi), makan rasuah, riba, dedah aurat dan yang terakhir ini ramai yang mahu menjadi penyanyi (artis) sedangkan Imam Al-Ghazali dalam bukunya itu menyatakan: "Al-Qadi Abu Thaiyyib ath-Thabrani mengutarakan beberapa pendapat daripada Asy-Safie. Abu Hanifah, Sufyan dan segolongan ulama, bahawasanya mendengar lagu dan seumpamanya adalah haram."

Abu Thaiyyib mengatakan, "Mendengar nyanyian daripada wanita yang bukan muhrim tidak dibolehkan menurut ulama Syafie, baik terbuka atau dari balik hijab, baik merdeka atau budak. Dia mengatakan bahawa telah berkata Imam Syafie, "Pemilik jariah (budak perempuan) apabila dia mengumpulkan manusia untuk memperdengarkan nyanyiannya, maka dia adalah bodoh dan harus ditolak kesaksiannya."

Jika Imam Syafie yang diakui hampir setiap Melayu-Muslim di negara ini sebagai imam mereka (mereka mengaku bermahzabkan Iman Shafie), tetapi mengapa tidak mengikut ajarannya sebaliknya terus menghimpunkan penyanyi dan artis dalam pelbagai pertandingan dan akademi serta anugerah dengan hadiah lumayan?

Pada majlis ini, selain percampuran bebas, artis perempuan mengambil kesempatan 'berbogel'. Dengan anugerah mewah dan kerap, jelaslah artis disanjung-sanjung sedangkan ulama dan amanat mereka dihumbankan. Jadi amat tersasarlah untuk pihak-pihak ini mengaku, mereka sedang mencari Asy-Shafie atau Al-Ghazali seperti didakwa Imam Hadhari!

Saturday, May 29, 2010

Kezaliman dikhuatiri akan hancurkan Kuala Lumpur

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Katakanlah (wahai Muhammad): 'Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang telah kamu lakukan (serta membalasnya'." (al-Jumu'ah: 8)
***

Saya bukan kaki TV. Tetapi apabila berada di sofa, terpandang jua rancangan disiarkan. Salah satu perkara yang menangkap pancaindera saya kebelakangan ini adalah iklan dan cereka pendek patriotik menjelang ulang tahun kemerdekaan negara tidak lama dulu.

Salah satunya menunjukkan betapa sukar kita membina negara terutama ibu kota Kuala Lumpur; daripada desa dan kampung, bertukar menjadi bandar dan seterusnya kota metropolitan dengan bangunan tersergam megah, tinggi mencakar langit.

Suara dalam filem pendek ini mengingatkan, banyak perkara sudah berubah tetapi satu tetap kekal iaitu perpaduan. Lalu ditunjukkan gambar budak Melayu, Cina dan India bekejar-kejaran. Perpaduan sesama rakyat menjadi asas kemajuan, dan janganlah kita musnahkan negara atau memperjudikannya dengan mengenepikan perpaduan.

Saya bersetuju dengan ingatan itu. Alangkah ruginya jika segala apa kita bina seperti kota Kuala Lumpur dengan bangunan hebat dan jalan raya berselirat dengan kenderaan mewah dan cantik akan musnah semata-mata perpaduan sesama rakyat tidak dapat dikekalkan. Sayang sungguh kita pada kota Kuala Kumpur, yang sama-sama kita bina daripada keringat dan air mata.

Bukankah kita telah bersama-sama, tidak kira Melayu, Cina, India dan sebagainya membina Kuala Lumpur dengan pelbagai pengorbanan, tetapi tergamak pula menghancurkannya apabila tidak menitikberatkan perpaduan, demikian saya terfikir, mengiyakan apa yang dinyatakan melalui filem pendek itu.

Namun demikian pandangan saya bertukar serta-merta selepas menghadiri satu majlis ilmu di masjid yang pengajarnya membicarakan kitab 'Hikam'. Terpegun saya apabila Tuan Guru itu bersyarah, menyatakan tiada sesuatu yang baru boleh kekal, semuanya akan musnah. Perkara baru dimaksudkan di sini adalah alam ini (selain daripada Allah SWT).

Tersentak saya daripada tidur yang panjang apabila Tuan Guru berkata, orang berakal tidak melihat pada apa-apa yang bersifat kebendaan, semuanya tidak kekal, semuanya akan hancur, semuanya akan musnah. Hanya orang tidak berakal yang menyanjung kehebatan kebendaan, memikirkannya tidak akan musnah, mahukan ia kekal dan terus kekal.

Terfikir di benak saya, adakah saya salah seorang daripada manusia tidak berakal itu sebab saya pun sayang dan kagum pada kehebatan Kuala Lumpur?

KL, New York, London, semuanya akan musnah

Orang berakal akan berfikir bukan saja apa-apa yang hebat itu seperti kota Kuala Lumpur, malah New York, London atau Istanbul, semuanya akan musnah. Cuma orang kafir saja takut mati dan kemusnahan sebab itulah mereka cari pemuda-pemuda Islam dan kemudian menuduh mereka mahu meletupkan London, Glasgow dan New York. Mereka musnahkan Baghdad, Kabul dan Baitulmaqdis, mereka tidak sibuk pun, mereka dianggap sebagai 'pembebas dunia' pula.

Jika diri kita sendiri akan musnah, jadi apa nak dihairankan sangat jika Kuala Lumpur musnah atau hancur lebur.

Bukti sudah ada depan mata, tetapi kita buat-buat tak pandang dan tak ingat. Bukankah sikit masa dulu, Banda Aceh musnah, dihancurkan oleh tsunami yang melanda ganas, menyebabkan hampir 200,000 orang mati? Bangunan yang hebat-hebat di Aceh runtuh, mayat-mayat bergelimpangan.

Jika Banda Aceh yang terletak di seberang Selat Melaka boleh musnah secara mengejut, Allah boleh melakukan apa saja termasuk terhadap Kuala Lumpur. Kepada-Nya kita berserah diri, usah asyik mengejar kebendaan yang pasti musnah suatu hari nanti. Hari kiamat juga akan menyusul, memusnahkan segala-galanya.

Dalam al-Quran pun ada kisah kaum-kaum hebat, yang membina bangunan dan tamadun tinggi tetapi musnah akhirnya. Kaum Tsamud begitu hebat, mengukir bangunan dalam batu akhirnya lebur juga. Demikian juga kerajaan Sabak di Yaman, begitu hebat projek pembangunannya termasuk membina empangan Ma'rib yang masyhur itu, akhirnya musnah.

Firaun dan Haman yang mendakwa diri hebat itu akhirnya musnah juga. Demikian juga Qarun, Abu Jahal dan sebagainya. Dunia akan hancur, apa nak dihairankan, kata Tuan Guru. Semua barang berharga atau tidak berharga, akan hancur, akan rosak.

Orang ada akal, kata Tuan Guru akan mengejar akhirat. Ini kerana semua yang ada di dunia akan rosak. Semua kehebatan dunia akan hancur. Bangunan akan hancur, Mercedes yang kita sayangi akan binasa, tiada apa yang akan tinggal.

Orang yang sempurna akal, kata Tuan Guru tidak menganggap dirinya warga dunia. Dia rindu menjadi warga akhirat. Dia siapkan dirinya untuk menjadi warga akhirat. Orang paling rugi dan tak berakal adalah yang tidak menyiapkan bekalannya ke akhirat, asyik dan gila dengan kelazatan dunia yang akan musnah.

Selepas mendengar kuliah Tuan Guru, saya berfikir, dakwaan perpaduan boleh mengekalkan keutuhan Kuala Lumpur adalah pandangan sisi, hanya separuh benar. Jika kita meneliti kehancuran kaum Tsamud dan kerajaan Sabak, kedua-duanya dimusnahkan disebabkan kedurhakaan penduduknya kepada Allah SWT. Kemajuan dan kehebatan mereka dalam urusan dunia seperti membina bangunan dan empangan menyebabkan penduduknya lupa akan kebesaran Allah SWT.

Kuala Lumpur malah Malaysia mengundang kemusnahkan jika kehidupan penduduknya tiada kebarakahan. Maksiat menjadi-menjadi, penyelewengan sudah sebati manakala pemimpinnya bagaikan serigala, mencari saat mencengkam golongan miskin. Saat kehancuran akan tiba jika rasuah dan riba dianggap urusan halal seperti berjual beli.

Semakin hari, gejala moral semakin teruk di tanah air tercinta. Sudah banyak kes luar biasa seperti ibu bunuh anak, anak bunuh ibu bapa tetapi pemimpin dan rakyat terus hanyut dalam aneka kemewahan dan hiburan yang melalaikan. Sewajarnya kes luar biasa ini dijadikan iktibar, mencetuskan rasa bimbang dan cemas di hati, apa agaknya dosa-dosa dan kesalahan kita sehingga negara dilanda suasana begitu teruk sekali.

Banjir di Johor dulu adalah suatu kejadian luar biasa. Dan Kuala Lumpur juga pada 10 Jun lalu dikejutkan satu banjir besar. Banyak harta benda musnah. Kejadian itu boleh dianggap amaran SWT, tetapi apakah pemimpin dan rakyat termasuk warga KL mengambil iktibar? Apakah pemimpin terus bangga dengan segala projek 'Smart', 'Bestari' dan pelbagai slogan muluk-muluk?

Jika Allah SWT menurunkan banjir 10 kali ganda (lebih besar) daripada kejadian 10 Jun lalu, apa akan jadi dengan Kuala Lumpur yang kita banggakan itu? Doa kita agar kita jauhkan daripada malapetaka, sebaliknya kehidupan kita dirahmati Allah SWT.

Kesimpulannya, usahlah berbangga dengan kehebatan kita membangun KL atau negara sedangkan kita kufur kepada nikmat-Nya. Kita terus melakukan pelbagai kezaliman (rakyat terus di-ISA-kan), rasuah semakin menjadi-jadi manakala golongan bawahan semakin derita dengan kos kehidupan semakin tinggi.

Semoga kita tidak hanya mampu mengibar bendera (terbesar, terpanjang dan terbilang) pada ulang tahun kemerdekaan negara ke-50, sebaliknya, jika sudah benar-benar merdeka, lakukanlah perubahan, termasuk membebaskan tahanan ISA. Doa orang dizalimi cepat termakbul, takut-takut mereka mendoakan kehancuran negara kita, terutama pemimpin zalim!

Friday, May 28, 2010

Cadangan rakyat bawa penyapu ketika perhimpunan Bersih

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dirikanlah solat dari sesudah matahari tergelincir sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) Subuh. Sesungguhnya solat Subuh itu disaksikan (oleh malaikat). Dan pada sebahagian malam hari tunaikanlah solat tahajud kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji." (Al-Isra': 78-79)
***

* Ini cerita lama
Biasanya pada setiap pagi Sabtu, saya akan ke kebun - menebas dan mencangkul mana-mana yang patut. Bukan apa, saja mahu 'exercise' - daripada berjoging yang hasilnya sukar dilihat mata kasar - saya memilih menghayun sabit dan cangkul, menanam tanaman mudah hidup seperti serai, tebu, pisang dan ubi.

Tetapi Sabtu, 10 November, rutin itu tidak dapat diteruskan. Saya bersemangat ke KL, menyertai perhimpunan anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).

Sebelum pergi saya siapkan diri dari segi mental. Pesanan sudah saya tinggalkan pada isteri. Nombor telefon rakan dan 'bos' saya lekatkan di celah cermin almari buku. Mana tahu terjadi apa-apa, tidaklah isteri kehilangan punca. Sayang juga pada bini...heh...heh.

Pada minit terakhir berangkat menaiki bas ekspres Melaka-KL, saya tidak jadi memakai baju kuning yang telah disiapkan. Kata isteri kalau saya pakai baju kuning, dia bimbang saya tidak sampai ke KL. Saya terima cakapnya. Memang betul pendapatnya, belum sampai di Tol Ayer Keroh, ribuan kenderaan sudah terperangkap dalam kesesakan jalan raya. Polis menjalankan pemeriksaan ketat pagi itu.

Saya lihat ramai 'mat motor' tersangkut. Saya lega kerana tidak bepakaian kuning. Sekurang-kurang apabila polis bertanya, tidaklah mati kutu untuk menjelaskan mengapa saya perlu ke KL. Ketika melalui kesesakan itu saya terfikir, mengapa pihak berkuasa buat sekatan jalan raya di Melaka, bukankah perhimpunan itu di KL. Apakah mereka begitu takut sekali sehingga bertindak menyekat orang Melaka ke KL?

Bas yang saya naiki meluncur laju sehingga ke Hentian Sebelah Serdang. Pemandu bas memberhentikan kenderaan. Dia pergi buang air. Mungkin melalui rakan dia sudah tahu 'macet' (ibu segala kesesakan) telah berlaku di lebuh raya menujuk KL. Oleh itu dia 'legakan' dirinya terlebih dulu. Memang betul, tidak lama selepas dia menggerakkan kenderaan itu, saya saksikan antara kesesakan paling teruk dalam sejarah hidup saya.

Ketika itu jam 11.00 pagi. Dalam keadaan kenderaan kejap bergerak, kejap berhenti itu, dua jam setengah kemudian barulah bas itu melalui tempat punca kesesakan. Rupa-rupanya 'mat-mat polis' telah menutup sepenuhnya lebuh raya menuju Istana Negara (Jalan Mahameru). Apabila laluan itu ditutup, maka semua kenderaan dari selatan, terpaksalah bersesak-sesak menuju Jalan Loke Yew dan Pudu.

Aduh, hampir jam 1.45 petang barulah bas itu memasuki Jalan Pudu. Saya dapat satu 'idea'. Daripada saya terus menaiki bas itu melalui kesesakan jalan raya untuk ke Hentian Puduraya, lebih baik saya turun dan menaki LRT di Pudu. Sekalipun pada mulanya saya bercadang singgah solat di Masjid Jamek, tetapi memikirkan waktu untuk berhimpun (3.00 petang), masih jauh, saya membuat keputusan ke pejabat di Jalan Pahang Barat dulu.

Kereta api ringan yang saya menaiki tiba di Stesen Masjid Jamek kira-kira jam 2.00 petang. Dari dalam kereta api saya nampak ramai FRU berkawal di sekeliling Masjid Jamek. Ramai juga orang berpakaian kuning di sekiar masjid itu. Saya juga nampak trak meriam air FRU. Anggota FRU juga berkawal di sepanjang bawah laluan LRT itu. Saya tidak berhajat menyertai perhimpunan di Masjid Jamek, tetapi mahu terus ke Dataran Merdeka.

Apabila kereta api melalui kawasan hampir Dataran Merdeka, saya lihat padang di situ kosong saja. Yang kelihatan anggota FRU mengawal di jalan-jalan raya sekitar kawasan itu. Trak dan kenderaan FRU dilintangkan di atas jalan. Sahlah, mustahil untuk rakyat memasuki padang di Dataran Merdeka ketika itu.

Saya sampai di pejabat kira-kira jam 2.15 petang. Selepas solat dan ketika mahu ke lokasi perhimpunan bersama beberapa kawan, hujan lebat menyebabkan perjalanan terhalang. Ketika itu ada kawan mendapat panggilan telefon, FRU telah bertindak, menyembur gas pemedih mata dan air kimia di kawasan sekitar Masjid Jamek. Beberapa orang juga dilaporkan telah ditahan.

Jadi pada hari bersejarah itu, saya telah ditakdirkan untuk tidak kena semburan air kimia dan pemedih mata FRU. Saya telah tidak pergi ke Masjid Jamek. Saya tahu akibat terkena semburan gas pemedih mata dan air kimia ini - sakitnya tidak terperi. Saya berpengalaman merasainya ketika demonstrasi membantah serangan AS ke atas Afghanistan di depan Kedutaan AS pada tahun 2001 dulu.

Kerana terlalu sakit, saya yang biasanya sedaya upaya menjaga mulut daripada berkata kasar dan lucah, telah memaki, menyebut perkataan - B...B..., B...B...

Selepas hujan reda, kami ke Stesen LRT Titiwangsa. Kami bercadang turun di Stesen Bandaraya dan berjalan kaki ke Dataran Merdeka. Tetapi melalui panggilan telefon rakan-rakan, mereka memberi tahu perkhidmatan LRT digantung. Kemudian ada yang memanggil menyatakan penganjur meminta rakyat untuk terus ke Istana Negara.

Sebagai alternatif, kami menaiki monorel di Stesen Titiwangsa. Monorel sesak. Perjalanan terasa begitu lambat. Lebih setengah jam kemudian kami sampai di Stesen Tun Sambanthan. Kami bergegas melalui jejambat menyeberangi Sungai Klang untuk ke Istana Negara. Nun jauh, kelihatan perarakan warna kuning di lebuh raya. Kami mempercepatkan langkah. Kami berselisih dengan beberapa orang berpakaian kuning. Kata mereka memorandum sudah diserahkan kepada wakil Yang di-Pertuan Agong.

Sudah diserahkan? Mengapa begitu cepat? Terasa begitu rugi kerana tidak dapat bersama puluhan ribu rakyat pada detik bersejarah itu. Rasanya tidak berbaloi, datang dari jauh, bersusah payah di lebuh raya, tetapi majlis yang dijangka bermulakan jam 3.00 petang itu (berarak dari Dataran Merdeka) sudah tamat. Sedangkan waktu itu baru jam 4.00 petang. Namun kami bersyukur kerana memorandum itu telah dapat disampaikan kepada pihak Istana.

Daripada mereka yang pulang itu, kami diberitahu masih ramai orang berhimpun di Masjid Negara. Kami pun menaiki monorel dan turun di Stesen Maharajalela. Sepanjang Jalan Maharajela berdedai-dedai orang ramai, sebahagian besarnya berpakaian kuning menuju Masjid Negara.

Kami menyertai mereka ke Masjid Negara. Ribuan orang berada di sana. Alangkah anehnya, ramai yang mahu memasuki pekarangan masjid untuk solat, tidak dibenarkan berbuat demikian. Mereka diminta bersurai. Di sana kami berpecah, saya menuju Dataran Merdeka, manakala rakan-rakan entah ke mana mereka menghala.

Mamak restoran untung besar

Di Jalan Raja, berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, kelihatan puluhan anggota FRU. Di belakang mereka ada trak meriam air. Mereka berdiri tegak, membuat barisan, memagar laluan ke Dataran Merdeka. Gayanya, mereka siap sedia bertindak. Sepasang pelancong 'mat Saleh' melepasi saya. Beberapa 'mat' di sebelah saya menjerit kepada 'mat saleh' itu; "See, this is Malaysia!" Pasangan mat saleh itu tersengih saja.

Di tangga depan Bangunan Sultan Abdul Samad, saya duduk berehat, sambil memerhatikan karenah anak-anak muda menghadapi anggota FRU yang berdiri kaku. Ada seorang reformis perempuan bertudung dengan berani beraksi di depan anggota FRU.

Dia tampil bergaya, berposing manakala seorang rakan merakamkan aksi itu dengan telefon bimbitnya. FRU diam, tidak bergerak-gerak. Apabila wanita itu beraksi, ramai lagi anak muda mengikut jejaknya. Mereka beraksi dan mengambil gambar depan anggota FRU, mungkin mahu dijadikan koleksi paling berharga dalam hidup mereka. Mungkin gambar itu boleh diberi tajuk 'Aku dan FRU pada 10/11/07' atau 'Aku dan Demokrasi ala-Malaysia' atau 'Malaysia Serba Boleh!'

Baru saya teringat saya belum makan tengah hari itu. Mungkin kerana terlalu 'excited', saya terlupa makan. Saya raba sesuatu dalam beg. Terjumpa epal, lalu saya pun 'bedal'. Sebelum datang saya sudah baca tip pemimpin reformis yang memberi nasihat peserta perhimpunan membawa sedikit makanan dan minuman, mana tahu terperangkap dalam kesesakan orang ramai atau terkepung oleh FRU.

Kemudian saya bergegas, menyelusuri jalan ke Hentian Pudu. Di jambatan merentangi Sungai Klang, tiba-tiba muncul sebuah helikopter yang jelas tertera perkataan 'Polis Diraja Malaysia' kerana terbang rendah. Ia 'muncul di atas kepala' peserta perhimpunan. Ketika melepasi orang ramai, debu dan pasir berterbangan. Rasanya, diri saya pun seperti mahu dibawa pergi helikopter itu.

Sebelum sampai di Puduraya, saya perlu 'menyelesaikan satu misi penting dulu' iaitu mengisi perut saya yang mulai berbunyi. Saya singgah di sebuah restoran mamak yang terletak di persiaran pejalan kaki bertentangan dengan Pasar Seni.

Waduh, restoran ini sesak sekali. Nak masuk pun payah. Tetapi disebabkan sudah terlalu lapar, saya pun rempuh saja. Ambil nasi dan lauk ikan, pergi ke sebuah kerusi kosong, dan terus makan. Orang di sebelah, menegur saya. "Wah, banyaknya orang," katanya sebagai pemula perbualan.

Saya mengangkat muka daripada pinggan makan. Memang betul. Penuh restoran itu. Untung besar, mamak hari ini, fikir saya. Ada ratusan orang dalam restoran itu. Ramai pelanggan berbaju kuning. Yalah, selepas puas berarak, berjalan berkilometer jauhnya, tentu mereka lapar. Saya lapar, tentu mereka pun lapar.

Peniaga seperti mamak pemilik restoran itu untung besar pada hari perhimpunan itu. Hakikat ini bertentangan dengan dakwaan pemimpin negara dan akhbar burung kakatua, kononnya peniaga takut membuka kedai. Mereka berkata rakyat terutama peniaga takut huru-hara. Mereka takut perniagaan terjejas. Saya tengok mamak di restoran itu senyum dan sengih saja (tentulah kerana untung besar) sedangkan tiada sebuah kedai pun ditutup.

Nampak sangat pemimpin ini penakut dan mengarut dalam tindakan mereka. Kata orang, manusia itu takut kerana dia bersalah. Orang salah, bayang-bayang pun dia takut. Macam orang guna pinggan mangkok masjid secara curi-curi, orang lain tidak apa-apa, tetapi dia rasa setiap kerlingan, renungan dan pandangan tok imam, tok bilal dan siak seolah-olah memperlinya.

Demikian juga perompak, perasuah dan penyamun harta negara. Dia rasa setiap tindakan rakyat itu untuk menghukumnya kerana dia sudah melakukan kesalahan. Hakikatnya rakyat mahu berhimpun saja. Orang bersalah akan tetap diburu rasa bersalah sampai bila-bila. Sampai ke lubung kubur. Hidupnya akan sentiasa diburu ketakutan.

Di Selangor, Menteri Besarnya, Mohd Khir Toyo bertindak menghadiahkan penyapu kepada pegawai negeri yang dakwanya tidak cemerlang, gemilang dan terbilang. Apa kata rakyat melakukan tindakan sama berdasarkan slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan'. Lain kali jika Bersih menganjurkan perhimpunan, pakat-pakatlah bawa penyapu bagi membersihkan negara daripada pemimpin korup dan perasuah. Jayakanlah kempen 'Pemimpin Korup Sifar' sama seperti 'Setinggan Sifar'!

Thursday, May 27, 2010

Alam semula jadi sumber inspirasi Dr Abdul Halim Ramli

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Allah tiada memberati manusia melainkan sekadar tenaganya. Baginya (pahala) kebajikan yang diusahakannya dan di atasnya (dosa) kejahatan yang diperbuatnya." (Surah Ali Imran, Ayat 286)
***

(Wawancara ini dibuat sedikit masa lalu)
MEMELIHARA ikan dan berkebun - demikian antara hobi Dr Abdul Halim Ramli, 53, seorang doktor perubatan dan pengusaha klinik yang dikenali ramai di Semabok, Melaka.

Sebagai bukti 'kesungguhan' beliau terhadap ikan, di dalam bilik rawatannya ada sebuah akuarium besar dengan seekor ikan kelisa keemas-emasan 'berenang-renang lembut', mendamai serta menceriakan suasana.

Sepanjang mendapatkan rawatan di klinik-klinik swasta, penulis belum pernah berjumpa seorang doktor 'menyimpan ikan' dalam bilik rawatan. Yang biasa ditemui ialah akuarium ikan diletakkan di luar (tempat menunggu pelanggan) bagi 'menghiburkan dan melekakan' anak-anak dan peminat ikan sebelum 'nama' mereka dipanggil ke kamar doktor.

Selain ikan dan berkebun, alam semula jadi menjadi sumber inspirasi doktor yang tidak lokek dengan senyuman ini, 'mencaj' dirinya. Mungkin itulah sebabnya doktor ini 'mesra alam', mudah didekati dan lembut pula tutur budi bicaranya.

Selain 'mencaj' dirinya dengan alam semula jadi, anak saudara tokoh wanita negara, Allahyarham Tan Sri Fatimah Hashim ini, tidak lupa memperkenalkan minat yang sama kepada anak-anak dan isterinya yang kini bergelar Dato' dan berjawatan pengarah kesihatan sebuah negeri.

Dr Abdul Halim berkata, sejak anak-anaknya masih kecil mereka diajar mengenal, menghayati dan memahami alam semula jadi. Antara aktiviti mereka lakukan sekeluarga ialah memanjat gunung dan memerhati burung (bird watching).

Apabila doktor yang kerap dilihat berbaju putih ini menjelaskan minatnya untuk memerhati burung dalam wawancara ini, terbayang di mata penulis lagak A R Tompel bersama teropongnya ke sana ke sini dalam filem 'Keluarga 69'. Selain burung, A R Tompel juga 'meneropong' perempuan.

Khayalan dan senyuman penulis segera terputus apabila terdengar Dr Abdul Halim bertanyakan anak penulis berusia 14 tahun (ketika itu) yang turut serta dalam wawancara itu.

"Hah, awak kenal burung kunyit besar?" Budak lelaki itu menyatakan "tidak tahu", menyebabkan doktor lepasan Tanta (sebuah universiti di Mesir) itu 'menyambung ceramah mengenai hobi burungnya'.

Sebagai seorang bapa dan tokoh masyarakat, tentulah doktor yang dikurniakan enam anak ini tidak terlepas daripada membicarakan hal-hal berkaitan dunia pendidikan. Rekod pencapaian anak-anaknya dalam pelajaran begitu membanggakan. Anak pertama, kini seorang doktor, mendapat 9A dalam SPM; manakala yang kedua, seorang peguam juga mendapat 9A dalam peperiksaan sama.

Anak ketiga dan keempat kini sedang belajar ilmu kedoktoran, seorang mendapat 9A dan manakala seorang lagi 8A dalam pemeriksaan SPM manakala anak kelima yang kini mengikuti pengajian A-Level, mendapat 10A dalam peperiksaan sama. Anak keenamnya kini berada dalam Tingakatan Dua sebuah sekolah terkenal di Melaka (ketika itu).

(Berikut adalah petikan wawancara dengan Dr Abdul Halim yang menjadi calon Adun PAS dalam pilihan raya umum 1999 dan 2004 lalu.)

* Mengenai masa depan pendidikan generasi muda.

Saya cukup bimbang dengan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Kayu pengukur kejayaan atau kegagalan sebahagiannya disandarkan kepada keputusan PMR yang akan diumumkan 22 Disember ini.

Sumber-sumber guru memberitahu saya 'standard' kertas PMR bagi Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris telah direndahkan. Ertinya ujian ini mudah dan kemungkinan ramai murid akan mencapai tahap tertinggi (A). Jika ini berlaku, pihak berkenaan dengan mudah akan mengisytiharkan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris sudah terbukti kejayaannya.

Saya bimbang akan kesannya sama ada dari segi jangka panjang atau pendek. Dari segi jangka pendek, ramai pelajar akan layak ke sekolah berasrama penuh. Dari segi jumlah pelajar yang layak ke institusi pengajian tinggi kemudiannya, mungkin ramai, tetapi dari segi mutu ia diragukan.

Contohnya ada. Misalnya mengapa ramai pelatih kolej kejururawatan gagal dalam kursus mereka. Berdasarkan keputusan peperiksaan SPM, mereka mempunyai kelayakan tetapi apabila mengikuti kursus yang banyak menekankan aspek teknikal dan amali yang kebanyakannya adalah dalam bahasa Inggeris, ramai pelatih Melayu telah gagal.

Ini menunjukkan 'standard' pencapaian peperiksaan mereka, walaupun layak untuk mengikuti kursus, tidak begitu memuaskan untuk menghadapi cabaran pada peringkat lebih tinggi.

* Usaha ke arah kecemerlangan

Saya suka tekankan mengenai 'time management' (pengurusan masa). Setiap orang perlu bijak menguruskan masa masing-masing. Setiap orang mempunyai masa yang sama - 24 jam sehari. Di sini saya ingin menyentuh hal berkaitan pelajar kerana ia lebih mudah kerana saya juga mempunyai anak-anak.

Setiap pelajar perlu memperuntukkan masa yang cukup untuk belajar dan bermain selain keperluan asasi lain. Memperuntukkan masa semata-mata untuk belajar adalah silap. Tidak ada orang yang boleh berjaya jika dia hidup dengan menghadap buku saja.

Kita juga perlu meluangkan masa melakukan kerja-kerja yang mengembirakan dan menjadi minat kita. Saya tertarik dengan kata-kata seorang pujangga Inggeris, William Woodworth yang berbunyi: "What is life, if full of care, you don't have time to stand and stare." (Apa maknanya hidup jika ia penuh dengan pengawasan sehingga anda tiada masa untuk berdiri dan merenung diri).

* Kejayaan hakiki

Biasanya kejayaan dikaitkan dengan perolehan di atas kertas (peperiksaan), kerjaya, pangkat dan pemilikan material. Erti kejayaan pada kebanyakan orang ialah apa kerja kamu, apa pangkat kamu, berapa besar atau banyak rumah kamu dan apa jenis dan jumlah kereta kamu dan berapa banyak duit kamu. Ini suatu bentuk ukuran yang tidak tepat. 'Yardstick' ini tidak betul.

Di sini pentingnya pendidikan Islam secara total bagi mengerakkan kita melahirkan anak-anak yang bukan saja berjaya dalam bidang masing-masing tetapi juga sebagai insan bertakwa.

Jika kita melahirkan seorang jurutera, kita mahukan seorang jurutera bertakwa; jika melahirkan seorang doktor, kita mahukan seorang doktor yang bertakwa dan jika melahirkan seorang arkitek, kita mahukan seorang arkitek yang bertakwa.

Kita bukan saja mahu melahiran profesional bertakwa tetapi semua insan bertakwa. Jika seseorang itu menjadi tukang sapu sekali pun, kita mahukan dia menjadi tukang sapu bertakwa.

Jika dia seorang petani, dia petani yang bertakwa. Dia bersyukur dengan rezekinya yang dikurniakan Allah dan tidak akan membikin kacau manakala orang kaya pula tahu kewajipannya terhadap orang miskin.

Dari sini barulah mudah terbentuk keluarga bahagia, seterusnya masyarakat bahagia, negara bahagia dan dunia yang bahagia.

Wednesday, May 26, 2010

Apabila Pak Lah kata mansuh ISA...

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: "Barang siapa mendirikan solat enam rakaat setelah solat maghrib, setelah itu tidak berbicara lagi antara Maghrib dan Isyak (ertinya sampai Isyak tidak berbicara) maka bandingannya sama dengan beribadah selama 12 tahun."
***

Sebuah akhbar alternatif tidak lama dulu memetik Perdana Menteri ke-5, Dato' Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) dalam ruangan 'Cakap-Cakap Pemimpin' dengan tajuk 'Mansuhkan ISA' sebagai berkata: "ISA sebagai suatu akta sudah dicemari dengan stigma sebagai unsur negatif kepada agenda pemerkasaan demokrasi negara dan untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani untuk melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru dalam melakukan perubahan seumpamanya seperti memansuhkan ISA.

"ISA memberi kuasa yang besar serta skop yang mungkin terlalu luas untuk pihak berkuasa menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan."

Apa diperkatakan Pak Lah begitu mempesonakan. Betulkah ini Pak Lah? Saya tidak mahu membuat apa-apa komentar sebaliknya menyiarkan kembali tulisan lama saya di sebuah penerbitan alternatif bertarikh Jumaat, 5 Oktober 2005 (ketika Pak Lah masih berkuasa) dengan tajuk 'Pak Lah, isteri beraya; tahanan ISA sekeluarga merana'.

"Pak Lah dan isteri beraya, tahanan ISA dan keluarga terus derita, bebaskan mereka, kembalikan ke pangkuan keluarga." (Pak Lah and wife celebrate Hari Raya, ISA detainees and family suffer. Release them now, return them to their families).

Tulisan di dua kain pemidang putih yang dipamer aktivis Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) di pekarangan OCBC berhampiran Stesen LRT dan Masjid Jamek, jam 12:00-12:30 tengah hari Jumaat, 5 Oktober, cukup untuk menceritakan kisah derita mangsa dan keluarga tahanan ISA.

Panas terik mentari tidak memadamkan semangat kira-kira 10 aktivis - lelaki dan perempuan - berdiri gagah mempamerkan kain rentang dan sepanduk kepada ratusan warga kota yang berpusu-pusu menuju masjid dan keluar beramai-ramai pada waktu rehat tengah hari.

Sebahagian besar, melihat sepintas lalu, mengangkat kaki dan pergi. Ada pemandu, membunyikan hon tanda simpati.

Kebanyakannya tidak mengerti, tetapi bagi yang terbabit, derita dan kesedihan ditanggung berpanjangan, sukar diungkapkan dengan kata-kata.

Ramadan hanya berbaki kurang seminggu, anak isteri masih mengharap kepulangan insan tercinta, nun berada di Kamunting sana. Debaran anak-anak menunggu raya kian memuncak, mengharapkan belaian dan pelukan abah di pagi mulia, tetapi dari sehari ke sehari, harapan itu kian tipis, bertukar hampa.

Tergenanglah air mata, tatkala tabir bergema 'Allahhu Akhbar, Allahhu Akbar, Allahhu Akbar walillah ilhamd'. Si ibu pasti kehilangan punca, sukar mengawal perasaan dan keadaan. Maka berpeluk-pelukanlah anak beranak itu, "apakan daya, musnah segala harapan."

Namun khutbah Jumaat dan ceramah sebelum Jumaat di Masjid Jamek pada tengah hari itu, bagaikan siraman air dingin, menyirami hati-hati lara dan mengetuk pintu hati insan yang bersimpati. Perbanyakkan doa terutama pada 10 hari terakhir Ramadan, Yang Maha Kuasa tidak menghampakannya. Doa insan dizalimi amat mustajab, tiada hijab untuk dimakbulkan Rabbul Jalil.

Pada akhir perhimpunan anjuran GMI itu, alangkah sejuk hati melihat seorang anak muda, bersih mukanya, tiba-tiba muncul di depan perhimpunan, mengetuai bacaan doa; doa daripada orang dizalimi, doa untuk sejahteraan seluruh rakyat agar bebas daripada belenggu dan rantai besi ciptaan manusia.

Jika iblis dan syaitan dibelenggu pada Ramadan mulia, rantai dan jeriji bikinan manusia makin kejap. Ramadankah, Syawalkah, mereka tidak kenal itu semua. Yang penting, aku sentiasa berada di takhta kuasa, di puncak singgahsana.

Tatkala bergegas ke Masjid Jamek untuk solat Jumaat, terdengar seseorang berkata: "Kalau undang-undang manusia pun orang berkuasa tidak takut dan patuhi, apatah lagi undang-undang Tuhan."

Demikianlah betapa manusia begitu zalim pada diri sendiri. Sesudah zalim pada diri sendiri, mereka menzalimi orang lain pula.

Mereka mengurung, memenjarakan sesama insan tanpa ada niat menghadapkan tertuduh ke muka pengadilan.

"Pak Lah dan isteri berhari raya; tahanan ISA dan keluarga terus derita." (Pak Lah and wife celebrate Hari Raya; ISA detainees and families suffer).

Demikian dua perbandingan ketara; tetapi hidup bukankah bagai roda? Detik ini kita gembira tak terkata, sesaat kemudian kita duka nestapa. Kubur di sana terngangga, menunggu kita.

Jika gembira dan tawa itu milik manusia, di manakah kini orang-orang ternama seperti Firaun, Hamman, Julius Ceaser? Atau untuk lebih dekat di mata, di mana kini Saddam Hussein yang sentiasa tertawa dalam portret keluarga? Atau Suharto? Atau George W Bush laknatullah pembakar tamadun Iraq yang hampir menyamai watak Nero, si maharaja gila yang membakar kota Rom?

Tuesday, May 25, 2010

Judi: Pemerintah, rakyat sama-sama bertanggungjawab

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Ayat 90–91 surah al-Maidah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (90) Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?(91)
***

Bersyukur ke hadrat Ilahi, kita dipanjangkan usia dan pada kesempatan terbatas ini dapat memuzakarahkan perkembangan semasa iaitu pemberian lesen judi oleh pemerintah.

Tokoh pemikir Islam, Sayyid Abul Ala Maududi dalam membicarakan asas-asas pemerintahan Islam, berkata tidak ada sistem pemerintahan pun yang akan berjaya jika pemimpinnya tidak mempunyai akhlak yang tinggi dan masyarakatnya tidak bertakwa dan amanah.

Beliau menekankan akan kedua-dua aspek iaitu pemerintah dan rakyat, jadi dalam isu membabitkan pemerintah yang meluluskan lesen judi, adalah penting kita merujuk kepada pemimpin dan orang dipimpinnya.

Maududi berkata kegagalan akan terus berpanjangan walaupun sistem pemerintahan itu mempunyai perundangan yang baik dan pada zahirnya kelihatan hebat dan berkaliber.

Itulah sebabnya, setelah mengajak supaya beriman kepada ajaran Islam dan seterusnya mengembangkannya, Rasulullah s.a.w. sangat menekankan persoalan ketakwaan dan akhlak yang mulia.

Asas yang penting di dalam sistem yang ditegakkan oleh baginda ialah menganjurkan akhlak masyarakat supaya menepati akan kehendak dan ajaran sistem tersebut.

Keadaan ini tidak memerlukan penggunaan kuasa kekerasan untuk manusia tunduk dan patuh kepada undang-undang tersebut.

Cukuplah apabila dikatakan di sini bahawa semua telah diperintahkan oleh Allah, maka terpulanglah kepada masyarakat untuk mematuhinya.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. tidak ada pasukan polis dan tidak terdapat penjara. Tidak terfikir langsung akan keadaan di mana masyarakat menerima arahan daripada Rasulullah s.a.w. tetapi tidak mematuhinya.

Maududi menekankan akan pemimpin dan rakyat yang baik. Di negara kita yang mengamalkan demokrasi ini, pemimpin dipilih rakyat melalui pilihan raya. Jadi dalam isu pemimpin meluluskan lesen judi, rakyat turut mempunyai sahamnya. Ini kerana mereka memilih pemimpin berkenaan. Tangan merekalah memangkah pada kertas undi, menaikkan pemimpin dan kerajaan berkenaan.

Berdasarkan situasi ini rakyat dan pemimpin sama-sama bertanggungjawab. Jika berdosa, kedua-duanya berdosa kerana Allah SWT sudah memberi amaran mengenai bahana judi ini seperti firman-Nya menerusi ayat 90–91 surah al-Maidah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. (90) Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?(91)

Maududi menjelaskan perkara pertama dilakukan Rasulullah s.a.w. adalah mengajak manusia untuk percaya dan beriman ialah, kerajaan dan negara itu hanyalah kepunyaan Allah. Hanya Allah yang berkuasa untuk memerintah dan tiada siapa berhak untuk membuat undang-undang melainkan Dia. Berhubung judi dan arak ini, Allah SWT telah mengharamkannya, jadi apakah hak dan kuasa mana-mana kerajaan untuk menghalalkannya apatah lagi memberi lesen operasinya.

Masalahnya di Malaysia, rakyat sudah memberi mandat kepada kerajaan sedia ada melalui pilihan raya lalu dan kesempatan ini digunakan pemerintah melakukan perkara jijik itu. Rakyat bersalah besar dalam perkara ini, tetapi ramai tidak menyedarinya.

Kesedaran perlu diperhebatkan di kalangan rakyat agar mereka tidak tersilap lagi memilih pemerintah pro-judi ini. Rasulullah s.a.w. dipilih oleh Allah agar dapat mendidik dan mentarbiyah manusia dengan tarbiyah Rabbani, menukar pemikiran dan peribadi manusia dan kini tanggungjawab itu berpindah ke tangan pewaris Baginda iaitu ulama dan pejuang Islam. Apabila rakyat kembali kepada Islam, insya-Allah kerajaan pro-judi dan arak akan berkubur!

Monday, May 24, 2010

Aku sebuah surau

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Janganlah kamu membuat kerosakan di muka muka bumi', mereka menjawab: 'Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang membuat kebaikan'. Ketahuilah bahawa sesungguhnya mereka itulah orang yang sebenar-benarnya membuat kerosakan tetapi mereka tidak menyedarinya." (Al-Baqarah (2):11-12)
***

Dulu aku sebuah surau lama. Sebahagian besar daripada tubuh badanku diperbuat daripada kayu. Ini termasuklah bahagian dinding dan lantai. Yang berbatu hanyalah kolah, tempat wuduk dan batu-batu tapak bangunan.

Disebabkan masjid tidak jauh dari tempatku, aku hanya digunakan dua atau tiga kali seminggu. Yang pertama adalah adalah untuk solat maghrib pada malam Jumaat. Selepas itu diadakan bacaan Yasin beramai-ramai dan solat isyak berjemaah.

Selepas itu aku kembali sepi sehinggalah malam Isnin. Pada malam ini diadakan solat maghrib berjemaah, diikuti pengajian agama oleh seorang ustaz tajaan kerajaan dan diakhiri dengan solat isyak berjemaah.

Aku kembali kesepian, menunggu sehingga petang Rabu di mana diadakan kelas pengajian untuk golongan wanita. Kelas ini pula bukan selalu diadakan.

Hidup aku benar-benar sepi sehinggalah kira-kira dua tahun lalu apabila ada jemaah muda mengesyorkan diadakan solat jemaah setiap waktu.

Idea ini diterima, maka aku benar-benar bersyukur kerana dimanfaatkan sepanjang waktu. Subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak, ada saja orang solat berjemaah di tubuhku.

Selain itu, aku benar-benar dimanfaatkan pada bulan Ramadan. Jemaah yang bertarawih bukan saja memenuhi bahagian utama tetapi juga ruang tambahan di bahagian bawah, termasuk dekat kolah wuduk. Bersyukur aku kerana dimakmurkan ketika itu.

Bagaimanapun sebelum Ramadan musim lalu, aku terdengar berita amat mengejut dan menakutkan.

Kerajaan dengan sokongan JKKK mahu meroboh dan menggantikan badan aku dengan yang baru. Sudah tentu ada yang menyokong dan membangkang. Aku menggigil mendengar perkhabaran itu.

Akhirnya aku dirobohkan juga sebelum Ramadan. Pada bulan mulia itu aku menjadi terlalu sepi. Tiada jemaah mampu beribadat di tubuhku kerana aku sudah tersungkur ke bumi.

Mac lalu aku sudah berwajah baru. Cantik dan mewan dengan bumbung tiga tingkat. Lantaiku dipasang 'tile' (jubin). Juga ada tandas dan tempat wuduk baru.

Aku kembali meriah. Setiap solat waktu ada jemaah memakmurkanku. Sebelum masuk waktu, ada petugas memasang pita (tape) mengaji, maka bergemalah suara memuji kebesaran Ilahi di seluruh pelosok kampung.

Yang paling tidak dapat dilupakan, petugas memasang 'tape' dengan suara lantang jam 5.30 pagi sebelum subuh. Ini dapat dijadikan panduan bangun solat dan bagi ibu bapa yang ada anak bersekolah, 'time' urus anak.

Setidak-tidaknya mereka boleh bangun awal bagi menyediakan sarapan untuk anak-anak.

Kemudian, lembaga pentadbiran surau mengadakan pungutan suara bagi memilih AJK baru bagi tempoh dua tahun lagi. Sebahagian besar ahli lama dikekalkan. Aku menyaksikan sendiri jemaah mengangkat tangan menyatakan sokongan kepada calon pilihan mereka yang terdiri daripada 'kaki surau' sendiri.

Dua bulan kemudian, keluarlah surat pekeliling bertajuk 'Garis Panduan Pelantikan AJK Masjid/Madrasah Negeri.

Dalam surat ini disebut penaung masjid adalah Pegawai Kemajuan Negeri, Pegawai Daerah dan Pegawai Jabatan Agama Islam manakala bagi madrasah/surau, penaungnya adalah Pegawai Penyelaras Masjid/Madrasah Daerah.

Dinyatakan pelantikan AJK masjid dibuat oleh Pengerusi JKKK manakala pelantikan AJK surau/madrasah dibuat oleh Pengerusi Lembaga Masjid dan disahkan oleh Pengerusi JKKK.

Cadangan pelantikan berkenaan perlu disahkan oleh Adun kawasan dan jika Adunnya bukan Islam, maka pengesahan dibuat oleh ketua kerajaan negeri.

Pekeliling itu juga menyatakan JKKK dikehendaki mengadakan mesyuarat bersama dengan AJK Lembaga Masjid bagi membincangkan pencalonan jawatankuasa baru.

Dengan keluarnya surat pekeliling itu, pemilihan AJK yang dibuat di surau (di atas tubuhku) Jun lalu dikatakan tidak sah. Ini kerana calon AJK-nya bukan dikemukakan oleh Pengerusi JKKK.

Sebuah jawatankuasa baru kemudian dilantik oleh JKKK bagi mengambil alih tugas AJK lama. Aku tidak tahu di mana lantikan itu dibuat. Yang dapat aku sahkan, ia tidak dibuat di atas tubuhku. Ringkasnya pelantikan itu bukan dibuat di surau dengan cadangan dan sokongan jemaah surau.

Dengan adanya AJK baru ini, AJK lama menarik diri. Bukan apa, mereka bukanlah kaki kacau. Mereka hanya mahu beribadat di atas tubuhku. Lagi pun AJK baru sudah dilantik, buat apa mereka menyibuk lagi.

Pada malam 31 Ogos lalu tercatatlah sejarah yang tidak mungkin aku lupakan sepanjang hayatku. Selepas seharian rakyat negara ini berpesta menyambut hari kemerdekaan, pada malamnya, aku pula 'merdeka' daripada AJK lama berpindah ke tangan AJK baru.

Anak kunci pun diserahkan kepada peneraju baru. Selain itu akaun bank juga bertukar tangan. Aku dengar ada ribuan ringgit dalam akaun itu.

Sekalipun sudah bertukar tangan, aku teragak-agak untuk menjerit "merdeka! merdeka! merdeka!" seperti yang biasa dibuat kanak-kanak.

Aku ragu-ragu mengenai statusku kini. Bersabarlah, aku cuba memujuk diriku. Adakah aku akan terus dimakmurkan ataupun harap saja cantik tapi tak berfaedah macam bunga tahi ayam?

Subuh esoknya, tiada orang azan di tubuhku. Tiada solat subuh didirikan. Aku terus memujuk hatiku untuk bersabar. "Mungkin mereka tertidur, penat sambut merdeka," bisik hatiku.

Tengah harinya kesabaranku semakin diuji. Tiada kedengaran azan dan tiada orang solat di tubuhku. Aku terus dilanda kesepian yang teramat sangat.
Waktu senja barulah seorang dua jemaah sampai. Kemeriahan sudah hilang sekalipun didirikan solat maghrib dan isyak berjemaah.

Selepas isyak, aku kembali sepi. Alangkah panjangnya waktu untuk menunggu subuh. Malangnya pada keesokan harinya (subuh) tiada juga orang pedulikan diriku. Demikian juga pada waktu zuhur dan asar.

Kini aku sedar aku hanya digunakan pada dua waktu saja - maghrib dan isyak. Satu hari dua kali saja aku digunakan sedangkan dulu lima.

Aku tak tahulah hukum apa yang mereka pakai. Tetapi kini tahulah aku siapa yang guna masjid dan surau untuk pecah-belahkan masyarakat.

Sunday, May 23, 2010

Manfaatkan teknologi maklumat dalam berdakwah

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan dari sebahagian malam bertahajudlah kamu sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu menempatkanmu di tempat yang terpuji." (Al-Isra': 79)
***

TERTARIK benar penulis dengan penjelasan seorang tok guru dalam tazkirah di sebuah masjid berhampiran rumah penulis baru-baru ini bahawa dalam perkembangan teknologi komunikasi sekarang ini lebih mudah untuk seseorang mendekatkan dirinya dengan Penciptanya, Allah SWT.

Katanya, dalam telefon selular boleh dimasukkan cip bacaan al-Quran sebanyak 30 juzuk, jadi bolehlah seseorang itu menghayati bacaan al-Quran sepanjang masa dan di mana saja dia berada. “Tetapi janganlah dibuka dalam tandas,” beritahu tok guru.

Katanya, pada zaman serba canggih ini semakin mudahlah seseorang itu mendekatkan dirinya dengan Allah, namun keberkesanannya bergantung kepada individu juga; jika teknologi hebat dia hanya berminat untuk mendengar lagu-lagu penyanyi kesukaannya, maka gagallah dia mendekatkan dirinya dengan Allah.

Tok Guru berkata; “dah tua-tua ni janganlah terlalu berminat dengan suara Siti Nurhaliza lagi, bertaubatlah, gunakanlah kemudahan moden itu untuk mendekatkan diri dengan Allah. Hayatilah bacaan al-Quran, ketenangan akan kita perolehi.”

Bercakap mengenai penggunaan teknologi komunikasi dalam dakwah, berdasarkan pengalaman penulis mengikuti tazkirah dan kelas pengajian di masjid berbanding kursus umrah yang dianjurkan syarikat swasta, ternyata yang kedua ini selalunya menggunakan pendekatan multimedia mendatangkan kesan lebih mendalam kepada hadirin.

Pada kebanyakan kelas pengajian di masjid yang biasanya diadakan antara solat maghrib dan isyak, komunikasi adalah sehala, ustaz saja yang bercakap sedangkan jemaah mendengar saja. Jarang benar ustaz bersedia membuka soalan kepada jemaah.

Apabila berlaku komunikasi sehala, penulis perhatikan ada jemaah tersenguk-senguk, menandakan mereka tertidur tetapi pada persembahan multimedia ketika kursus umrah penulis mendapati hadirin begitu tertarik dan bersemangat sekali.

Teknologi komunikasi berkembang pesat, jadi tidakkah teringin pemimpin masjid meningkatkan kaedah penyampaian termasuk tazkirah dengan menggunakan alat bantuan multimedia seperti slaid Powerpoint dan skrin gergasi?

Berhubung perkara ini, Abdul Halim Ismail dalam majalah Risalah, Bilangan 4 (April 1992) antara lain menulis: “Dengan meningkatnya teknologi komunikasi canggih bermakna meningkatlah darjah persaingan antara pelbagai kelompok, badan dan pertubuhan serta organisasi-organisasi untuk memenangi hati massa.

“Kini badan perniagaan dan korporat, parti politik, agensi pelancongan, badan budaya dan pengusaha industri hiburan terlibat dalam perang maklumat (infowar) yang sengit sekali. Dalam kebisingan dan hiruk pikuk seperti ini, mesej agama selalunya menjadi terpencil dan tidak didengari. Apatah lagi kalau badan-badan dakwah dan gerakan Islam memilih untuk menarik diri daripada perlumbaan yang hebat ini, pastilah suara dakwah menjadi bertambah perlahan.

“Kita yakin bahawa mesej Illahi adalah perutusan unggul yang harus ditebar seluas-luasnya. Allah sendiri menegaskan, “siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang mengajak kepada Allah? (terjemahan al-Quran, surah Fussilat 41:33). Namun tanpa ikut serta dalam ‘technological leap’ yang pantas kini, dakwah akan hanya mampu menguasai ‘market share’ yang kecil sahaja seperti yang disebut dalam American Demographics, ‘God may not be dead, but the mass market is’.

“Walaupun survival gerakan Islam tidak banyak bergantung kepada teknologi maklumat komunikasi, tanpa impak daripada operasi dakwahnya yang merupakan raison d’etre kehadirannya bergantung besar kepada kaedah dan media yang dimanfaatkan.”

Berdasarkan pengamatan penulis, jemaah yang mengikuti kelas pengajian di masjid pada setiap kali adalah orang yang sama. Mereka mungkin terdiri daripada 20 orang daripada seluruh penduduk kariah atau kampung seramai 2,000 atau 3,000 orang.

Jika orang dewasa di kampung itu ada 2,000 orang, kehadiran hanya 20 orang menunjukkan betapa gagalnya pentadbiran masjid dalam mendidik orang Islam. Tentunya masjid gagal diimarahkan kerana dengan tidak hadirnya 1,980 daripada 2,000 penduduk lelaki dewasa atau lebih 99 peratus penduduk kampung bermaksud mesej Islam gagal disampaikan secara berkesan.

Jadi bagaimana mahu berkomunikasi dengan lebih 99 peratus penduduk itu? Tentunya kaedah tradisional di mana ustaz duduk menghadap 20 ‘murid tua’ itu perlu diperkemaskan agar seruannya dapat didengar dan dimanfaatkan oleh seluruh penduduk kampung.

Sebuah masjid di ibu kota (Masjid Sayidina Abu Bakar As-Siddiq di Bangsar) telah memulakan alat bantuan multimedia pada khutbah Jumaatnya. Dua skrin gergasi yang setiap satu bernilai RM6,000 diletakkan di sebelah mimbar, dan apabila khatib berkhutbah, persembahan slaid mengiringi isi khutbah, sekali gus menaikkan minat jemaah yang biasanya terkulai layu pada tengah hari yang panas itu.

Di beberapa masjid lain di Wilayah Persekutuan sudah ada persembahan Powerpoint bagi mengiringi khutbah Jumaat. Semuanya dilakukan dengan harapan jemaah akan lebih memahami sesuatu isu itu di samping mengelakkan mereka daripada terlena.

Alangkah baiknya, alat bantuan ini juga digunakan ketika diadakan tazkirah dan kelas pengajian di masjid. Pengurusan masjid juga boleh memikirkan bagaimana tazkirah itu dapat dipanjangkan kepada ratusan atau ribuan penduduk kariah yang tidak hadir berbanding dengan 20 jemaah tetap masjid.

Berdakwah kepada 20 ahli tetap masjid ini amatlah baik tetapi alangkah besar manfaat dan ganjarannya jika ribuan penduduk kampung dapat disampaikan ilmu dan maklumat. Memang betul, anak murid perlu mencari guru tetapi alangkah beruntung jika kita dapat memanfaatkan teknologi komunikasi yang kini berada di depan mata untuk menyeru seluruh penduduk ke arah kebaikan.

Bayangkan apa yang dapat dilakukan sekiranya organisasi dakwah mempunyai ‘linkage’ rangkaian telekomunikasi dengan setiap rumah dengan data dan maklumat yang sedia dimanfaatkan oleh semua pihak.

Ya, apa kata kita wujudkan telekomunikasi antara masjid dengan rumah penduduk dalam sesebuah kariah itu. Dengan itu apa saja sesi tazkirah di masjid boleh diikuti di rumah, tetapi harap-harap ia tidak disalahgunakan oleh penduduk lelaki dewasa untuk tidak hadir ke masjid.

Mungkin orang lelaki akan berterusan dipujuk ke masjid tetapi dengan wujudnya hubungan telekomunikasi masjid-rumah itu boleh dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan perempuan terutama suri rumah yang terlalu sibuk dengan anak-anak dan urusan rumahtangga.

Saturday, May 22, 2010

The struggle for minimum monthly wages

***
In the name of God, Most Merciful, Most Compassionate; peace and blessing be upon Prophet Muhammad s.a.w.

Reflection
"With power and skill did We construct the Firmament:
For it is We Who create the Vastness of Space..." (Zariyat 51:47)
***

"CURRENTLY, security guards in the Klang Valley are earning a basic salary of RM450 a month while those in rural areas are getting RM250 a month.” I was shocked when I read this paragraph from a news story entitled ‘July 1 pay hike for security guards stays’ in New Straits Times dated 28th April 2010.

A posting in RakanBH in Berita Harian on 6th May too voiced concerned about the fate of security guards. It notes: “Macam mana warga tempatan nak jadi pengawal keselamatan kalau gaji asas yang ditawarkan cuma RM150 hingga RM200, tetapi kerja berisiko tinggi. (MOSYAR:BHA 29094)/ How could locals want to be security guards if the basic payment is only RM150 to RM200, but the job is highly risk.

I could not imagine a person being paid about RM200 a month in this prosperous and bountiful country while its leaders keep on speaking proudly and vocally about the high living standards of Malaysian. And I could not make up how the poor chap could coped; living with that meagre income.

A monthly income of RM200 means the worker could only spend less than RM7 a day. If the guard is a bachelor, he or she could feed on plain rice with salty fish or instant noodles regularly but what about those who have families? How do they fulfil the needs of their children for example buying milk powder or for the school going ones; their school fees, exercise books, transport fares and pocket money?

Now, after more than 50 years of independence, Human Resources Minister, Dato’ S Subramaniam announced that the RM1,100 minimum wage for security guards will be implemented July 1 despite objections by security companies.

With that move, some 150,000 security guards in the country would enjoy a pay hike of between 67 to 75 percent. One security guard who was assigned to look after Harakah’s office told the writer he was happy with the move and hope his RM600 plus salary would move into a four digit figure as soon as possible.

Not only guards were paid very low. During the by-election in Hulu Selangor recently, journalists accompanied candidates visiting labourers, rubber tappers and settlers in estates and Felda land schemes, were shock to learn that some of were paid less than RM300 per month.

Workers in estates in Hulu Selangor were said to earn RM350-RM500 per month while Felda settlers had a monthly income of about RM700 and during good seasons, they manage to earn RM1,200 per month.

According to officials of a Felda settlers association, the RM1,200 per month income would normally be for three months; other than that, settlers had hard times earning more than RM1,000.

Although many workers are earning a meagre earnings resulting difficulties in life, the government recently rejected Malaysian Trade Union Congress (MTUC)’s proposal for the RM900 minimum monthly wages.

“Without a national minimum wage thousands of workers are paid wages below RM450 with such wage workers will remain poor forever. With such low wages, will the Prime Minister’s aim to achieve high income economy ever materialize?” said a MTUC pamphlet distributed recently.

Regarding the rights of a labourer or a worker in Islam, a scholar Dr Muhammad Sharif Chaudhry in his article ‘Fundamentals of Islamic Economy System’ among other writes: “Rights of a labourer and a worker include: that a labourer should be treated as a human being and not as a beast of burden; that dignity and respect should be attached to labour and work; that reasonable wages should be fixed at the time of employment, and that wages should be promptly paid. All these rights were given by Islam to the labour some fourteen hundred years ago when there was no concept of such rights, there were no labour unions, there were no charters of demand, there was no labour movement and there was no concept of collective bargaining.

Besides ensuring humane treatment and dignity and respect to labour, Islam provided for fixation and prompt payment of wages. The following measures were recommended by Prophet Muhammad (pbuh) in this respect:-

* The employers are required to fix the wages before the workers are employed. It was declared unlawful to employ any labourer at work without fixing his wages. It is reported by Abu Saeed Khudri that the Holy Prophet had forbidden employing any labourer or worker without first fixing his wages.

* Following traditions of the Prophet enjoin the believers to pay the wages without any delay:-

Abu Hurairah reported that the Messenger of Allah said: The Almighty Allah said: There will be three persons whose opponent I shall become on the Resurrection Day: A man who gave in My name and then broke trust, and a man who sold a free man and enjoyed his price, and a man who engaged a labourer and enjoyed full labour from him but did not pay him his wages. – Bukhari

Abdullah bin Umar reported that the Messenger of Allah said: Pay the labourer his wages before his sweat dries up. - Ibn Majah

While the Malaysian government is very reluctant about the minimum wage, several countries had it done. For example Pakistan implemented it during Labour Day on 1st May.

Pakistan Daily News reported from Islamabad that Prime Minister Syed Yousuf Raza Gilani on Labour Day announced a minimum Rs7000 salary for labourers and a policy that aims at transforming the lives of working class for a better future.

He said the Cabinet approved the Labour Policy 2010 that was reflective of the vision of Shaheed Mohtarma Benazir Bhutto and was an attempt to implement it practically. He said the policy would benefit around 50 million labours who were playing a key role in the progress and development of the country.

Gilani quoted a hadith of Holy Prophet (Peace be upon Him) to pay a labour his wages before sweat dries and said it was the endeavour of his government to follow it in letter and spirit.

Other than the minimum wage, MTUC in its pamphlet also stress this important message to all working families

* Your job no longer permanent

Human Resources Minister, Datuk Dr S Subramaniam has given the green light to make drastic changes to the three major labour legislations.

The proposed changes to the Employment Act 1955, Industrial Relations Act 1967 and the Trade Union Act 1959 are seen as the worst in 40 years. The amendments, when passed, would completely remove security of tenure for thousands of workers in the country.


* Dismissal cannot be challenged

The amendment drawn up at the behest of multinational corporations and potential investors is deliberately designed to empower employers to employ workers on fixed term contract for as long as they please.

Even workers who have ten years service on a contract basis will have no right to seek redress in the event of termination. This is a drastic change from the current law and practice which accords the right of all workers, irrespective of their salary levels and length of service, including probationers and those employed on a contact basis to challenge their dismissals.

Important precedents set by our courts to safeguard workers rights will no longer be applicable. Even workers rights guaranteed under the Federal Constitution are ignored.

* Removal of safeguards: No more Sunday rest day with your family

The amendments, when passed, will remove most of the safeguards existing over 60 years. Employers would be permitted to impose unreasonable working hours, change weekly rest day as the please.

* Women can be forced to work at night

New laws would remove the supervisory role of the Labour Department to impose conditions on employers who require women workers to work at night.

Friday, May 21, 2010

Projek sana projek sini, yang susah rakyat

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan di dalam harta benda mereka ada hak untuk yang meminta dan orang yang tidak memperolehi belanja hidupnya." - Surah At-Taubah: 103)
***

SUDAH sebulan (sejak 12 April) hentian bas sementara di Padang Letak Kereta F, Kompleks Sukan Bukit Jalil beroperasi. Sebagai pengguna harian pengangkutan awam (bas dan kereta api aliran ringan LRT), penulis berpuas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan disediakan, tetapi berpendapat banyak aspek perlu diperbaiki.

Kos pengangkutan penulis bertambah berbanding sewaktu Hentian Puduraya beroperasi dulu. Misalnya jika menaiki LRT dari Stesen Bukit Jalil ke pejabat penulis berhampiran Stesen Titiwangsa, tambangnya RM1.90 sedangkan dulu (antara stesen Plaza Rakyat dan Titiwangsa) tambangnya RM1.20. Dalam sehari penambahannya adalah 70 sen x 2 (pergi balik) menjadikannya RM1.40 dan dikalikan dengan 30 hari menjadi RM42 sebulan.

Sementara itu jika menaiki bas RapidKL ke Hentian Puduraya tambangnya RM2, pergi balik sudah RM4 dan jika dikalikan dengan 30 hari, kosnya RM120. Penambahan ini belum membabitkan kos perjalanan dari Hentian Puduraya ke pejabat, jadi semakin meningkatkan kos pengangkutan orang awam.

Hentian Puduraya ditutup selama empat bulan saja bagi kerja-kerja menaik taraf dan penambahbaikan yang membabitkan kos puluhan juta ringgit. Ini bermakna menjelang Aidilfitri nanti (pada September), Puduraya akan kembali beroperasi.

Ketika Hentian Puduraya diubah suai, sebuah projek pengangkutan awam gergasi, Terminal Pengangkutan Bersepadu Selatan (ITT) kini disiapkan di atas tanah seluas 19.8 hektar di Bandar Tasik Selatan. Ketika LRT yang dinaiki penulis melewati Stesen Bandar Tasik Selatan, penulis dapat melihat bangunan bertingkat-tingkat bernilai RM570 juta itu hampir siap.

Mengikut perancangan, semua perkhidmatan pengangkutan awam dari dan ke selatan pusat bandar raya Kuala Lumpur akan bertumpu di ITT ini. Pengangkutan awam ini termasuklah ratusan bas ekspres yang menuju atau keluar dari Kuala Lumpur. Terminal baru ini dikatakan begitu strategik kerana ia adalah pusat pertemuan tiga laluan perkhidmatan kereta api iaitu Express Rail Link (ERL), Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan RapidKL yang menjalankan perkhidmatan laluan Sri Petaling/Ampang-Sentul Timur.

ITT Selatan yang dikatakan serba canggih ini akan mempunyai 100 petak menunggu, 21 petak berlepas, 18 petak ketibaan dengan keupayaan mengendalikan kemasukan 130 bas dalam tempoh sejam.

Kontraktor yang memajukan projek gergasi ini, Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd, menyatakan berdasarkan kemajuan projek setakat ini, ITT Selatan ini boleh beroperasi seawal-awalnya Ogos ini. Bagaimanapun, menurut sumber, terminal itu akan dirasmikan pembukaannya November nanti.

Sementara itu kerajaan juga akan membina ITT Timur di Gombak bagi kegunaan pengangkutan awam ke timur mulai Jun ini manakala ITT Utara pula akan dibina di Sungai Buloh. Pendeknya pelbagai projek akan dibina bagi kemudahan dan kelesaan pengguna pengangkutan awam.

Namun satu persoalan besar membabitkan terminal pengangkutan awam ini, mengapa ‘projek sana, projek sini’, dilakukan sedangkan nampak jelas berlaku pertindihan yang merugikan wang rakyat. Misalnya pengubahan Hentian Puduraya sudah menelan kos puluhan juta sedangkan pada masa yang sama ITT Selatan di Bandar Tasik Selatan yang bernilai ratusan juta ringgit sedang disiapkan. Dalam tempoh beberapa bulan lagi ini, pengangkutan awam seperti bas ekspres dari selatan akan kembali bertumpu di Hentian Pudurayakah atau di ITT Selatan?

Demikianlah senario ‘projek sana projek sini’ ini tidak menguntungkan rakyat kebanyakan termasuk pengguna pengangkutan awam seperti penulis. Ini kerana kos pengangkutan (tambang) penulis meningkat dengan mendadak akibat ‘kerja-kerja gila’ ini. Yang untung siapa?

Pada 19 Mac lalu, apabila Hentian Puduraya dikhabarkan akan ditutup, sebuah stesen bas sementara telah disiapkan di Jalan Galloway. Tapak yang terletak berhampiran Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah itu akhirnya gagal dijadikan hentian sementara selepas dibantah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sendiri.

Hentian sementara itu dipindahkan ke kawasan letak kereta Kompleks Sukan Bukit Jalil sehinggalah sekarang. Perancangan lemah yang menguntungkan pihak tertentu ini menyebabkan pembaziran wang rakyat secara besar-besaran manakala pengguna pengangkutan awam dipermain-mainkan.

Persoalannya mengapa terminal bas sementera Jalan Galloway disiapkan tetapi akhirnya tidak jadi digunakan. Kini Hentian Puduraya sedang giat dinaik taraf tetapi pada masa yang sama ITT Selatan sudah siap untuk digunakan.

Sebagai pengguna pengangkutan awam, penulis tidak mengerti mengapa ‘projek sana projek sini’ berleluasa sedangkan beban yang terpaksa dipikul seperti kenaikan tambang amat memeritkan.

Penulis sedih kerana terpaksa mengeluarkan duit tambang yang lebih, tetapi diberitahu nasib peniaga di hentian sementara Bukit Jalil lagi malang. Gerai-gerai mereka diletakkan di bahagian hujung atau seberang jalan dari perhentian bas, akibatnya gerai mereka (termasuk penjual makanan) hampir tiada pelanggan. Boleh jadi pendapatan mereka ‘zero’ pada hari-hari tertentu!

Oleh itu, wahai pihak berkuasa, tolong leraikan derita rakyat biasa ini sejajar dengan slogan prihatin kamu, ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’. Buktikanlah!

Thursday, May 20, 2010

Dari kedai runcit ke menara gading kekangan dikenakan

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut, apabila dia ditimpa kesusahan, dia berkeluh kesah, dan apabila dia dia mendapat kebaikan, dia amat kedekut, kecuali orang-orang yang mendirikan solat." (Maksud Ayat 19-22 Al-Ma'arij)
***

SEBELUM pemecatan Anwar Ibrahim daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan kemudian Timbalan Presiden Umno pada tahun 1998, saya hanya menjadi pemerhati kepada perkembangan PAS dan akhbar terbitannya, Harakah.

Tidak pernah terlintas di hati untuk menyertai PAS apatah lagi berkhidmat di Harakah. Namun pengalaman bersama aktivis PAS bukan baru kerana ketika menuntut bagi ijazah pertama pun, pada awal tahun 1980-an, saya pernah ke majlis ceramah PAS. Ceramah itu berlangsung di bawah rimbunan pokok, selepas isyak, diterangi lampu 60 watt dengan hanya dihadiri segelintir orang.

Ketika bekerja di syarikat akhbar harian berbahasa Melayu yang sentiasa mendakwa 'akhbar nombor satu negara' mulai pertengahan 1980-an, Harakah hanya menjadi bahan rujukan bagi berita-berita PAS. Setiap keluaran Harakah diikat dalam satu fail besar dan diletakkan di perpustakaan. Ia menjadi rujukan wartawan. Apabila ada kes membabitkan PAS dan menjelang muktamar parti itu, fail Harakah dicari-cari.

Akhbar yang menjadi rujukan itu mungkin keluaran awal Harakah yang mula diterbitkan pada tahun 1987.

PAS dan Harakah tenggelam timbul dalam kehidupan saya sebagai seorang wartawan akhbar arus perdana sehinggalah munculnya gelombang berikutan pemecatan Anwar. Peristiwa ini membawa kepada 'hidupnya' ceramah PAS yang selama ini amat malap di negeri-negeri pantai barat Semenanjung.

Pada 1998 selepas meninggalkan akhbar berkenaan, saya mula berjinak-jinak dengan ceramah PAS yang mendapat sambutan. Ribuan orang membanjiri ceramah sama ada ia diadakan di padang terbuka atau laman rumah individu tertentu.

Penceramah seperti Ustaz Fadzil Nor, Mohamad Sabu dan Mahfuz Omar menarik minat ramai dan sentiasa dinanti-nanti kunjungan mereka tetapi bagi penyokong di negeri-negeri pantai barat, gadingan penceramah PAS dan DAP membuka lembaran baru dan mencelikkan mata pelbagai pihak.

Berikutan kemasukan tokoh seperti Dr Hasan Ali ke dalam PAS menambahkan kemeriahan dan minat saya untuk mengikuti ceramah yang kadang-kadang berlangsung hampir setiap malam di kawasan berhampiran.

Sekalipun ramai hadirin seronok mengunyah kacang rebus atau 'pekena' sup 'gear box' ketika ceramah, setidak-tidak ceramah menjadi pemangkin untuk mengubah pendirian dan sikap.

Masa menganggur memberi lebih banyak masa untuk saya muhasabah diri dan apabila melihat bapa dan ibu mentua serta ramai sanak saudara memberi sokongan tidak berbelah bagi pada PAS, saya pun akhirnya mendaftar sebagai ahli.

Alangkah menakjubkan masa itu kerana mentua dan saudara-mara menawarkan saya menaiki kenderaan mereka jika ceramah itu diadakan di tempat yang jauh. Saya fikir tentulahlah mereka akan menyebelahi saya jika berlaku pertelagahan dengan isteri kerana hampir setiap malam saya keluar rumah dan balik jam 1.00 atau 2.00 pagi.

Pada bulan Mei 1999, saya kembali menjadi pelajar di sebuah universiti tempatan bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana. Di sinilah saya perhatian betapa hebatnya Harakah dalam minda para pelajar. Daripada tesis pelajar sehinggalah teks khutbah Jumaat universiti, isi kandungan Harakah tidak jemu-jemu dibicarakan.

Selepas 'timbang punya timbang', saya juga memutuskan subjek Harakah sebagai kajian tesis saya. Untuk memulakan kerja tentulah saya perlu ke perpustakaan dan antara tugas utama ialah menyemak dan mengkaji tesis-tesis lama. Alangkah terkejut saya kerana banyak sungguh pelajar menjadikan Harakah sebagai bahan kajian.

Berpandukan rujukan berkenaan, tentulah tidak sukar bagi saya meneruskan projek tesis itu, demikian fikir saya. Tetapi sangkaan saya salah kerana dalam kelas-kelas perbincangan dengan pensyarah kemudiannya, ada yang memberikan 'pandangan aneh' apabila saya katakan kajian saya adalah mengenai Harakah.

Lama kemudian barulah saya faham dengan 'pandangan aneh' itu. Ketika itu satu 'arus pelik' melanda universiti-universiti tempatan dengan pelbagai arahan baru yang akhirnya membawa kepada penguatkuasaan Akujanji. Suara-suara lantang yang membicarakan isu keadilan, kemiskinan dan kebebasan bersuara melalui saat suram dan akhirnya terus hilang kerana 'pelajar tidak sedia menggadaikan masa depan' semata-mata kerana mahu menjadi idealis perjuangan.

Namum pada ketika kekangan dan cengkaman semakin menjerut, masih ada yang berani bersuara, misalnya, dalam pembentangan kertas kerja oleh seorang pelajar Komunikasi. Beliau mengemukakan apa yang didakwanya 'Teori Pembohongan Media'. Baginya media tidak boleh dipercayai, kebanyakannya penipu besar. 'Teori Pembohongan Media' itu memang tidak ada dalam buku rujukan, jadi tidak tahulah nasib pelajar itu selepas membentangkan kertas kerja berkenaan.

Pada bulan September 1999 saya memulakan tugas sebagai Pengarang Berita di Harakah walaupun jawatan yang saya pohon sebagai penyunting. Ketika itu saya masih bergelar mahasiswa. Sebagai pengelola bilik berita, saya menyedari Harakah juga dikunjungi pelajar universiti yang mahu melengkapkan tesis dan membuat kajian. Ini menunjukkan Harakah masih mendapat tempat di hati cendekiawan tetapi cengkaman pemerintah ke atasnya semakin menjadi-jadi.

Kemuncak daripada 'kemenangan besar' pembangkang pada pilihan raya November 1999, keluaran Harakah pada awal tahun 2000 dihadkan daripada dua keluaran setiap minggu kepada dwi bulanan. Selepas pelbagai siri tekanan dikenakan ke atas Harakah seperti dakwaan di bawah Akta Mesin Cetak ke atas pengarang dan pencetaknya, Harakah semakin panas tetapi ironinya jumlah edarannya semakin merosot.

Antara faktor yang menyumbang kemerosotan itu ialah kesukaran mendapatkan Harakah di pasaran. Jika pada kemuncak krisis Anwar dulu (1998/99), Harakah mudah diperolehi tetapi selepas pilihan raya umum 1999, selain premis jualan yang semakin berkurangan, pekedai yang sedia menjual Harakah pun melakukannya secara sorok-sorok.

Seorang pekedai runcit yang saya kenali menjual Harakah di bawah kaunter. Jika pembeli dikenali berhajat, barulah dia menjualnya. Seorang lagi pekedai yang berani mempamerkan Harakah bersama-sama akhbar lain, suatu hari mendapati kedainya dipalang (ditutup) oleh pihak berkuasa tempatan.

Terkejut besar pekedai itu, tetapi itulah risiko yang terpaksa dihadapi penjual Harakah.

Walaupun pelbagai kekekangan dikenakan daripada pekedai kepada cendekiawan di universiti, Harakah tetap tabah mengharungi liku-liku perjuangan Islam. Hari ini ketika di ambang memasuki dekad ketiga, Harakah memerlukan komitmen pejuang untuk bersama-sama membantu membangunkan Islam.

Wednesday, May 19, 2010

Kena ‘sembur’ gara-gara virus Melaka

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Hai anak Adam, pakailah pakaian yang indah pada setiap kali (memasuki) masjid." (Al-A'raf 31)

***
Kematian seorang guru di Hospital Melaka akibat selesema babi mengingatkan saya akan kisah yang saya tulis ini tidak lama dulu.

Suatu petang saya terlewat keluar daripada sebuah masjid di Kuala Lumpur selepas solat Jumaat. Ketika mengatur langkah ke tempat kerja, saya melewati sekumpulan pemimpin sebuah parti politik dan wartawan kanan akhbar sedang menikmati rojak dan cendol mamak yang berjualan menggunakan sebuahvan.

Saya mengangkat tangan, mereka membalasnya. Selepas bersalaman, mereka menyuruh saya duduk. Ingatkan mereka hendak belanja saya makan rojak atau minum cendol, tetapi sebaik saja saya duduk mereka ‘menyembur’ saya berkenaan isu virus Melaka.

Salah seorang daripadanya, seorang doktor perubatan, berkata apalah saya sebagai orang Melaka kepoh sangat dengan virus Melaka; terlalu tidak sukakan nama virus itu digandingkan dengan perkataan Melaka.

Saya menjawab bukan saya yang kecoh tetapi Ketua Menteri Melaka yang begitu sensitif sehingga mendesak Kementerian Kesihatan menukar nama virus itu. Malangnya sehingga kini nama virus Melaka itu belum ada gantinya.

Bagi pembaca yang belum faham isunya disiarkan keratan berita Bernama ini.

Virus kelawar lebih sesuai – Mohd Ali

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Rustam mencadangkan virus baru bawaan kelawar yang ditemui di negeri ini, virus Melaka ditukar virus kelawar kerana ia dibawa oleh mamalia berkenaan.

Tegas beliau, nama itu dianggap sesuai dan tidak perlu menggunakan nama tempat untuk menamakan virus berkenaan.

“Tak perlu lagi guna nama tempat di mana virus itu ditemui,” katanya yang mengulas kesediaan Kementerian Kesihatan mencari nama baru kepada virus Melaka setelah mendapat bantahan daripada beliau.

Virus Melaka yang dibawa oleh kelawar, ditemui di Bemban di Melaka, tidak lama dulu.

Virus baru yang menyebabkan penghidapnya mengalami demam panas yang tinggi,selesema dan sukar untuk menelan itu ditemui oleh sekumpulan ahli sains dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan yang diketuai seorang penyelidik, Dr Chua Kaw Bing.

Mohd Ali berkata, dengan menamakannya sebagai virus kelawar, masyarakat luar secara tidak langsung dapat mempelajari perkataan dalam bahasa Malaysia.

Doktor perubatan itu berkata penolakan nama virus Melaka adalah satu kerugian besar kepada kerajaan negeri dan rakyat Melaka kerana penemuan itu dan penggunaan nama Melaka adalah satu pengiktirafan besar dalam dunia perubatan.

Katanya, sewajarnya kerajaan negeri mengambil kesempatan daripada peristiwa bersejarah itu untuk menubuhkan sebuah institusi penyelidikan termasuk memajukan usaha ke arah merawat penghidap penyakit berkenaan.

Beliau berkata seseorang pemimpin perlu berjiwa besar dan tidak wajar membuat andaian nama virus Melaka itu akan menjejaskan sektor pelancongan.

Sebaliknya beliau percaya dengan adanya nama Melaka itu, ia akan membuatkan negeri berkenaan semakin terkenal seantero dunia, sekali gus menyemarakkan industri pelancongannya.

Akibat isu virus Melaka ini, Melaka semakin terkenal. Pencarian di Yahoo mencatatkan ribuan kemasukan (entry). Malah akhbar-akhbar besar dunia turut memaparkan isu ini selepas agensi berita antarabangsa seperti Reuters dan AFP menghebahkannya.

Dalam dunia perubatan kata doktor itu, menjadi kebiasaan untuk sesuatu penemuan dinamakan berdasarkan tempat ia ditemui. Misalnya penyakit untut – Brugia malayi – dinamai demikian kerana ditemui di Malaya (Tanah Melayu) manakala Brugia pahangi kerana ia dikesan di Pahang.

“Parasit Schistosoma japonicum pula dinamai demikian kerana dikesan di Jepun demikian juga JE (Japanese Encephalitis), manakala virus Nipah dikesan di Nipah,” kata doktor itu.

Mereka yang duduk beramai-ramai sambil makan rojak itu terus mengutuk saya. Kata mereka mengapa orang Melaka tidak berpandangan jauh, tidak mahu sesuatu yang kononnya buruk dikaitkan dengan nama negeri Melaka.

Selepas ini, jangan lagi pakai nama ‘buah melaka’, ‘gula melaka’, ‘cili melaka’ dan sebagainya, kata mereka terus menghentam saya.

Saya terdiam tetapi teringat pencarian saya di laman-laman web dan blog mengenai isu ini. Pendapat di sebuah blog menyatakan alangkah dangkalnya untuk mendesak Kementerian Kesihatan menamakan virus itu sebagai virus kelawar kerana jika nama itu digunakan, ia tidak spesifik.

Seseorang akan bertanya, kelawar jenis apa, kemudian kelawar dari mana, England ke, Jepun ke atau kelawar Brazil ke? Banyak lagi pertanyaan akan timbul, sekali gus menyusahkan pelbagai pihak terutama mereka yang terbabit dalam dunia perubatan dan penyelidikan.

Dalam Sisuahlai.blogspot.com/ ditulis: “The Malaccan Chief Minister wasn't too happy that the newly-discovered bat virus was to be named after the state. I didn't think it was too bad to call it Melaka Virus.

“But somehow the Malaccan CM thinks it would be an insult to name it Melaka...his reasoning was that Melaka is a "good state, beautiful and peaceful, not the birth place of diseases."

“Birth place of diseases? He…he… That's funny.

“But this is funnier. He claimed that the name was an insult to the state, but he went on to suggest that the Health Ministry should name it after the doctor or scientist who discovered it.

“Because that would be okay, as it would be an insult to a single person and NOT the whole state. Isn't that correct Mr Chief Minister?”

Seorang guru yang saya temui juga membidas sikap mudah melenting pemimpin yang tidak dapat menerima nama virus Melaka itu. Katanya, penamaan itu adalah satu penghormatan kepada usaha pakar perubatan dan penyelidik yang mengesan virus itu di negeri berkenaan.

Katanya, sebagai anak Melaka, dia bangga kerana penyelidik berusaha gigih dan hasilnya penyakit dan virus berkenaan dapat dikesan di negerinya. “Saya percaya dengan menggunakan nama virus Melaka, negeri Melaka akan lebih terkenal, sekali gus memajukan lagi industri pelancongannya,” katanya.

Guru itu berkata selain penyelidik dalam dunia perubatan yang menamakan sesuatu penemuan berdasarkan tempat ia ditemui, ramai cendekiawan menggunakan gelaran berdasarkan tempat asal mereka.

“Misalnya, pakar hadis Bukhari, nama sebenarnya adalah Abu Abdullah Muhammad bin Ismail bin Ibrahim bin Al-Mughirah Al-Jafai. Dia dikenali sebagai Imam Bukhari kerana berasal dari Bukhara,” katanya.

Tuesday, May 18, 2010

Asyik-asyik mat rempit, hukumlah sama datuk dangdut

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Rasulullah s.a.w. telah bersabda, bermaksud: "Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya maka mereka tidak boleh dilihat akan dia, melainkan mukanya dan dua tapak tangannya hingga pergelangan." (HR. Abu Daud)
***

KETIKA ini masyarakat begitu prihatin terhadap isu mat rempit sehingga polis mengesyorkan istilah itu ditukar kepada samseng jalanan dan mereka yang didapati bersalah dikenakan hukuman lebih keras termasuk penjara mandatori.

Apa dan siapa mat rempit? Ensiklopedia Wikipedia bahasa Melayu, menjelaskan mat rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan motor kapcai atau skuter.

“Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Minah rempit pula boleh jadi seorang pelumba perempuan, atau teman wanita mat rempit. Walaupun kebanyakan mat rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya. Dianggarkan di Malaysia terdapat 200,000 mat rempit.”

“Betul,” kata seorang ustaz dalam kelas pengajian mingguannya di masjid berhampiran kediaman penulis baru-baru ini, “masalah mat rempit perlu ditangani segera tetapi ia hanya salah satu bahana yang mengundang kemurkaan Allah SWT.”

Menurutnya, negara bukan saja digegarkan masalah mat rempit tetapi pelbagai gejala yang jika dibiarkan akan mengundang bahana daripada Allah SWT. Beliau mengingatkan jika Allah Taala menurunkan bala seperti tsunami di Aceh yang mengorbankan 200,000 penduduknya, semua orang termasuk yang baik-baik akan terbabit.

Kebanyakan mat rempit adalah golongan muda, tetapi bagaimana kes maksiat di kalangan orang tua boleh dibiarkan berleluasa, tanya ustaz. Beliau berkata sekarang ini pusat menjual minuman keras, tempat berjudi dan hiburan berkembang bagaikan cendawan selepas hujan.

Orang muda bermaksiat secara orang muda tetapi ramai juga orang tua yang hampir masuk kubur berfoya-foya, apa ceritanya? Ustaz mendedahkan sekarang ini banyak kelab dan pub dangdut; yang ramai pengunjungnya orang tua.

“Kubur kata mari, dunia kata pergi, tetapi golongan ini asyik dengan dangdut. Buruk benar kalau orang tua buat maksiat ini,” kata ustaz. Beliau berkata kenapa pihak berkuasa asyik sibuk dengan golongan muda tetapi tidak sibuk bertindak ke atas orang tua yang bermaksiat.

Selain berhibur di pub dan kelab dangdut ada orang tua yang gemar minum arak dan main ekor. Sekarang ini mudah betul membeli arak, di kedai serbaneka 24 jam pun ada manakala kedai empat nombor makin banyak. Orang berwajah Melayu, tua dan muda, tidak segan-segan membeli nombor ekor.

Kenapa maksiat semakin banyak? Orang pun tidak malu, malah tidak takut melakukannya. Macam mana maksiat tak berleluasa, kata ustaz, pusat-pusatnya semakin banyak manakala undang-undang pencegahan tidak ada, apatah lagi melaksanakan undang-undang Islam.

Ustaz bertanya kenapa pihak berkuasa begitu sibuk mahu menghukum mat rempit tetapi tidak peduli akan Datuk dan datuk berhati muda yang keluar masuk kelab dangdut, main ekor dan minum arak. Asyik-asyik mahu bertindak ke atas mat rempit, kenapa tidak hukum orang tua ganyut di pub dan kelab dangdut? Katanya, mereka ini perlu diambil tindakan, kalau berjudi dan minum arak hukumlah berdasarkan undang-undang Islam.

Ini tidak, tempat minum arak dan judi makin banyak. Jika dibiarkan apa akan jadi pada masyarakat dan negara? Ustaz bimbang suatu hari nanti negara akan dilanda bala seperti di Aceh. Katanya, marilah diajak orang-orang tua ini bertaubat, kalau tidak mahu; berserah pada Allah, semoga Allah SWT menyelamatkan orang beriman, orang yang tidak mahu terpulanglah kepada Allah. Nasib kaum Nabi Lut dan Nuh sewajarnya menjadi panduan, orang beriman terselamat manakala yang bermaksiat dihancurkan.

Selain itu, apa nak jadi dengan negara ini, tanya ustaz. Rasuah, zina, bunuh, rompak dan aneka jenayah lain menjadi-jadi. Ini menunjukkan negara semakin jauh daripada barakah, punca utamanya hukum-hakam Allah tidak dilaksanakan sebaliknya nafsu menjadi raja.

Sekarang ini bukan mat rempit saja tidak boleh diharap, datuk pun sama. Seorang rakan baru-baru ini memberitahu dia membaca berita seorang bilal masjid merogol seorang budak sekolah berusia lapan. Lelaki tua sekarang ini sudah menepati peribahasa ‘haruan makan anak’. Manusia tua dan muda, semakin tidak terkawal nafsu serakah syaitan mereka.

Ada sepuluh jenis manusia, yang memiliki sepuluh sifat tercela, sangat dibenci oleh Allah SWT, mereka termasuklah orang tua yang cinta harta dan orang tua yang berzina (bermaksiat).

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah membenci orang tua yang suka berzina, orang kaya yang berbuat zalim, orang fakir yang sombong, peminta-minta yang memaksa, dan Allah menghapus pahala orang yang memberi namun mengungkit-ungkit (pemberiannya). Allah juga membenci orang yang suka pamer dengan kekayaannya lagi pendusta!” (Mizan al-Hikmah hadis no. 1757, Bihar al-Anwar 72:145)

Kenapa orang tua semakin banyak berbuat maksiat? Sejajarnya dengan keterangan tadi, kini semakin ramai orang tua cintakan harta dan terbabit dalam perzinaan.

Orang politik, tokoh korporat dan pemimpin masyarakat kerap berbincang dan bercakap mengenai projek, wang dan kuasa. Tidak ada dalam kepala mereka melainkan menjadi lebih kaya, lebih berkuasa dan lebih masyhur. Oleh itu mereka peduli apa tentang halal haram. Pemimpin kini sanggup merampas kuasa, merasuah, hatta membunuh.

Apabila sudah banyak wang dan ada kuasa, ke mana ia hendak dihamburkan kalau tidak ke meja judi, arak dan perempuan. Kalau dalam negara takut orang tahu, lakukannya di luar negara. Kini bertambahlah orang tua yang cinta harta, pangkat dan kuasa yang sekali gus kerap bermaksiat.

Jika mat rempit mahu dipenjara; apakah hukuman tepat untuk si tua ini? Pokoknya janganlah mahu menghukum si mat rempit, hukumlah sama Datuk dan datuk yang bermaksiat di pub, kelab dangdut, meja judi dan todi, tidak kiralah mereka pemimpin, berkuasa, kaya raya atau ternama.

Monday, May 17, 2010

Judi: 'Tok Guru' wat Siam giat sesatkan Muslim

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"...dan (zikir) Alhamdulillah memenuhi (memberatkan) timbangan, dan (zikir) Subhanallah dan Alhamdulillah, kedua-duanya memenuhi ruang yang ada di langit dan bumi..." (Riwayat Imam Muslim)
***

BARU-BARU ini Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein, dengan selamba membentangkan di Parlimen cadangan kerajaan memberi lesen judi pertaruhan musim Bola Sepak Piala Dunia di Afrika Selatan pada Jun nanti.

Beliau memberitahu antara sebabnya pihaknya mahu membendung perjudian haram (tanpa lesen), di samping kegiatan perjudian yang disahkan itu nanti akan membawa kemasukan wang yang banyak dalam kantung kerajaan. Beliau merasionalkan bahawa “wang itu akan digunakan untuk pembangunan sukan.”

Kenyataan Awang Adek perihal kerajaan mahu membendung perjudian haram mengingatkan saya betapa meluaskan kegiatan perjudian sekarang ini. Ertinya orang tetap berjudi sama ada diberi lesen atau tidak, selama mereka kaki judi. Pengusahanya pula mana mengertai halal dan haram, tujuan mereka semata-mata mahu untung besar.

Jika Awang Adek dari negeri Kelantan yang bersempadankan dengan negara Siam (Thailand) berani mengemukakan hal bertentangan dengan agama itu (judi), apa kurangnya tokoh-tokoh yang tidak hebatnya dari sebuah lagi negeri bersempadanan dengan Siam iaitu Kedah.

Tokoh-tokoh yang penulis maksudkan adalah tok-tok guru wat Siam yang berani menghantar surat kepada orang ramai bagi memaklumkan betapa hebat dan tepat mereka meramalkan nombor ekor.

Sudah beberapa kali anggota keluarga penulis menerima surat yang lengkap bersetem ini daripada tok-tok guru berkenaan. Surat-surat dihantar posmen yang memasukkannya dalam peti surat keluarga. Antara surat yang diterima adalah;

* Risalah daripada WAT SUWANNARAM

Disertakan gambar beberapa gambar rahib Siam, paparan nombor ramalan yang menang dan testimoni berikut:

Saya Abdul Rashid berterima kasih kepada Tok Guru kerana telah menolong saya mengubah nasib saya. Sebelum mendapat pertolongan daripada Tok Guru, kehidupan saya sangat susah. Suatu hari, saya terima risalah daripada Tok Guru, saya rasa ada peluang membangunkan semula kehidupan saya, selepas itu saya pun hubungi Tok Guru dan saya ikut nasihat Tok Guru, akhirnya nombor ramalan yang diberi Tok Guru telah mengubah nasib saya.

Hubungi segera: 013-4379101. Alamat A10, Jalan Kodiang Batu 3¾ Kampung Putat, 06100 Kodiang, Kedah.

* Risalah daripada WAT NATAWEE

Disertakan gambar sami Siam dan testimoni berikut:

Nama saya Hafizudin dari Selangor. Saya ingin mengucap terima kasih kepada Tok Guru kerana telah menolong saya membangunkan semula perniagaan. Dulu kebakaran telah berlaku pada kedai saya. Lagi pun kedai saya tidak mendapat sebarang pampasan daripada syarikat insurans. Sejak itu saya menghadapi masalah kewangan. Pada masa itu saya terima risalah daripada Tok Guru. Masa itu saya tidak percaya kepada nasib nombor ramalan tetapi sudah tiada cara lain lagi. Saya pun hubungi Tok Guru untuk meminta nasihat. Akhirnya nombor ramalan yang diberi oleh Tok Guru telah mengubah nasib saya.

Sila hubungi: 017-5645925. Alamat No 33, Kampung Lubok Rambai, 06350 Naka, Kedah.

* Risalah daripada WAT PAILOM

Testimoni seorang lelaki tertulis: "Saya Mohd Syahir. Ribuan terima kasih kepada Tok Guru kerana telah menolong saya mengubah nasib saya, sebelum dapat pertolongan daripada Tok Guru, kehidupan saya sangat susah, suatu hari saya terima risalah daripada ‘master’, saya rasa ada peluang membangunkan semula kehidupan saya, selepas itu saya pun hubungi Tok Guru dan saya ikut nasihat Tok Guru, akhirnya nombor ramalan yang diberi oleh Tok Guru telah mengubah nasib saya."

Sila hubungi 012-4693323/ 019-4543885. Alamat: 13, Jalan Sri Awang, Batu 1/2, 06300 Padang Terap, Kedah.

Demikianlah, kaki judi mana ada kira yang berlesen atau tidak berlesen. Mereka akan tetap berjudi. Gian mereka tidak dapat ditahan oleh mana-mana pihak. Persoalannya, mengapa kaki judi dan tok-tok guru wat Siam ini mahu membabitkan orang ramai pula dengan menghantar surat-surat godaan kepada individu tertentu melalui pos?

Jika kegiatan kaki judi dan tok guru ini tidak dapat dibendung, bagaimana mahu membanteras perjudian pada pesta bola sepak Piala Dunia nanti yang akan dikendalikan ‘bookie’ hebat dan profesional? Ini bermakna beri lesen atau tidak beri lesen, kegiatan perjudian ini akan berleluasa. Amat malang sekali ia akan membabitkan orang Islam yang ajaran agama secara keras mengharamkan perkara ini.

Cuba amat-amati premis perjudian berlesen di kawasan sekitar kita. Di kampung saya sendiri yang terletak di pinggir bandar raya, ada tiga kedai judi. Pada hari tertentu keadaan kedai sesak, ada segelintir orang Melayu turut sama memeriahkan suasana.

Kemudian jika kita memasuki kawasan bandar, ada banyak lagi premis judi. Kedai-kedai ini bercambah, perniagaan judi yang dibenarkan ini begitu cepat berkembang bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Adalah sekali-sekala pegawai penguat kuasa agama membuat serbuan tetapi tidaklah berdaya mereka membuat pemantuan secara kerap. Jadi orang Melayu Islam turut sama berjudi walaupun di dalam kedai ada notis yang digantung di dinding ‘Berjudi adalah haram di sisi Islam’.

Ada orang Melayu kampung saya sibuk merujuk kepada akhbar pada hari tertentu, mereka bukan mahu membaca berita tetapi mencari keputusan empat nombor ekor yang disiarkan dalam semua akhbar harian berbahasa Melayu. Halaman yang menjadi pilihan mereka adalah ruang Sukan kerana di sinilah dilonggokkan iklan keputusan judi dan syarikat yang menawarkan SMS mengenainya.

Setakat ini tiada orang kampung saya pernah tertangkap ketika membeli nombor ekor ini. Tidak lama dulu disiarkan dalam akhbar bagaimana pegawai penguat kuasa agama sebuah negeri beriya-iya menangkap orang Melayu/Islam di kedai ekor ini namun ia terhenti begitu saja.

Hakikatnya, tidak mudah menjalankan operasi berterusan kerana pejabat agama ada banyak lagi kerja hendak dilakukan sedangkan premis judi semakin banyak.