Friday, July 23, 2021

Zulhijah 13, 1442 (Semarak Haji): Wanita, contohilah Hajar, Zubaidah (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (beredah) empat bulan 10 hari." (Maksud ayat 234 Surah Al-Baqarah)


SALAH satu tempat istimewa dalam Masjidilharam adalah Hijir Ismail. Ia satu lengkungan berada di sisi utara Kaabah. Hakikatnya ia sebahagian daripada dalam Kaabah. Sehubungan itu tak sah tawaf seseorang jika dia menyentuh batu dinding atau memasukinya.


Hijir Ismail mengingatkan akan pengorbanan Nabi Ismail dan ibunya Siti Hajar walaupun Kaabah sendiri secara keseluruhan dibangun oleh Nabi Ibrahim a.s.


Nabi Ismail a.s. membantu bapanya, dengan membawa batu. Batu-batu yang dikumpulkan, dalam bahasa Arab disebut hijir. Oleh kerana  itu bahagian Kaabah yang dibangun oleh Nabi Ismail a.s. dinamakan Hijir Ismail.


Sebahagian daripada manasik haji adalah berdasarkan pelakuan dan pergorbanan ibu Nabi Ismail a.s. 


Hajar bukan wanita 'sofistikated' ukuran  kehebatan dan idola wanita hari ini tetapi hanya seorang ibu, tetapi mengapa kisahnya diabadikan hingga kini malah sampai bila-bila...


Demikianlah, mengapa dikatakan begitu istimewa dan bertuah dijadikan seorang wanita? Berbicara mengenai perkara ini, penulis teringatkan ibu. Ya, daripada berbilion wanita di dunia, kita hanya mempunyai seorang ibu, dan ibu kita adalah seorang wanita.


Saya mengagak tentulah ungkapan 'begitu istimewa dan bertuahnya dijadikan seorang wanita' mempunyai kaitan dengan seorang ibu. Yalah, mana ada lelaki yang mengandung dan melahirkan anak.


Ibu dan anak mempunyai pertalian amat rapat. Mengikut ajaran agama, anak wajib taat kepada ibu bapanya. Anak lelaki hendaklah mengutamakan ibu bapa lebih daripada isterinya. Isteri pula perlu mentaati suaminya lebih daripada ibu bapanya.


Ini membuatkan kedudukan seseorang wanita yang bergelar ibu begitu istimewa. Istimewanya ibu pada seorang anak adalah tiga kali ganda daripada seorang bapa, demikian maksud sebuah hadis. Anak yang terdidik, tidak akan melupakan ibu bapanya, lebih-lebih lagi ibu. Tetapi kasih ibu lebih hebat kerana ia tiada penghujung.


Ada ibu hebat yang turut berjuang di kancah masyarakat. Sejarah Islam ada merakam sejumlah wanita hebat yang turut menyumbang kepada kepesatan dan kemakmuran ummah dan dalam konteks artikel ini kita merujuk Tanah Suci Makkah dan Madinah.


Salah seorang daripadanya adalah permaisuri kepada Khalifah Bani Abasiyah paling hebat, Harun Al-Rashid iaitu Siti Zubaidah binti Jaafar (149 - 215H). 


Siti Zubaidah Jaafar sekalipun begitu kaya raya, telah membelanjakan sebahagian besar wang beliau sendiri untuk membiayai projek-projek berkepentingan rakyat, yang paling masyhur adalah ‘Ain Zubaidah, sebuah terusan paling hebat pada zamannya.


Ia bagi mengalirkan air ratusan batu jauhnya dari gunung-gunung yang mempunyai mata air di Makkah (ada mencatatkannya dari Taif) bagi kemudahan jemaah haji di Mina dan Arafah. Ahli sejarah mencatatkan kos pembinaan terusan itu adalah 1,700,000 dinar. Sekalipun dibina 1,400 tahun lalu, binaan terusan itu masih boleh dilihat oleh jemaah yang ke Tanah Suci hari ini.


Selain itu Siti Zubaidah juga telah mengeluarkan belanja yang sangat besar bagi memperbaiki jalan di antara Baghdad ke Makkah. Di sepanjang jalan dibina perigi-perigi dan rumah-rumah persinggahan untuk memudahkan orang ramai terutama jemaah haji dan ahli peniagaan. Di Baghdad sendiri terdapat sebuah masjid terkenal dan dinamakan Masjid Siti Zubaidah kerana dialah yang bertanggungjawab membinanya.


Tentunya dunia Islam tidak mengingati Siti Zubaidah sebagai wanita pertama kerana dia isteri khalifah tetapi jasa-jasa besar yang ditinggalkannya kepada rakyat. 


Ahli sejarah mengungkapkan walaupun hidupnya dilimpahi kekayaan, wanita ini sentiasa memastikan dia tidak termakan dengan pujukan syaitan. 


Siti Zubaidah beranggapan kekayaan di dunia cuma sementara dan sekiranya dilaburkan mengikut cara yang betul akan mendapat keberkatan di akhirat kelak, manakala kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal, indah dan terlalu manis. 


Keindahan dan kemanisan itulah yang dicarinya, bukan mengejar glamor dan kemasyhuran dunia seperti kehendak sebahagian pemimpin hari ini termasuk yang wanitanya!


Berlainan daripada Zubaidah yang berketurunan raja, mempunyai kuasa dan kaya raya, Siti Hajar ibu Nabi Ismail a.s. ternyata 'tidak punyai apa-apa' tetapi mengapa dia tetap diingati sehingga hari ini malah sampai bila-bila melalui manasik haji...


Ya wahai jemaah haji atau umrah terutama sang wanita, ketika berkesempatan berada di sisi Hijir Ismail atau di dalamnya, renung-renungkanlah mengenai perkara ini...

No comments: