Tuesday, July 6, 2021

Zulkaedah 25, 1442 (Semarak Haji)...Kekalkan kemabruran haji/umrah sepanjang hayat (U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku." (Maksud Ayat 56 Surah Adz-Zariyat)



KINI musim haji. Teringat saya artikel yang saya tulis mengenai tanggungjawab mereka yang sudah menunaikan umrah dan haji.


Selepas menunaikan rukun Islam kelima (terakhir) tanggungjawab seseorang itu bertambah pada ketika dia berusaha memastikan ibadah hajinya itu kekal mabrur (yang diterima) sepanjang hidupnya. Seseorang 'haji' sewajarnya mengekalkan peranannya sebagai utusan kebenaran dan menjadi model kepada masyarakatnya.


Berhubung perkara ini, penulis tertarik dengan dengan pesanan seorang penceramah yang dipetik sebagai berkata, kepulangan jemaah haji dari Makkah Al-Mukaramah nanti ibarat 'pahlawan' kerana berjaya penentang kebatilan sepanjang berada di sana.


Justeru, katanya, mereka patut mengekalkan imej tersebut sesuai dengan gelaran haji dan hajah dengan mendapat pahala yang berganda.


"Memandangkan tugas kita menentang kebatilan maka setiap jemaah haji wajar pulang dengan semangat pahlawan bukan sekadar gelaran haji atau hajah sahaja," katanya.


Beliau berkata ajaran mentauhidkan Islam di negara yang diperintah oleh umat Islam sendiri kian berkurangan kerana generasi sekarang lebih gerunkan teknologi manusia dan kuasa besar.


Maka, katanya menjadi kewajipan umat Islam untuk melatih diri dan generasi muda bagi mengatasi permasalahan yang wujud ekoran kelantangan musuh yang lebih kuat menyerang dari segenap segi.


Ingatan kepada 'haji' dan 'hajah' itu tepat pada masanya bagi membolehkan mereka yang telah menunaikan rukun Islam terakhir, memahami, menjiwai seterusnya mengamalkan segala pengajaran dan falsafah daripada ibadat yang mereka laksanakan itu.


Mereka perlu dingatkan bahawa mengamalkan Islam sepenuhnya dan menegakkan segala hukum-hakamnya menjadi tanggungjawab setiap Muslim apatah lagi mereka yang kini bergelar 'haji' dan 'hajah'.


Apabila dinyatakan mengamalkan Islam sepenuhnya, ia bermaksud menjadikan al-Quran dan hadis itu sebagai panduan hidup dalam semua bidang kehidupan.


Ia bukan sahaja dalam soal ibadat khusus seperti solat dan puasa seperti difahami sesetengah pihak tetapi merangkumi segala-galanya - daripada soal yang dipandang remeh temeh oleh manusia kepada urusan mengatur masyarakat seperti politik, muamalat dan perundangan.


Berhubung perkara ini, penulis tertarik untuk mengingatkan kembali diri sendiri dan insan yang kini bergelar haji dan hajah akan pesanan Kementerian Hal Ehwal Islam Arab Saudi melalui buku 'Panduan Untuk Jemaah Haji dan Umrah serta Pengunjung Masjid Rasul' yang menegaskan perkara-perkara yang membatalkan Islam.


Selain syirik iaitu mempersekutuan Allah yang dianggap kesalahan terbesar, turut disenaraikan perkara batil lain ialah berkeyakinan bahawa petunjuk yang lain daripada Nabi s.a.w. adalah lebih sempurna atau berkeyakinan bahawa hukuman yang lain daripada hukuman Nabi s.a.w. lebih baik seperti mereka yang mengamalkan peraturan thaghut (aturan manusia yang melampaui batas dan menyimpang dari hukum Allah) dan mengenepikan Rasulullah s.a.w. Maka orang yang berkeyakinan seperti itu adalah kafir.


Sebagai contoh; a) berkeyakinan bahawa peraturan atau perundangan yang dibuat oleh manusia lebih utama daripada Syariat Islam; atau perundangan Islam tidak sesuai dilaksanakan sekarang; atau Islam adalah sebab kemundaran umat Islam; atau Islam hanya mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya sahaja dan bukan urusan kehidupan dunia.


b) Berpendapat bahawa melaksanakan hukum Allah seperti melaksanakan hukum hudud, memotong tangan pencuri dan merejem penzina yang telah berkahwin (muhsan) tidak sesuai lagi pada masa kini.


c) Berkeyakinan bahawa dibolehkan untuk mengamalkan perundungan yang lain daripada Syariat yang diturunkan oleh Allah SWT sama ada dalam hukum muamalat (perdagangan) atau dalam melaksanakan hukum hudud (jenayah) atau lainnya sekalipun tidak disertai dengan keyakinan bahawa hukum-hukum tersebut lebih utama daripada Syariat Islam kerana dengan sedemikian, ia telah menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah WT menurut ijmak (kesepakatan) ulama.


Setiap orang yang menghalalkan perkara yang sudah jelas dan tegas diharamkan oleh Allah SWT dalam agama seperti zina, arak, riba dan melaksanakan perundangan yang lain daripada Syariat Islam adalah kafir menurut kesepakatan umat Islam.


Perkara lain yang boleh membatalkan Islam ialah membenci sesuatu yang telah ditetapkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai Syariat walaupun ia mengamalkannya. Dengan melakukan demikian dia telah menjadi kafir, kerana firman Allah SWT yang bermaksud: "Demikian itu adalah kerana mereka benci terhadap sesuatu yang diturunkan Allah, maka Allah menghapuskan (pahala) segala amal perbuatan mereka."


Selain itu, mempersendakan Allah SWT atau Kitab-Nya, atau Rasulullah s.a.w. atau sesuatu daripada ajaran agama, maka dia telah menjadi kafir, kerana firman Allah yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): Adakah terhadap Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu sekalian memperolok-olok? Tiada ertinya kamu meminta maaf kerana kamu telah kafir setelah beriman."


Dalam urusan masyarakat hari ini banyak perkara termasuk hukum-hakam disandarkan kepada undang-undang ciptaan manusia. Ini termasuklah dalam urusan memilih pemimpin seperti pilihan raya yang kita kenal hari ini. Berdasarkan hakikat ini, sedar dan insaflah betapa banyak dosa yang telah kita lakukan. Hanya kepada Allah SWT-lah kita memohon keampunan kerana kegagalan kita melaksanakan hukum-hakamnya.


Kepada haji dan hajah, disarankan supaya berpegang teguh kepada perlakuan manasik dan falsafah haji yang telah sedaya upaya diterapkan semasa di Tanah Suci. Sebagai contoh mudah, di Tanah Suci sudah istiqamah membungkus diri dengan pakaian menutup aurat, termasuk rambutnya sekali, tetapi kenapa di tanah air kembali mendedahkannya?

No comments: