Monday, September 30, 2019

Rumah tangga 11: Berhijrah dengan muhasabah diri, keluarga...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan, yang telah menciptakan manusia daripada bibit ('alaq). Bacalah, dan Tuhanmulah Yang Maha Mulia, yang mengajarkan dengan qalam (dengan alat tulis baca), mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-Alaq, 96: 1-5)

TANGGAL 1 September lalu bermulalah tahun baru 1441 Hijrah. Tahun baharu bermakna semakin kuranglah umur kita - diri kita semakin hampir untuk menemui Allah SWT, kata seorang ustaz dalam tazkirahnya di masjid berhampiran rumah penulis.

Sempena tahun baharu ini, alangkah eloknya kita bermuhasabah diri, merenung apa yang telah dilakukan sepanjang tahun lalu dan sebelumnya serta berusaha untuk melakukan yang terbaik sekarang ini, selagi hayat masih dikandung badan.

Bijak pandai membahagikan masa kepada tiga keadaan - semalam, hari ini dan esok. Semalam sudah menjadi sejarah, esok hanya Dia yang mengetahuinya. Apa yang ada pada kita adalah hari ini, itulah modal kita yang perlu digunakannya semaksimum mungkin untuk mencipta bahagia pada hari muka.

Sebagai makhluk-Nya yang lemah, dalam mengharungi kehidupan kita memerlukan panduan-Nya. Panduan itu telah pun disampaikan kepada kekasih-Nya, Nabi Muhammad s.a.w. Daripada sinilah kita dapat mengukur sama ada kehidupan kita berada di jalan benar atau sudah terpesong jauh kerana Nabi s.a.w. pernah mengungkapkan bahawa jika kita berpandukan al-Quran dan hadisnya kita tidak akan sesat selama-lamanya.

Bagi memulakan muzakarah, eloklah kita mulai menyemak diri sendiri dan keluarga kita. Disebabkan dalam dunia moden ini, hampir semua orang bercakap mengenai pendapatan (anak-anak muda sekarang menamakannya wang masyuuk), bertanyalah kepada diri sendiri secara jujur apakah sumber perolehan kita halal.

Berdasarkan pengamatan kita, ramai juga orang Islam tidak peduli akan sumber halal/haram pendapatan mereka. Ada yang terbabit dalam maksiat secara nyata seperti merompak, melacurkan diri, terbabit dalam operasi najis minuman keras, dadah dan perjudian tetapi sejumlah lagi walaupun mempunyai pekerjaan mulia seperti pemimpin negara, ahli politik, pegawai kerajaan, ahli perniagaan, ketua kampung, malahan guru, ustaz dan penulis juga terbabit dalam amalan keji seperti rasuah, menerima wang haram, menyalahgunakan kedudukan dan sebagainya.

Jika rezeki kita daripada sumber yang haram bagaimana kita mahu membina keluarga bahagia atau istilah polular sekarang, rumahku syurgaku? Pada peringkat ini saja kita sudah sangkut, jadi usahlah sibuk untuk melahirkan anak-anak yang cemerlang sekali gus anak soleh yang doanya akan menjadi dambaan ibu bapa apabila kita berada dalam kubur nanti jika kita masih bergelumang, bermati-matian mencari rezeki di lubuk yang haram.

Kemudian marilah kita mengkoreksi keluarga kita, adakah kehidupan yang kita jalani menepati jalan hidup Rasulullah s.a.w. Kita ambil bab paling penting iaitu solat. Jika ibu bapa liat untuk solat, bagaimana anak-anak mahu solat? Ambil waktu subuh sebagai contoh. Ada pak haji boleh bangun awal untuk ke masjid, tetapi anak siapakah itu yang masih dibuai mimpi bersama syaitan sehingga matahari sudah tersembul di langit? Apakah pak haji seorang saja mahu masuk ke syurga sedangkan anak-anak dibiarkan mencari jalan ke neraka?

Mak aji juga bagus, dapat bersolat subuh awal waktu, tetapi bagaimana anak-anak dan cucu-cucu?  Mak aji ketika ke bandar, berpakaian tudung labuh, bagus tetapi siapakah anak gadis di sisinya yang berpakaian seluar sendat dengan baju-T tanpa lengan dengan rambutnya berwarna bulu jagung (diwarnakan)? Apakah mak aji sahaja mahu ke syurga, anak dan cucu dibiarkan menempah laluan ke neraka?

Selain koreksi diri, koreksilah si anak-anak, apakah mereka solat lima waktu sehari? Jawapannya sangat mendukacitakan, satu kajian menunjukkan hanya 20 peratus anak-anak muda solat, bakinya bagaimana? Kemudian periksa rukun Islam lain, sudah disempurnakan oleh kita dan anak-anak?

Bagaimana puasa kita, bagaimana zakat kita; sudah hajikah kita? Apakah kita tergolong dalam jenis orang yang sudah ke London, Paris, New York dan Hatyai tetapi ke Makkah saja saya belum?

Sesudah puas kita mengkoreksi diri sendiri dan keluarga, renunglah rumah jiran kita. Apakah kita hidup berjiran berpandukan ajaran Rasul. Apakah kita daripada jenis yang makan kenyang, jiran kelaparan kita tidak 'ambil pot'? Ataupun kita tidak langsung kenal jiran kita, ataupun kita jenis suka berkelahi dengan jiran membabitkan hal-hal seperti rumput karpet, pokok, bunyi bising dan binatang peliharaan.

Kemudian tanyalah diri sendiri sama ada kita jenis yang tidak boleh kalah dengan jiran. Jika jiran pakai Kancil kita pakai Rusa; jika jiran pakai Wira kita pakai Perdana; jika jiran berperabot jati, kita order perabot dari Itali. Persaingan ini memerlukan wang yang banyak, jika wang gaji tidak cukup, kita pun 'bedal' wang rasuah, wang pelincir, wang ehsan dan sebagainya.

Demikianlah manusia dilahirkan tamak, tidak akan puas sehingga tanah memasuki hidung dan mulut (berada dalam kuburlah) atau sudah diberikan satu gunung atau lembah emas, dia mahu tiga atau empat lagi. Sehubungan dengan nafsu jahat diri saya dan tuan puan ini, sempena tahun baru Hijrah 1441, marilah melakukan muhasabah dengan mengkoreksi diri dan keluarga sendiri dulu sebelum terjun ke gelanggang masyarakat, bangsa, negara dan ummah.

Friday, September 27, 2019

Rasuah, perkauman ancaman utama negara

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)


TIDAK lama dulu penulis berpeluang berbual mengenai masa depan negara dengan seorang pemuda Cina berkelulusan ijazah sarjana muda pengkhususan bahasa Inggeris Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Penulis tertarik apabila dia memberitahu ada dua perkara utama yang jika tidak ditangani secara bijaksana akan mengugat masa depan negara. Hal itu adalah rasuah dan isu perkauman yang boleh menyebabkan masalah besar kepada negara.

Katanya, rasuah belum berada pada tahap terburuk seperti di sesetengah negara terlalu korup tetapi ia boleh menuju ke arah itu. Rasuah di Malaysia dari persepsi umum masih dilihat sebagai suatu kesalahan jijik dan syukurlah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) dilihat serius dalam memeranginya.

Janganlah hendaknya jenayah ini tahapnya menghampiri sesetengah negara yang mana ia sudah menjadi cara hidup (budaya); tiada rasuah semua kerja tidak dapat dibereskan. Mereka tidak melakukan sogokan (rasuah) di bawah meja, tetapi di atas meja!

Di negara kita, sesetengah parti politik bermain bahasa; mereka menamakan rasuah sebagai politik wang; hal ini perlu dihentikan segera. Istilah politik wang telah mengurangkan kejijikan kepada rasuah; sesetengah orang dan pihak melihatnya sebagai tidak ada apa-apa (bukan satu kesalahan), jadi mereka yang terbabit masih kekal di jawatan tertinggi parti.

Bagi pemuda ini perkembangan ini sangat bahaya; pihak terbabit seolah-olah membenarkan perlakukan rasuah dalam masyarakat, sepatutnya rasuah dibanteras habis-habisan. Mereka yang bersalah sewajarnya dihukum tanpa mengira bulu. Jika ini tidak dilakukan, lambat laun, rasuah bukan lagi dilakukan di bawah meja tetapi di atas meja. Apabila ini berlaku, maka punahlah negara, katanya.

Selain rasuah, polirasi kaum yang semakin ketara juga membimbangkan masa depan negara, katanya. Beliau berpendapat generasi muda yang sentiasa terdedah kepada maklumat terkini tetapi kurang mengetahui apatah lagi menghayati sejarah pembentukan negara mahu melihat kesamaraataan dalam segenap segi.

Dalam bahasa mudah, generasi muda berpegang kepada meritokrasi; mereka gagal melihat keperluan mengutamakan atau memberi keistimewaan kepada golongan tertentu. Hal ini perlu disedari kerana generasi muda ini lahir, kemudian membesar di negara ini, jadi sebarang perbezaan layanan dan keistimewaan kepada kumpulan tertentu tidak dapat diterima mereka.

Sekalipun sensitif, jalan keluar perlu dicari bagi meleraikan permasalahan ini, katanya. Beliau berpendapat kanak-kanak di tadika, yang suci bersih itu, bebas daripada polirasi kaum, tetapi semakin mereka membesar; suasana dan persekitaran melebarkan jurang antara kaum.

Misalnya dalam mengharung dunia pendidikan, seseorang kanak-kanak Melayu akan ke sekolah kebangsaan; kanak-kanak Cina berkemungkinan besar ke sekolah jenis kebangsaan Cina manakala kanak-kanak India akan ke sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Pengasingan ini akan menyebabkan jurang antara kaum meluas tahun demi tahun dan akhirnya di pusat pengajian tinggi, kecenderung untuk bergerak sesama kaum adalah besar sehinggalah tertubuhlah persatuan-persatuan membabitkan kaum.

Kemudian apabila memasuki alam pekerjaan, golongan dewasa ini berkemungkinan besar menyertai parti politik berasaskan perkauman; orang Melayu menyertai Umno, Cina menyertai MCA manakala India menyertai MIC. Sehubungan itu perjuangan mereka adalah berdasarkan kepentingan dan keperluan kaum masing-masing.

Pemuda itu berkata polirasi kaum perlu diatasi segera, jika tidak ia akan sentiasa menjadi duri dalam daging, sekali gus menjejaskan masa depan negara. Beliau berpendapat usaha kerajaan baharu HARAPAN  dalam penyatuan kaum amat baik, dan jika pihak ini dapat bertindak cemerlang dalam perkara ini, berkemungkinan besar mereka berupaya terus mengekalkan kuasa.

Pemuda itu memberi amaran, syak wasangka dan ketidak-fahaman tindakan setiap parti HARAPAN perlu diatasi, jika tidak ia akan menimbulkan banyak masalah. Anasir buruk yang mulai berputik dalam HARAPAN perlu dicantas dan ditangani segera, jika tidak ia akan membarah seterusnya merosakkan masa depan negara.

Sunday, September 22, 2019

Rumah tangga 10: Di kaki lima badan tercampak...


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)

PERSOALAN remaja begitu merungsingkan. Sebagai bapa lima anak  saya juga diselubungi kerisauan memanjang. Teringat saya daripada sebuah buku yang telah saya baca, Sayidina Ali karamah wahja antara lain berkata didiklah anak-anakmu mengikut zaman mereka.

Ya, zaman sekarang era IT, tak sama masa saya remaja dan di IPT dulu. Ketika itu antara harta paling bernilai adalah mesin taip buruk. Kini kelengkapan IT anak-anak sangat canggih. Mereka terdedah kepada segala kemungkinan. Itulah yang saya bimbangkan.

Sebahagian ibu bapa tersepit antara memberi kebebasan (peluang) kepada anak-anak remaja ini atau menyekat mereka daripada akses gajet moden ini. Misalnya, kemudahan internet termasuk telefon selular, nak menyekat mereka daripada mempunyai aksesnya tentu merugikan mereka sendiri tetapi membenarkannya kita tidak tahu apa yang anak kita lakukan. Yalah depan kita, segala-galanya nampak okay, tetapi belakang kita terutama ketika bersama kawan-kawan mereka, siapa tahu. Mana kita ada masa nak kontrol mereka 24 jam sehari.

Kalau mak bapak mendidik sendiri anak-anak boleh tahan; tetapi berdasarkan apa yang saya lihat di persekitaran kehidupan saya, anak-anak yang diserahkan kepada datuk nenek, sebahagian besar daripada mereka gagal dalam kehidupan. Ada seorang pemuda saya lihat hidupnya tidak keruan sejak datuk dan neneknya meninggal dunia; itulah mungkin dulu dia terlalu dimanjakan menyebabkan dia tidak tahu hidup berdikari. Dia kini menjadi orang gelandangan, tidur di kaki lima dengan pakaian tak ditukar berhari-hari lamanya.

Ada seorang pemuda pula sudah jadi kaki dadah. Kerja sehari dua untuk mendapat seringgit dua selepas itu hanyut berminggu-minggu dalam dunia dadah bersama-sama kawan-kawannya. Mereka menjadikan sebuah pondok kosong sebagai syurga dunia.

Demikianlah betapa ramai anak-anak muda hanyut; selain dua contoh yang dinyatakan ini, di manakah remaja lain lain berada? Jika anda ke masjid sama ada untuk solat waktu berjemaah atau mengikuti kelas pengajian antara maghrib dan isyak, adakah ada anak muda menyertainya? Jawapannya mereka sukar dilihat, jadi ke mana agaknya mereka pergi?

Ramai muda-mudi kita (sebenarnya bukan muda-mudi saja tetapi seluruh umat Islam) sudah tersasar, jadi apakah jalan penyelesaiannya? Seorang pembaca menulis: “Islam sahaja tamadun penyelamat dunia. Mana tidaknya? Bayangkan, ketika peperangan melawan musuh sekalipun, prinsip perang itu sendiri jelas; bunuhlah mereka yang menentang sahaja, tawanan perang hanya diminta menebus diri, syiar agama pihak musuh seperti gereja dan kuil haram diceroboh, apatah lagi diruntuhkan, dan setelah berkuasa, mestilah berdamai, bukan menjajah walaupun dengan tertegaknya pentadbiran Islam.

“Mungkin masih banyak lagi yang saya jahil tentangnya, namun, rasanya dengan itu sahaja pun memadai untuk mengisyaratkan Islam adalah tamadun perdamaian dan kesejahteraan untuk semua, sesuai sekali dengan perutusan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rahmat kepada sekalian alam. Begitulah juga dengan segala hukum-hakam serta peradaban yang digariskan Islam, daripada sekecil-kecil dan remeh perkara seperti ke tandas, tidur dan bangun tidur, sehinggalah ke urusan hubungan insani sejagat dan antara hanba dengan Allah SWT, pasti berkesan menyelamatkan masyarakat daripada kehancuran kiranya dihayati seluruhnya, sesuai dengan firman-Nya yang meminta agar kita menjadi Muslim yang mukmin secara total.

“Namun begitu, persoalannya, dengan pelaksanaan Islam oleh pentadbir ‘sekular’ yang Islam keturunanlah, kesucian Islam telah dinodai. Ia diburukkan lagi dengan kedapatan segelintir mereka yang diiktiraf sebagai ‘ulama’" yang turut rakus terhadap keduniaan sebagaimana para pendita Yahudi dan Nasrani. Mana tidaknya, ada ustazah dan ustaz pandai memfitnah orang termasuk melalui tulisan.

“Gejala keruntuhan akhlak remaja sering dikaitkan dengan kecuaian ibu bapa secara langsung. Nah, bukankah mereka yang dalam kepimpinan itu adalah ibu dan bapa kepada anak-anak mereka? Sekali gus, bukankah mereka juga merupakan ibu dan bapa kepada rakyat yang dipimpin? Bukankah dengan penajaan program dan aktiviti hiburan melampau dan pentafsiran agama menurut pemikiran dangkal menyebabkan akidah masyarakat runtuh, kesucian wanita dan gadis ternoda, bangsa jadi leka dan alpa terhadap ilmu, dan bermacam-macam kejahilan dan keruntuhan moral berlaku?

“Dengan itu, mari kita bersama kembalikan kegemilangan tamadun Islam dahulu untuk kini dan selamanya. Semoga usaha kita nan sedikit lagi tak seberapa ini dihitung antara kaedah jihad serta bukti pengabdian kita kepada-Nya sahaja."

Ya, benar apa yang ditulis pembaca ini. Pemimpin mempunyai saham dalam mencorak anak muda kita. Teringat penulis betapa ada pemimpin sanggup turun ke gelanggang konsert sekalipun berlaku hujan dengan kilat dan guruh berdentam-dentum dan langkah beliau dikuti ribuan anak-anak muda. Muda-mudi ke konsert hiburan rupanya, sebab itu mereka tiada di masjid.

Apabila guru (pemimpin) kencing berdiri, anak murid kencing berlari, itulah sebabnya pada malam itu ramai anak muda bergelimpangan di kaki lima, hujung tahun ramailah yang masuk sekolah mengandung yang disediakan pemimpin berkenaan!

Tuesday, September 10, 2019

Rumah tangga 9: Payah mendidik anak zaman ini...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. ************* Renungan ************ "Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21)

DIDIKLAH anak-anak untuk keperluan zamannya - demikian antara lain kata Sayidina Ali k.w. Ini bermakna anak-anak kita perlu diasuh dan dididik untuk memenuhi masa depan umat dan negara, mungkin pada 2020, 2025, 2030 dan seterusnya.

Tetapi dalam usaha mendidik anak-anak ini, cabaran sekarang dirasakan amat berat sekali, berbeza dengan zaman persekolahan kita atau orang tua kita.

Kerap terdengar, guru-guru mengadu betapa sukarnya mengendalikan anak-anak di sekolah sekarang ini. Untuk mendisiplinkan anak-anak supaya duduk dalam kelas pun sukar, inikan pula untuk mengajar mereka.

Seorang guru mengadu pada saya, hari ini bukan saja hampir tiada pelajar sudi mengangkat buku-buku latihan dari kereta cikgu, malah jika berselisih jalan, guru pula dilanggar mereka.

Apa sebenarnya sudah berlaku kepada generasi muda kita ini? Ramai ibu bapa yang mengorbankan banyak tenaga dan masa di rumah dalam mendisiplinkan anak-anak pun turut mengeluh. Kata mereka, di dalam rumah, anak-anak mungkin mendengar cakap, tetapi pengaruh persekitaran merosakkan segala-galanya.

Pengaruh luar ini tidak semestinya ketika anak-anak berada di luar rumah. Ia berupa alat dunia baru seperti televisyen, komputer (internet), radio dan telefon.

Rancangan televisyen hari ini begitu menakutkan. Filem, dokumentari, rancangan hiburan dan iklan menjurus kepada budaya lagha. Manakala siaran radio pula berkonsepkan hiburan terutama muzik sepanjang hari, tidak kira siang atau malam.

Itu belum diambil kira 'komputer keluarga' yang mempunyai akses internet. Jika seseorang anak sudah 'lekap' di depan monitor komputer, alamat dari pagi sampai malam dia akan berada di situ.

Dengan penggunaan telefon selular pula, pelbagai aktiviti lagha boleh dilakukan. Semuanya dibuat dari rumah, tanpa anak-anak kita dipengaruhi rakan dan faktor persekitaran luar rumah.

Di luar pula, persekitaran tidak menyebelahi ibu bapa dan guru dalam membentuk anak-anak membesar dalam suasana keagamaan. Anak-anak dipaparkan dengan pelbagai kegiatan kurang sihat, misalnya kebanjiran bahan lucah menjijikkan, percampuran tanpa batasan lelaki perempuan, kewujudan pusat-pusat hiburan serta perjudian dan perlakuan orang dewasa yang buruk.

Anak-anak sukar mengenali idola yang baik. Ada pemimpin, pemimpin korup (bukan semua); ada artis, artis tidak bermaruah (bukan semua); ada ustaz, ustaz pula tergolong dalam ulama su' (segelintir saja); ada wartawan, wartawan pengampu (bukan semua); ada ibu bapa, ibu bapa pun tidak pedulikan agama (bukan semua) dan sebagainya.

Demikian betapa sukar untuk mendidik anak-anak pada 'zaman gerhana' ini. Kemajuan diukur bukan berdasarkan kehendak Islam, tetapi mengikut nafsu serakah manusia yang berkiblatkan Barat dengan segala 'isme' yang jelas menolak agama daripada kehidupan.

Hanya kepada Allah kita berserah. Hanya Dia Yang Mengetahui apa sebenarnya sudah berlaku kepada negara kita dan dunia ini. Sebagai manusia, kita hanya berusaha, berjaya atau tidak bukan urusan kita yang daif ini.

Kemungkaran wajib dibanteras, tidak kira siapa pelakunya. Selain pelakunya, ada tangan-tangan halus yang membela kemungkaran ini. Tangan-tangan halus ini perlu diperangi sedaya upaya kerana ia adalah pencetus gelombang kemungkaran ini. Siapa golongan ini, tepuk dada tanya selera.

Saturday, September 7, 2019

Rumah tangga 8: Terbanglah wahai si anak burung...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)

PERTENGAHAN dan akhir tahun ini, puluhan ribu anak-anak muda memasuki institusi pengajian tinggi di dalam dan luar negara. Mereka memulakan hidup baru, sebahagiannya berenggang daripada ibu bapa buat pertama kali dalam hidup.

Bagi lepasan SPM (sesetengahnya belum berumur 18 tahun) yang berpeluang ke luar negara, dilihat sebagai ‘terlalu hijau’ untuk meneroka alam baru di tempat asing. Tetapi itulah hakikatnya, pengorbanan diperlukan daripada seorang insan bergelar pelajar bertukar mahasiswa bagi menjayakan cita-cita murni diri, keluarga, bangsa, negara dan agama.

Sebagai insan yang pernah melalui zaman ‘sukar’ ini (membuat pemilihan terbaik kira-kira 30 tahun lalu), penulis gagal memenuhi harapan banyak pihak sama ada ibu bapa, sekolah, saudara-mara, penduduk sekampung, penaja pengajian malah diri sendiri.

Teringat semasa saudara-mara berkumpul di rumah tatkala menghantar saya menaiki kereta api ke sebuah negeri nun di utara tanah air bagi memasuki tingkatan satu sebuah sekolah berasrama penuh di sana pada tahun 1975 dulu, ada yang berkata; “inilah bakal doktor”, “inilah bakal ‘engineer’ (jurutera)” dan “ini bakal loyar (lawyer).”

Masa cepat berlalu, pengajian sekolah menengah pun berakhir. Saya dalam dilema. Saya tidak berminat dalam profesion dinyatakan, saya mahu menjadi seorang penulis, wartawan atau sasterawan. Begitu mengejutkan kerana saya memilih memasuki tingkatan enam, bertukar aliran daripada sains kepada sastera.

Memanglah saya menyediakan cabaran tersangat hebat kepada banyak pihak terutama ibu bapa. Mereka terpaksa bersabar dengan karenah ‘gila’ saya itu. Bayangkan suatu ketika beberapa pegawai MARA dari Kuala Lumpur datang ke teratak kami, bertanya mengapa saya tidak melaporkan diri, membuat persiapan di Wisma Belia KL, sebelum dihantar ke luar negara.

Itu cerita lama, kini ada anak saya menghadapi situasi hampir sama. Memang benar remaja dalam usia 18 tahun, selepas tamat sekolah menengah, berada dalam keadaan ‘terumbang-ambing’ membuat pilihan. Mereka tidak tetap dalam membuat keputusan. Kejap mahu menyertai bidang itu, kemudian bidang lain pula. Sekejap mahu masuk matrikulasi, kemudian universiti, masuk institusi perguruan, selepas itu berubah fikiran lagi.

Sebagai bapa, saya memberi kebebasan kepada anak-anak. Terpulanglah kepada mereka hendak jadi gurukah, jurutera, doktor, peguam atau apa saja bidang pekerjaan sama ada dengan belajar di dalam atau luar negara. Terbanglah wahai anak-anak, buatlah apa yang terbaik untuk agama, bangsa, negara dan keluarga.

Demikianlah pada usia 18 tahun, selepas tamat tingkatan lima, adalah permulaan zaman baru yang begitu mencabar. Bagi yang tidak melanjutkan pelajaran, sebahagian besar akan memasuki dunia pekerjaan, ada yang melalui dunia getir bernama pengangguran dan tidak kurang menempah tiket menjadi suami atau isteri.

Kepada mereka diucapkan ‘selamat terbang’ bagi memulakan penghidupan baru. Seperti anak-anak burung yang mula menggerak-gerakkan kepak untuk terbang, demikanlah anak-anak ini. Belajarlah untuk ‘terbang’ daripada kediaman selesa dan ketiak ibu bapa masing-masing, berdikari menghadapi dunia penuh pancaroba. Anak-anak burung akan terbang dan jatuh; demikian juga anak-anak remaja. Ada kalanya patah sayap, akhirnya terbang jua.

Saya pernah membaca pesanan-pesanan hebat daripada ibu bapa kepada anak-anak sebelum mereka meninggalkan rumah masing-masing bagi memulakan kehidupan baru. Seorang bapa Amerika sebelum menghantar anaknya ke kolej (universiti) dipetik sebagai berkata: “Terbanglah wahai si anakku bagi memulakan kehidupan barumu. Rumah ini sentiasa terbuka untuk kepulanganmu. Tetapi seperti burung yang sudah pandai terbang, kamu pasti tidak betah kembali. Namun, percayalah ayah sentiasa menyediakan bahu untuk kamu sandari kepalamu.”

Demikian juga bagi remaja yang memilih untuk berkahwin seterusnya meninggalkan rumah orang tua ada pesanan hebat dibuat oleh bapa dan ibu.

Asma’ binti Khorijah dipetik sebagai menyampaikan pesanan ini kepada anak perempuannya tatkala malam pernikahannya: “Sesungguhnya engkau akan keluar dari sarang yang membesarkanmu lalu engkau beralih ke tempat tidur yang tidak kamu ketahui dan pendamping yang kamu tidak pernah bergaul denganya. Maka jadilah engkau sebagai bumi baginya agar ia menjadi langit bagimu.

“Jadilah kamu hamparan baginya agar ia menjadi sendi bagimu. Jadilah hamba baginya agar dia menjadi hamba bagimu. Janganlah engkau memaksa tuntutanmu sehingga dia membencimu. Janganlah engkau menjauhinya sehingga dia melupakanmu. Jika dia mendekatimu, maka dekatilah dia dan jika dia menjauhimu maka hindarilah dia. Jagalah hidung, pendengaran dan matanya. Janganlah sekali-kali ia mencium daripada dirimu kecuali bau yang harum, janganlah ia mendengar daripadamu kecuali ucapan yang baik dan janganlah ia memandang darimu kecuali yang indah-indah.”

Seorang tokoh pendidikan tempatan, lain pula pendapatnya. Katanya, sekalipun sudah keluar rumah dan memulakan kehidupan baru, anak-anak perlu sentiasa dipantau. Sekalipun mereka sudah berkahwin, ibu bapa perlu ambil tahu hal ehwal anak-anak. Sesekali jenguklah rumah anak-anak yang sudah berkahwin, ambil tahu sama ada kehidupan mereka berlandasan Islam atau tidak. Pastikan anak menantu ambil berat hal ehwal agama terutama sekali solat. Anak-anak mereka (cucu) juga perlu dididik secara Islam agar terselamat dan tergolonglah keluarga itu dalam warisan orang beriman seperti yang didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s. kepada anak cucu baginda.

Cabaran anak-anak yang ke luar negara lagi hebat, oleh itu ibu bapa perlu sentiasa berhubung dan menasihati mereka. Dalam usia mentah 18 tahun, mereka pasti terkejut dengan kelainan budaya dan cara hidup. Tetapi, mahu tidak mahu, mereka pasti ‘terbang’ jua, jadi sebelum ke ‘awan biru’ lengkapilah dada mereka dengan ilmu agama secukupnya.

Wednesday, September 4, 2019

Dunia perlu disedarkan derita Kashmir...



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Hai orang-orang beriman! Sesungguhnya (meminum) al-Khmar (arak), berjudi, (berkorban) untuk berhala, mengundi nasib dengan panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."
"Sesungguhnya syaitan itu bermaksud untuk menimbulkan permusuhan dan kebencian antara kamu lantaran meminum al-Khamr (arak) dan berjudi itu, dan menghalangi kamu daripada mengingati Allah subhanahu wata'ala daripada sembahyang maka berhentilah kamu daripada mengerjakan pekerjaan itu." (Maksud ayat 90-91 Surah al-Maa'idah)

KUNJUNGAN ke Kashmir (dalam jajahan India yang pada 15 Ogos lalu menyambut ulang tahun kemerdekaannya) kurang sempurna jika tidak ke Tasik Dal, Gulmarg, Sonamarg, Yousmarg (marg bererti padang rumput) dan Pahalgam. Semuanya tersangat indah, mempersona!

Dulu ketika ke Kashmir saya hanya sempat ke tiga lokasi iaitu Tasik Dal, Gulmarg (yang bererti padang rumput penuh bunga-bungaan) dan Pahalgam iaitu sebuah kampung penggembala.

Tasik Dal berukuran 8 kilometer kali 4 kilometer dengan keluasan 26 kilometer persegi. Keindahannya terserlah; dengan latar belakang gunung-ganang termasuk banjaran Zabarwan; di pesisirnya terdapat sejumlah taman-taman indah dan luas peninggalan Moghul seperti Cheshmashahi, Pari Mahalm Nishat Bagh, Shalimar dan Harwan. Berada di taman-taman ini bagaikan berada dalam 'syurga dunia', seseorang itu terleka melihat kembangan bunga mengharum dan bunyi aliran air di bawah pohon-pohon gergasi meneduhi bumi.

Di Kashmir, kami menghuni di dalam rumah bot (houseboat) yang sengaja dibiarkan tersadai di pinggir Tasik Nagin, hanya sembilan kilometer dari Tasik Dal. Dari sinilah kami bergerak ke Gulmarg yang jauhnya 60 kilometer dan ke Pahalgam, hampir 100 kilometer dari Srinagar. Gulmarg sebuah dataran tinggi bagaikan karpet hijau, begitu mempersona, menjadi tumpuan ribuan orang setiap hari. Pada musim tertentu ia menjadi destinasi sukan ski, terutama mereka yang berupaya ke ketinggian bersalji, Apharwat dengan menaiki kereta kabel.

Pahalgam pula adalah lembah yang terdapat aliran deras anak-anak sungai termasuklah yang mengalir ke sungai termasyhur Indus dengan butiran-butiran batu dapat dilihat didasarnya. Pemandangannya sungguh mempersona, kata orang tiada ayat yang sesuai bagi menggambarkan kecantikan alam semula jadinya.

Bumi yang indah ini menjadi rebutan pihak tertentu seperti India, Pakistan dan China dan pada masa sama sebahagian penduduknya mengidamkan sebuah negara sendiri yang merdeka dan berdaulat. Mereka mahukan PBB mengadakan pungutan suara tetapi semuanya tidak dipedulikan...masyarakat dunia hanya memandang sepi rintihan mereka!

Persaingan India-Pakistan sebahagiannya  bagi membuktikan mereka adalah jaguh Asia Selatan. Kedua-dua negara sudah terbabit dalam tiga peperangan, dua daripadanya membabitkan isu Kashmir. Islamabad dan New Delhi juga didakwa bersaing memajukan senjata nuklear. 

Sekalipun isu Kashmir sering dikatakan sebagai punca ketegangan India-Pakistan, kedua-dua sebenarnya menghadapi masalah dalaman yang boleh menjejaskan masa depan benua kecil itu. 

Pakistan menghadapi pelbagai krisis puak, misalnya antara militan Syiah dan Sunnah yang menjejaskan keharmonian di wilayah Punjab dan Sindh. Sekalipun 97 peratus daripada lebih 135 juta penduduk negara ini beragama Islam, perbezaan fahaman mencetuskan krisis yang mengancam negara.

India pula menghadapi masalah berpunca daripada perbezaan agama penduduknya. Daripada lebih satu bilion penduduk India, 83 peratus beragama Hindu, 11 peratus Islam, tiga peratus Kristian dan dua peratus Sikh. Kemuncak perbalahan antara penduduk Hindu dan Islam adalah tindakan militan Hindu membakar Masjid Babri (didirikan Maharaja Moghul, Babur pada abad ke-16) pada 1992 dulu. Rusuhan yang berlaku selepas peristiwa itu dan pergaduhan di Bombay menyebabkan beratus-ratus orang terbunuh.

Namun semua ini tidak sedahsyat konflik di Kashmir. Diberitakan apabila berlaku kebangkitan umat Islam Kashmir akhir-akhir ini lebih 70,000 orang kebanyakannya orang awam Kashmir terbunuh sejak 1989. Penduduk dunia perlu tahu mengenai perkembangan ini seterusnya bangkit menyuntik kesedaran sejagat agar keganasan ini dapat dihentikan. Biarkanlah bumi Kashmir yang indah mempersona itu dinikmati sepuas-puas oleh penduduknya sendiri!