DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Daripada Aisyah r.a., berkata: "Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Semua manusia dikumpulkan tanpa memakai alas kaki, telanjang dan belum dikhatan.' Aisyah bertanya; 'Apakah antara lelaki dan perempuan akan saling melihat antara satu dengan yang lain?' Rasulullah s.a.w. bersabda: 'Urusan pada hari itu lebih dahsyat daripada mementingkan hal-hal seperti itu.'" (HR. Bukhari dan Muslim)
TIDAK lama dahulu ketika berbual-bual dengan bapa saya yang sudah berusia lebih 80 tahun, terpantul pantun dua kerat ini daripada mulutnya - Tebang buluh pakai kapak, buat kerja biar orang nampak.
Selain kerja, dalam menunaikan ibadah pun orang nak menunjuk-nunjuk. Misalnya, biar orang nampak aku solat, kalau tak, 'depa' asyik mengata aku kaki tak solat.
Demikianlah, sekarang ini hampir semua orang buat kerja biar orang lain terutama 'bos' nampak. Misalnya, selalu saya lihat 'Mat Bangla' yang buat kerja kasar seperti membersih longkang akan 'angkat gambar' untuk dihantar kepada 'bos'.
Demikian juga kontraktor atau mandur, apabila sesuatu kerja sudah dibereskan, mereka juga akan 'angkat gambar'. Ada juga yang mengambil gambar ketika buruh-buruh sedang bekerja.
Mengenai ambil gambar 'ketika bekerja' ini sudah menjadi amalan biasa dalam semua bidang pekerjaan. Cikgu pun ambil gambar ketika menjalankan aktiviti bersama anak murid, malah 'orang masjid' pun dijangkiti amalan sama.
Bukan pekerja saja 'ambil gambar', orang 'beribadat' pun sama. Misalnya, selepas solat tahajud, dia ambil gambar ketika berpakaian solat seperti telekung dan menulis - "done (sudah) bertahajud."
Jika orang awam 'kerap bergambar' untuk membuktikan dia 'buat kerja', orang politik pun sama. Tunggulah, menjelang PRU nanti sibuklah mereka 'melakonkan sesuatu aksi' seperti minum kopi di warung kampung atau sedang 'menoreh getah', kemudian 'bergambar' untuk dihebah-hebahkan kepada semua.
Pemimpin 'cap kangkung' memang ramai, tetapi amat-amatilah bahawa pemimpin yang hidupnya bersandarkan al-Quran dan hadis tetap 'mewangi' sepanjang zaman tanpa perlu menunjukkan dia membuat kerja itu dan ini. Pemimpin jenis ini tidak termasuk dalam golongan disebutkan dalam pantun, tebang buluh guna kapak, buat kerja biar orang nampak.
Ya, hanya pegangan kepada al-Quran dan sunnah saja yang dapat menyelamatkan seseorang. Orang awam jangan mudah terpedaya termasuk menyakini tokoh-tokoh tertentu dengan 'gambar-gambar sedang beraksi' sebagai bukti mereka 'kaki bekerja' atau lebih penting lagi amanah dalam pekerjaan mereka.
Jika seseorang itu mahu dijadikan contoh, hanya insan yang hidupnya berpandukan al-Quran dan sunnah saja boleh diikuti.
Inilah pesan seorang ustaz dalam tazkirah yang diikuti penulis. Kata ustaz itu, selagi kita berpegang kepada al-Quran dan sunnah, kita tidak akan sesat selama-lamanya.
Semua perjuangan berdasarkan isme dan sanjungan kepada tokoh akan punah akhirnya. Lihatlah akan isme komunis yang diamalkan oleh empayar paling hebat dalam era moden, Soviet Union, akhir tumbang menyembah bumi selepas 70 tahun berkuasa.
Tokoh-tokoh pujaan dunia daripada Firaun pada zaman purba kepada Stalin, Churchill, Kennedy, Nixon, Mubarak, Zein el-Ebiden, dan Saddam semuanya hancur. Demikian juga pemimpin dari rantau Asia seperti Marcos, Suharto dan terkini Kim Jong il.
Insan yang bergantung kepada tokoh ternama untuk mencari kepentingan peribadi akan dimalukan sendiri oleh 'masa'.
Dalam perjuangan umat dan pergerakan Islam, kemenangan yang hendak dicapai bukan hanya di peringkat tempatan dan nasional tetapi juga untuk kepentingan ummah secara global dan yang terpenting, di akhirat sana.
Jadi antara cabaran pergerakan Islam ialah tanggungjawabnya terhadap Islam manakala tuntutan ke atasnya bukan setakat melaksanakan tuntutan agama bersifat individu tetapi jemaah dan perjuangannya bersifat global. Musuh bukan bersifat tempatan saja tetapi bersifat global.
Pemimpin akan datang dan pergi tetapi perjuangan untuk menegakkan penghidupan berpandukan al-Quran dan sunnah akan tetap berlangsung.
Bagi individu Muslim, perjuangan itu sepanjang hayat manakala bagi umat dan jemaah Islam, ia akan berterusan sehingga hari kiamat.
Muslim sejati termasuk pemimpinnya tidak perlu menunjuk-nunjuk dalam kerja mereka termasuk dalam media sosial baharu; bagi mereka penilaian Allah SWT yang penting, bukan yang dibuat oleh sesama manusia!
No comments:
Post a Comment