Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Sesungguhnya kamu berada dalam keadaan lalai daripada (hal) ini, maka Kami singkapkan daripadamu (yang menutupi) matamu, maka penglihatanmu pada hari itu amat tajam." (Maksud Ayat 22 Surah Qaf)
LEBIH 15 tahun lalu saya ke Palembang, Sumatera, Indonesia. Kapal terbang mendarat di Bandara (Bandar Udara) Sultan Mahmud. Ehh, mungkinkah ini sempena nama Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka terakhir yang ditewaskan Portugis pada 1511 seterusnya membawa diri ke Johor dan mangkat di Kampar, Sumatera, fikir saya.
Ternyata saya salah. Sultan Mahmud dimaksudkan adalah Sultan Mahmud Badaruddin II (hidup 23 November 1767 - 26 September 1852) iaitu Sultan Palembang yang berkuasa dari 12 April 1804 hingga diasingkan Belanda pada Julai 1821.
Baginda dan pengikutnya bertempur hebat melawan Belanda, pernah menewaskan mereka (Perang Menteng) tetapi akhirnya selepas Belanda berhasil menguasai Palembang, Sultan Mahmud dan keluarga ditangkap dan diasingkan terlebih dahulu ke Batavia (Jakarta) dan pada 1822 ke Ambon.
Mengenai kerakusan Belanda menguasai kerajaan-kerajaan di Nusantara ini, saya tertarik dengan tulisan MOHD FADLI GHANI (Pusat Penyelidikan PAS) dalam artikelnya di Harakahdaily tidak lama dahulu yang antara lain mencatatkan bahawa selepas kedatangan Portugis, pelayar Belanda telah datang ke Nusantara dengan menduduki Banten di Jawa Barat pada 1596.
Melalui Serekat Hindia Timur Belanda (VOC), Belanda mula menduduki Jakarta (yang dinamakan Batavia) pada 1619, sebelum Maluku, Surabaya dan Melaka dikuasai oleh mereka menjelang 1650. Gerakan VOC telah ditentang oleh Sultan Agung Mataram pada 1628-1629 dan Sultan Hasanuddin Makassar pada 1663-1667, yang mengakibatkan kerugian besar kepada VOC.
Proses penjajahan Belanda di Nusantara bermula apabila VOC bankrap pada 1796, dan seluruh harta VOC menjadi milik Negara Belanda mulai 1800. Secara kebetulan, kebangkitan Napoleon Bonaparte (1799-1814) yang menyebabkan Belanda jatuh ke tangan Perancis (1795-1815), telah menyebabkan Wilayah Belanda di Nusantara dikuasai oleh Perancis (1806-1811), sebelum diserah kepada Inggeris (1811-1816). Dalam Konvensyen London 1814 dan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, seluruh kawasan Nusantara (Indonesia sekarang) diserah kepada Belanda. Kedatangan Belanda di pulau-pulau Nusantara ini telah menimbulkan penentangan rakyat sejak awal abad ke-19.
Kedatangan Belanda untuk menjajah dan menguasai ekonomi Nusantara telah mendapat tentangan hebat daripada penduduk dan kerajaan-kerajaan Nusantara. Abad ke-19 diwarnai sepenuhnya oleh perjuangan mempertahankan tanah air bagi menghadapi penjajahan. Ia adalah lanjutan daripada perjuangan Sultan Agung (1613-1646) dan Sultan Hasanuddin (1631-1670) yang menentang VOC pada abad ke-17. Yang terawal bangkit ialah menentang Belanda ialah orang Sulawesi Utara dan Maluku. Mereka mencetuskan Perang Tondano (1808-1809) dan Perang Maluku (1817) yang merupakan kebangkitan terawal yang meletus selepas runtuhnya VOC.
Usaha Belanda menguasai pulau-pulau rempah, pelabuhan-pelabuhan dan laluan perdagangan telah membawa kepada penjajahan ke atas Jawa dan Sumatera. Kerana itu, secara bersiri berlaku kebangkitan kerajaan dan umat Islam. Antara yang terpenting ialah Perang Diponegoro di Jawa (1825-1830), Perang Paderi di Sumatera Barat (1821-1837), Perang Banjar di Kalimantan Selatan (1859-1863M) dan Perang Aceh (1873-1904M). Belanda mengadakan beberapa perjanjian dengan Inggeris dan kerajaan-kerajaan Melayu untuk membolehkan mereka memperluaskan pengaruh. penentang terhadap Belanda turut dilakukan oleh orang bukan Islam dalam Perang Bali (1846-1868) dan Perang Batak (1870-1907).
Sebagaimana usaha Belanda menguasai Laut Jawa dan Selat Sunda, Belanda juga mahu menguasai Selat Melaka yang berada di tangan Kerajaan Aceh, Johor-Riau dan Palembang. Aceh memberi tentangan hebat dan tak terkalahkan sehingga 1904 itu pun sesudah Belanda menggunakan pelbagai tipu muslihat termasuk menghantar orientalis (pura-pura Islam) seperti Snouck Hurgronje yang menyerap masuk ke dalam masyarakat.
Sultan Palembang Darussalam, Sultan Mahmud Badaruddin II yang dikenali sebagai penjihad yang kental dikatakan seorang ulama dan hafiz al-Quran serta berdarah keturunan Sayidina Ali Abu Talib. Baginda begitu keras mempertahankan kedaulatan wilayahnya daripada jatuh ke tangan Inggeris dan Belanda, sehingga terpaksa menghadapi siri-siri peperangan selama 10 tahun sejak 1811. Perang pertama dihadapinya pada 1811 untuk menghalang kemasukan semula Belanda ke Palembang bagi menguasai loji Sungai Aur yang diduduki oleh mereka sejak 1742.
Kejayaan Palembang mengalahkan Belanda telah menggagalkan penjajah itu menguasai lombong timah Pulau Bangka, tetapi timbul pula konflik dengan Inggeris yang membawa kepada perang baru pada 1812, di mana Sultan Mahmud Badaruddin II yang berundur ke Sungai Musi sebelum menyerang balas dan menghalau Inggeris dari Palembang. Disebabkan kekuatan Kerajaan Palembang, Inggeris gagal menyerahkannya kepada Belanda selepas Konvensyen London 1814. Hanya pada 1816, Inggeris baru dapat berbuat demikian, tetapi Sultan Palembang berjaya menghalau Belanda dalam Perang Menteng pada 1819. Belanda yang tidak berpuas hati dengan kekalahan ini, menyerang lagi dua bulan kemudian, dan sekali lagi mereka ditewaskan.
Pada 16 Mei 1821, sekali lagi Belanda memasuki Sungai Musi dan tercetus peperangan besar. Pada saat kekalahan Belanda, mereka minta berdamai kerana menghormati Ramadan dan berjanji tidak akan berperang pada hari Jumaat dan Ahad untuk menghormati agama masing-masing.
Tetapi Belanda telah berkhianat kerana membuat serangan mengejut pada pagi Ahad waktu sahur 24 Jun 1821. Pertempuran sengit berlaku pada keesokannya dan pada 24 Ramadan 1236 bersamaan 25 Jun 1821, perjuangan rakyat Palembang telah berakhir dengan kekalahan dan Sultan Mahmud Badaruddin II dapat ditangkap oleh Belanda selepas 10 tahun berjihad. Baginda dibuang negeri. Demikianlah, Belanda mula 'bermaharajalela' di bumi Nusantara!
1 comment:
Menarik
Post a Comment