Friday, August 26, 2022

28 Muharam 1444: Dilema 'pass' U tak ada kerja...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat yang membawa kerosakan." - Maksud Ayat al-Quran Surah al-Israa': 32


BEBERAPA tahun lalu, termenung tatkala menatap ‘book list’ (senarai keperluan) sekolah diserahkan seorang anak saya yang tahun depan akan memasuki tingkatan tiga. Pada bahagian bawah ada ditulis ‘jumlah besar’ iaitu sebanyak RM548.00. Ya, banyak sungguh bayaran untuk membolehkan anak-anak ‘back to school’ (kembali ke sekolah).


Saya menyemak senarai keperluan itu, ia tidak menyenaraikan yuran PIBG yang biasa mencecah ratusan ringgit dan bayaran makanan asrama yang boleh mencecah RM1,000 setahun. Jadi bersedialah ibu bapa untuk ‘menyerahkan’ ratusan atau ribuan ringgit bagi seorang anak; persoalannya bagaimana ibu bapa mahu ‘cekau’ (dapatkan) duit sebanyak itu?


Demikianlah sungguh tak keruan ibu bapa dalam menghadapi tahun baharu. Jika perbelanjaan seorang anak boleh mencecah RM1,000 bagaimana bagi pasangan yang mempunyai lima anak di bangku sekolah? Nampaknya macam tak logik bagi sebuah keluarga untuk menyediakan RM5,000 sedangkan pendapatan ayah + ibu tak sampai sebanyak itu. Namun itulah realiti…kehidupan perlu diteruskan walau bagaimana sukarnya cabaran mendatang.


Pada ketika saya ‘terhenyak’ menatap ‘book-list’ itu, terlihat saya sebuah laporan di media sosial yang menyebut seorang perwakilan parti politik secara bersahaja mengajak pemimpin turut sama beratur membeli minyak masak dalam paket satu kilogram bagi memahami suasana dihadapi rakyat.


Pemimpin turut dicadangkan supaya menaiki bas henti-henti yang disediakan kerajaan.  Cadangan itu disuarakan perwakilan itu bagi menyatakan kos sara hidup yang dihadapi rakyat sejak kebelakangan ini.

,

Perwakilan juga berapi-rapi membahaskan tanah orang Melayu yang semakin ‘terhakis’ tetapi bak kata ‘orang Utara’ wal hasil balik asal.


Berbalik kita kepada ‘cerita sekolah’ tadi, nampaknya  ibu bapa pada ‘zaman ICT’ sekarang ini perlu bergolok gadai (macam zaman dulu-dulu pula), melakukan pelbagai pekerjaan halal (menteri suruh melakukan dua kerja atau lebih) dan mengikat perut masing-masing bagi menyediakan anak-anak agar berjaya dalam persekolahan.


Mereka juga menebalkan muka berhutang kepada majikan dan saudara-mara jika wang yang disediakan tidak mencukupi kerana perbelanjaan persekolahan dan pengajian tinggi terlalu besar. Anak-anak pula ‘dibiasakan’ atau terpaksa meminjam wang PTPTN yang kerap benar menimbulkan masalah kepada mereka kemudiannya.


Seorang rakan saya mendakwa keluarga paling teruk membiayai perbelanjaan anak-anak adalah daripada golongan pertengahan (sederhana) seperti dirinya dan saya sedangkan golongan kaya tidak terasa apa-apa manakala golongan miskin menerima pelbagai bantuan seperti biasiswa (di IPT) dan diberi pengecualian pembayaran yuran dengan syarat anak-anak cemerlang dalam pelajaran.


Bijak pandai ada berkata di sebalik kesusahan ada kesenangan; ungkapan Melayu menyebut, berakit-rakit dulu berenang-renang kemudian, bersakit-sakit dulu bersenang-senang kemudian.


Yalah, selepas bersusah payah termasuk bergolok gadai untuk melihat anak-anak berjaya dan terus berjaya sehingga ke menara gading, tentulah ibu bapa akan tersenyum panjang melihat mereka meniti kejayaan termasuklah semasa menerima ijazah pada majlis konvokesyen.


Namun sedarlah wahai pembaca sekalian, sejumlah besar anak-anak muda yang bergelar graduan itu termasuk dalam bidang perubatan adalah PENGANGGUR! 


Demikianlah, sekarang ini graduan perubatan dan kejuruteraaan pun sukar dapat kerja, cuba bayangkan nasib graduan dalam bidang lain. Ramai anak-anak muda hatta berkelulusan sarjana pun tiada kerja, tetapi kerajaan tetap mendabik dada “kitalah yang terbaik di seantero dunia!”


No comments: