Monday, February 24, 2020

Tanah Suci 8: 'Khadam' masjid bergaji 700 riyal sebulan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
***************
Renungan
"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)

DI Masjid Nabawi dan Masjidilharam tiada peti atau tabung derma. Jadi sukarlah jemaah mahu menderma seperti di masjid-masjid di Malaysia yang kebanyakannya menyediakan tong malah kotak derma beroda pada hari Jumaat.

Sebelum berangkat menunaikan umrah tempoh hari, ada saudara dan taulan menyerahkan sejumlah wang kepada saya untuk didermakan di Tanah Suci. Saya berfikir takkan semua wang itu mahu diserahkan kepada pengemis dan peminta-peminta di dalam dan luar masjid.

Ada sahabat mengesyorkan sebahagian wang itu dibahagi-bahagikan kepada pekerja-pekerja beruniform di Masjid Nabawi dan Masjidilharam. Masa kecil-kecil dulu, saya ada terdengar orang kampung bercerita bahawa mereka adalah 'khadam' masjid yang telah menyerahkan seluruh jiwa raga mereka kepada jalan Allah malah tiada keinginan pada dunia seperti berkahwin.

Atas usaha mengagihkan-agihkan wang itulah saya berkenalan dengan sejumlah 'khadam'. Ada ribuan 'khadam', kebanyakannya dari benua kecil India (India, Pakistan dan Bangladesh) tetapi disebabkan kekangan bahasa, tidaklah dapat saya berbual lancar dengan mereka.

Alhamdulillah ada sejumlah 'khadam' dari Indonesia, jadi dapatlah saya 'mengorek' cerita mereka. Kata seorang daripadanya yang berasal dari Jawa Tengah, ada hanya kira-kira 100 warga Indonesia daripada ribuan pekerja itu.

Beliau berkata tidak betul 'khadam' tiada berkeinginan kepada dunia. "Kami dikontrak di sini dua tahun. Selepas itu diberi cuti panjang untuk balik kampung. Kalau mahu sambung kontrak, boleh saja, kalau tak mahu tak payah ke sini lagi.

"Kami di sini diberi gaji 700 riyal sebulan. Tolak makan dan belanja, ada berbaki 500 riyal untuk disimpan atau hantar balik kampung. Apa yang seronok di sini uniform, kediaman, pengangkutan adalah gratis (percuma) dan yang paling mustahak dapat sentiasa solat berjemaah di masjid. Alhamdulillah."

Berkenaan 'khadam' ini, ada pembaca mencoretkan kisah kebaikan seorang daripadanya.

----------------

DISEBABKAN sudah beberapa kali ke Tanah Suci, tidak menjadi masalah untuk aku ke Masjid Nabawi sendirian.

Pada hari pertama di Madinah, aku tidak sempat bersembahyang fardu Subuh di masjid yang turut menempatkan makam Rasulullah s.a.w.

Untuk menunaikan fardu Zuhur, aku pergi awal ke masjid. Aku pergi ke satu sudut lengang, tidak jauh dari pintu yang aku gunakan untuk memasuki masjid.

Selepas bersembahyang sunat, aku duduk dan bersandar di pangkal tiang untuk membaca Quran.

Secara kebetulan aku ternampak sekeping wang kertas Arab Saudi bernilai 50 riyal terletak di tepi pangkal tiang tersebut.

"Wang siapakah ini?" aku bertanya diriku sendiri.

"Siapakah yang meletakkannya di sini?"

Kata orang di dalam Masjid Nabawi, di salah satu pangkal tiangnya merupakan tempat seseorang meminta sesuatu.

"Tidak...," bisik hati kecilku.

"Wang ini bukan untukku. Ada orang tercicir wang itu. Berkemungkinan pekerja masjid yang meletaknya di sini...," hati kecilku berkata lagi.

Aku dengan segera berpindah tempat duduk.

Aku mengingatkan diriku keikhlasan hatiku sedang diuji.

Aku diberi peluang menemui wang itu agar reaksiku dapat dikenal pasti. Aku percaya akan diberi ujian lagi pada hari-hari berikutnya.

Aku perlu berhati-hati. di Tanah Suci (Madinah dan Makkah), seseorang jemaah haji atau umrah ada kalanya diuji keimanannya dengan berbagai-bagai cara.

Aku lalu memohon kepada Allah supaya diberi hidayah dan petunjuk.

Selepas beberapa hari berada di Madinah, aku dan ahli-ahli rombongan umrahku dibawa ke Makkah pula.

Pada hari terakhir aku di Makkah, selepas bersembahyang fardu Zuhur, seorang pemuda, agakku dari Pakistan mendekatiku.

Dia memperkenalkan dirinya sebagai seorang mahasiswa di pusat pengajian tinggi. Dia bertutur dalam bahasa Inggeris.

Dia mendakwa kesempitan wang dan merayu bantuanku.

Pada masa itu aku mempunyai wang sebanyak 150 riyal. Aku berhasrat menyerahkan wang tersebut kepada pemuda itu.

Tiba-tiba seorang pekerja masjid berdiri tegak di hadapan pemuda tadi. Dia berbicara dalam satu asing, agakku bahasa Urdu.

Aku tidak faham apa yang mereka perkatakan. Yang lebih banyak bercakap pekerja masjid itu.

Dia berkata-kata dengan nada agak keras. Sejurus kemudian pemuda itu meninggalkan tempat itu dan terus menghilangkan diri.

Pekerja masjid itu berbicara denganku pula.

"Saya Akbar...orang Bangladesh. Saya pernah bekerja di Malaysia...di Kuala Lumpur. Encik dari Malaysia...bukan?"

"Ya," jawabku ringkas.

"Pemuda itu pembohong. Di hadapan Kaabah pun dia berbohong. Jangan percaya kata-katanya," dakwa Akbar.

"Terima kasih Encik Akbar," kataku.

Aku bangkit untuk bersembahyang sunat syukur dua rakaat. Aku bersyukur kerana ada insan memberitahu aku rahsia pemuda tersebut. - YUSOFF ISMAIL 
 

Hantarkan artikel anda kepada LanH di e-mel Lanh14@gmail.com

Sunday, February 16, 2020

Tanah Suci 7: 'Berselfie', berlintas langsung di Raudhah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

SAYA fikir adalah mudah memasuki Raudhah di Masjid Nabawi pada luar musim haji misalnya ketika umrah. Hakikatnya tidak. Cabarannya tetap sama. Hanya segelintir insan pilihan Allah berjaya memasuki taman syurga itu.

Disember 2019 ketika menunaikan umrah, saya berusaha dan berusaha memasukinya. Saya menjadi pemerhati di luar dan di dalam Raudhah. Apa saya lihat yang menjadi fenomena sekarang ini sejumlah jemaah 'berselfie' (berswafoto) dan membuat lintas langsung dalam Raudhah.

Sepuluh tahun dulu saya tak nampak pun hal ini. Malah untuk memasuki Masjid Nabawi dan Masjidilharam gajet seperti kamera kena letak di luar. Kalau degil, kamera akan dirampas. Sekarang dengan perkembangan teknologi, sesetengah jemaah syok merakam aksi sendiri untuk dihantar kepada orang tersayang atau 'viralkan'. 

Subhanallah, zaman sudah berubah...berikut sebuah artikel mengenai Raudhah kiriman seorang pembaca.

------------------------
KESYAHDUAN ketika berada di Madinah An-Nabuwwah sukar digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi ketika berada di Masjid Nabawi. Solat di Masjid Nabawi adalah lebih afdal daripada 1,000 solat di masjid lain kecuali Masjid Al-Haram dan Masjid Al-Aqsa.

Di Masjid Nabawi, menjadi idaman jemaah untuk solat di Raudhah yang mulia. Kedudukan Raudhah adalah di antara rumah Rasulullah s.a.w. dan Saiyidatina Aisyah r.anha dengan mimbarnya.

Kelebihan Raudhah telah diriwayatkan secara mutawatir daripada Rasulullah s.a.w. bahawa ia adalah sebahagian daripada syurga.

Ia adalah suatu tempat mulia di dalam Masjid An-Nabawi, selain menjadi tempat Rasulullah s.a.w. dan para sahabat beribabat dan tempat turunnya wahyu kepada Rasulullah s.a.w. Ia juga merupakan sebuah taman syurga. (sumber buku Rahsia Madinah oleh Khalil Ibrahim Mulia Khothir).

Suatu hari pada musim haji lalu (1422 Hijrah), saya dan rakan-rakan sebilik, berbincang bagaimana untuk memasuki Raudhah.

Masjid amat sesak, menyukarkan seseorang itu solat di bahagian depan, apatah lagi memasuki Raudhah. Bahagian depan masjid biasanya dikepung dengan tabir.

Sebaik-baik saja selesai solat waktu, jemaah berebut-rebut memasuki Raudhah. Sebahagian besar jemaah dalam Raudhah enggan berganjak menyukarkan pengunjung baru memasukinya.

Seorang sahabat berusaha memasuki Raudhah dengan menunggu di pintu masuk pada jam 2.00 pagi. Masalahnya kita tidak tahu pintu mana akan dibuka dulu.

Kadang-kadang kita menunggu di Bab As-Salam tetapi yang dibuka Bab Abu Bakar. Apabila dibuka, jemaah berlari-lari menuju Raudhah. Dalam sekelip mata, Raudhah sudah penuh.

Untuk mengenal kawasan Raudhah, warna permaidaninya boleh dijadikan panduan. Warna permaidani di Raudhah berbeza daripada di kawasan lain. Ketika saya di sana dulu, warnanya seakan-akan putih manakala di kawasan lain merah.

Untuk memasuki Raudhah seseorang itu perlu sentiasa menunggu-nunggu kesempatan.

Selalunya jemaah bertolak-tolakkan untuk masuk. Saya perhatikan apabila seseorang jemaah memasuki kawasan itu dan cepat-cepat angkat takbir untuk solat, dia tidak akan ditolak jemaah lain ataupun pengawal. Ertinya dia selamat untuk meneruskan solatnya.

Suatu hari, saya terlihat ada ruang untuk solat tetapi ketika itu saya berada dalam kedudukan kurang sesuai.

Apabila masuk saja kawasan itu, saya pun cepat-cepat angkat takbir. Saya ingat saya sudah selamat, rupa-rupanya tidak. Seorang pengawal berdekatan, menolak saya keluar dari kawasan Raudhah itu!

Demikian betapa susah memasuki Raudhah ketika musim haji. Suatu hari, seorang sahabat berkata dia sudah dapat masuk Raudhah tetapi separuh saja.

Saya tanya macam mana. Dia kata dia dapat solat dengan kakinya di permaidani merah tetapi apabila sujud, kepalanya mencecah kawasan permaidani warna putih.

Alhamdulilah, akhirnya dia dapat juga memasuki Raudhah walaupun separuh badan saja! - HAMBA ALLAH

Kirimkan artikel anda kepada LanH di e-mel Lanh14@gmail.com

Tuesday, February 11, 2020

Tanah Suci 6: Capek selepas kucup Hajar Aswad

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

KALI pertama saya ke Makkah tahun 2002. Ketika itu saya berusia 40 tahun - masih 'gagah' kata sesetengah orang. Saya berazam kucup Hajar Aswad di Masjidilharam. Alhamdulillah dapat.

Disember 2019 saya kembali ke Tanah Suci buat kali keempat. Umur sudah melepasi 57 tahun. Sudah tiada 'power' kata sesetengah orang. Tetapi tetap berazam kucup Hajar Aswad.

Sebagai jemaah veteran, saya tahu taktik dan tekniknya. Antaranya mengikut barisan jemaah betul-betul di sisi batu Kaabah mulai Rukun (Penjuru) Yamani menuju Hajar Aswad. Jangan lepaskan kedudukan anda. Pegang batu Kaabah tu kuat-kuat. Bersabar dan teruslah bersabar...insya-Allah anda akan  terdorong perlahan-lahan ke depan.

Sudah beberapa kali saya cuba teknik ini tetapi tak berjaya. Namun saya tak putus asa. Pusing Kaabah (ini bukan pusingan tawaf) dan cuba lagi sehingga pada satu percubaan, kepala saya sudah terdorong terus masuk Hajar Aswad. Alhamdulillah...

Masalahnya selepas mengeluarkan kepala, ketika hendak keluar, rempuhannya tersangat dahsyat. Tiada laluan untuk keluar. Orang terus menolak saya ke arah Hajar Aswad sedangkan saya mahu keluar! Saya dapat rasakan saya tiada tenaga lagi. Betul kata orang, tiada 'power' lagi, semuanya sudah digunakan untuk 'melonjakkan kepala' ke dalam Hajar Aswad.. Saya rasa 'macam nak mati'. 

Saya menyebut "Allah, Allah, Allah', cuba bertahan dan bertahan supaya tidak jatuh dan dipijak-pijak, akhirnya entah macam mana saya 'tercampak keluar' daripada rempuhan itu. Alhamdulillah saya terselamat. Saya dapat banyak pengajaran daripada peristiwa itu. Antaranya, wahai LanH, insaflah awak dah tua...sudah tidak layak lagi berebut-rebut untuk kucup Hajar Aswad...

Mengenai Hajar Aswad ini ada pembaca mengirim coretan beliau.

***************
WALAUPUN sudah beberapa tahun berlalu, sehingga kini saya masih terbayang pengalaman ketika menjejakkan kaki ke Tanah Suci mengerjakan umrah.

Banyak betul perkara pelik berlaku yang saya saksikan dengan mata saya sendiri.

Pemergian saya yang tidak dirancang itu sememangnya membawa kesan mendalam. Pengalaman yang ditempuh sepanjang berada di sana banyak menginsafkan diri. Terasa diri begitu kerdil apabila berada di depan Kaabah.

Niat hendak ke Makkah datang dengan tiba-tiba pada suatu hari selepas solat Isyak. Hati saya berdegup dan teringatkan Tanah Suci, lantas air mata saya jatuh berjurai menangis hiba.

Dalam keadaan diri yang masih belum bersedia untuk datang ke rumah-Nya itu, saya terus daftar untuk pergi menunaikan umrah. Mungkin itulah yang dikatakan dah sampai seru agaknya.

Sepanjang berada di sana, saya menghadapi dua keadaan yang berbeza berhubung diri saya sendiri. Di luar kawasan Masjidilharam, sama ada di tempat makan atau ketika di dalam hotel, keadaan saya lemah tidak bermaya, seperti orang demam.

Setiap kali keluar dari masjid badan saya menjadi lesu, sakit perut dan tidurnya menggigau.

Namun, apabila azan berkumandang, saya merasakan seolah-olah ada satu tenaga yang tiba-tiba mengalir ke dalam tubuh badan.

Serta-merta saya sihat dan cergas untuk keluar menunaikan ibadah, namun, setelah keluar dari masjid, keadaannya berubah lemah semula.

Memang hairan mengapa saya jadi begitu. Telan ubat pun, tak sihat juga. Tapi, apabila nak jalankan ibadah dan mahu ke masjid, saya tiba-tiba sihat semula.

Mungkin 'Dia' mahu saya sentiasa dekat dan beribadat menghadap-Nya.

Peristiwa pelik tidak berhenti di situ sahaja. Sewaktu sedang berdoa setelah selesai mengerjakan umrah saya solat sunat berhadapan makam Nabi Allah Ibrahim, saya terkejut apabila melihat bayangan seorang lelaki berjubah putih timbul perlahan-lahan dari bekas tapak kaki Nabi Allah itu naik ke langit.

Wajah lelaki itu sungguh tampan. Rasanya, tak ada lelaki di dunia ini setampan itu. Mukanya amat berseri dan bercahaya. Bayangan itu perlahan-lahan naik ke langit sebelum hilang daripada pandangan.

Saya terus menangis melihat keadaan itu. Rasa kagum dan istimewa kerana melihat kebesaran yang Allah berikan untuk saya melihat.

Sampai sekarang adakalanya saya masih tertanya-tanya siapa lelaki itu. Wallahualam, sampai sekarang saya masih bertanya diri sendiri.

Peristiwa lain, sewaktu dalam perjalanan untuk melakukan saie, saya ternampak seorang lelaki yang turut sama melakukan ibadah tersebut.

Tapak kakinya luka teruk hingga darah keluar dari garis luka namun lelaki itu sedikitpun tidak mengeluh malah dengan sabar dia terus menunaikan ibadah itu.

Saya berasa takjub apabila mendapati tidak ada kesan darah pun di atas lantai sekalipun darah mengalir keluar.

Saya hairan sangat. Darah yang menitik itu tidak kelihatan. Seolah-olah ia lenyap apabila jatuh ke atas lantai.

Sewaktu sedang asyik mengerjakan ibadah di hadapan Kaabah, sekali lagi saya dikejutkan dengan satu pandangan yang sungguh indah, berseri dan mengkagumkan.

Ketika itu, saya sedang menadah tangan berdoa. Tiba-tiba saya melihat bayangan sebuah istana yana sungguh cantik keluar perlahan-lahan dari atas Kaabah. Istana itu bergemerlapan dan diterangi cahaya hijau yang menusuk jiwa dan nalurinya.

Mata saya tidak berkelip melihat istana itu. Sungguh cantik. Perlahan-lahan istana itu naik dan hilang di langit. Saya tersentak dan tersedar.

Saya menangis, rasa diri begitu kerdil sangat dapat menyaksikan keajaiban Tuhan.

Pengalaman jemaah yang tersesat sewaktu sedang beribadah di Tanah Suci selalu didengari. Sememangnya keadaan masjid yang mempunyai lebih 100 pintu itu agak menyukarkan jemaah untuk mengecamnya. Saya juga tidak terlepas dari mengalami hal yang serupa.

Saya masih ingat, pintu yang saya gunakan ketika masuk untuk beribadat ialah pintu Al-Madina Nombor 56.

Selesai mengerjakan ibadah, saya pun berjalan keluar. Tapi, saya jadi panik kerana pintu Nombor 56 tidak ada.

Puas saya berjalan mencari pintu itu. Pusing keliling pun tak jumpa. Tak tahu nak buat apa, akhirnya saya menghadap Kaabah memohon doa pada Allah ditunjukkan jalan pulang. Lepas je berdoa, saya toleh ke belakang, tengok-tengok terpampang pintu nombor 56 depan mata.

Namun ada satu peristiwa menyayat hati sebelum saya keluar melalui pintu itu. Ketika berjalan menuju ke pintu tersebut, seorang wanita tiba-tiba jatuh tersembam di kaki saya dan terus meninggal di situ juga.

Hajat saya untuk mengucup Hajar Aswad yang pada mulanya tidak kesampaian akhirnya berjaya dilaksanakan.

Ketika di depan Kaabah, memang niat hati nak kucup batu itu. Tapi, saya rasa takkan dapat sebab orang semuanya berebut untuk melakukan perkara yang sama. Saya sendiri tidak nampak jalan untuk mendekati batu itu. Beberapa kali ke Kaabah, begitulah yang berlaku.

Hinggalah pada hari ke-11 berada di Baitullaharam, saya memohon doa pada Tuhan, minta dipermudahkan untuk dapat mengucup batu suci itu.

Alhamdulillah, hajat itu akhirnya termakbul, saya menangis teresak-esak seperti anak kecil ketika mengucup Hajar Aswad. - NOR ZAINI ALI  

Sunday, February 9, 2020

Tanah Suci 5: Bermimpi melihat Baitulmakmur...

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan

"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)

DI Tanah Suci, tempoh tidur seseorang jemaah yang tekun beribadah mungkin amat kurang. Mereka melebihikan masa beriktikaf dan sibuk beribadat sama ada di Masjidilharam atau Masjid Nabawi.

Selepas solat isyak dan melakukan amalan sunat, kebanyakan jemaah akan balik ke hotel dan tidur sebentar sebelum kembali semula ke masjid jam 12 tengah malam, 1 pagi, 2 pagi, 3 pagi dan seterusnya untuk merebut kelebihan beribadah sunat pada sepertiga malam terakhir seperti solat tahajud, witir  dan sebagainya.

Pada waktu dinihari ini peluang seseorang jemaah memasuki Raudhah (di Masjid Nabawi) dan beribadat di sisi Kaabah dan tempat istimewa seperti dalam Hijir Ismail dan di belakang Maqam Ibrahim hatta untuk mengucup Hajar Aswad (di Masjidilharam) adalah lebih cerah berbanding pada waktu lain.

Kenapa jemaah bersungguh-sungguh beribadah di Masjid Nabawi dan Masjidilharam? Sudah pasti untuk mendapatkan keredaan dan pengampunan Allah SWT yang menjanjikan beribadat di Masjid Nabawi 1,000 kali ganda ganjarannya daripada masjid biasa manakala di Masjidilharam 100,000 kali ganda...ya rugi besarlah kalau tak nak rebut tawaran hebat ini...

Walaupun waktu tidur singkat, kebanyakan jemaah dapat tidur dengan lelapnya. Hampir tiada mimpi...tetapi sesekali bermimpi jua. Saya pun pernah bermimpi tetapi biarlah saya rahsiakan buat masa ini.

Berhubung mimpi ini, ada pembaca mencoretkan kisah beliau.

SUATU hari pada bulan Februari tahun 2000 (1420 Hijrah) saya sekeluarga bertolak ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.

Perasaan gembira tidak dapat digambarkan maklumlah buat pertama kalinya saya ke Tanah Suci. Suami menjadi pembimbing kerana beliau pernah menunaikan umrah pada Ogos 1999.

Oleh kerana kami diberi penerbangan awal, bermakna rombongan kami ke Madinah dahulu untuk menziarah Makam Rasulullah s.a.w. di Masjid Nabawi dan menunaikan solat 40 waktu sepanjang lapan hari.

Aduh! terpegun saya melihat keunikan Masjid Nabawi yang tersergam indah.

Alhamdulillah sepanjang berada di Madinah saya dan ahli keluarga sihat.

Apabila sampai masa hendak bertolak ke Makkah perasaan mula terasa hiba kerana sayang hendak meninggalkan Masjid Nabawi dengan Makam Rasulullah s.a.w. di situ.

Rombongan kami menaiki bas yang disediakan dan menuju ke Masjid Bir Ali untuk berniat mengerjakan umrah wajib. Saya dan keluarga mengerjakan Haji Tamattuk.

Dalam bas saya berkenalan dengan seorang guru lepasan Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau banyak juga mengajar saya tentang sembahyang sunat, kebetulan beliau sebilik dengan saya di Makkah.

Yang amat saya tertarik sekali ialah sembahyang sunat Awabin sebabnya sebelum sembahyang berdoa dahulu untuk ucap selamat datang kepada Malaikat yang bertugas malam.

Apabila ilmu ini sudah saya perolehi, boleh dikatakan setiap malam saya mengerjakan sunat Awabin ini iaitu enam rakaat dengan tiga salam.

Perasaan saya macam terasa seperti ramai orang ikut saya sembahyang.

Saya selalu mengerjakan sembahyang di tingkat dua Masjidilharam. Rasa selesa dan jiwa tenang dengan perasaan cukup gembira kerana mendapat ilmu baru itu. Terima kasih pada sahabat saya itu.

Sampailah kemuncak haji, saya dan rombongan bertolak ke Padang Arafah pada 8 Zulhijah selepas sembahyang Isyak.

Kami sampai lebih kurang 11 malam. Setelah mengambil makanan kami ke khemah mengikut nombor yang diberi.

Oleh kerana saya agak keletihan saya minta izin pada mak cik di sebelah saya untuk tidur.

Tempat tidur saya terletak di antara cantuman khemah dengan khemah yang lain bermakna apabila melentang saya terus nampak langit.

Mata saya berkelip-kelip melihat langit, hati saya berkata: "Tak pa kut di sini bukan ada hujan."

Saya terus mengiring berkerekot dan terlelap... bermimpilah saya...

Ada satu kuasa melentangkan saya bagi menghadap langit dan diluruskan kaki saya, kemudian saya nampak awan yang cantik berkepul-kepul membawa Kaabah, saya terkejut dan menjerit: "Ya Allah! Kaabah."

Tiba-tiba kedengaran suatu suara serak-serak basah (lelaki) tanpa kelihatan orangnya, menyebut 'Baitulmakmur'.

Terus saya menjerit sekuat-kuatnya 'Allahuakbar' berkali-kali.

Sehinggalah awan membawa 'Kaabah' pergi sehingga sayup mata memandang, kemudian saya dikerekotkan kembali.

Oh! tersedar saya dari mimpi tersebut. Saya bangun duduk bersila melihat sekeliling. Semua orang sedang sedap berdengkur.

Saya termenung, memikirkan apakah hikmah di sebalik mimpi itu. Saya hanya manusia biasa tetapi mungkinkah ada iktibarnya ditunjukkan tempat Malaikat bertawaf sekalipun dalam mimpi saja. - HAJAH NOOR AZIZAN

Sunday, February 2, 2020

Tanah Suci 4: Wanita muda terbuka tunai umrah

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang beriman, beramal salih, dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. - Maksud ayat 1-3 Surah Al-Asr

MENJELANG tahun 2020, apatah lagi sekarang, Arab Saudi membuka peluang kepada wanita muda menunaikan umrah tanpa mahram. Sebelum ini hanya dibenarkan untuk wanita berusia 45 tahun dan ke atas sahaja. 

Jadi tiada halangan lagi bagi wanita bujang atau wanita muda yang tiada mahram untuk pergi menunaikan umrah sendiri. Pengunjung kini menggunakan tourist pass atau visa pelancong dan visa ini boleh dibuat di Kedutaan Arab Saudi dengan caj 300 riyal bersamaan RM350.

