Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Dan orang-orang yang menempuh reda Kami maka nescaya akan Kami tunjukkan jalan mereka, dan sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang berbuat baik." (Al-Ankabut :64)
DALAM Surah Al-Baqarah ayat 197 dinyatakan masa untuk mengerjakan ibadat haji adalah beberapa bulan yang termaklum (dari 1 Syawal, Zulkaedah hingga sebelum terbit fajar pagi hari ke-10 Zulhijah).
Kini bulan Zulhijah hampir sampai ke kemuncaknya dengan jemaah akan berwukuf seterusnya menamatkan manasik haji lain. Selepas itu jemaah haji mulai meninggalkan Tanah Suci Makkah dan Madinah. Diucapkan selamat kembali kepada mereka, semoga dikurniakan haji mabrur yang balasannya tiada lain, kecuali syurga.
Kenangan jemaah bergegas dan berpusu-pusu menyertai solat waktu di Masjidilharam dan Masjid Nabawi pasti sukar dilupakan. Demikian juga kenangan ke masjid pertama didirikan Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Masjid Quba’ pasti sentiasa dalam ingatan. Berkenaan masjid ini, Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 108, bermaksud: “Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba’) sejak hari pertama adalah lebih patut kamu bersembahyang di dalamnya.”
Sewajarnyalah kebiasaan jemaah haji bergegas ke Masjidilharam dan Masjid Nabawi untuk solat waktu berjemaah dilanjutkan ketika berada di tanah air. Ini kerana ada banyak kelebihan jika seseorang dapat solat berjemaah di masjid termasuk bersegera ke sana. Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari menyebut: Daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang maksudnya; “Jika sekiranya manusia mengetahui betapa besarnya kelebihan datang awal ke masjid untuk solat fardu berjemaah, nescaya mereka akan berlumba-lumba melakukannya.”
Apa diharapkan keghairahan ke masjid ini dapat dikekalkan insan bergelar haji. Mereka perlu mengekalkan momentum segera ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah pada setiap waktu. Malah ada ganjaran istimewa menanti seorang ‘kaki masjid’ sehingga ada sebuah hadis Rasululullah s.a.w. menyebut mereka adalah salah satu daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah SWT pada hari kiamat nanti.
Alhamdulillah, masjid-masjid di negara kita cukup indah dan mempunyai nama yang indah pula. Ada dinamakan mengikut nama sahabat Rasulullah s.a.w. seperti Masjid Abu Bakar As-Sidiq, Masjid Uthman Ibn Affan, Masjid Abu Ubaidullah Al-Jarrah dan Masjid Amru Al As, tak kurang juga dinamakan berdasarkan unsur kebaikan dalam bahasa Arab seperti Masjid An-Nur, Masjid Al-Hidayah dan Masjid At-Takwa.
Ada pula masjid dinamakan berdasarkan status, lokasi atau kampung di mana ia didirikan seperti Masjid Negara, Masjid Wilayah Persekutuan, Masjid Kampung Alai dan Masjid Jamek Kampung Baru. Ada pula nama masjid berdasarkan tokoh tempatan yang melakukan sumbangan besar terhadap pembinaan masjid seperti Masjid Al-Bukhary dan Masjid Abdul Wahab.
Biarlah apa pun nama masjid seperti dinamakan mengikut tokoh atau kawasan, itu tak jadi masalah, yang penting masyarakat setempat perlu memakmurkan sesebuah masjid - jangan biarkan masjid kosong atau hampir kosong - mereka yang bergelar haji dan hajah perlu berperanan.
No comments:
Post a Comment