Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."
ADA parti politik sekarang ini sudah melancarkan 'jentera perang' pilihan raya masing-masing. Sesetengahnya yakin pilihan raya umum ke-15 akan diadakan hujung tahun ini. Mereka dah tak sabar-sabar 'nak berjuang' dan menang!
Dahulu kita lihat tiang-tiang elektrik di tengah dan tepi jalan raya menjadi sasaran sesetengah pihak yang begitu ghairah mempamerkan gambar pemimpin tertentu. Tiang elektrik digantung ‘banner’ (sepanduk) dan 'bunting' memanjang dengan gambar pemimpin utama negara tersengih di depan manakala pemimpin negeri tersengih di belakang.
Tentunya gambar yang digunakan adalah yang terbaik (mungkin sudah di’touch up’) daripada koleksi pemimpin berkenaan. Kelihatan berseri-seri dan ‘handsome’nya mereka. Latar belakang ‘banner’ itu pula diungkapkan pelbagai kata-kata memancing sokongan atau menunjukkan kehebatan mereka mentadbir negara dan negeri.
Juga kedapatan ‘banner’ serta 'bunting' gambar isteri pemimpin negara dengan ‘wajah ayunya tersenyum’ di tiang-tiang elektrik. Tertera perkataan menyatakan bahawa wanita hebat tersebut adalah penyeri kepada majlis pihak tertentu. Sama seperti gambar si suami yang ‘handsome’, gambar si wanita itu mungkin yang terbaik dimilikinya – berwajah cantik persis primadona. Kemungkinan juga gambar si wanita ini sudah di’touch up’ bagi menampakkan keayuan si pemiliknya.
Demikianlah apabila sudah hampir benar pilihan raya, semakin tak keruan sesetengah pihak yang ada kepentingan. Menyaksikan gambar pemimpin dan isteri di tengah-tengah dan tepi jalan raya mengingatkan saya pengajian mingguan seorang ustaz di sebuah masjid berhampiran rumah saya yang mengupas hadis-hadis diriwayatkan Imam Tirmidzi dan disyarahkan oleh Syeikh Muhammad Idris Al-Marbawi melalui kitabnya Bahrul Mazi.
Tidak lama dahulu, ustaz itu mengupas hadis berkenaan gambar yang antara lain bermaksud: “Dari 'Aisyah r.a katanya, dia membeli bantal-bantal kecil bergambar-gambar. Maka tatkala Rasulullah s.a.w. melihat bantal-bantal tersebut baginda berhenti di muka pintu dan tidak terus masuk. Aku tahu daripada wajah baginda bahawa baginda tidak senang.
Berkata 'Aisyah: "Ya Rasulullah! Aku bertaubat kepada Allah dan Rasul-Nya. Apakah kesalahanku? Rasulullah s.a.w. kembali bertanya: "Bantal-bantal apakah itu?" Jawab 'Aisyah, "Aku membelinya sebagai tempat duduk tuan atau tempat tuan bersandar." Sabda Rasulullah s.a.w.: "Pelukis gambar-gambar ini akan diseksa di hari kiamat seraya dikatakan kepada mereka: "Hidupkanlah gambar-gambar yang kamu lukis itu!" Kemudian baginda bersabda: "Sebuah rumah yang terdapat di dalamnya gambar-gambar (haiwan), malaikat tidak mahu masuk ke dalam rumah itu."
Apa yang dimaksudkan dengan gambar pada hadis ini adalah sesuatu yang mempunyai roh sekalipun tidak mempunyai bayang dan tidaklah termasuk dengan gambar yang tidak mempunyai roh seperti pohon-pohon kayu. Dan yang dimaksudkan dengan malaikat pada hadis ini ialah malaikat yang membawa rahmat kepada penghuni-penghuni rumah.Adapun malaikat pencatat amal dan malaikat maut tiadalah berpisah mereka daripada seseorang anak Adam.
Ya, kata ustaz, malaikat maut iaitu Israil tetap akan mencabut nyawa seseorang dalam rumahnya sama ada di dalam rumahnya ada gambar atau tidak. Demikian juga dalam sesebuah rumah ada patung, malaikat maut tidak peduli itu semua.
Mendengar penerangan ustaz itu, sebaik saja berada di rumah hari itu, segera saya turunkan bingkai gambar saya sekeluarga yang berdiri di depan Kaabah ketika mengerjakan umrah beberapa tahun lalu. Demikian juga beberapa gambar lain termasuk gambar anak-anak menerima sijil dan ijazah mereka.
Seorang sahabat sekuliah di masjid juga mengakui dia sudah menurunkan gambar-gambar yang digantung di dinding rumahnya. Antaranya gambar dia sekeluarga semasa anaknya menerima ijazah universiti. Katanya apabila si anak itu balik, dia marah-marah, bertanya kenapa diturunkan gambar-gambar kenangan itu. Lantas dia berkata, “Itu tak boleh nak, dulu bapak jahil, kini bapak dah dimaklumkan ustaz mengenai hal itu. Jadi kita ikut dan taatlah!”
Ya, jika gantung gambar di rumah ada larangannya, bagaimana kesukaan dan kecenderungan sesetengah pihak sekarang yang gemar sekali mencari publisiti murahan dengan menggantung gambar pemimpin di tiang-tiang elektrik malah di mana saja ada kesempatan.
Hampir sudah pasti pihak yang terbabit dalam kerja-kerja penggantungan gambar ini, mempunyai kepentingan masing-masing; ada yang mencari peluang untuk membodek pemimpin, 'moga-moga aku dipilih sekali lagi menjadi calon PRU, lebih baik lagi jika ke kedudukan lebih tinggi'.
Jika dahulu hanya Adun, manalah tahu tuah badan, jadi ahli Parlimen pula; jika dulu timbalan menteri melalui 'pintu senator' apa kata kali ini jadi ahli Parlimen lantas jadi menteri. Jika dahulu ketua menteri atau menteri besar, mana tahu tuah badan akan menjadi menteri.
Akhir kalam, 'bergantunglah hanya pada Allah SWT (usahlah gantung banyak-banyak gambar di jalan raya tu), insya-Allah akan selamat dunia dan akhirat!
No comments:
Post a Comment