Baru-baru ini saya bercuti. Selain mengunjungi saudara-mara, saya sempat menganjurkan hari keluarga yang disertai ibu bapa dan keluarga adik beradik.
Matlamat utama pertemuan adalah untuk mengeratkan lagi ikatan persaudaraan. Melalui pertemuan itu, semua anggota keluarga diundang.
Pada saya, pertemuan sesama anggota keluarga amat penting. Ia boleh disamakan dengan amalan ziarah menziarahi yang amat digalakkan oleh agama.
Hari keluarga juga sudah menjadi amalan tahunan kebanyakan jabatan dan firma. Pada kesempatan itu, kakitangan berpeluang beramah mesra antara satu sama lain, termasuk keluarga masing-masing.
Jika pada hari lain, kakitangan terlalu sibuk melaksanakan tugas, pada hari keluarga mereka boleh melega atau bertukar-tukar fikiran, menikmati juadah serta mengambil bahagian dalam permainan yang disediakan.
Hari keluarga sesebuah firma atau keluarga itu membabitkan semua anggotanya - tanpa mengira pangkat, kedudukan, harta atau darjat seseorang itu. Jika sesebuah keluarga itu menganjurkan hari keluarga, hampir pasti semua anggotanya dijemput. Tidak timbul persoalan si polan tidak dijemput kerana dia jahat, sombong dan segala sikap negatif lain.
Demikian juga hari keluarga sesebuah jabatan atau firma. Tidak timbul persoalan, pekerja berkenaan tidak diundang kerana dia malas, kaki mengumpat, kaki ampu dan sebagainya.
Pendeknya dalam masyarakat kita, sejahat mana seseorang itu, dia masih diterima menyertai pertemuan yang dianjurkan keluarga ataupun firma tempat dia bekerja.
Selain menjadi anggota sesebuah keluarga, jabatan atau firma (tempat mencari rezeki), kita juga adalah rakyat negara ini manakala negara ini adalah anggota pelbagai pertubuhan serantau seperti Asean atau sejagat, misalnya Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) atau pun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Memandangkan Asean sudah menjadi tumpuan dunia, saya berusaha membincangkan keputusan pertubuhan ini menerima semua negara di Asia Tenggara sebagai anggotanya. Negara terakhir yang menjadi anggota Asean ialah Laos, Kemboja dan Myanmar.
Sama seperti sesebuah keluarga, Asean iaitu singkatan bagi 'Association of South East Asian Nations' (Pertubuhan Negara Asia Tenggara) juga mempunyai anggotanya.
Jika dilihat dari segi namanya saja, semua negara Asia Tenggara secara automatik adalah anggota Asean. Ini bermakna jika takrif ini diguna pakai, Myanmar, Laos dan Kemboja adalah juga anggota Asean. Oleh itu tidak timbul keraguan sama ada Myanmar, Laos dan Kemboja layak menyertai Asean seperti diheboh-hebohkan kerajaan dan media Barat.
Di Asia Tenggara ada 10 negara dan sewajarnya semuanya menjadi anggota Asean.
Sama seperti sesebuah keluarga atau firma yang kadang-kadang terdapat anggotanya yang bermasalah, pertubuhan serantau seperti Asean juga tidak terlepas daripada kemelut ini.
Jika sesebuah keluarga itu berkemungkinan besar tidak tergamak menyingkirkan anggotanya yang bermasalah, demikian juga dengan Asean. Jika ibu bapa adalah tempat berlindung dan bermanja seseorang anak itu, Asean adalah payung kepada semua negara Asia Tenggara.
Jika dalam sesebuah keluarga, ibu dan bapa akan menasihati anak yang menyeleweng, demikian juga peranan yang boleh dimainkan oleh Asean. Sekalipun terkenal dengan dasar tidak campur tangan dalam urusan negara anggota lain, Asean sebagai payung tentulah disegani oleh pihak terbabit.
Seseorang anak dalam sesebuah keluarga itu hampir pasti akan memberontak jika diasingkan, demikian juga masalah yang akan dihadapi oleh Asean jika ia enggan menerima negara bermasalah seperti Myanmar atau Kemboja sebagai anggotanya.
Saya berpendapat membaiki sesuatu keburukan dari dalam lebih berkesan daripada berada di luar. Seseorang anak itu berkemungkinan besar akan menerima nasihat ibu bapanya berbanding orang lain.
Peri laku rejim Myanmar yang dikatakan menindas orang Islam Rohingya, misalnya boleh diperbaiki sesudah Yangon menyertai Asean. Tidak lama dulu, ada pihak di negara kita seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), meminta kerajaan mengkaji semula kemasukan Myanmar dalam Asean kerana tindakannya yang kurang menyenangkan itu.
Saya berpendapat bantahan, tunjuk perasaan dan sebagainya tidak langsung membantu menyelesaikan masalah ini. Lebih baik kita merelakan kemasukan Myanmar dalam Asean dan selepas itu mengorak langkah membantu umat Islam di sana.
Hubungan baik antara negara kita dengan Myanmar sudah pasti sedikit sebanyak memberi manfaat kepada penduduk negara itu, termasuk orang Islam Rohingya. Ini kerana ada contoh membuktikan bahawa hubungan baik negara kita dengan negara lain, dapat dimanfaatkan oleh umat Islam.
Misalnya, jika dulu umat Islam Cham di Kemboja teraniaya, kini mereka semakin mendapat perhatian, termasuk bantuan yang mencurah-curah dari Malaysia. Malah, pembinaan masjid utama mereka juga dibiayai oleh pihak tertentu dari Malaysia.
Ini semua dapat dilakukan sesudah wujud hubungan erat antara Kuala Lumpur dan Phnom Penh.
Jika pada 1995 dulu, kemasukan Vietnam dalam Asean dikecam oleh media dan kerajaan Barat, hal yang sama berulang apabila keanggotaan Myanmar, Laos dan Kemboja disahkan.
Penyertaan Vietnam ternyata berupaya menyelesaikan pelbagai masalah termasuk isu orang hanyut yang sekian lama menjadi duri dalam daging negara serantau, oleh itu tiada sebab mengapa kemasukan Myanmar, Laos dan Kemboja perlu digembar-gemburkan hanya sebagai sikap angkuh Asean kononnya untuk mencabar kuasa besar Barat!
**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html
No comments:
Post a Comment