Tuesday, August 30, 2022

2 Safar 1444: Cabaran Muslim yang taat di Eropah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Dan janganlah engkau berdoa selain daripada Allah, iaitu sesuatu yang tidak dapat memberikan manfaat kepadamu, dan tidak pula mendatangkan mudarat. Maka jika engkau perbuat juga, sesungguhnya engkau pada waktu itu, termasuk orang-orang yang menganiaya diri sendiri." – Maksud Ayat 106 Surah Yunus


MELIHAT jadual waktu solat di Eropah, pengunjung baharu boleh terkesima dibuatnya. Ketika penulis berada di sini, Eropah berada pada penghujung musim bunga...masuk solat subuh adalah jam 3.00 pagi, zuhur 1.30 petang, asar 6.00 petang, maghrib 10.00 malam dan isyak 12.00 tengah malam. 

Ada tempatnya masuk subuh 1.00 pagi. Subhanallah, jika waktu solatnya begitu, bagaimana tempoh waktu berpuasa pula...? Mungkin hanya ada beberapa jam sahaja untuk berbuka, bertarawih seterusnya bersahur!

Ketika baharu sampai...saya teruskan 'aksen' cara 'orang kita'. Di sebuah masjid, saya tak ragu-ragu ambil wuduk ala orang Malaysia. Bukak kepala paip, terus sampaikan air ke anggota wuduk. 

Waduh...Masya-Allah, menggelupur saya seketika. Airnya panas, panas, panas. Rupa-rupanya 'depa' guna 'heater' - air paip panas untuk 'melawan' kedinginan.

Patutlah, ketika mula-mula masuk ke ruang wuduk saya nampak banyak bekas seperti kendi. Jemaah saya lihat, menadah air paip dalam kendi, membiarkannya seketika, kemudian baharu ambil wuduk menggunakan air dari kendi itu. Tetapi saya tak digerakkan hati untuk berfikir dan mengambil 'pot' hal itu.

Ya saya 'gelojoh' - maka terjadilah hal itu. Bukan saya tak pernah dengar peribahasa Melayu seperti 'masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak atau ungkapan 'When in Rome, do as the Romans do', tetapi dah terbiasa dengan amalan di tanah air. 

Jadi wahai LanH, when in Europe, do as the Europeans do'! Ya, ya, boleh difikir-fikirkannya.



No comments: