Monday, July 5, 2021

Zulkaedah 24, 1442 (Semarak Haji)... 0 jemaah ke Tanah Suci? (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"...Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar takwa (Masjid Quba'), sejak hari pertama adalah lebih patut kamu solat di dalamnya. Di dalam masjid itu ada orag-orang yang ingin membersihkan diri. Dan sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bersih." (Maksud Ayat 108 Surah At-Taubah)



0 jemaah ke Tanah Suci?


BULAN-BULAN haji adalah Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah. Teringat saya pada masa inilah dahulu, ketika inilah jemaah haji begitu sibuk. Begitu juga dengan keluarga mereka. Menghantar jemaah ke Kompleks Haji yang dulunya di Kelana Jaya, sekarang ini sudah berpindah ke Sepang.


Di masjid kampung juga diadakan majlis kesyukuran termasuk menyampaikan buah tangan kepada jemaah haji. Turut diadakan tazkirah dan pesanan kepada jemaah dan juga untuk penduduk kampung agar bersemangat untuk segera menunaikan haji. 


Daripada majlis ini kita tahulah jumlah anak kariah kampung yang akan berangkat menunaikan Rukun Islam kelima. 


Ada musimnya ramai, ada musimnya tersangat kurang kerana hanya seorang dua  (satu pasangan suami isteri) berangkat ke Tanah Suci. Namun musim tahun lalu dan kini semua sepi, MAHU MENANGIS MENGENANGKANNYA. Ya, tahun ini mungkin TIADA SEORANG pun warga kita (0) ke Tanah Suci! Namun banyaklah bersyukur dan bersabar, insya-Allah DIA akan bersama orang BERSYUKUR dan BERSABAR.


Berbicara mengenai haji ini, saya teringat tazkirah seorang ustaz tak lama dulu bahawa ada sejumlah amalan kita di tanah air yang insya-Allah boleh menyamai pahala haji.


Kata sang ustaz, salah satu bentuk kasih sayang Allah SWT ialah melimpahkan pahala berlipat ganda kepada umat-Nya, sekalipun amalan itu  terlihat kecil dan sederhana. Dalam beberapa hadis dijelaskan, ada beberapa amalan yang kalau dilakukan penuh keikhlasan dan istiqamah, maka pahala amalan tersebut setara ibadah haji. 


Antaranya, solat berjemaah lima waktu, zikir setelah solat subuh berjemaah sampai terbit matahari selepas itu solat dua rakaat dan pergi ke masjid untuk menuntut ilmu (sekarang tuntutlah ilmu melalui alatan elektronik seperti TV seperti Tanyalah Ustaz pada awal-awal pagi).


Meskipun amalan-amalan ini diberikan pahala ibadah haji dan umrah, bukan bererti pelakunya tidak diwajibkan haji dan umrah. Kewajipan haji dan umrah tetap ada. Pahala amalan ini  diserupakan pahala ibadah haji dan umrah bertujuan memotivasi ummah untuk istiqamah beribadah


ARTIKEL LALU


Gembira dapat surat tunai haji


PENGHUJUNG Mac tahun lalu (permulaan Perintah Kawalan Pergerakan - PKP), saya menghantar bapa dengan kereta ke sebuah klinik komuniti berhampiran kampung kami. Sebagai pesakit diabetes dan darah tinggi, bapa ada temu janji dengan doktor pada hari berkenaan.


Saya menunggu dalam kereta dengan memakai pelitup muka. Tiba-tiba saya terlihat wajah seorang rakan sekampung. Dia tidak mengenakan pelitup muka. Seorang wanita berpelitup muka, berjalan di belakangnya, saya agak isterinya.


Dari jauh dia melambai saya. Saya tak bercadang keluar dari kereta untuk merapati beliau - bukankah kini 'musim' COVID-19, orang ramai diminta menjarakkan diri.


Rakan itu menjerit menyatakan dia dapat surat tawaran menunaikan haji. Dia datang ke klinik itu bersama isteri untuk membuat pemeriksaan kesihatan iaitu salah satu syarat ke Tanah Suci.


Saya faham kegembiraannya sebab saya dan dia bersama-sama menunaikan umrah pada Disember 2019. Dia suami isteri dan seorang anak; saya bersama isteri dan dua orang anak, berada dalam satu kumpulan pakej yang sama. Kerap dia bercerita kepada saya dia berhajat benar menunaikan haji. Rayuan sudah dibuat beberapa kali, malah bagi mengubati kerinduan ke Tanah Suci dia sudah menunaikan umrah dua kali.


Ya, Alhamdulillah kali ini dia dan isteri dapat surat tawaran menunaikan haji...tetapi melihatkan reaksinya yang sugul selepas keluar dari klinik, saya tahu ada sesuatu tak kena.


Kata sahabat saya itu, pemeriksaan kesihatan bakal jemaah haji ditangguhkan. Pengurusan klinik sedang 'concentrate' (memberi tumpuan) kepada kes COVID-19. Sehubungan itu, dia diarahkan pulang dahulu.


Kegembiraan di wajah sahabat saya itu hilang..dia melahirkan kebimbangan kepada saya, mungkin dia dan isteri sekali lagi tidak dapat menunaikan haji selepas menunggu lama.


Benar nama sahabat saya itu dan isterinya 'sudah naik', mereka sudah hampir  menunaikan haji, tetapi suratan takdir Allah mengatasi segala-galanya. Pasangan dalam usia 50-an ini perlu bersabar, semoga hajat besar mereka  dikabulkan Allah SWT pada tahun hadapan, insya-Allah.


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tahun itu mengumumkan Malaysia tidak akan menghantar jemaah haji - satu keputusan sama dibuat oleh negara jiran tetangga yang mempunyai jemaah haji teramai iaitu Indonesia.


Kepada sahabat saya dan bakal-bakal jemaah haji yang 'terhalang' menunaikan haji, bersabarlah dan berterusan berdoa semoga direzekikan Allah  menunaikan Rukun Islam kelima itu secepat mungkin. Insya-Allah ada hikmah Allah SWT menyebabkan kita terhalang menunaikan haji musim ini.


* Untuk musim haji 1442 ini, nasib sahabat saya itu sama seperti tahun lalu...pemergiannya ke Tanah Suci ditangguhkan lagi. Kepada semua bakal jemaah, bersabar dan terus bersabar, pertingkat doa agar dipermudahan urusan pada masa depan.

No comments: