Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Maksud Ayat 56 Surah Adz-Zariyat)
***
Renungan
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Maksud Ayat 56 Surah Adz-Zariyat)
***
SUDAH lama saya tidak ke KL. Agak saya hampir setengah tahun. Selasa, 19 Julai lalu saya ke ibu kota. Terkejut juga dengan perubahan yang saya dilihat. Tren LRT yang dulunya biasa saya naiki dari Bandar Tasik Selatan ke Titiwangsa sudah bertukar wajah. Sungguh cantik dan elegan!
Nama tertera di badan koc tren adalah Rapid KL. Jika dulu dinding koc didominasi warna kuning, kini merah dan putih. Dalam koc tempat duduk juga berubah wajah; ada kerusi 'metal' dibentuk satu-satu sedangkan dulu bagaikan bangku panjang.
Ketika di dalam tren, terasa seolah-olah berada di negara maju. Syabas pihak berkuasa kerana telah meningkatkan mutu pengangkutan awam. Perkhidmatan LRT yang dulunya dari Sentul Timur ke Sri Petaling sudah 'dipanjangkan' ke Putra Heights yang menjadi stesen pertukaran LRT Kelana Jaya Line.
Apa yang tak sedapnya, tambang LRT amat mahal. Jika dulu token dari Bandar Tasik Selatan ke Titiwangsa berharga RM1.70 kini sudah RM3.80. Naik lebih 100 peratus. Jika warga kota berulang alik dari rumah ke pejabat bagi destinasi sama, tambang pergi balik sudah RM7.60. Kalau seminggu sudah berapa, sebulan berapa...oohhh tidak dapat saya bayangkan betapa tertekannya golongan sederhana dan miskin di KL.
Di ibu kota saya berpeluang berbual sejenak dengan beberapa warga pejabat yang kebanyakannya bertambah tertekan apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beberapa hari lalu menaikkan caj parkir 150 peratus. Apa sudah jadi, kata mereka, naik pengangkutan awam mahal, kini kos meletak kereta mencanak naik - seolah-olah pihak berkuasa tidak berhati perut. 'Kerja' mereka hendak 'menyeksa' orang awam saja, kata mereka.
Adlina dalam usia 40-an, berkata dia memilih untuk mempakir keretanya di sebuah tempat letak kereta persendirian yang agak jauh dari pejabatnya. "Setiap hari saya bayar RM5, dalam sebulan selepas ditolak hari cuti, saya 'kena' lebih kurang RM100...bolehlah tahan tetapi terpaksalah saya berjalan jauh sikit..."
Katanya, untuk memakir kereta di depan pejabat dia tak mampu. "Dengar khabar DBKL sudah naikkan caj pakir daripada 80 sen sejam kepada RM2. Kalau begitu, jika seharian saya berada di pejabat ini, berapa banyak wang perlu saya bayar untuk pakir? Oooh, saya tak tak mampu," katanya.
Rakan Adlina, Zulina dalam usia 30-an, mengaku warga kota semakin tertekan dalam menjalani kehidupan akhir-akhir ini. Beliau mendakwa operasi dan prestasi syarikat tempat mereka bekerja semakin merosot menyebabkan pekerja tidak mendapat kenaikan gaji...tetapi harga barangan keperluan dan perkhidmatan berterusan naik dari semasa ke semasa.
Kata Zulina, bagaimana peniaga tidak menaikkan harga barangan, mereka 'kena' bayar GST (cukai barangan dan perkhidmatan). Bayaran GST itu diserapkan kepada pengguna, jika dulu harga sesuatu barangan itu RM10 kini sudah RM10.60 kerana GST-nya 6 peratus...untuk memudah urus niaga peniaga menaikkannya kepada RM11, kata Zulina yang bijak bersifir.
"Makan di restoran kena GST makan di kedai mamak kena GST malah makan di gerai pun kena GST," tambah Adlina yang hanya sesekali memasak di rumah kerana dia hidup bujang. "Masak di rumah lagi banyak belanjalah, harga barangan keperluan terutama ikan, ayam dan daging sangat mahal...jadi bagi saya hidup seorang ini, lebih baik saya makan di luar atau beli bungkus...sehari tak habis pun RM20!" Ya, orang perempuan berapa banyak dia makan, ramai yang makan sekali atau dua kali saja sehari...'dia orang banyakkan makan buah', yalah ramai yang 'berdiet'!
Mendengar cerita atau lebih tepat rintihan orang kota, menyebabkan saya bersyukur dengan kehidupan yang saya lalui sekarang ini. Hidup di desa, apatah lagi di tanah sendiri, kalau kita rajin berusaha tidaklah selalu wang kita keluar untuk membeli dan membayar caj itu dan ini.
Ya, usahakan tanaman itu dan ini di sekeliling rumah kita; misalnya kalau kita perlukan daun kunyit, serai tak payah kita ke kedai (seikat sudah RM1-RM2)...kita ambil saja. Begitu juga sayur seperti bendi, terung dan kacang panjang...kalau kita tanam dan bijak menjaganya, insya-Allah 'tak habis' kita makan; dapatlah kita sedekahkan kepada jiran-jiran.
Kalau di kota mana boleh kita buat itu semua...tetapi bagi orang kreatif dan berusaha lain ceritanya. Di sebuah taman perumahan di ibu kota, ada sebuah rumah saya saya perhatian mana-mana ruang kosong dimuatkan pasu dan tong cat yang di dalamnya ditanam aneka sayur-sayuran seperti kobis dan cili. Tanam-tanaman itu segar bugar nampaknya...oohh alangkah bijaknya penghuni rumah itu, dapat jimatkan kos kehidupan sekalipun berada di kota!