Friday, March 31, 2023

Ramadan 9, 1444: Awak mati atau tak, dunia tetap berpusing...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Abu Hurairah berkata: Telah bersabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang mengasihi harta, tidak mahu mengeluarkan zakat, harta itu pada hari kiamat akan berupa ular jantan yang gondol dan mempunyai buih serta akan membelitnya pada Hari Kiamat. Kemudian ia mengambil dengan tulang rahangnya dan berkata, 'aku hartamu, aku simpananmu'."


Kemudian Nabi s.a.w. membaca firman-Nya yang bermaksud: "Janganlah orang-orang bakhil dengan barang-barang yang diberkah Allah padanya mengira bahawa bakhil itu lebih baik bagi mereka..." (Q.S. Ali Imran: 180)


Komentar ringkas pada Ramadan


Semua orang akan mati; raja, PM, wazir, hakim, ulama, doktor, imam, penulis, penjual ikan tidak terkecuali. Bagaimana terkenal dan hebat pun seseorang dia akan mati. Ketika hidup nama dan segala kehebatan seorang pemimpin mungkin terpampang dalam akhbar tetapi apabila mati, beritanya cuma pada ruangan 'single column' atau 'filler' saja. 


Demikianlah sebenarnya manusia tidak ada apa-apa, menurut hadis Nabi, hidup seseorang di dunia ini bagaikan pengembara yang berhenti untuk berteduh sebentar di bawah sebatang pokok, kemudian dia akan pergi.


Berhubung perkara ini penulis teringat pesan seorang sahabat yang sama-sama bekerja di sebuah syarikat akhbar dulu. 


Katanya, "kita ini (pekerja atau manusia) bukannya penting sangat. Jangan perasan jika kita tidak ada, surat khabar tidak keluar. Jangan perasan jika kita tak ada (mati) dunia akan berhenti sebentar kerana kematian kita itu. Kerana begitu sibuk, kita kadang-kadang tangguhkan kencing dan berak apatah lagi makan minum. Dan yang lebih teruk lagi tak solat dan tak puasa...


"Sama ada kita hidup atau mati, produk sesuatu syarikat seperti suratkhabar tetap dikeluarkan, dunia akan terus berpusing. Awak sebenarnya tidak ada apa-apa. Sama ada awak ada atau tidak ada, dunia tetap sama."


Benar kata-katanya itu; janganlah cuba direbut dunia ini. Semakin direbut semakin jauh jadinya sedangkan kematian semakin hari semakin hampir. 


Jadi persiapkan diri untuk ke kubur daripada bersusah payah kerana mahu memuaskan nafsu di dunia fana yang diibaratkan Nabi 'hanya berteduh sebentar di bawah sebatang pokok'.

2 comments:

Arif said...

Assalamualaikum warahmatuLLAHI wabarakatuHU

minta Maaf Tuan, tumpang tanya,

Adakah Tuan merupakan Encik Roslan Hamid (Lanh) yang menulis buku " Wartawan Islam " ?

Jikalau betul , Boleh ke saya meminta izin kepada Tuan untuk mendapatkan "contact" Tuan yang masih Tuan gunakan ?

AlhamduliLLAH

Untuk makluman Tuan , saya sekarang sedang mengambil ijazah sarjana muda di Universiti Sains Islam Malaysia . Saya "ajib' dengan karya Tuan yang bertajukkan " Wartawan Islam " setakat itu kali ni.

JazakumuLLAH Kheiran Kasiran Tuan

LanH said...

Waalaikumussalam wbt Sdr Arif

terima kasih kerana meng-emel
blog saya ini tak bergerak lagi sejak 31 Mac 2023
sebab saya sendiri hilang password nak bukanya (terlupa)
bagaimana pun boleh contact atau whatsapp saya di talian 016-3976041
jazakallah