Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Kebenaran itu ialah hak Allah, maka janganlah kamu menjadi orang yang membangkang dan menolak kebenaran." - Maksud Ayat 60 Surah Ali Imran
"Saudaraku jemaah haji, kami berharap anda memberi kesempatan untuk selain anda supaya bisa melaksanakan sya'iroh (syariat) haji!" - kata-kata indah ini saya temui di badan sebuah bas jemaah Indonesia di Mina ketika menunaikan haji kali pertama pada musim haji 1422 (2002M).
Kata-kata perangsang ini amat bermakna untuk menyuntik semangat muda-mudi Islam agar merancang pemergian mereka ke Tanah Suci. Sebaik-baiknya seseorang Muslim itu mula menyimpan sejumlah wang setiap bulan apabila dia mula bekerja, mungkin pada usia 23 tahun (selepas tamat pengajian universiti).
Dengan menyimpan atau membuat potongan gaji RM50 atau RM100 sebulan kepada Tabung Haji, seseorang itu boleh memasang niat dengan mendaftar menunaikan haji dalam masa 10 tahun kerana pada ketika itu jumlah simpanannya sudah mencukupi.
Ini kerana dalam setahun simpanan RM100 sebulan itu berjumlah RM1,200 dan dalam masa 10 tahun menjadi RM12,000 tanpa dicampur bonus simpanan. Jumlah itu sudah memadai untuk penyimpan itu menunaikan haji kerana perbelanjaan semasa kira-kira RM10,000 seorang.
Berdasarkan congkak mudah ini, seseorang itu dapat menunaikan haji pada usia 30 atau 40-an. Pada peringkat umur ini, fizikal seseorang itu adalah pada tahap terbaik dan ini akan memudahkannya melakukan manasik haji yang penuh cabaran seperti melontar di jamrah, bermalam di Mina, berwukuf di Arafah, bahkan untuk tawaf dan saie di Masjidilharam.
Selain tahap fizikal terbaik itu, adalah bermanfaat untuk seseorang itu memantapkan ilmu agamanya termasuk pengetahuan haji dan umrah secara beransur-ansur sejak dia muda lagi. Jika tahap fizikal dan ilmu serta amalan sudah mantap, maka pemergiannya ke Tanah Suci adalah bertepatan dalam usaha mendapatkan haji mabrur.
Tanggal 11 Disember 2005, saya dan isteri berangkat menunaikan Rukun Islam kelima. Pemergian saya kali kedua sedangkan isteri kali pertama. Pada tahun 2002 saya pergi bersendirian kerana isteri bersalin.
Selain pendaftaran dan usaha mencukupkan wang perbelanjaan yang dibuat sejak sekian lama, jejak ke Tanah Suci perlu pengorbanan masa, sekurang-kurangnya setahun sebelum berlepas. Ini kerana bakal jemaah itu perlu menghadiri kursus haji, menjalani pemeriksaan kesihatan, orientasi haji (termasuk amali) malah menduduki peperiksaan!
Semua ini memerlukan kesabaran tinggi, mungkin dapat disimpulkan melalui ungkapan - "bukan mudah nak bergelar haji dan hajah ni, bang dan kak oii!" - oleh seorang penggendali kursus.
(DI BAWAH INI KISAH DAHULU, pada musim haji tahun ini, 1442 Hijrah, tiada jemaah dari Malaysia dihantar ke Tanah Suci)
Betapa tidak mudahnya seseorang itu terpilih menunaikan haji dapat dilihat daripada surat tawaran haji. Ramai juga penerima diletakkan dalam senarai calon STANDBY - bermakna mereka tidak pasti terpilih ke Makkah tahun itu. Bagaimanapun calon 'standy' perlu mengikuti kursus haji bersiri, mungkin sebanyak 15 pengajian pada setiap hujung minggu.
Kelas pengajian ini berakhir sebelum Ramadan. Pada bulan puasa ini bakal jemaah berdebar-debar kerana akan diberitahu sama ada permohonan mereka berjaya atau tidak.
Selepas disahkan berjaya, seseorang jemaah itu bolehlah bersiap sedia ke Tanah Suci selepas raya (Syawal). Jemaah muassasah dikehendaki ke pejabat Tabung Haji menyiapkan pasport haji dan kad nama serta mengambil pelbagai kelengkapan seperti beg, rantai pengenalan dan buku panduan terkini.
Pada musim haji lalu (2005/06), berlaku sesuatu yang tidak diduga. Sebahagian daripada jemaah haji yang sudah membuat pasport, mengambil rantai dan beg, tiba-tiba sahaja mendapat surat menyatakan pemergian mereka dibatalkan, mereka dikhaskan tempat untuk musim haji berikutnya, 2006/07.
Ramai bakal jemaah veteran yang berhajat bersungguh-sungguh ke Tanah Suci mengalirkan air mata - mana tidaknya kerana sesetengahnya telah membuat persiapan terakhir termasuk mengadakan khenduri!
Pada musim haji lalu, hanya 26,000 jemaah (satu peratus daripada jumlah penduduk Malaysia seramai 26 juta) berjaya ke Tanah Suci. Kerajaan Arab Saudi dilaporkan begitu ketat dalam soal kuota sedangkan sebelum ini jumlah jemaah Malaysia dianggarkan antara 40,000 ke 50,000 orang.
Kesihatan diri juga amat dititik-beratkan Tabung Haji ke atas jemaah. Setiap bakal jemaah diberikan buku rekod kesihatan yang menyenaraikan jemaah ke dalam tiga kategori - hijau (tiada masalah kesihatan), kuning (ada penyakit tetapi dalam kawalan) dan merah (berpenyakit kronik).
Bakal jemaah dikehendaki menjalani pemeriksaan doktor kerajaan yang ditentukan Tabung Haji. Pemeriksaan adalah secara menyeluruh dan mereka yang berpenyakit perlu menjalani rawatan dari semasa ke semasa sehingga keadaan mereka stabil.
Pertama kali menjalani pemeriksaan kesihatan ini, saya gagal kerana kandungan gula dalam darah tinggi (diabetes) dan disuruh datang kembali selepas diberi ubat.
Pemeriksaan kali kedua saya gagal juga. Keresahan sudah bersarang dalam hati tetapi saya memujuk diri untuk sabar kerana ujian menunaikan haji memang berat. Kali ketiga barulah saya lulus.
Bersyukur kepada Allah kerana saya semakin hampir ke Tanah Suci, tetapi satu persoalan besar timbul kerana saya belum menerima surat daripada Tabung Haji menyatakan status saya - sama ada terpilih atau tidak menunaikan haji musim 1426 itu. Ohh, betapa berdebar-debarnya hati saya ketika itu!
No comments:
Post a Comment