Tuesday, July 20, 2021

Zulhijah 10, 1442 (Semarak Haji): Ujian perjalanan Arafah-Mudzalifah-Mina (U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.  


Renungan 


"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


SEMPENA Aidiladha hari  ini, disiarkan pemerhatian saya ketika menunaikan salah satu manasik haji tidak lama dulu. Semoga dapat menjadi panduan dan iktibar bersama.

Perjalanan Arafah-Mudzalifah menguji ketahanan diri sama ada dari segi mental dan fizikal. Apabila ratusan ribu jemaah berhimpun, berlaku ketidak-tentuan yang menguji keimanan dan kesabaran diri.

Bayangkan dalam masa mengerjakan manasik haji, masih ada jemaah berebut-rebut, takut ketinggalan bas. Ada isteri yang sudah naik bas, suaminya belum. Berlakulah kekecohan dan perselisihan, sedangkan perbalahan dilarang sama sekali ketika menunaikan haji...

.....Di situlah jemaah berehat, berbaring berlantaikan tikar dan beratapkan langit. Sambil baring-baring, sesekali sekala terbau najis binatang, mungkin pada siangnya tempat itu menjadi lokasi persinggahan kumpulan unta.

......Berusahalah untuk menjaga wuduk kerana untuk memperbaharuinya atau ke tandas, selain jaraknya yang jauh, terpaksa menempuh ribuan manusia, kemudian beratur panjang. Bersabar dan terus bersabarlah sepanjang malam itu.

Ketika berbaring dalam khemah di Mina, terbayang dalam kotak fikiran saya akan kesukaran sesetengah jemaah dalam perjalanan Arafah-Mudzalifah-Mina yang diceritakan oleh ibu saya ketika beliau menunaikan haji.

Katanya, antara masalah terbesar dihadapi jemaah veteran adalah berkaitan buang air kecil dan besar. Bayangkan jika seseorang jemaah yang lemah sistem perkumuhannya, bagaimana dia dapat bertahan sehingga berbelas-belas jam dalam bas. Tiada apa yang dapat dilakukan, kecuali berdoa dan berdoalah agar perkara mengaibkan diri tidak berlaku ketika perjalanan yang amat sukar itu.

Demikian juga apabila berlaku kes kecemasan, seperti jemaah tiba-tiba jatuh sakit kuat atau meninggal dunia dalam bas. Maka terpaksalah pesakit dibantu oleh jemaah lain setakat yang mampu manakala jenazah terus dibawa sehingga bas dapat keluar daripada kesesakan itu.

No comments: