Tuesday, June 30, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 23: Bahana Satu Kapal, Dua Nakhoda

Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Demikianlah pelbagai ragam manusia saya temui ketika pergi dan balik kerja.

Salah satu watak menarik perhatian saya ialah seorang pemandu bas yang gemar berbual-bual dengan suara yang begitu kuat bagi melawan alunan muzik radio.

Sambil bercerita, dia ketawa terbahak-bahak, terutama apabila menyentuh kisah rumah tangga. Rancak betul dia bercerita kisah rumah tangga rakan-rakannya.

Daripada kisah Si A kepada Si Z, demikianlah meleret-leret dia berbual hingga bas sampai ke destinasi.

"Si Z tipu isteri selepas balik lewat malam. Macam-macam alasannya. Ah, orang lelaki memang macam tu. Suka bohong. Tapi itu bohong sunat. Nak selamatkan rumah tangga," katanya diiringi, ketawa berdekah-dekah.

Kisah rumah tangga memang menarik perhatian. Tiada rumah tangga aman 100 peratus, kata orang lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri.

Rumah tangga ibarat air laut - ada kalanya tenang mempesona, ada kalanya berombak dan kadang-kadang bagaikan taufan, demikian kata seorang teman yang gemar berfalsafah.

Katanya, kebahagian dalam rumah tangga itu wujud kerana ada tolak ansur anggota keluarga, terutama suami isteri.

Sesuatu pasangan itu bahagia bukan kerana mereka tidak pernah berselisih pendapat atau bermasam muka, tetapi salah seorang daripadanya sedia mengalah.

Misalnya apabila si suami meradang, si isteri diam. Apabila si isteri merajuk, si suami pujuk; jika si isteri sudah melakukan kesalahan, dia sedia meminta maaf dan demikian pula sebaliknya.

Bagaimanapun, kata rakan saya itu, dalam sesebuah keluarga hanya perlu seorang ketua. Ketua keluarga adalah suami, kecuali dalam kes tertentu seperti si suami sudah meninggal.

Sesebuah keluarga boleh diibaratkan sebuah kapal atau kereta api. Sebuah kapal dikemudikan oleh seorang nakhoda. Jika ada dua nakhoda, binasalah kapal dan orang dalam kapal itu.

Sebuah kereta api juga mempunyai sebuah kepala (lokomotif) bagi mengheret gerabak.

Mustahil sebuah kereta yang sedang bergerak mempunyai dua kepala. Tetapi sebanyak mana gerabak yang ditarik oleh lokomotif itu tidak menjadi masalah, asalkan ia mampu, demikian kata rakan saya itu.

Senario sebuah kapal dua nakhoda atau sebuah kereta api dua kepala pernah berlaku di Kemboja. Negara itu pernah mempunyai dua orang perdana menteri - perdana menteri pertama dan perdana menteri kedua - hasil 'kahwin mutaah' yang sentiasa bergelora.

Kewujudan dua perdana menteri itu adalah berdasarkan keputusan pilihan raya umum pertama yang diadakan di negara Indochina itu pada 1992 dulu. Dalam pilihan raya itu Parti Funcinpec proraja pimpinan Putera Norodom Ranariddh menang tetapi tidak mendapat kerusi secukupnya bagi membentuk sebuah kerajaan.

Funcinpec terpaksa berkongsi kuasa dengan Parti Rakyat Kemboja (CPP) pimpinan Hun Sen, Perdana Menteri Kedua. Ada kalanya, Ranariddh dan Hun Sen dirujuk sebagai Perdana Menteri Bersama dan ini jelas menunjukkan kedua-duanya mempunyai kuasa yang sama dalam menradbir negara.

Sebelum wujudnya senario dua perdana menteri ini, Hun Sen berkuasa penuh sebagai perdana menteri Kemboja. Beliau menerajui Kemboja sejak 1985 dengan bantuan Vietnam.

Ketika itu beliau baru berusia 33 tahun. Hun Sen yang dulunya seorang anggota Khmer Rouge ialah antara orang paling muda menjadi perdana menteri di dunia.

Situasi sebuah negara dengan dua pemimpin ini adalah sesuatu yang luar biasa. Di negara lain, berlaku juga perkongsian kuasa tetapi kedudukan tertinggi hanya dipegang oleh seorang tokoh.

Misalnya, di Afrika Selatan selepas pilihan raya pelbagai kaum pertama pada April 1994 dulu, Nelson Mandela yang menerajui Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) menjadi pemimpin tertinggi sekalipun sebuah kerajaan perikatan terpaksa dibentuk.

Selain ANC, Kerajaan Perpaduan Kebangsaan Afrika Selatan ketika itu juga disertai oleh Parti Kebangsaan (NP) pimpinan F W de Klerk dan Parti Pembebasan Inkatha (IFP) pimpinan Mangosuthu Buthelezi.

Dalam kerajaan berkenaan ketika itu, de Klerk hanya menjadi Naib Presiden. Demikian juga dengan Buthelezi. Bagi menunjukkan ANC lebih berkuasa, Mandela melantik Thabo Mbeki sebagai Timbalan Presiden. Beliau kemudian menggantikan Mandela sebagai Presiden.

Di Thailand juga wujud kerajaan campuran yang menggabungkan pelbagai parti. Bagaimanapun, hanya seorang saja tokoh dilantik perdana menteri.

Jika Thailand yang mempunyai seorang ketua kerajaan (seperti seorang nakhoda kapal) pun sentiasa bergolak dengan kerajaannya silih berganti, perkembangan yang berlaku di Kemboja tidak lama dulu (tindakan Hun Sen menggulingkan Ranariddh) bukanlah sesuatu yang memeranjatkan.

Kemboja yang diterajui oleh Ranariddh dan Hun Sen adalah ibarat sebuah keluarga dengan dua ketua. Suasana dalam keluarga sentiasa tegang dan menunggu masa untuk meletup. Agak malang, 'letupan' itu berlaku ketika penangkapan pemimpin Khmer Rouge, Pol Pot, hebat diperkatakan.

Berita Pol Pot yang terkenal kejam ketika memerintah Kemboja antara 1975 hingga 1979, ditenggelami laporan laporan mengenai sengketa dan pertempuan antara tentera Ranariddh dan Hun Sen.

Jika pemerintahan Pol Pot menyebabkan rakyat Kemboja menderita, rejim Hun Sen dan konconya mungkin mengulangi perkara sama.

Jika Pol Pot menyembelih dua juta rakyat negara itu (The Killing Fields), kita boleh jangkakakan apa yang akan dibuat Hun Sen selanjutnya.

Mungkinkah ini bahananya jika sebuah keluarga itu ada dua ketua, sebuah kapal itu dua nakhoda manakala sebuah kereta api itu dua kepala?


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

No comments: