Tuesday, May 4, 2010

Rakyat perlu berilmu dalam mendepani cabaran semasa

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda: "Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi kemudian pada waktu petang dia sudah menjadi kafir atau (syak perawi hadis) seseorang yang masih menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan sedikit daripada mata benda dunia." (HR. Muslim)
***

ILMU adalah penyuluh kehidupan. Sungguh berbeza sekali kehidupan seorang berilmu dan jahil. Dalam usul fiqh, ada dinyatakan bahawa semua ibadat dilakukan seseorang Muslim tanpa disandari ilmu dan kefahaman, ibadatnya akan tertolak.

Berdasarkan hakikat ini, kita dukacita dengan budaya ikut-ikutan sesetengah orang awam seperti berdemonstrasi tanpa disandarkan kepada ilmu dan maklumat sahih. Sesungguhnya, apa saja perbuatan seseorang Muslim itu mengundang dosa dan pahala; hatta seseorang yang mengadakan hubungan kelamin dengan isterinya akan diganjari pahala jika niatnya betul.

Berdasarkan kemelut politik di Perak, kita dapati banyak pihak mengadakan tunjuk perasaan. Demonstrasi ini bukan hanya dilakukan di negeri berkenaan malahan di negeri tanpa Sultan seperti Melaka. Orang awam digerakkan oleh sesetengah pihak bagi menyatakan bantahan atau sokongan terhadap pihak tertentu termasuk Sultan dan institusi Raja.

Apa yang dibimbangi rakyat yang tidak dapat maklumat secukupnya dalam sesuatu isu itu diperalatkan pihak tertentu bagi mencapai matlamat masing-masing. Ini kerana kumpulan rakyat ini mendapat maklumat daripada satu pihak saja, terutama media massa arus perdana yang sudah dieksploitasi.

Apabila media dikuasai, maka mudahlah bagi mereka menjalankan jarum, mempengaruhi rakyat agar bersama-sama menyertai apa yang mereka propagandakan sebagai perjuangan mempertahankan institusi Raja dan pada masa sama mencanangkan pihak tidak sehaluan sebagai penderhaka; bukan saja kepada Raja tetapi juga pada negara.

Memperalatkan rakyat yang naif bagi kepentingan sendiri amat tidak bertanggungjawab. Bagi golongan ini, apa yang penting, mereka akan terus berkuasa dulu, kini dan selamanya. Untuk rakyat, persetan nasib mereka, setelah madu dihisap sepahnya dibuang. Sedangkan bagi orang mukmin, mereka sedar akan dipertanggungjawabkan ke atas semua perbuatan, dan mereka akan terima pembalasannya di dunia dan akhirat.

Sehubungan itu adalah penting untuk pemimpin mempertingkatkan kesedaran rakyat akan hak dan tanggungjawab mereka dan ini hanya dapat dilakukan dengan mengilmukan rakyat. Orang berilmu tahu mana yang hak dan batil dan bertindak (melakukan sesuatu) berdasarkan ilmunya. Orang berilmu tidak akan menyertai sesuatu tunjuk perasaan (demonstrasi) secara suka-suka atau ikut-ikutan, sebalik memikir dosa pahala daripada perbuatannya itu.

Tanpa ilmu bagaimana seseorang itu tahu dia berada di jalan benar atau lurus? Sebagai contoh ada dua kumpulan berdemonstrasi; bagaimana kita dapat tahu kumpulan mana yang benar atau batil? Ilmu dan cahaya Allah SWT-lah yang akan menyuluh jalan. Misalnya dalam melakukan korban binatang; ada dua kumpulan melakukannya. Secara zahirnya kedua-dua kumpulan melakukan perkara sama; menyembelih bintang, memasak dan memakannya. Hanya orang berilmu dan mendapat cahaya-Nya yang dapat membezakannya; kumpulan pertama berkorban kerana Allah SWT; kumpulan ketua melakukan korban bagi memuja kubur.

Korban kumpulan pertama adalah ibadat dan insya-Allah akan diganjari-Nya manakala yang kedua sekalipun perbuatannya nampak sama; tetapi adalah tergolong perbuatan syirik dan akan dilempari Allah SWT ke neraka jahanam. Demikian juga berdemonstrasi; kedua-duanya nampak sama, tetapi yang satu akan dirahmati Allah SWT manakala yang satu lagi dikhuatiri mengundang kemurkaan-Nya.

Demikianlah, dalam Islam tidak sah perbuatan dilakukan secara ikut-ikut. Setiap perbuatan hendaklah didasari ilmu. Ilmulah yang menjadi penyuluh; tetapi ilmu tanpa amal adalah sia-sia; ibarat pokok rendang tanpa buah.

Jika seseorang berilmu melihat sesuatu kemungkaran tetapi dia tidak mencegahnya dia tidak termasuk dalam golongan beriman. Ini kerana Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud; sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah dengan tangan (kuasa), kalau tidak boleh dengan lidah (percakapan), kalau tidak dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman. Semoga Allah menunjuki kita jalan yang lurus. Amin.

2 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sdra Lanh,
membaca potongan hadith di atas mengingatkan saya kapada seorang hamba Allah blogger yg mirip dgn apa yg diperihalkan itu.
Mungkin kerana demdam?

sememangnye rakyat jelata sekarang ini dilekakan dgn benda2 yg mendatangkan lagha supaya kekal dgan kejahilan dan atau pun lalai untuk mengamalkan ilmu yang sememangnya hanya sedikit itu. Maka gagallah kita semua untuk membezakan kaca dengan permata. dan bertepukan tanganlah iblis dan syaitan dengan kemenangan proxy2 mereka.

Lanh Sr. said...

waalaikumusalam mdngah, terima kasih atas komen saudara.