DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab itu sebagai al-Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya." (Yusuf: 2)
Puas sudah kutanam padi,
Lalang juga memenuhi ladang,
Puas sudah kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.
Sebagai rakyat yang dilahirkan selepas merdeka, saya berpendapat adalah tidak tepat untuk saya menulis mengenai perbezaan kehidupan penduduk negara ini sebelum dan selepas merdeka.
Misalnya adalah sukar untuk menulis sama ada kehidupan rakyat bertambah baik atau semakin tersepit dalam sebuah negara merdeka kerana saya hanya berpengalaman merasai kehidupan zaman selepas merdeka dan bukan era sebelum itu.
Seorang dua orang lama (veteran) pernah menegur: "Kau mana tahu zaman pak cik dulu, pada zaman Jepun kita orang makan ubi kayu untuk hidup, sebelum merdeka kehidupan rakyat amat susah. Kau orang-orang muda ini mana tahu semua ini. Kau orang tahu senang saja dan sikit-sikit mahu 'protest' sebab kau orang hidup pada zaman senang. Kau mana tahu susah payah kami?."
Disebabkan tiada pengalaman hidup sebelum merdeka, saya akan menggunakan 'sumber kedua' (secondary sources). Di sini saya akan mencatat dan menyiarkan pengakuan serta pandangan beberapa orang yang hidup pada dua zaman itu dan berdasarkannya bolehlah pembaca membuat penilaian.
Sepucuk surat pembaca (Forum Pembaca) dalam sebuah akhbar tidak lama dulu yang ditulis oleh seorang veteran tentera dengan tajuk 'Apa Erti Merdeka Kalau Ekonomi Masih Dijajah' menarik minat saya.
Antara lain bekas pegawai tentera ini mengkritik sambutan hari kebangsaan yang dihiasai dengan mencipta benda dan perkara membazirkan seperti kek dan bendera terpanjang, terbesar dan tertinggi dan kemudian menonjolkan personaliti (pejuang) kemerdekaan terutama orang politik yang bersifat retorik saja.
Satu persoalan besar yang dilontarkannya adalah - "Benarkah orang Melayu sudah merdeka?"
Bekas askar itu meneruskan dengan pertanyaan: "Apakah pengorbanan saya kepada negara dan rakan-rakan yang telah gugur bergelimpangan demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara ini berbaloi, jawapannya saya rasa TIDAK.
"Nama-nama pahlawan negara yang telah pergi kerana berjuang dan ada segelintir yang masih hidup terus lenyap. Lenyap ditelan masa dan dilupakan.
"Nama yang kerap diulang-ulang dan dikenang sepanjang zaman hanyalah politikus saja, yang dikenang digembar-gemburkan dan bermacam-macam lagi seolah-olah mereka inilah sajalah hero merdeka.
"Apakah erti merdeka kalau kita rakyat terbanyak masih ditekan, ditindih, dipinggir, dikesampingkan dan mereka mengaut segala-galanya. Ini menunjukkan kita kaum yang bodoh, lemah, tidak berkuasa...inilah realitinya."
Saya tidak akan mengulas apa yang diluahkan oleh bekas tentera ini tetapi sehingga kini masih tertanya-tanya mengapa setiap tahun diadakan 'Hari Rayuan Pahlawan' di mana tabung-tabung derma diedarkan, tidak bolehkah kerajaan memperuntukkan sebahagian daripada 'kekayaannya' untuk membantu 'pahlawan berjasa yang telah mengorbankan nyawa untuk tanah airnya'.
Tidakkah dengan merayu-rayu bantuan ini akan menjatuhkan maruah seseorang pahlawan atau keluarga mereka? Bukankah dengan jasa pahlawan-pahlawan inilah dapat diwujudkan suasa aman yang telah melahirkan 'tauke-tauke besar berperut gendut' dan 'politikus bilionaire' yang boleh berjudi dan rugi berjuta-juta ringgit di London atau membawa berpeti-peti wang ke Australia'?
Sementara itu, bagaimana dapat dikatakan jiwa kita merdeka apabila saban tahun pemimpin kita masih bertakfakur di Tugu Pahlawan, di depan patung kaku sedangkan perbuatan ia sudah difatwakan haram oleh mufti?
Demikian juga bagaimana kita boleh melupakan pahlawan kemerdekaan seperti Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad, Burhanuddin Al-Helmy dan Abu Bakar Baqir? Apakah perkembangan inu sama seperti pepatah; lembu punya susu, sapi dapat nama?
Seorang tuan guru veteran (beliau hidup pada zaman sebelum dan selepas merdeka) dalam sebuah kelas pengajian tafsir al-Quran di sebuah masjid kerajaan yang saya ikuti baru-baru ini juga menyatakan - "Kita belum merdeka sepenuhnya. Lihatlah pakaian, makanan dan cara hidup orang-orang kita, masih berkiblatkan Barat. Artis-artis disanjung manakala ulama diketepikan."
Tuan Guru ketika itu sedang mentafsirkan Ayat 26 Surah Fushshilat yang bermaksud: "Dan orang-orang kafir berkata: 'Janganlah kamu mendengar dengan sungguh-sungguh akan al-Quran ini dan buatlah hiruk-pikuk terhadapnya, supaya kamu dapat mengalahkan (mereka)."
Kata Tuan Guru inilah yang berlaku sekarang. Ketika ada majlis tilawah al-Quran berlangsung, ada satu lagi pihak buat majlis hiburan. Sekarang ini ada macam-macam pesta hiburan. Dalam seminggu, hampir setiap malam ada pesta hiburan Ada banyak anugerah untuk artis-artis. Pakaian artis-artis ini, terutama yang perempuan begitu teruk sekali. Inilah maksiat yang dihiruk-pikukkan bagi menenggelamkan ayat-ayat al-Quran dan perintah Allah.
Tuan Guru seterusnya menyambung tafsiran termasuk ayat ke-29 yang bermaksud: "Dan orang-orang kafir berkata; 'Ya Tuhan kami perlihatkanlah kepada kami dua jenis orang yang telah menyesatkan kami (yaitu) sebahagian dari jin dan manusia agar kami letakkan keduanya di bawah telapak kaki kami supaya kedua jenis itu menjadi orang-orang yang hina'."
Tuan Guru berkata itulah manusia. Peluang yang ada di dunia disia-siakan, dalam neraka baru hendak menyesal dan hendak bertindak ke atas pihak yang telah menyesatkan mereka. Semuanya sudah terlambat, penyesalan tidak berguna lagi. Tidak ada peluang lagi kalau sudah masuk neraka.
Katanya, sekaranglah (masa hidup ini) kita perlu gunakan untuk komen, kritik dan lawan orang yang mahu menyesatkan hidup kita ini. Kita lawan orang yang hendak menyelewengkan diri kita. Kita lawan orang yang nak sesatkan kita dengan cara hidup penuh maksiat pada hari ini. Kalau tak betul, kita cakap tak betul. Usah tunggu akhirat nanti baru nak menyesal.
Demikianlah pengakuan seorang bekas tentera dan tuan guru yang hidup pada zaman pra dan pasca merdeka yang menyatakan kemerdekaan ini tiada ertinya jika rakyat masih terbelenggu dan terjajah pemikiran mereka. Kesimpulannya berdasarkan apa yang mereka luahkan, benar pada zahirnya kita sudah merdeka, tetapi dari segi jiwa dan pengisiannya tidak.
Selepas meninjau pendapat dua orang lama, sekarang marilah kita melihat perkembangan semasa untuk disesuaikan dengan pantun - sudah puas kutanam padi, lalang juga memenuhi ladang, sudah puas kutanam budi, emas juga dipandang orang.
Yang pertama yang hendak dibicarakan di sini ialah jasa ulama (termasuk guru). Sudah puas ulama menanam budi, mereka bercakap di pelbagai pentas daripada masjid berpermaidani tebal dan indah, ke bilik-bilik kuliah, seminar dan darjah ke lorong-lorong gelap, tetapi emas juga dipandang orang.
Kegemerlapan pentas hiburan juga dipandang orang. Pentas hiburan menjadi sanjungan manakala artis dan pengacara seksi 'diburu untuk dijadikan isteri' termasuk oleh menteri manakala ulama semakin lama semakin disisihkan.
Yang kedua jasa ibu bapa. Mereka membesar dan mendidik anak-anak tetapi sebagai balasannya, anak-anak zaman sekarang sukar mendengar cakap. Dalam usia muda belia yang selayaknya berada di bangku sekolah, mereka sudah terkinja-kinja di pentas hiburan.. Budi yang ibu bapa tanam, emas juga dipandang anak-anak.
Jasa pihak ketiga...keempat...kelima dan seterusnya juga banyak. Mereka termasuklah wartawan, penulis, ahli seni, jurugambar dan pengkritik yang menentang amalan 'jahiliah' dalam dunia penulisan dan media massa.
Penegak 'jahiliah' dunia persuratkhabaran dan karyawan TV misalnya semakin galak menyiarkan gambar, terutama artis wanita yang tidak senonoh. Mereka juga mengetengahkan amalan yang tidak berlandaskan agama.
Misalnya, dalam satu anugerah, ada satu babak mengenang biduan dan biduanita yang baru meninggal dunia dengan ditonjolkan seorang penyanyi wanita, dedah sana dedah sini tetapi selepas itu diminta pula hadirin 'menyedekahkan bacaan al-Fatihah'. Bagaimanakah seseorang itu 'akan mendapat jalan yang lurus' jika dia berada dalam majlis seperti itu.
Dalam pada itu, golongan karyawan termasuk penulis yang mengkrtitik dan meneguh amalan tidak bertepatan dengan agama itu dipandang songsang, dilabel dengan pelbagai gelaran kerana sudah menjadi adat dunia, emas dan kerlipan bintang juga dipandang orang.
Akhir sekali, jasa manusia terulung, Rasul akhir zaman, Muhammad (s.a.w.) yang kisah Israk Mikraj baginda diulang-ulang di masjid-masid seluruh dunia ketika bulan Rejab, turut tidak dipeduli. Sudah lengkap Nabi (s.a.w.) menyampaikan dakwah melalu sifatnya terutama tabligh (menyampaikan), tetapi umat manusia cenderung mengingkarinya.
Demikianlah kebanyakan manusia dengan sifatnya yang tidak mengenang budi sehinggalah mulutnya sudah terisi tanah (mati). Puas sudah Nabi, ulama, guru, ibu bapa, askar (seperti kisah di atas) dan sebagainya menanam budi, emas juga dipandang orang!
No comments:
Post a Comment