Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Muhasabah diri
Umar r.a. berkata: "Cukuplah bagi seseorang jika dia melakukan tiga macam;
1. Mencela perbuatan orang padahal dia berbuat seperti itu.
2. Melihat kesalahan orang lain dan tidak melihat kesalahan diri sendiri.
3. Dan mengganggu kawannya dengan perbuatan yang tidak penting baginya.
ALHAMDULILLAH, ketika dalam penerbangan ke Eropah, saya berkenalan dengan seorang warga Indonesia, Afriadi Ali dari Jakarta yang dalam perjalanan ke Amsterdam untuk menghadiri satu mesyuarat bisnesnya.
Beliau mengakui bahawa walaupun sudah lama merdeka (Indonesia mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945), masih banyak pihak termasuk orang dalam dunia perniagaan seperti dirinya menjalin urus niaga dengan orang Belanda yang berpangkalan di Amsterdam.
Mungkinkah situasi ini sama dengan orang Malaysia yang masih memandang 'gah' kota London dan 'mat salih' di sana? Mungkinkah masih banyak pihak dan ramai rakyat Malaysia 'berkiblat' ke London manakala orang Indonesia ke Amsterdam (Belanda) pula. Dalam kunjungan saya ke Belanda tempoh hari, ditemui sejumlah syarikat dagang Indonesia di sana.
Berbalik kepada kisah lama Belanda-Kepulauan Melayu (The Malay Archipelago) mungkin ada bertanya apa hebatnya orang Belanda kerana dapat menjajah Nusantara (Indonesia) lebih 350 tahun? Hakikatnya, soalan ini salah sama sekali.
Belanda tidak menjajah Kepulauan Melayu atau Nusantara selama itu. Wilayah terakhir ditawan, Aceh hanya dapat dikuasai mulai 1904. Ditolak dengan penguasaan Jepun selama beberapa tahun, wilayah ini tidak sampai 40 tahun dikuasai Belanda.
Jarak tahun di antara kejatuhan tanah pertama di Nusantara iaitu pendudukan haram di Banten di Jawa Barat pada 1596.dan kejatuhan Jayakarta (Jakarta) pada 1619 yang kemudian dinamai Batavia dengan penawanan Aceh (1904) adalah lebih 300 tahun...jadi Belanda memerlukan masa lebih 300 tahun untuk menundukkan semua kerajaan di Nusantara. Sepanjang masa itu ada banyak kerajaan berdaulat di rantau ini dengan Belanda menguasai wilayah yang kecil sahaja.
Kenapa kerajaan-kerajaan di 'Malay Archipelago' ini jatuh satu demi satu kepada Belanda? Yalah, walaupun lewat tetapi tetap jatuh.
Afriadi Ali berkata ini sebahagiannya disebabkan tiada kesatuan dan kesepakatan antara kerajaan-kerajaan terbabit. Kebanyakannya menghadapi kemaraan Belanda secara 'sendiri-sendiri' malah ada yang menolong Belanda menyerang sesama bangsa dan agama pula! Malah ada kerajaan-kerajaan Melayu Sumatera Timur yang menyerang kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu pula, yalah misalnya Siak Indrapura pernah menyerang Selangor!
Hari ini, Indonesia (merdeka, 17 Ogos 1945) dengan wilayah dari Sabang (Aceh) sampai Merauke (Papua) tidak mampu (boleh) berpecah lagi, kata Afriadi.
Perpecahan akan membawa kepada malapetaka; dahulunya kerajaan-kerajaan rantau ini bersaing sesama sendiri menyebabkan sebuah demi sebuah jatuh ke tangan Belanda - si penjajah rakus dari benua Eropah yang bersaing dengan negara seperti Portugal, Sepanyol, Perancis dan Inggeris bagi menguasai dunia.
Selain kemantapan dalam negara, negara-negara serantau apatah lagi serumpun seperti Malaysia dan Indonesia tidak wajar berkonflik dan berpatah arang kerana 'mata-mata asing' sedang memandang tajam bagai sang helang hendak menerkam mangsanya. Sedarlah bahawa radar asing (Big Brother) sedang mengawasi kita, bahkan sebahagian 'jentera perang'nya seperti konten medium komunikasi asing sudah menyerap dalam masyarakat kita. Inilah penjajahan bentuk baharu yang perlu diawasi.
Berbalik kepada penjajahan lama, mungkin tak terfikirkan kita bagaimana Belanda, sebuah negara kecil dengan penduduk yang kecil juga (sekarang penduduk Belanda hanya 17 juta orang) dapat menguasai sebuah rantau luas yang sekarang bernama Indonesia dengan jumlah penduduknya 275 juta?
Namun pembaca perlu ingat mulai abad ke-17, Belanda sudah menjadi kuasa perindustrian dan perdagangan (ekonomi) termasuk perkapalan yang terkuat di Eropah. Rotterdam menjadi pelabuhan tersibuk Eropah. sebagai pusat entrepot - barangan dari seluruh Eropah dibawa masuk ke sini dan kemudian diperdagangkan di seantero dunia.
Golongan pedagang dan perbankan Eropah bertumpu ke sini, kemudahan dan industri berkembang maju dengan penciptaan dan pembaharuan peralatan kerja seperti kincir angin dan kincir air. Perlu disedari bahawa 50 peratus tanah Belanda berada di bawah paras laut, menyebabkan penduduknya berinovatif dan berkreatif tinggi dalam menjayakan kelangsungan hidup. Mereka dapat memajukan tanah pertanian dan akhirnya menjadi antara negara pengeksport bahan makanan terbesar dunia. Malah hari ini Belanda muncul antara negara terkaya dunia!
Salah satu cara lain orang Belanda untuk memperkaya diri dan negara adalah 'dengan meluaskan sempadan' negara...pelayar, peneroka dan 'penjarah' mencari 'dunia baharu' apatah lagi mendapatkan galakkan kerajaan termasuk raja dan ratunya.
Salah seorang yang terkenal antara mereka adalah Ratu Wilhelmina (1890-1948) yang mahu 'The Malay Archipelago' (Indonesia) terus dijajah Belanda sekalipun Presiden Sukarno sudah mengisytiharkan kemerdekaan pada 17 Ogos 1945. Sekalipun berkeras, Wilhelmina gagal, dan terpaksa menyerahkan takhta pada 1948, dan mati pada 1962.
Selain itu, penubuhan Vereenigde Oost Indische Compagnie iaitu Sarekat (Syarikat) Hindia Timur Belanda (VOC) pada 1682 yang diberikan hak-hak istimewa untuk memonopoli aktiviti-aktiviti perdagangan yang penting pada masa itu di samping diberi kebenaran untuk mengadakan perjanjian dengan pemerintah-pemerintah tempatan, menakluki serta menubuhkan koloni, semuanya merancakkan usaha Belanda untuk menguasai dan menjarah dunia! Ya pada zaman keemasannya, syarikat ini menjadi yang terbesar dan terkaya di dunia...ini membolehkan Belanda dengan raja dan ratunya menguasai dunia!
No comments:
Post a Comment