DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
DENGAN melihat Kaabah saja seseorang itu sudah mendapat pahala...dia akan diganjari oleh Allah SWT. Ini kerana Allah SWT menjanjikan rahmat kepada orang tawaf, solat dan memandang Kaabah.
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud Allah SWT menurunkan 120 rahmat setiap hari, diturunkan kepada Kaabah 60 rahmat untuk orang tawaf, 40 rahmat untuk solat dan 20 rahmat untuk orang memandangnya.
Ya, tanpa berbuat apa-apa, hanya memandang Kaabah saja sudah meraih keuntungan besar, namun persoalannya di tanah air selepas menunaikan haji terutama bagi golongan 'veteran' yang sudah pencen, adakah peluang bagi kita untuk menatap Kaabah secara 'live' terutama pada pandemik Covid-19 bagi mendapat kelebihan ini. Gambar Kaabah yang digantung di dinding atau dalam siaran televisyen bolehlah kita lihat, tetapi apakah itu berpahala?
Namun ada amalan lain 'kalau tengok saja (selain Kaabah) sudah dapat pahala' yang boleh diusahakan semua orang berdasarkan sebuah hadis daripada Aisyah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: "Melihat pada tiga perkara adalah ibadah. Melihat wajah ibu bapa, melihat al-Quran dan melihat lautan." (Riwayat Abu Nuaim)
Apa yang ingin ditekankan di sini adalah tawaran untuk mendapat pahala dengan melihat ibu bapa kita seperti ditazkirahkan seorang ustaz dalam satu majlis yang penulis ikuti baru-baru ini.
Katanya, ibu bapa terutama yang sudah terlalu tua benar-benar berharap anak-anak di perantauan menjengok mereka terutama pada hari kebesaran Islam. Tetapi mungkin tak boleh masa Covid-19 ini.
Bagi mengukur hati budi seorang anak katanya, adakah si anak yang menelefon 'orang tua' bagi bertanya khabar atau si ibu dan bapa yang 'menyibuk' menelefon anak dan cucu.
Kalau si ibu yang 'menyibuk' menelefon si anak tetapi tidak bagi si anak, membayangkan si anak sudah mula melupakan ibu bapanya.
Menjelang lebaran misalnya, mungkin si ibu akan bertanya, balik tak raya nanti (dahululah) yang mungkin akan dijawab oleh si anak; "Mak saya sibuk ni (sibuk apa selepas pencen?), tak dapat balik, mungkin raya tahun depan kot!"
Jawapan ini, kata sang ustaz, akan membuat hati seorang ibu luruh, bagi orang tua yang cukup sensitif dia sudah dapat rasakan 'mungkin ini Ramadan dan Aidilfitrinya yang terakhir'.
Ingat, kata sang ustaz, jika inilah jawapan yang kita beri, dikhuatiri 20 atau 30 tahun nanti, anak kita pula akan memberi jawapan yang sama kepada kita.
"Biasanya dosa kepada ibu bapa, Allah Taala akan bayar 'cash' di dunia ini. Sebelum pembalasan di akhirat apa saja perbuatan kurang baik kita kepada ibu bapa akan ditunjukkan balasannya di dunia lagi," tegasnya.
Mungkin jika anaknya tertangguh-tangguh untuk balik, hanya dua batu nesan kaku saja yang dapat ditatapnya. Menatap tanah perkuburan sudah pasti tidak sama dengan menatap wajah tua ibunya yang Allah SWT sudah sediakan pahala seperti yang termaktub dalam hadis.
Memang jauh bezanya menatap wajah si ibu atau ayah berbanding batu nesan mereka. Seorang sahabat saya bercerita balik kampung tidak bererti lagi bagi dirinya selepas kedua-dua orang tuanya meninggal dunia.
"Balik kampung pun buat apa, rumah saudara mara yang ada takkan sama dengan rumah mak bapak kita sendiri," katanya.
Oleh itu bagi mereka yang masih ada ayah bonda atau salah seorang daripadanya, baliklah, kata sang ustaz. "Jengoklah mereka, peluklah mereka selagi mereka masih ada.
"Rebutlah kesempatan ketika mereka masih hidup kerana ramai anak-anak yang meraung menangis menyesal perbuatan mereka selepas orang tua sudah tiada," katanya.
Beliau berkata berbaktilah bersungguh-sungguh tatkala ibu bapa masih ada. Gunakan segala kesempatan sementara mereka hidup.
Namun bagi yang sudah kehilangan ibu bapa, mereka juga boleh berbakti dengan menjadi anak salih yang sentiasa mendoakan kedua-duanya, melakukan kebaikan seperti bersedekah atas nama mereka, mengeratkan siratulrahim sesama anggota keluarga serta berbuat baik kepada sahabat mereka, kata ustaz.
No comments:
Post a Comment