DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan Dia yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang bersyukur." (Surah Al-Furqan; ayat 62)
APA hukumnya kita makan duit daripada ‘claim’ (tuntutan) berkumpulan di tempat kerja kita yang ada tuntutannya benar kepada orang lain tetapi tidak benar pada diri kita tetapi semuanya dibuat secara ‘borong’, tanya seorang peserta dalam sebuah forum agama yang saya ikuti baru-baru ini. Jawab ustaz, haram hukumnya, wang yang kita dapati itu perlu dikembalikan kepada majikan.
Bagaimana jika kita ambil dan makan buah mangga daripada pokok jiran yang dahannya memasuki kawasan rumah kita, tanya seorang lagi peserta. Ustaz juga berkata haram dan pengambilnya perlu jumpa pemilik punya pokok mangga minta dihalalkan.
Di pejabat pos kita lihat orang beratur panjang…kita pun pergi kepada salah seorang di depan barisan, merayu dia tolong bayarkan bil kita sambil kita hulurkan RM5. Apakah ini rasuah? Ya ini rasuah, kata sang ustaz.
Demikianlah dari awal sampai akhir saya amat-amati sepanjang forum sejam itu, penanya dan sang ustaz, bersoal jawab dan berbicara mengenai hal ehwal ‘makan harta orang lain (haram) yang dilakukan secara sikit-sikit (kecil-kecilan) tiada yang berani untuk bertanya perihal ‘jerung’ yang ‘makan besar’ membabitkan wang dan projek berjuta-juta malah berbilion-bilion ringgit.
Duit atau harta orang bernilai RM1, RM5, RM10 yang dimakan secara haram ditanya tetapi kenapa tiada yang berani bertanya mengenai wang RM bilion, RM2 bilion atau RM3 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun bank seseorang.
Tiada juga yang berani bertanya mengenai politik wang iaitu ‘nama lembut’ bagi rasuah di mana seseorang atau pihak mengunakan wang ringgit atau barangan dalam pertandingan atau dalam mempengaruhi seseorang ahli atau perwakilan bagi meraih sokongan terhadap seseorang calon yang bertanding merebut jawatan yang dipertandingkan. Demikian juga menggunakan sogokan wang untuk menang dalam sesuatu pilihan raya.
Rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan undang-undang di mana seseorang mendapat kebebasan, kontrak atau keistimewaan (favours) daripada pihak berkuasa atau sesebuah syarikat selepas memberi wang, hadiah, keraian kepada pihak-pihak tersebut.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terdapat empat kesalahan rasuah yang utama:
* Meminta/Menerima Rasuah
* Menawar/Memberi Rasuah
* Membuat Tuntutan Palsu
* Menyalahguna Jawatan/Kedudukan
Jika politik wang adalah rasuah, maka mereka yang memberi wang politik adalah perasuah manakala mereka yang memakan wang politik adalah penerima rasuah. Perkara ini tersangat jelas, tetapi mengapa pihak-pihak tertentu begitu gemar menggunakan istilah politik wang, tidak rasuah.
Orang politik bijak menipu rakyat, mereka bermain bahasa; mereka menamakan rasuah sebagai politik wang. Istilah politik wang telah mengurangkan kejijikan kepada rasuah; sesetengah orang dan pihak melihatnya sebagai tidak ada apa-apa (bukan satu kesalahan), jadi mereka yang terbabit masih kekal di jawatan tertinggi parti dan juga kerajaan.
Orang ramai juga tidak bertindak apa-apa walaupun pelaku rasuah kekal di jawatan tertinggi sedangkan di negara yang maruah dan harga diri amat dipentingkan seperti Jepun dan Korea Selatan sudah lama pemimpin terbabit meletakkan jawatan malah membunuh diri.
Islam memandang berat kesalahan rasuah. Abdullah bin ‘Amr bin Ash menceritakan, bahawa dulu ada seorang dalam pasukan perang Rasulullah s.a.w. seorang lelaki yang digelar ‘karkaroh’. Orang tersebut meninggal, lalu Nabi s.a.w. bersabda: “Dia masuk neraka.” Pada sahabat pergi melihat orang tersebut, ternyata mendapati orang itu melakukan rasuah dengan mengambil rampasan perang.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)
Hadis di atas menegaskan sesiapa pun yang melakukan rasuah kelak dia akan masuk neraka. Tidak peduli dia seorang pegawai kerajaan atau tokoh masyarakat yang banyak berjasa kepada masyarakat dan negara. Apalagi pegawai sudah dibayar gajinya dan menerima pelbagai kemudahan daripada negara.
Seorang yang turut berjuang dengan Rasulullah s.a.w. tanpa digaji saja, setelah terbukti rasuah dihukum masuk neraka. Mudah-mudahan hadis ini membangkitkan keinsafan kita untuk berhati-hati dalam mencari wang – usah makan harta orang secara haram tidak kita sikit apatah lagi banyak seperti berbilon-bilion ringgit!
Hadis di atas menegaskan sesiapa pun yang melakukan rasuah kelak dia akan masuk neraka. Tidak peduli dia seorang pegawai kerajaan atau tokoh masyarakat yang banyak berjasa kepada masyarakat dan negara. Apalagi pegawai sudah dibayar gajinya dan menerima pelbagai kemudahan daripada negara.
Seorang yang turut berjuang dengan Rasulullah s.a.w. tanpa digaji saja, setelah terbukti rasuah dihukum masuk neraka. Mudah-mudahan hadis ini membangkitkan keinsafan kita untuk berhati-hati dalam mencari wang – usah makan harta orang secara haram tidak kita sikit apatah lagi banyak seperti berbilon-bilion ringgit!
No comments:
Post a Comment