Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sedekat-dekat hamba kepada Tuhannya ialah waktu ia sujud, oleh kerananya maka perbanyaklah doa ketika itu." (Sahih Muslim)
KIRA-KIRA 20 tahun lalu, antara buku terlaris di Amerika Syarikat (US bestseller) adalah 'The Surrendered Wife' (Isteri Yang Menyerah) karya Laura Doyle. Saya ada membuat komentar mengenai hal ini dalam salah satu artikel saya.
Kinokuniya yang memasarkan buku ini mencatatkan: The Surrendered Wife : A Practical Guide for Finding Intimacy, Passion, and Peace with a Man [Paperback] by Doyle, Laura (pembaca boleh membuat pencarian di internet).
Mengenai sinopsis buku dicatatkan: "Explains how women can build a harmonious marriage by learning to trust their husbands, express their own needs while respecting their husband's choices, and giving up unnecessary control and responsibility." (Membicarakan bagaimana isteri boleh membina sebuah perkahwinan harmonis dengan belajar memberi kepercayaan kepada suami, meluahkan keperluan mereka di samping menghormati pilihan suami dan melepaskan kawalan dan tanggungjawab tidak diperlukan).
Sebagai buku terlaris di Amerika apatah lagi membicarakan sebuah isu kontroversial, tentulah ada banyak pihak memberi komentar. The Observer ada mencatatkan: "So a fish does need a bicycle'...according to a new US bestseller, there's only one way to keep Mr Right - just don't tell him when he's wrong."
(Menurut buku terlaris di Amerika (ketika itu), hanya ada satu cara untuk mengekalkan kasih sayang suami anda - jangan tegur jika dia membuat kesilapan. Suami anda mungkin berkata seekor ikan itu memerlukan sebuah basikal dan sekalipun kenyataan itu 'betul-betul bangang' (bodoh = tolol)). anda sebagai isteri mengiyakan atau diamlah sahaja).
Buku dengan cetakan pertama habis 100,000 naskhah dalam masa singkat, menceritakan detik cemas Laura apabila mendapati suaminya, John, 'membuang tabiat' - menghabiskan banyak masa menonton televisyen bagi mengelak daripada bercakap dengan beliau.
Laura mula 'muhasabah' diri, dan mendapati pasangan paling bahagia di wilayah kediaman beliau di California adalah membabitkan si isteri yang paling patuh kepada suaminya.
Beliau bertekad untuk menjaga lidahnya, sentiasa bersopan, bermuka manis, menyediakan makanan, menuangkan minuman, menghormati, malah memandikan (bukankah ada diriwayatkan Nabi Muhammad s.a.w. dan isteri baginda. Aisyah, pernah mandi bersama) serta membiarkan John membuat keputusan - persis seorang suami tradisional.
Hasilnya?
Laura tersangat berjaya sehingga ramai isteri datang 'berguru' dengan beliau menyebabkan dia terpaksa menganjurkan seminar mengenai 'penemuannya' itu.
Jelaslah seorang suami (lelaki) tak kira di Barat atau Timur mendambakan isteri yang dapat membelai tetapi tidak mengawal kehidupannya. Pakar berkata, kepatuhan seorang isteri adalah kunci kejayaan sesebuah rumah tangga.
Bagaimanapun Laura memberi ingatan keras bahawa 'penyerahan' hanya perlu diberikan kepada 'lelaki baik'. "Jangan sesekali 'menyerah' kepada lelaki yang mendera kamu dan anak kamu secara fizikal, terbabit dalam penagihan bahan bahaya ataupun yang tidak setia," tulis Laura.
Buku Laura secara jelas menyatakan seorang isteri atau suami perlu menyatakan kasih sayangnya pada masa itu juga, Jangan tunggu lama-lama, sehingga suami atau isteri sudah melarikan diri atau sudah tiada di dunia lagi (mati), baharu mahu menyata atau membuktikan kasih sayang.
Kita tinggalkan kisah Laura dengan pendekatan 'buat-buat bodoh' seorang isteri (wanita) itu sebentar, untuk membicarakan secebis bab rumah tangga dalam Islam. Apakah rahsia perkahwinan sehingga boleh berkekalan ke akhir hayat? Seorang ustaz berkata Allah SWT kurniakan mawaddah dan rahmah kepada pasangan suami isteri. Apakah mawaddah dan rahmah itu?
Dalam Surah Ar-Rum Ayat 21 Allah SWT berfirman, yang maksudnya: "Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untukmu (wahai golongan lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikan antara kamu (suami isteri) kasih sayang dan belas kasihan, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir."
Perkara yang membolehkan perempuan dan lelaki bercampur jika sudah suka sama suka adalah nikah. Selepas itu buatlah apa yang kamu mahu. Kasih sayang pada waktu muda inilah (bergetah kata orang sekarang) namanya mawaddah.
Mawaddah ini termasuklah keinginan seks yang membolehkan kesinambungan kepada zuriat manusia. Kasih dan sayang dan seks menjadi agenda; semuanya indah sebab kedua-duanya masih muda, masih bergetah.
Namun manusia daripada muda menjadi tua. Daripada wajah dan 'body' yang 'solid', anggota badan sudah mulai kendur. Yang perempuan lagi cepat proses penuaannya. Jadi pada usia tua ini, apakah yang dapat menyelamatkan rumah tangga pasangan tadi. Itulah rahmah, kasih sayang peringkat tertinggi yang tidak mengenal lagi batasan fizikal.
Allah Taala telah bukakan perasaan belas kasihan antara satu sama lain, antara suami dan isteri. Betapa Pemurahnya Yang Maha Kuasa, dikurniakannya manusia itu mawaddah dan rahmah. Cinta yang meluap-luap dengan iringan nafsu ketika muda, bertukar kepada rahmah, kemuncak cinta dan kasih sayang suami isteri yang berpegang teguh kepada janji untuk sama-sama mendapatkan syurga-Nya. Bukankah itu cita-cita setiap manusia beriman? Yakinilah hanya iman dapat menyelamatkan sesebuah rumah tangga hingga ke janah..
No comments:
Post a Comment