Friday, May 21, 2010

Projek sana projek sini, yang susah rakyat

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan di dalam harta benda mereka ada hak untuk yang meminta dan orang yang tidak memperolehi belanja hidupnya." - Surah At-Taubah: 103)
***

SUDAH sebulan (sejak 12 April) hentian bas sementara di Padang Letak Kereta F, Kompleks Sukan Bukit Jalil beroperasi. Sebagai pengguna harian pengangkutan awam (bas dan kereta api aliran ringan LRT), penulis berpuas hati dengan perkhidmatan dan kemudahan disediakan, tetapi berpendapat banyak aspek perlu diperbaiki.

Kos pengangkutan penulis bertambah berbanding sewaktu Hentian Puduraya beroperasi dulu. Misalnya jika menaiki LRT dari Stesen Bukit Jalil ke pejabat penulis berhampiran Stesen Titiwangsa, tambangnya RM1.90 sedangkan dulu (antara stesen Plaza Rakyat dan Titiwangsa) tambangnya RM1.20. Dalam sehari penambahannya adalah 70 sen x 2 (pergi balik) menjadikannya RM1.40 dan dikalikan dengan 30 hari menjadi RM42 sebulan.

Sementara itu jika menaiki bas RapidKL ke Hentian Puduraya tambangnya RM2, pergi balik sudah RM4 dan jika dikalikan dengan 30 hari, kosnya RM120. Penambahan ini belum membabitkan kos perjalanan dari Hentian Puduraya ke pejabat, jadi semakin meningkatkan kos pengangkutan orang awam.

Hentian Puduraya ditutup selama empat bulan saja bagi kerja-kerja menaik taraf dan penambahbaikan yang membabitkan kos puluhan juta ringgit. Ini bermakna menjelang Aidilfitri nanti (pada September), Puduraya akan kembali beroperasi.

Ketika Hentian Puduraya diubah suai, sebuah projek pengangkutan awam gergasi, Terminal Pengangkutan Bersepadu Selatan (ITT) kini disiapkan di atas tanah seluas 19.8 hektar di Bandar Tasik Selatan. Ketika LRT yang dinaiki penulis melewati Stesen Bandar Tasik Selatan, penulis dapat melihat bangunan bertingkat-tingkat bernilai RM570 juta itu hampir siap.

Mengikut perancangan, semua perkhidmatan pengangkutan awam dari dan ke selatan pusat bandar raya Kuala Lumpur akan bertumpu di ITT ini. Pengangkutan awam ini termasuklah ratusan bas ekspres yang menuju atau keluar dari Kuala Lumpur. Terminal baru ini dikatakan begitu strategik kerana ia adalah pusat pertemuan tiga laluan perkhidmatan kereta api iaitu Express Rail Link (ERL), Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan RapidKL yang menjalankan perkhidmatan laluan Sri Petaling/Ampang-Sentul Timur.

ITT Selatan yang dikatakan serba canggih ini akan mempunyai 100 petak menunggu, 21 petak berlepas, 18 petak ketibaan dengan keupayaan mengendalikan kemasukan 130 bas dalam tempoh sejam.

Kontraktor yang memajukan projek gergasi ini, Kumpulan Maju Holdings Sdn Bhd, menyatakan berdasarkan kemajuan projek setakat ini, ITT Selatan ini boleh beroperasi seawal-awalnya Ogos ini. Bagaimanapun, menurut sumber, terminal itu akan dirasmikan pembukaannya November nanti.

Sementara itu kerajaan juga akan membina ITT Timur di Gombak bagi kegunaan pengangkutan awam ke timur mulai Jun ini manakala ITT Utara pula akan dibina di Sungai Buloh. Pendeknya pelbagai projek akan dibina bagi kemudahan dan kelesaan pengguna pengangkutan awam.

Namun satu persoalan besar membabitkan terminal pengangkutan awam ini, mengapa ‘projek sana, projek sini’, dilakukan sedangkan nampak jelas berlaku pertindihan yang merugikan wang rakyat. Misalnya pengubahan Hentian Puduraya sudah menelan kos puluhan juta sedangkan pada masa yang sama ITT Selatan di Bandar Tasik Selatan yang bernilai ratusan juta ringgit sedang disiapkan. Dalam tempoh beberapa bulan lagi ini, pengangkutan awam seperti bas ekspres dari selatan akan kembali bertumpu di Hentian Pudurayakah atau di ITT Selatan?

Demikianlah senario ‘projek sana projek sini’ ini tidak menguntungkan rakyat kebanyakan termasuk pengguna pengangkutan awam seperti penulis. Ini kerana kos pengangkutan (tambang) penulis meningkat dengan mendadak akibat ‘kerja-kerja gila’ ini. Yang untung siapa?

Pada 19 Mac lalu, apabila Hentian Puduraya dikhabarkan akan ditutup, sebuah stesen bas sementara telah disiapkan di Jalan Galloway. Tapak yang terletak berhampiran Ibu Pejabat Kontijen Polis (IPK) Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah itu akhirnya gagal dijadikan hentian sementara selepas dibantah Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sendiri.

Hentian sementara itu dipindahkan ke kawasan letak kereta Kompleks Sukan Bukit Jalil sehinggalah sekarang. Perancangan lemah yang menguntungkan pihak tertentu ini menyebabkan pembaziran wang rakyat secara besar-besaran manakala pengguna pengangkutan awam dipermain-mainkan.

Persoalannya mengapa terminal bas sementera Jalan Galloway disiapkan tetapi akhirnya tidak jadi digunakan. Kini Hentian Puduraya sedang giat dinaik taraf tetapi pada masa yang sama ITT Selatan sudah siap untuk digunakan.

Sebagai pengguna pengangkutan awam, penulis tidak mengerti mengapa ‘projek sana projek sini’ berleluasa sedangkan beban yang terpaksa dipikul seperti kenaikan tambang amat memeritkan.

Penulis sedih kerana terpaksa mengeluarkan duit tambang yang lebih, tetapi diberitahu nasib peniaga di hentian sementara Bukit Jalil lagi malang. Gerai-gerai mereka diletakkan di bahagian hujung atau seberang jalan dari perhentian bas, akibatnya gerai mereka (termasuk penjual makanan) hampir tiada pelanggan. Boleh jadi pendapatan mereka ‘zero’ pada hari-hari tertentu!

Oleh itu, wahai pihak berkuasa, tolong leraikan derita rakyat biasa ini sejajar dengan slogan prihatin kamu, ‘rakyat didahulukan pencapaian diutamakan’. Buktikanlah!

1 comment:

Muhammad Hilmi said...

saya begitu bersetuju dgn pandangan saudara.....hmmmm, ni semua sbb x rancang awal2....kan sudah membazir. x tahu apa nasib stesen puduraya. tp stesen pudu raya tu rasanya perlu dihapuskan sbb ianya terletak di tgh ibu kota dan punca utama kesesakan