Saturday, August 6, 2022

8 Muharam 1444: Cengkaman Belanda di dunia Melayu...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


PEMILIHAN saya untuk melawat Belanda (Holland, Netherlands) berbanding negara Eropah lain, banyak dipengaruhi oleh kisah 'kegeraman' bangsa ini (Melayu) terhadap orang Belanda sehingga timbul peribahasa 'bagai Belanda minta (dapat) tanah'.


Daripada kisah penentangan sengit bangsa.ini terhadap kerakusan Belanda sehinggalah kepada peristiwa rusuhan tahun 1950 di Singapura membabitkan gadis sunti Belanda yang dibela sebuah keluarga Melayu - Natrah Maarof yang nama asalnya Huberdina Maria Hertogh, semuanya 'menaikkan darah' orang Melayu.


Sekarang ini apabila sesekali menatap 'Apresiasi Dari Kepri (Kepulauan Riau)' di YouTube,  membuat kita tersayat hati menyaksikan persamaan penduduk di rantau Melayu tetapi kini dipisahkan dalam negara moden bernama Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Thailand.


Itulah penjajah Belanda-British telah memecahbelahkan dunia Melayu melalui dasar pecah dan perintah mereka mulai Perjanjian British-Belanda (London) pada 1824 yang menggariskan wilayah "ini aku punya, itu kau punya.". 


Hari ini melalui video YouTube itu, bagi pencinta bangsa Melayu termasuk bahasa, budaya, pakaian dan terpenting agamanya (Islam), boleh menitiskan air mata menyaksikan cara hidup saudaranya yang sama tetapi sebenarnya berada dalam negara lain.


Orang Malaysia mungkin 'sudah masak' dengan British (sebagai bekas penjajah) tetapi tidak dengan Belanda. Hakikatnya Belanda menjajah Melaka ratusan tahun (1641-1795) dan menjarah bahagian lain Tanah Melayu seperti di Perak dan Naning (wilayah sempadan Melaka-Negeri Sembilan).


Sejarah mencatatkan Belanda mula memberi perhatian kepada gugusan Kepulauan Melayu pada hujung kurun ke-17 bagi memperoleh rempah secara langsung dari timur dan bukan melalui orang Portugis. 


Oleh itu, untuk menguasai gugusan ini mereka perlu menguasai Melaka yang merupakan pelabuhan strategik. Beberapa percubaan Belanda untuk mendapatkan Melaka daripada penguasaan Portugis pada tahun 1606, 1608, 1623 hingga 1627 telah gagal. 


Namun orang Belanda (dengan bantuan orang Melayu) dapat menewaskan Portugis selepas enam bulan dikepung dan diserang oleh askar Belanda yang dibantu askar Johor terdiri daripada 40 buah perahu perang membawa 1,500 orang askar Melayu pimpinan Laksamana Tun Abdul Jamil. 


Pada 14 Januari 1641 Belanda berkuasa di Melaka setelah 130 tahun Portugis menduduki Melaka (1511-1641), ya dengan bantuan orang Melayu sendiri termasuk orang Johor!


Belanda meluaskan perdagangan di Tanah Melayu dengan membuat perjanjian perdagangan yang biasanya menguntungkan Belanda sahaja . Ini menimbulkan penentangan orang Melayu khususnya pembesar-pembesar terutama di Naning, Perak, Johor, dan Selangor..


Orang Naning telah melawan Belanda dan pada satu peringkat dikatakan berjaya menewaskan Belanda tetapi pengkhianatan sesama bangsa menyebabkan mereka akhirnya tewas.


Kalau kita menyelusuri subjek Sejarah di sekolah menengah, kita akan menemui bab Perang Tiga Segi antara Aceh, Johor dan Portugis (Melaka). Malah kejayaan Belanda menewaskan Portugis adalah dengan bantuan orang Johor.


Aceh dan Johor adalah sama-sama kerajaan Melayu tetapi kita kurang faham mengapa Aceh menyerang Johor sehingga menawan dan membawa pembesar-pembesarnya seperti Tun Sri Lanang ke sana.


Sekalipun menguasai Melaka selama ratusan tahun, Belanda sebenarnya kurang berjaya mencengkam negeri-negeri Tanah Melayu terutama dengan kehadiran bantuan pasukan pembesar termasuk panglima Bugis lima bersaudara dari Riau.


Akhirnya, melalui perjanjian 1824 (Perjanjian London), Belanda meninggalkan kepentingan di Tanah Melayu kepada British sebaliknya meluaskan cengkaman di wilayah yang kini bernama Indonesia.


Dunia Melayu sudah menjadi seperti sebiji kek dibahagi kecil-kecil mengikut kemahuan negara-negara Barat bagi kepentingan ekonomi mereka. Rantau ini dicengkam dan diratah oleh penjajah yang kehausan seperti Belanda yang mahu menjadi kuasa besar dunia. Pada abad ke-17, Belanda mulai menggalakkan aktiviti pelayaran dan penjelajahan. 


Kapal-kapal Belanda mula belayar merentasi Atlantik. Awal abad ke-17, pedagang Belanda semakin tersebar sehingga ke Afrika, Amerika Selatan dan Asia. Dengan itu, banyak koloni-koloni Belanda telah ditubuhkan di seluruh dunia seperti di Hindia Timur (Indonesia), kepulauan Caribbean, bahagian-bahagian tertentu di Brazil dan Guyana di Amerika Selatan, New Amsterdam (New York) di Amerika Utara, Afrika Selatan (ada keturunan Melayu seperti di Cape Town) dan sebagainya membentuk Empayar Belanda.


Pada tahun 1682, Vereenigde Oost Indische Compagnie (V.O.C) atau Syarikat Hindia Timur Belanda telah ditubuhkan untuk menghadapi persaingan dari kuasa-kuasa Eropah lain terutamanya Sepanyol dan Portugis. Kerajaan Belanda telah memberikan hak-hak istimewa kepada V.O.C untuk memonopoli aktiviti-aktiviti perdagangan yang penting pada masa itu. 


Di samping itu V.O.C juga telah diberi kebenaran untuk mengadakan perjanjian dengan pemerintah-pemerintah tempatan, menakluki serta menubuhkan koloni. 


Di Asia, Belanda bersaing dengan Portugis yang menguasai laluan sekitar Afrika. V.O.C bersaing dengan Portugis tetapi mengekalkan kestabilan di Eropah. Penguasaan Belanda mendapat persaingan sengit apabila Belanda bersaing dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris.


Di koloni-koloninya orang-orang Belanda telah membuka ladang-ladang bagi tanaman-tanaman komersial. Pelabuhan Antwerp dan Amsterdam menjadi bandar utama perniagaan gula. Perusahaan tembakau menjadi penting pada abad ke-17 kerana bekalan buruh dari Afrika.


No comments: