Begitu istimewa dan bertuah menjadi seorang wanita - demikian satu ungkapan dalam sebuah rencana, menarik perhatian ketika saya menatap akhbar dalam perjalanan ke tempat kerja pada suatu hari.
Ungkapan itu benar-benar memikat. Malangnya tiada huraian mengenainya. Hati saya tertanya-tanya mengapa penulis menyatakan betapa istimewa dan bertuahnya dilahirkan sebagai seorang wanita.
Sebagai seorang lelaki, saya tertanya-tanya apakah tidak istimewa dan bertuah dijadikan seorang lelaki.
Lama saya termenung memikirkan maksud penulis itu, seorang wanita.
Puas saya merenung pemandangan di luar bas. Ladang kelapa sawit dilewati, kemudian ladang getah dan selepas berpuluh-puluh kilometer jauh perjalanan, saya masih tidak menemui jawapannya.
Saya teringat apa yang saya baca dalam buku agama mengenai wanita. Antaranya, isteri mudah masuk syurga dengan syarat tunaikan ibadah (sembahyang, puasa dan sebagainya) dan mematuhi suaminya.
Saya termeung lagi. Saya teringat wanita berwibawa dalam sejarah Islam seperti Saidatina Khadijah dan 10 lagi isteri Rasulullah yang semuanya bergelar 'Ummal almukminin' yang bermaksud ibu bagi umat Islam.
Kemudian saya teringat wanita masyhur ketika ini yang menjadi pemimpin dunia Antaranya, Presiden Sri Lanka, Chandrika Kumaratunga dan ibunya, Perdana Menteri (kini mendiang) Srimavo Bandaranaike serta Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wajed.
Selain itu ada beberapa lagi tokoh wanita yang terkenal dalam arena politik antarabangsa. Mereka termasuklah Madeleine Albright sebagai Setiausaha Negara Amerika Syarikat (sehingga Januari 2001) dan Sadako Ogata sebagai Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Pelarian (UNHCR).
Tidak kurang hebatnya ialah Hillary Rodham Clinton, Wanita Pertama Amerika (sehingga 20 Januari 2001) yang dikatakan banyak mencorak pentadbiran suaminya, Presiden Bill Clinton; Cherie Blair, isteri Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Katharine Graham yang menguasai akhbar 'Washington Post' dan majalah 'Newsweek'.
Selain itu ada tokoh wanita yang terus masyhur sekalipun tidak lagi menerajui kerajaan. Mereka seperti bekas perdana menteri Pakistan, Benazir Bhutto; bekas perdana menteri Britain, Margaret Thatcher dan bekas presiden Filipina, Corazon Aquino.
Mungkinkah wanita-wanita masyhur ini memanfaatkan keistimewaan diri mereka sebagai wanita untuk ke puncak kuasa? Ini mungkin ya dan mungkin tidak.
Bagi kebanyakan wanita yang menjadi pemimpin negara Asia Selatan, perkara ini kelihatan benar. Disebabkan rasa simpati rakyat selepas sesuatu tragedi menimpa keluarga mereka, tokoh wanita itu dipilih untuk menerajui kerajaan atau negara.
Benazir misalnya, menjadi perdana menteri selepas bapanya Zulfikar Ali Bhutto digulingkan daripada kedudukannya sebagai perdana menteri dan dibunuh.
Demikian juga laluan oleh Sheikh Hasina selepas bapanya, Sheikh Mujibur Rahman dibunuh. Perkara yang sama juga berlaku kepada Chandrika Kumaratunga.
Selain dipilih menjadi pemimpin, ada tokoh negara Asia Selatan ini dapat melanjutkan pemerintahan mereka beberapa kali.
Misalnya, Benazir menjadi perdana menteri dua kali (1988-1990) dan (1993-1996). Sirimavo Bandaranaike menjadi perdana menteri sebanyak tiga kali manakala Indira Gandhi menjadi perdana menteri India sebanyak dua kali.
Sekalipun fikiran saya hangut mengingati tokoh-tokoh wanita ini, ia tidak dapat menjawab persoalan mengapa dikatakan begitu istimewa dan bertuah dijadikan seorang wanita.
Akhirnya, saya teringatkan ibu. Ya, daripada berbilion wanita di dunia, kita hanya mempunyai seorang ibu, dan ibu kita adalah seorang wanita.
Saya mengagak tentulah ungkapan 'begitu istimewa dan bertuahnya dijadikan seorang wanita' itu mempunyai kaitan dengan seorang ibu. Yalah, mana ada lelaki yang mengandung dan melahirkan anak.
Ibu dan anak mempunyai pertalian amat rapat. Mengikut ajaran agama, anak wajib taat kepada ibu bapanya. Anak lelaki hendaklah mengutamakan ibu bapa lebih daripada isterinya. Isteri pula perlu mentaati suaminya lebih daripada ibu bapanya.
Ini membuatkan kedudukan seseorang wanita yang bergelar ibu begitu istimewa. Anak yang terdidik, tidak akan melupakan ibu bapanya, lebih-lebih lagi ibu. Tetapi kasih ibu lebih hebat kerana ia tiada penghujung.
Jika ibu memasak makanan yang sedap-sedap dan disukai si anak, dia akan teringat masakan ibunya sampai bila-bila, tidak kira sama ada dia berada beribu-ribu kilometer jauhnya di kota besar dunia seperti London, Paris atau New York.
Apabila sudah bekerja, jika si anak mahu memberikan sedikit wang kepada orang tua, kebanyakannya akan menyerahkan sumbangan mereka kepada ibu, bukan ayah.
Malah apabila sudah sampai masa untuk berkahwin, si anak dengan malu-malu berkata: "Mak saya nakkan si anu itulah!" Jarang benar anak menemui bapanya untuk menyatakan: "Ayah, saya nak kahwin!"
Sehubungan itu, menjadi seorang ibulah pada pendapat saya, menepati ungkapan 'begitu istimewa dan bertuahnya dijadikan seorang wanita!"
***** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.
**Sekiranya pembaca ingin mengikuti ulasan mengenai buku 'Dilema Seorang Wartawan Islam' ini sila kunjungi http://talkonly.blogspot.com/ SELAMAT MEMBACA.
No comments:
Post a Comment