Kini sudah ramai pelancong ke lokasi bersejarah yang jauh seperti Madain Saleh yang terletak 300-400 kilometer di utara Madinah. Berceloteh mengenai jemaah wanita muda ini teringat saya artikel kiriman seorang pembaca tidak lama dulu.

*******

MUSIM haji 1418 Hijrah aku amat gembira kerana terpilih menunaikan rukun Islam kelima pada usia muda, 32 tahun, apatah lagi masih bujang.  
Setelah tiga tahun aku bertugas sebagai guru, simpananku mencukupi menunaikan rukun Islam kelima.

Hatiku berbunga riang mengenangkan doaku sejak tamat alam persekolahan dimakbulkan Allah. Terasa besar nikmat diberi hingga aku mampu menjejak kaki ke Tanah Suci.

Tiada terhingga ucapan syukurku kepada-Nya. Segala persiapan mental dan fizikal kucukupkan sekadar termampu.

Dua tahun sebelum pemergian, aku mula mengikuti kursus-kursus haji, mendirikan solat lima waktu di masjid, melakukan ibadah sunat termasuklah solat taubat.

Aku benar-benar takut mengenangkan Tanah Suci tempat ujian Allah untuk insan terpilih. Aku takut menjadi insan yang dipilih untuk diuji.

Tibalah hari ditunggu. Tanggal 14 Mac 1998 aku bertolak ke Tanah Suci. Hampir terlupa, rupanya cuti masih tidak dipohon. Mujurlah tidak menjadi masalah cutiku diluluskan dengan cepat.

Dek terlalu berahsia aku tidak memberitahu kawan-kawan sekolah mahupun jiran tertangga sehingga ustaz yang mengetuai pakej bertanya kepadaku adakah sahabat handai telah diberitahu.

Banyaknya lalaiku, maklumlah mungkin terlalu gembira atau menggelabah kerana aku begitu cemas pergi tanpa seorang kenalan pun.

Harapanku hanya bertemankan Allah. Aku ke Makkah tanpa kenduri kesyukuran seperti orang lain, sekadar solat sunat syukur yang aku tunaikan seorang diri.

Hari terakhir aku di rumah, ramai sungguh sahabat-sahabat menziarahi. Mungkin keluargaku memberitahu mereka. Aku benar-benar gembira dan sedih berpisah dengan emak (kini arwah) dan ayah.

Selepas subuh aku ke lapangan terbang menaiki teksi tanpa orang lain menghantarku. Aku benar-benar sendirian, sudahlah tanpa mahram sebenar dan menunaikan haji sekadar menumpang pada pakej sahaja.

Sepanjang penerbangan tiada masalah yang kuhadapi. Kecut perut juga sebab maklumlah kali pertama berada dalam pesawat. Seram juga rasa di hati.

Di dalam kapal terbang, aku yang peramah, mula mencari kenalan persaudaraan buatku agar tak sunyi di Tanah Suci nanti.

Syukur alhamdulillah, selamatlah kami sampai di Madinah. Air mata kesyukuran berguguran ketika menikmati keindahan Masjid Nabawi, indah sungguh ciptaan Yang Maha Suci tak tercapai dek minda akal fikiran manusia.

Ramainya hamba-Mu yang sanggup menghabiskan wang ringgit semata-mata mengejar keredaan-Mu, ya Allah. Doa di Raudhah sungguh tenteram di jiwaku. Tak habis-habis aku panjatkan rasa syukurku terhadap Tuhan Yang Maha Esa.

Selain berdoa untuk keimanan, kesejahteraan dan kebaikan untuk keluarga, sahabat handai seterusnya untuk muslimin dan muslimat, aku turut berdoa agar tidak uzur pada musim haji.

Aku berpeluang menziarahi sekeliling Masjid Nabawi pada waktu malam. Begitu cermat dan rapi sekali penjagaan Masjid Nabawi rupanya.

Makam Rasulullah s.a.w. tidak ketinggalan untuk kuziarahi. Sungguh sayu hatiku mengenangkan perjuanganmu ya Rasulullah. Tiap-tiap hari sepanjang di Madinah aku pasti tidak ketinggalan berada di makammu mulai jam 7.00 hingga 11.00 pagi iaitu waktu ziarah untuk muslimat.

Waktu ziarah singkat dan ruangnya sempit, bersesak-sesak namun aku mengharapkan Allah menjadi teman baikku, tidak menyukarkanku ketika menziarahi makam yang mulia itu. Aku sungguh yakin temanku tak mungkin mengabaikan diriku yang sendirian ini.

Ke mana saja kupergi, aku jarang bertemankan orang lain, hanya Allah menjadi temanku. Semoga doa yang kucatat dari tanah air dan kubaca berkali-kali di Raudhah dan doa berdasarkan buku-buku panduan Tabung Haji dimakbulkan Allah.

Empat puluh waktu solat sudah pun mencukupi, maka pihak pakej mengumumkan masa berangkat ke Makkah Al-Mukarramah.

Dengan linangan air mata para jemaah berat hati berpisah dengan Nabi yang mulia. Ziarah wida pengakhir ibadah kami. Madinah, moga ada ruangan untuk kami ke bumimu lagi.

Perjalanan ke Makkah selama sembilan jam selepas kami berihram di Bir Ali. Setelah mandi sunat aku orang pertama menaiki bas, tak sabar rasanya untuk melafazkan talbiah.

Subuh hari kami pun sampai di Makkah. Setelah barang-barang di angkat ke Hotel An Nakhel, ustaz membawa ahli jemaah ke Masjidilharam.

Aku sungguh terharu. Air mata begitu lebat turun membasahi pipi dan kain telekung. Tawaf dan saie disempurnakan dengan aman sekali.

Walaupun penat kami gembira sekali. Selesai sudah umrah pertamaku. Hari-hari seterusnya begitulah keadaan para jemaah beribadah sambil membeli-belah untuk keluarga di tanah air.

Aku memang tidak suka bersama teman-teman lain, ke mana saja pergi pasti aku seorang diri. Selain umrah sunat masaku sepenuhnya berada di masjid. Aku balik ke hotel sekadar untuk makan minum dan urusan harian sahja.

Tidur sekadar dua jam. Aku bimbang tak berbaloi pengorbananku berjimat cermat jika tidak menghabiskan waktu di masjid teragung itu.

Kerap aku bersolat hajat untuk selamat, sihat dan riang di Tanah Suci. Aku seolah-olah lupa yang masih punya keluarga di tanah air. Hanya sekali aku menelefon keluarga sepanjang 47 hari di Tanah Suci.

Pada tanggal 8 Zulhijah, jemaah berangkat ke Arafah. Mudah sekali perjalanan yang dikurniakan Allah buat pakej kami. Walaupun jalan sesak tetapi masa perjalanan tak sampai sejam. Kami bersyukur.

Khemah kami sungguh selesa. Bermula solat Asar berjemaah, tangan ditadah tanpa jatuh hingga terbenam matahari.

Terima kasih kepada Ustaz Abdul Ghani kerana memimpin seluruh jemaah.

Selepas berwukuf di Arafah, kami bertolak ke Mudzalifah, mencari kerikil untuk digunakan ketika melontar di jamrah.

Di jamrah, sewaktu melontar, terasa begitu kerdil diri ini. Jemaah terlalu ramai. Aku begitu takut jika hajatku tidak kesampaian. Maklumlah orang lain ada suami yang menolong untuk ke depan. Aku hanya memandang kesedihan.

Waktu afdal melontar memang ditunggu-tunggu. Aku mengikut seorang rakan bersama suaminya untuk melontar di Jamratul Aqabah (Kubra). Rakan itu yang aku bahasakan 'kakak' sudah siap melontar bersama suaminya, aku belum lagi.

Dalam hatiku tak putus berdoa agar dipermudahkan untuk melontar. Aku cuba mendekati tempat melontar sambil berdoa. Tiba-tiba satu lorong terbentuk untukku ke depan sampai ke tempat melontar.

Aku bagai disuruh lalu dengan begitu mudah setelah selesai lontaranku yang ketujuh. Aku berpusing untuk pulang mengikut lorong tadi.

Sungguh mudah dan senang, aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana membantuku menunaikan ibadah melontar tanpa susah payah.

Selesai musim haji aku masih teringat banyak peristiwa di Tanah Suci yang kukira amat mudah dilaksanakan walaupun tanpa teman.

Cukuplah Allah sebagai teman kita. Berdasarkan pengalaman diriku yang pernah ke Makkah tiga kali yakinlah dengan Allah sebagai kawan dan teman, pasti tidak mungkin di abaikan. Moga tahun ini sekali lagi aku terpilih untuk menunaikan ibadah haji. Insya-Allah. - HAJAH NOR HAMIZA