Monday, July 25, 2016

Kisah Nabi Musa, Hang Nadim berulang…

***
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32
***

DALAM mengekalkan kuasa pemimpin parti berslogan ‘dulu, kini dan selamanya’ semakin hebat menggunakan kaedah ‘political assassination’ (pembunuhan politik) pemimpin-pemimpin parti saingan mereka, hatta di kalangan pemimpin mereka sendiri.

Pemimpin-pemimpin berkaitan  dihadapkan dengan pelbagai tuduhan yang membolehkan mereka dibicarakan di mahkamah (seperti Lim Guan Eng) seterusnya dijatuhi hukuman termasuk penjara (seperti Anwar Ibrahim) yang tidak melayakkan mereka untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Menjelang PRU ke-14 akan datang, lebih ramai lagi pemimpin pembangkang dihadapkan ke mahkamah dengan aneka tuduhan seperti di bawah akta hasutan dan menyertai perhimpunan haram. Malahan penentang kebobrokan pemimpin dalam parti dulu, kini dan selamanya seperti Muhiyiddin Yassin dan Shafie Apdal turut 'dinyahkan'!

Sebenarnya pendekatan ini seumpama kaedah Machiavelli, 'the ends justify the means' (matlamat menghalalkan cara) adalah sama tua dengan sejarah manusia. Manusia memang rakus untuk berkuasa, kalau boleh mereka mahu menongkat dunia 'buat selama-lamanya'.

Untuk berkuasa, dulu, kini dan selamanya; mana-mana orang dan pihak yang berpotensi untuk mengugat mereka perlu dihapuskan terlebih dahulu. Kalau boleh, semasa 'kecil' lagi mereka dimusnahkan kerana nanti kalau sudah 'besar', mereka 'makan tuan' pula.

Kalau kita menelusuri sejarah, kita dibawakan kisah tidak kiralah dari rantau timur (seperti China) dan barat (seperti England) malah di dunia Islam (seperti perebutan kuasa anak Harun Al-Rashid (khalifah Abasiyah 786-809M) iaitu Al-Amin dan Al-Makmun), bagaimana pesaing raja atau pesaing putera mahkota dihapuskan.

Teladan dibawa al-Quran pula adalah kisah Firaun yang mahu berkuasa selamanya malah mengaku tuhan, mengarahkan dibunuh semua anak lelaki bani Israil. Firaun bertindak demikian selepas diberitahu nujum istana bahawa akan lahir seorang anak lelaki bani Israil yang akan menghancurkan kuasanya.

Ironinya, anak lelaki bani Israil itu, Nabi Musa a.s. dibesarkan di istana Firaun sendiri. Demikianlah manusia merancang, Allah SWT menentukan segala-galanya. Kekuasaan Firaun berakhir dengan dia bersama bala tenteranya 'ditelan' Laut Merah ketika mengejar Nabi Musa a.s.

Di Alam Melayu, Sejarah Melayu menukilkan bagaimana pembesar Singapura 'membunuh' Hang Nadim, budak pandai yang menyelamatkan Singapura daripada serangan ikan todak. 

Kebijaksanaan Hang Nadim 'menakutkan' pembesar Singapura akan kehilangan kuasa, jadi mereka menabur fitnah dan akhirnya budak itu dihukum mati.

Hari ini, kita mempunyai sejumlah Hang Nadim (yang berani bersuara mengenai penyelewengan pemimpin dan pemerintah), tetapi nampaknya sejarah berulang, mereka disenyapkan atau mahu dilenyapkan sebelum benar-benar mati. 

Akibat fitnah Hang Nadim mati dan hari ini sejumlah Hang Nadim juga mati (termasuk dipenjara) yang natijahnya menyebabkan negara terperosok ke dalam kebobrokan yang sangat dahsyat.

Kini negara kita dilanda jenayah tidak dikenali sebelum ini. Bayangkanlah bagaimana masa depan negara apabila seorang warga Mongolia boleh berkecai diledakkan dengan C4 dan pernah seorang jutawan komestik wanita dibunuh; yang tinggal hanya tulang dan abunya saja? Nahas jalan raya pula semakin banyak seperti tak terbendung nampaknya.

Bahana apa yang menimpa negara sehingga begitu dahsyat bala ditimpakan Allah SWT? Tidakkah dapat kita melihatnya? Atau kita masih terpesona dan terpana dengan ucapan muluk pemimpin bahawa negara kita adalah yang paling aman di dunia?

Dalam kita bermuhasabah diri, mencari jawapan kepada permasalahan ini, sekali sekala muncul sejumlah Hang Nadim, tetapi kita buat tidak peduli. Hang Nadim ini bukan dalam bentuk individu saja tetapi juga kumpulan yang cita-cita mereka menyelamatkan negara ini daripada dibaham pemimpin yang menyamai sifat pembesar zaman Hang Nadim Singapura.

Berdasarkan perkembangan menakutkan sekarang termasuk rakyat diminta berkorban seperti berjimat dan mengubah gaya hidup apabila harga barangan dinaikkan termasuk dikenakan cukai penindas GST (pada zaman Hang Nadim pembesar menyuruh rakyat bertahan dengan paha mereka daripada serangan todak), apakah kisah Hang Nadim mahu terus diulang?

Rasanya sudah cukup derita ditanggung, marilah kita sama-sama bekerja keras bagi memastikan tiada lagi Hang Nadim mati dibunuh agar keadilan tertegak untuk semua!

No comments: