Friday, August 12, 2022

14 Muharam 1444: Biar ‘pape’ asal ‘bergaye’…(U)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

"Maafkanlah dan suruhlah (mengerjakan) yang makruf dan berpalinglah daripada orang-orang yang jahil." - Q.S. Al-A'raf: 199)


HUTANG negara berbilion-bilion ringgit. Angka menakutkan. Tetapi pemimpin negara kita tidak takut – mereka memperbanyak hutang termasuk menjayakan projek mega termasuk membeli kapal perang didakwa tak wujud.


Kantung negara kekeringan wang untuk membiayai projek-projek ini jadi terpaksalah berhutang termasuklah daripada negara asing seperti China. Kalau negara boleh diumpamakan sebagai individu, seseorang itu tidak cukup wang tetapi hidup mahu berlagak mewah, mereka menepati sindiran orang Perak – biar ‘pape’ (papa) asal ‘bergaye’ (bergaya).


Sebelum melihat bahaya kepada negara akibat berhutang terlalu banyak, kita melihat dulu bahana (implikasi) yang ‘tertimpa’ kepada seorang yang berhutang. Seorang ustaz dalam kelas pengajiannya yang kerap saya ikuti menyatakan  orang yang mati syahid pun tertangguh daripada diberi balasan baik kerana sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Semua dosa orang yang mati syahid akan diampuni kecuali hutang.” (riwayat Imam Muslim)


Sungguh menakutkan, pada suatu ketika Nabi SAW tidak mahu menyembahyangkan jenazah seseorang yang ada hutang manakala baginda pernah bersabda yang bermaksud “siapa saja yang berhutang lalu berniat tidak mahu melunasinya, maka dia akan bertemu Allah (pada hari khiamat) dalam status pencuri.” (riwayat Ibnu Majah)


Apabila berlaku kematian, harta peninggalan si mati juga tidak boleh ‘difaraidkan’ (dibahagi-bahagikan) sehinggalah semua hutangnya kepada Allah (seperti bayaran fidyah puasa dan badal haji) dan kepada manusia dilangsaikan.


Satu persoalan timbul, jika harta peninggalan allahyarham semuanya bernilai katakanlah RM500,000 tetapi hutangnya berjumlah RM1 juta; apa akan berlaku? Di sini waris tidak akan menerima ‘sesen’ pun sebaliknya terpaksa bergolak gadai untuk menyelesaikan hutang si mati. Sebenarnya yang perlu bayar bukan waris tetapi pihak berkuasa seperti Baitulmal. Bersediakah pihak berkuasa kita?


Demikianlah dalam kehidupan ini, terutama pada zaman orang banyak berhutang sekarang ini seperti penggunaan pelbagai kad kredit, dikhuatiri seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan mempunyai beban hutang terlalu banyak.


Tentunya si mati (termasuk pemimpin yang boros berhutang) 'sudah selamat' dimasukkan ke dalam kubur (dari sisi pandangan dunia) tetapi waris (rakyat dan negara) yang ditinggalkan akan menanggung bahana berpanjangan. Ya siapa menanggung bahana gara-gaya pemimpin mahu hidup ‘biar pape asal bergaya’? 


Sesetengah penganalisis menyatakan aset negara akan tergadai akibat pemimpin mengikut nafsu boros ini. Sebagai contoh jika RM50 bilion dipinjam daripada China, kepentingan negara akan tergadai…malah sekarang pun akibat aneka pemborosan, penyelewengan dan tipu muslihat yang berleluasa; ekonomi negara merundum teruk, nilai ringgit menjunam, harga barangan keperluan semakin mahal manakala golongan muda hatta yang berkelulusan universiti ramai menganggur.


Pemimpin negara hari ini nampaknya tidak mencontohi usaha bapak dan datuk mereka yang ‘sedikit demi sedikit mengumpul harta’ (memerdekakan seterusnya membangunkan negara) tetapi mereka bertindak ‘melelong’ negara ini (semakin banyak hartanah jatuh ke tangan pihak asing)…ya mereka mahu puaskan nafsu diri, isteri dan kaum kerabat (kroni) dengan gaya hidup ‘biar pape asal bergaye’!


Pemimpin berhutang di sana sini bagi melaksanakan projek gah agar mereka dilihat hebat di mata rakyat dan di seantero dunia, tetapi persoalannya siapa mahu bayar hutang-hutang mereka? Mahu tak mahu rakyatlah menanggung bebannya. Jadi wahai rakyat, nyahkan pemimpin jenis ini sebelum lebih banyak aset (harta) negara digadainya!

No comments: