Wednesday, July 14, 2021

Zulhijah 4, 1442 (Semarak Haji): Kritikan untuk sesetengah insan berkopiah...

 

Apa guna berkopiah, berserban jika...



Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat
dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Bersabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: "Sesiapa yang membaca Ayat Al-Kursi
pada penghujung setiap solat fardu (iaitu selepas solat), tidak akan menegahnya
daripada masuk syurga melainkan ianya meninggal dunia." - Hadis diriwayatkan
oleh Imam Nasai' dan Ibnu Hibban di dalam sahihnya daripada Abu Umamah.

*** NOTA: Sekarang susah benar nak dapat solat di masjid di negeri
saya - sama ada solat berjemaah waktu (hanya 12 orang dibenarkan,
manakala solat Jumaat, 100 jemaah, dulu 50 dan sebelumnya 
beberapa orang). Kenapa ini berlaku? 

Apa kata kita biasakan diri untuk melakukan muhasabah.

Dahulu saya perhatikan, memang kebanyakan jemaah mengikuti
SOP. Ambil suhu dan tulis nama dan nombor telefon atau skan
MySejahtera. Pakai 'mask' (pelitup muka). 

Namun ramai juga 'pak haji' yang pakai 'mask' di dagu (nak tutup
janggut agaknya) dan tutup mulut saja. Hidung terdedah. 
Kebanyakan ruang solat masjid 'air-cond', jadi semua jemaah
bernafas 'udara sama' di ruang sempit pula.

Entahlah, nak dikatakan mereka yang ber'mask' di dagu atau
'membebaskan hidung' perlu keselesaan untuk bercakap atau
membaca bacaan dalam solat tak juga sebab mereka bukan
imam atau pentazkirah. Jadi tak tahulah sebab apa mereka 
pakai 'mask' di dagu. Mungkin takut kena saman kot...
kalau 'penguat kuasa' datang, boleh cepat-cepat tarik 'mask' ke atas.***


SUATU pagi saya ke kedai motosikal yang biasa saya kunjungi. 
Pemiliknya, seorang Cina muda yang kenal benar saya kerana terlalu
kerap dia membaiki motosikal lama saya yang selalu rosak, sehingga
tidak bimbang dia mendedahkan sejumlah rahsia kepada saya. 

Pagi itu dia menyembur saya: "Tak guna punya haji-haji pakai
kopiah, selalu sembahyang punya orang tapi hutang tak nak bayar. 
Dah buat hutang sini, ratus-ratus ringgit tapi tak nak bayar!"

Aiii, ini sudah 'over'. Saya raba kepala, ada kopiah di situ. Mulalah
terasa panas di muka. Tetapi disebabkan yakin 'semburannya' tidak
ditujukan kepada saya (kerana saya berurusan secara 'cash'), 
saya mendengar saja bebelannya.

Selepas merasakan dia sudah puas berleter, saya bertanya 
balik; "Ramai ke orang berkopiah buat perangai macam tu?"

"Bebelapa olang (beberapa orang). Sikalang (sekarang) ini orang
kopiah ke, orang serban ke, saya tak percaya. Besar punya serban
dan selalu sembahyang pun saya tak percaya. Gua bisnes 
'cash' saja," katanya.

Bagi meyakinkan saya akan dakwaannya, dia memberi nama
'pak haji berkopiah dan berserban' yang disenaraihitamkannya. 
Syukur, nama saya tak tersenarai...heh, heh, heh.

Demikianlah, apa guna berkopiah atau berserban jika kelakuan
dan perangai buruk kita mempalit arang ke muka orang lain di samping
memberi tanggapan buruk kepada agama kita sendiri.

Berdasarkan ini sewajarnya 'orang berkopiah dan berserban' 
berhati-hati dalam tindak tanduk mereka, harap-harap kita tidak
membawa dan memberi imej buruk kepada saudara seagama dan
yang penting sekali Islam.

Seorang penceramah juga mengkisahkan betapa buruk imej
dipaparkan oleh segelintir orang berkopiah dan berserban. Ada
seorang 'pak haji berkopiah' kerjanya jual air tebu di gerai tepi jalan.
Ketika menanti pelanggan, di jarinya terjepit rokok berasap. 
Haiii, 'pak aji' merokok di tempat awam; buruk nampaknya.

Segelintir jemaah masjid (hampir pasti berkopiah dan kadang kala
berjubah dan  berserban), sebelum sempat masuk masjid, sempat 
layan 'stim' (merokoklah).

Demikian juga jemaah selepas  solat berjemaah atau berkuliah. 
Belum sampai ke motosikal pun, sudah nyalakan api. Kemudian
layan 'stim'. Lebih malang lagi campak puntung rokok di pejalan
kaki atau dalam longkang.

Sejumlah orang yang dihadapkan ke mahkamah jika berkopiah.
Lebih malang lagi kes dinyatakan dan tuduhan adalah berat seperti
merogol atau menerima rasuah.

Kemudian dia ternampak seorang 'pak aji' memandu kereta cantik
berhenti di persimpangan jalan berlampu isyarat. Pak Aji menurunkan
cermin kereta, lantas membuang kulit rambutan. Aiii, 'pak aji' perbuatan
seperti ini memalukan 'orang berkopiah dan berserban' lain.

Ya, membuang sampah dari tingkap kenderaan sudah biasa kita lihat. 
Pelakunya bukan saja 'pak aji' tetapi semua golongan. Suatu hari saya
lihat seorang 'amoi' dengan gaya bersahaja memberhentikan keretanya,
membuka pintu dan meletakkan cawan kertas bekas minuman di atas
jalan raya. Kemudian dia menutup pintu, menekan pedal minyak dan 'blah'.

Antara 'pak aji' dan 'si amoi', yang mana agaknya kita lebih marah? 
Tentunya si pak aji berkopiah, kerana dia yang mempamerkan imej 
Islamik, menjejaskan nama dan kesucian ajaran Islam. Bagi si amoi,
orang boleh setakat berkata; "muka saja cantik tapi perangai teruk" 
dan ini tidaklah menjejaskan mana-mana agama atau pihak.

Orang berkopiah sinomin dengan 'pak haji' termasuk yang baru balik
dari Makkah musim ini. Sama seperti orang berkopiah atau berserban,
orang berpangkalkan haji (dan juga hajah) pada nama mereka, perlu
sentiasa menjaga maruah dan perlakuan masing-masing.

Bagi orang yang ada cahaya keimanan; dia tahu kopiah di kepalanya
atau panggilan haji oleh orang terhadap dirinya berupaya 
menghalangnya daripada melakukan perkara-perkara tak elok. 
Misalnya jika matanya asyik gatal nak melihat aurat perempuan, 
'kopiah di kepalanya akan mengingatkannya'; "ehh malulah jika 
orang berkopiah (atau haji) buat perkara tak senonoh ni."

* Demikian juga jika mahu melangkah ke tempat maksiat seperti
kedai ekor atau pentas dangdut dia terhalang apabila berfikir; 
"eh malulah takkan orang berkopiah mahu main ekor atau berjoget."

Setidak-tidak dia akan 'campakkan' kopiahnya terlebih dulu sebelum
masuk kedai ekor atau ke pentas dangdut.

Jadi kepada mereka yang berkopiah atau berserban; kalau mahu
pergi ke bengkel motosikal (atau pusat perniagaan lain) dan menimbunkan
hutang dengan hajat tidak melunaskannya, tolonglah TANGGALKAN
kopiah atau serban anda terlebih dahulu!

Ini kerana dengan 'berkopiah atau berserban' tetapi berkelakuan jelek, 
anda telah memalukan 'pak aji-pak aji lain' dan agama Islam yang suci murni!

No comments: