Tuesday, July 13, 2021

Zulhijah 3, 1442: Kos perubatan tinggi gusarkan rakyat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya MUSIBAH."


TANGGAL 2 Julai 2021 mungkin hari tak 'terlupakan' diri ini. Bukan apa, saya disuntik vaksin Covid-19 dos pertama di sebuah pusat vaksinasi. 


Situasi kecoh, panas baran dan tidak sabar sesetengah bakal penerima vaksin adalah cerita biasa di mana-mana pusat vaksinasi tetapi apa yang membuat saya 'teruja' pada tengah hari membahang itu adalah aksi seorang anggota Rela beruniform wanita 'ayu' (pada matanya kerana dia memakai pelitup muka)  menangis teresak-esak ketika meminta orang ramai bersabar.


Antara lain dia mendayu-dayu berkata: "Tuan puan dapat duduk di bawah khemah, saya berdiri dalam panas matahari, sudah berjam-jam lamanya, saya dibayar tak seberapa, tetapi demi keluarga saya sanggup...jadi tuan puan berilah kerjasama..."


Terasa sebak di hati mendengar dayuan si anggota Rela ayu...ya terasa kasihan padanya...memang tak patut bakal-bakal penerima vaksin 'membuat perangai' tetapi terfikir juga di otak saya alangkah tak sesuai si cantik manis itu mempamerkan 'kelemahannya' di situ


Pada pandangan saya yang tak arif ini, sebagai anggota Rela, dia perlu mempamerkan ketegasan tetapi sedia membantu...baharulah sesuai dengan dirinya yang segak dalam uniform Rela...ini tak, menangis di depan 'orang tak mengerti bahasa, buat apa? Buat menjatuhkan imej diri dan Rela sahaja...


Namun jauh di sudut hati, terfikir di benak saya, mungkin 'si manis' itu terlalu memikirkan perihal diri dan keluarganya sehingga dia 'melambakkan' air mata di depan orang ramai. Mungkin 'kerjanya' sebagai anggota Rela itu sebagai satu-satunya sumber pendapatan dia dan keluarganya pada masa yang sukar sekarang ini.


Ya, banyak orang susah sekarang...pada masa pandemik Covid-19 ini. Apa pun, sebagai orang yang sudah 'diinjek'...saya bersyukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada kerajaan kerana saya difahamkan kos vaksin ini bukan murah - sama ada vaksin Pfizer dan Sinovac harganya hampir RM100 setiap satu.


Sebenarnya, dalam kehidupan kita termasuklah diri saya yang menghampiri usia warga emas (60 tahun), antara perkara ditakuti ialah 'kedatangan' penyakit dan kos tinggi rawatan.


Demikianlah wahai semua termasuk 'si manis' anggota Rela yang menangis; hidup perlu diteruskan sekalipun terpaksa makan nasi berlauk kangkung atau garam..


Dalam meneruskan kelangsungan kehidupan ada kalanya kita dan anak isteri jatuh sakit dan memerlukan rawatan. Bagi insan bekerja di jabatan kerajaan dan agensi swasta, mereka boleh menjalani rawatan yang biasanya dbiayai oleh majikan dan mendapat 'MC' tetapi bagaimana nasib mereka yang bekerja sendiri atau hilang kerja? Apatah lagi pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini.


Seorang anak saudara saya, seorang doktor, menangis dan menyatakan betapa sedihnya menyaksikan seorang 'nenek' gagal mendapatkan rawatan hemodialisis di sebuah hospital kerana gagal menyediakan biayanya. Kos menjalani hemodialisis yang dilakukan tiga kali seminggu bukan murah, seorang sahabat saya berkata setiap satunya adalah lebih RM200.


Ini bermakna pesakit kegagalan fungsi gingal (buah pinggang) ini memerlukan RM600 seminggu atau RM2,400 sebulan. Jumlah wang ini sungguh banyak, menggusarkan' rakyat kebanyakan, alhamdulillah dalam sejumlah kes, ada pihak prihatin daripada sektor swasta dan kerajaan seperti Pusat Zakat sedia membantu.


Berhubung kos perubatan tinggi ini, penulis teringat lawak seorang rakan. Beliau berkata seorang sahabatnya dihantar ke sebuah hospital swasta terkenal untuk menjalani rawatan. Apabila mengetahui deposit rawatan adalah sebanyak RM1,000; si pesakit tiba-tiba berkata dia sudah sihat dan tidak jadi dirawat di situ. 


Apabila ibu penulis dimasukkan ke sebuah hospital swasta tidak lama dahulu, baharulah penulis tahu ia bukan bahan lawak tetapi sesuatu yang serius kerana deposit untuk dirawat di situ juga RM1,000! Selepas menjalani rawatan selama dua setengah hari, cajnya kira-kira RM4,500; membuat penulis mengakui bahawa rawatan perubatan sebenarnya sudah menjadi satu industri membuat duit.


Tidak lama kemudian bapa penulis dimasukkan ke sebuah hospital swasta terkenal bagi menjalani rawatan masalah prostatnya. Kos pembedahan secara laser dan rawatannya mencapai angka RM20,000 namun bersyukur kepada Allah SWT bapa penulis kembali sihat selepas itu. 


Berdasarkan situasi ini, penulis tidak terkejut apabila membaca sebuah berita baharu-baharu ini mengenai sebuah pusat rawatan swasta yang menolak kemasukan seorang wanita yang mahu bersalin sehingga akhirnya bayi beliau dilahirkan dalam kereta di parkir berhampiran.


Berhubung bayaran tinggi hospital swasta ini, penulis teringat sebuah filem Inggeris yang penulis tonton di televisyen, mengisahkan bagaimana seorang bapa nekad menawan hospital tempat anaknya dirawat kerana dia tidak mampu menyediakan wang rawatan diminta.


Dalam filem yang tajuknya tidak lagi diingati penulis, si bapa selepas kecewa dengan sikap pengurusan hospital yang menangguh-nangguhkan pembedahan kerana dia gagal menyediakan ratusan ribu dolar yang diminta, akhirnya berjaya menyelamatkan si anak melalui pembedahan selepas dia mengacukan pistol ke kepalanya dan juga kepala doktor!

No comments: