Wednesday, August 17, 2022

19 Muharam 1444: Merdeka daripada penjajahan sesama bangsa (U)

DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan 

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan kamu menjalankan hukuman "Qisas" (balasan yang seimbang) dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh iaitu: Orang merdeka dengan orang merdeka dan hamba dengan hamba dan perempuan dengan perempuan. Maka sesiapa (pembunuh) yang dapat sebahagian keampunan daripada saudaranya (pihak yang terbunuh), maka hendaklah (orang yang mengampunkan itu) mengikut cara yang baik (dalam menuntut ganti nyawa) dan (si pembunuh pula) hendaklah menunaikan (bayaran ganti nyawa itu) dengan sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah suatu keringanan daripada Tuhan kamu serta suatu rahmat kemudahan. Sesudah itu sesiapa yang melampaui batas (untuk membalas dendam pula) maka baginya azab seksa yang tidak terperi sakitnya." (Surah Al-Baqarah Ayat 178) 


Bersyukur kepada-Nya kita dipanjangkan usia, maka dapatlah kita memuzarakahkan isu semasa khasnya mengenai ulang tahun kemerdekaan negara tidak lama lagi.

Sewajarnya semua pihak pihak termasuk kerajaan negara kita dan individu - Islam dan bukan Islam - mencontohi Nabi Muhammad s.a.w. dalam urusan pentadbiran dan kehidupan kita.

Bagi yang bukan Islam boleh mengambil nilai-nilai universal seperti keadilan dan sebagainya, lebih-lebih lagi lahirnya Nabi Muhammad s.a.w. membawa rahmat kepada seluruh alam. 

Kejayaan Nabi Muhammad sebagai pemimpin duniawi dan kerohanian diiktiraf dunia sehingga Michael H Hart dalam bukunya, ‘The 100, A Ranking of the Most Influential Persons in History’, menulis: “My choice of Muhammad to lead the list of the world’s most influential persons may be surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religion and secular level." 

Berdasarkan kemelut negara kita sekarang ini, adalah penting untuk merujuk Sirah Nabi termasuklah perpindahan baginda (hijrah) daripada kota Makkah ke Madinah dan kemudian kembali semula ke Makkah untuk membebaskan tanah airnya sendiri. 

Persoalan besar di sini mengapa Nabi Muhammad s.a.w. dan mengikutnya perlu membebaskan bangsa dan tanah airnya sendiri? Bukankah kaum yang menguasai kota Makkah adalah sama seperti baginda sendiri, suku Quraisy daripada bangsa Arab. Buat apa Rasulullah s.a.w. memerdekakan bangsanya sedangkan yang berkuasa adalah bangsanya sendiri? 

Jika dibuat perbandingkan berdasarkan senario negara ini sekarang ini, buat apa dimerdekakan bangsa Melayu daripada kekuasaan orang Melayu sendiri sedangkan bangsa inilah yang berkuasa. Sebenarnya kemerdekaan bukan saja bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu bangsa ke atas bangsa lain atau kuasa asing ke atas umat yang lemah.

Kemerdekaan juga bermaksud mengakhiri penjajahan sesuatu bangsa ke atas bangsanya sendiri. Rasulullah s.a.w. berjuang untuk membebaskan bangsa baginda (Quraisy) daripada penjajahan mental ketua suku kaumnya. 

Hampir 10 tahun selepas berhijrah ke Madinah, barulah baginda dapat memerdekakan penduduk Makkah daripada amalan datuk nenek moyang mereka seperti menyembah berhala, membunuh anak perempuan dan menilik (sihir). Selepas pembersihan kota suci Makkah, barulah Islam dapat berkembang dengan pesat di seluruh Jazirah Arab. 

Bagi orang Melayu yang merdeka jiwanya, tentulah kemerdekaan itu tidak hanya bermaksud bebas daripada cengkaman penjajah British saja. Ramai yang berkata penjajahan dalam bentuk fizikal mungkin tidak berulang tetapi cengkaman dalam bentuk lain masih wujud. Contohnya cengkaman sesama bangsa sehinggakan orang tidak sebulu dinafikan hak mereka.


No comments: