Thursday, August 4, 2022

6 Muharam 1444: Tua mengajar kita bersyukur, berterima kasih...(U)

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.


Renungan


"Dialah (Allah) yang menciptakan bagi kamu pasangan-pasangan (jodoh) daripada makhluk (jenis) kamu sendiri agar kamu condong kepadanya dan berasa tenteram dengannya. Kemudian Allah menciptakan kasih dan sayang antara kamu." (Surah Ar Rum: 21) 


SEMAKIN tua diri ini semakin keraplah kita ke hospital; menyedarkan diri bahawa kita kian hampir ke kubur. Kalau tak sedar lagi, berlagak bagaikan orang muda, tak tahulah apa nak dikata. Sedar-sedarlah diri bahawa dunia sudah kata pergi, kubur kata mari...


Selain diri kita yang perlu menerima rawatan akibat pelbagai 'penyakit tidak berjangkit' seperti diabetes dan darah tinggi, rakan taulan dan saudara mara daripada 'golongan veteran' pun sama - ada yang dimasukkan ke wad, jadi semakin keraplah kita ke hospital termasuk menziarahi mereka.


Terkenang seorang saudara dekat yang terlantar di katil hospital -  melihatnya cukup menginsafkan; apabila nikmat bercakap beliau ditarik Allah SWT, dia hanya mampu memandang; dia dan pengunjung tidak lagi dapat berkomunikasi. 


Suatu ketika air mata meleleh di pipinya, ada pelawat berkata dia mendengar apa diperkatakan tetapi tidak mampu menunjukkan reaksi sama ada melalui mimik muka apatah lagi pergerakan anggota dan percakapan.


Demikianlah manusia akan hilang apa dia nikmati. Kebanyakan orang tidak menyedari nikmat dicurahi Illahi yang dianggap biasa seperti kemampuan bercakap, melihat dan berjalan sehingga ia ditarik balik. Manusia menang tidak menginsafinya sehinggalah ‘mulut mereka dipenuhi tanah’ (maksudnya sudah berada dalam kubur). Sesudah mati barulah diketahui nikmat hidup.


Seorang ustaz dalam kuliah mingguannya di masjid berhampiran rumah penulis ketika membentangkan permasalahan nikmat ini menarik perhatian penulis. Katanya, nikmat itu hanya dapat dirasai apabila berlaku perkara bertentangan; misalnya nikmat sihat dirasai apabila seseorang itu sakit; nikmat berjalan selepas kaki tiada; nikmat kaya selepas jatuh miskin; dan nikmat berkeluarga selepas bercerai-berai.


Ustaz itu berkata nikmat Allah SWT tersangat banyak, tidak terhitung manusia. Beliau membawa kisah seorang lelaki bani Israil yang beribadat ratusan tahun, kemudian mendakwa dia memasuki syurga kerana banyaknya amalannya. Allah memerintahkan ditimbang amalan dia dengan nikmat sebelah matanya; ternyata timbangan mata itu lebih berat menyebabkan dia dilemparkan ke dalam neraka. 


Seorang Muslim perlu menyedari nikmat terbesar Allah SWT kepadanya adalah Islam, iman dan tergolong umat Nabi Muhammad s.a.w. Kata ustaz tidak guna menjadi kaya atau berkuasa tetapi tidak termasuk tiga kategori ini. Katanya, umat Nabi Muhammad s.a.w. sangat beruntung kerana nabi-nabi pun mahu menjadi umat rasul akhir zaman tetapi tidak terlaksana.


Pembaca boleh mengikuti perbahasan mengenai nikmat ini dalam kitab-kitab agama atau tazkirah, jadi penulis tidak berhajat melanjutkan perbahasan mengenainya tetapi mahu menjurus kepada antara perkara dinikmati penulis sekarang ini.


Nikmat pertama adalah kehadiran ibu bapa di sisi sedangkan sebahagian besar rakan seusia, orang tua mereka sudah meninggal dunia. Orang yang masih ada ibu bapa tidak menyedari nikmat ini sehinggalah mereka tiada.


Seorang rakan memberitahu dia tersangat rindukan ibu bapanya. Malangnya mereka sudah tiada. “Apabila hari raya, berhajat jua pulang ke kampung tetapi untuk apa? Ayah dan ibu sudah tiada, jadi saya tidak terpanggil untuk pulang,” katanya sayu.


Demikianlah apabila tiada, barulah terasa nikmat itu. Kedua-dua orang tua saya masih ada, dan nikmat bersama merekalah yang penulis hendak nyatakan. Sudah pasti perkara yang hendak dinukilkan itu terlalu banyak, kerana keterbatasan ruang, cukuplah saya nyatakan satu dua saja.


Ayah saya sudah lebih 25 tahun pencen daripada pekerjaannya sebagai tukang kebun sekolah. Tentulah wang pencennya tidak seberapa. Tetapi hampir setiap hari ada saja buah tangan (sarapan seperti roti canai dan nasi lemak) dibelikannya untuk anak-anak saya (rumah saya dan rumahnya sebelah menyebelah).


Saya menjadi malu sendiri, sepatutnya saya yang melakukan perkara itu, tetapi perkara sebaliknya berlaku. Saya terasa begitu sebak, kerana tidak puas-puas orang tua membiayai saya sejak daripada bayi dulu sampailah diri saya yang sudah beruban!


Ibu saya pula tidak jemu-jemu membimbing saya; dulu masa kecil dia mengajar saya membaca al-Quran, kemudian kelima-lima anak saya juga diajarnya. Semua sudah khatam di tangannya, oohh, cukup besar jasanya yang tidak putus-putus daripada dulu sampai sekarang.


Jadi, apakah yang dapat saya lakukan; hanya ucapan terima kasih tidak terhingga dan memanjatkan doa kepada mereka; “Ya Allah Kau kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani aku semasa aku kecil dulu.”



No comments: