Tuesday, February 11, 2020

Tanah Suci 6: Capek selepas kucup Hajar Aswad

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32

KALI pertama saya ke Makkah tahun 2002. Ketika itu saya berusia 40 tahun - masih 'gagah' kata sesetengah orang. Saya berazam kucup Hajar Aswad di Masjidilharam. Alhamdulillah dapat.

Disember 2019 saya kembali ke Tanah Suci buat kali keempat. Umur sudah melepasi 57 tahun. Sudah tiada 'power' kata sesetengah orang. Tetapi tetap berazam kucup Hajar Aswad.

Sebagai jemaah veteran, saya tahu taktik dan tekniknya. Antaranya mengikut barisan jemaah betul-betul di sisi batu Kaabah mulai Rukun (Penjuru) Yamani menuju Hajar Aswad. Jangan lepaskan kedudukan anda. Pegang batu Kaabah tu kuat-kuat. Bersabar dan teruslah bersabar...insya-Allah anda akan  terdorong perlahan-lahan ke depan.

Sudah beberapa kali saya cuba teknik ini tetapi tak berjaya. Namun saya tak putus asa. Pusing Kaabah (ini bukan pusingan tawaf) dan cuba lagi sehingga pada satu percubaan, kepala saya sudah terdorong terus masuk Hajar Aswad. Alhamdulillah...

Masalahnya selepas mengeluarkan kepala, ketika hendak keluar, rempuhannya tersangat dahsyat. Tiada laluan untuk keluar. Orang terus menolak saya ke arah Hajar Aswad sedangkan saya mahu keluar! Saya dapat rasakan saya tiada tenaga lagi. Betul kata orang, tiada 'power' lagi, semuanya sudah digunakan untuk 'melonjakkan kepala' ke dalam Hajar Aswad.. Saya rasa 'macam nak mati'. 

Saya menyebut "Allah, Allah, Allah', cuba bertahan dan bertahan supaya tidak jatuh dan dipijak-pijak, akhirnya entah macam mana saya 'tercampak keluar' daripada rempuhan itu. Alhamdulillah saya terselamat. Saya dapat banyak pengajaran daripada peristiwa itu. Antaranya, wahai LanH, insaflah awak dah tua...sudah tidak layak lagi berebut-rebut untuk kucup Hajar Aswad...

Mengenai Hajar Aswad ini ada pembaca mengirim coretan beliau.

***************
WALAUPUN sudah beberapa tahun berlalu, sehingga kini saya masih terbayang pengalaman ketika menjejakkan kaki ke Tanah Suci mengerjakan umrah.

Banyak betul perkara pelik berlaku yang saya saksikan dengan mata saya sendiri.

Pemergian saya yang tidak dirancang itu sememangnya membawa kesan mendalam. Pengalaman yang ditempuh sepanjang berada di sana banyak menginsafkan diri. Terasa diri begitu kerdil apabila berada di depan Kaabah.

Niat hendak ke Makkah datang dengan tiba-tiba pada suatu hari selepas solat Isyak. Hati saya berdegup dan teringatkan Tanah Suci, lantas air mata saya jatuh berjurai menangis hiba.

Dalam keadaan diri yang masih belum bersedia untuk datang ke rumah-Nya itu, saya terus daftar untuk pergi menunaikan umrah. Mungkin itulah yang dikatakan dah sampai seru agaknya.

Sepanjang berada di sana, saya menghadapi dua keadaan yang berbeza berhubung diri saya sendiri. Di luar kawasan Masjidilharam, sama ada di tempat makan atau ketika di dalam hotel, keadaan saya lemah tidak bermaya, seperti orang demam.

Setiap kali keluar dari masjid badan saya menjadi lesu, sakit perut dan tidurnya menggigau.

Namun, apabila azan berkumandang, saya merasakan seolah-olah ada satu tenaga yang tiba-tiba mengalir ke dalam tubuh badan.

Serta-merta saya sihat dan cergas untuk keluar menunaikan ibadah, namun, setelah keluar dari masjid, keadaannya berubah lemah semula.

Memang hairan mengapa saya jadi begitu. Telan ubat pun, tak sihat juga. Tapi, apabila nak jalankan ibadah dan mahu ke masjid, saya tiba-tiba sihat semula.

Mungkin 'Dia' mahu saya sentiasa dekat dan beribadat menghadap-Nya.

Peristiwa pelik tidak berhenti di situ sahaja. Sewaktu sedang berdoa setelah selesai mengerjakan umrah saya solat sunat berhadapan makam Nabi Allah Ibrahim, saya terkejut apabila melihat bayangan seorang lelaki berjubah putih timbul perlahan-lahan dari bekas tapak kaki Nabi Allah itu naik ke langit.

Wajah lelaki itu sungguh tampan. Rasanya, tak ada lelaki di dunia ini setampan itu. Mukanya amat berseri dan bercahaya. Bayangan itu perlahan-lahan naik ke langit sebelum hilang daripada pandangan.

Saya terus menangis melihat keadaan itu. Rasa kagum dan istimewa kerana melihat kebesaran yang Allah berikan untuk saya melihat.

Sampai sekarang adakalanya saya masih tertanya-tanya siapa lelaki itu. Wallahualam, sampai sekarang saya masih bertanya diri sendiri.

Peristiwa lain, sewaktu dalam perjalanan untuk melakukan saie, saya ternampak seorang lelaki yang turut sama melakukan ibadah tersebut.

Tapak kakinya luka teruk hingga darah keluar dari garis luka namun lelaki itu sedikitpun tidak mengeluh malah dengan sabar dia terus menunaikan ibadah itu.

Saya berasa takjub apabila mendapati tidak ada kesan darah pun di atas lantai sekalipun darah mengalir keluar.

Saya hairan sangat. Darah yang menitik itu tidak kelihatan. Seolah-olah ia lenyap apabila jatuh ke atas lantai.

Sewaktu sedang asyik mengerjakan ibadah di hadapan Kaabah, sekali lagi saya dikejutkan dengan satu pandangan yang sungguh indah, berseri dan mengkagumkan.

Ketika itu, saya sedang menadah tangan berdoa. Tiba-tiba saya melihat bayangan sebuah istana yana sungguh cantik keluar perlahan-lahan dari atas Kaabah. Istana itu bergemerlapan dan diterangi cahaya hijau yang menusuk jiwa dan nalurinya.

Mata saya tidak berkelip melihat istana itu. Sungguh cantik. Perlahan-lahan istana itu naik dan hilang di langit. Saya tersentak dan tersedar.

Saya menangis, rasa diri begitu kerdil sangat dapat menyaksikan keajaiban Tuhan.

Pengalaman jemaah yang tersesat sewaktu sedang beribadah di Tanah Suci selalu didengari. Sememangnya keadaan masjid yang mempunyai lebih 100 pintu itu agak menyukarkan jemaah untuk mengecamnya. Saya juga tidak terlepas dari mengalami hal yang serupa.

Saya masih ingat, pintu yang saya gunakan ketika masuk untuk beribadat ialah pintu Al-Madina Nombor 56.

Selesai mengerjakan ibadah, saya pun berjalan keluar. Tapi, saya jadi panik kerana pintu Nombor 56 tidak ada.

Puas saya berjalan mencari pintu itu. Pusing keliling pun tak jumpa. Tak tahu nak buat apa, akhirnya saya menghadap Kaabah memohon doa pada Allah ditunjukkan jalan pulang. Lepas je berdoa, saya toleh ke belakang, tengok-tengok terpampang pintu nombor 56 depan mata.

Namun ada satu peristiwa menyayat hati sebelum saya keluar melalui pintu itu. Ketika berjalan menuju ke pintu tersebut, seorang wanita tiba-tiba jatuh tersembam di kaki saya dan terus meninggal di situ juga.

Hajat saya untuk mengucup Hajar Aswad yang pada mulanya tidak kesampaian akhirnya berjaya dilaksanakan.

Ketika di depan Kaabah, memang niat hati nak kucup batu itu. Tapi, saya rasa takkan dapat sebab orang semuanya berebut untuk melakukan perkara yang sama. Saya sendiri tidak nampak jalan untuk mendekati batu itu. Beberapa kali ke Kaabah, begitulah yang berlaku.

Hinggalah pada hari ke-11 berada di Baitullaharam, saya memohon doa pada Tuhan, minta dipermudahkan untuk dapat mengucup batu suci itu.

Alhamdulillah, hajat itu akhirnya termakbul, saya menangis teresak-esak seperti anak kecil ketika mengucup Hajar Aswad. - NOR ZAINI ALI  

No comments: