Monday, June 15, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 14: Berjumpa, Bermesra, Berpisah Adat Manusia

Saya rasa kurang selesa menaiki bas ketika pulang pada hari Ahad malam Isnin. Ini kerana bas sentiasa penuh, menyebabkan saya tidak dapat bersandar atau tidur sesuka hati.

Melalui pengamatan dan perbualan dengan penumpang, akhirnya saya memahami mengapa bas penuh pada malam berkenaan.

Ini kerana sebahagian penumpang adalah pekerja di Melaka. Mereka perlu balik pada malam itu untuk bertugas pada keesokan harinya.

Penumpang berkenaan pulang selepas menghabiskan cuti hujung minggu di Kuala Lumpur, sama ada bersama-sama isteri, suami atau pun keluarga masing-masing.

Senario ini menunjukkan bahawa sebahagian daripada anggota sesebuah keluarga di negara kita hidup berasingan. Misalnya, ada suami yang tinggal dan bekerja di Ipoh sedangkan isterinya menetap dan bertugas di Kuala Lumpur.

Hidup berasingan atau terpisah daripada orang yang dikasihi bukanlah suatu perkara baru atau luar biasa. Ia dialami oleh hampir setiap orang, tanpa mengira kedudukan, bangsa, agama atau negara.

Berhubung perkara ini, saya tertarik dengan satu laporan berita luar negara mengenai kisah keluarga Presiden (kini bekas Presiden) Amerika Syarikat, Bill Clinton pada 1997.

Clinton dan isterinya, Hillary, ketika itu terpaksa akur bahawa anak tunggal mereka, Chelsea sudah besar panjang. Chelsea tidak dapat berterusan hidup di bawah ketiak mereka.

Perpisahan dalam keluarga Clinton tidak dapat dielakkan selepas Chelsea (ketika itu berusia 17 tahun), membuat pilihan untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Stanford yang terletak di Palo Alto, California.

Sebagai anak dara tunggal mereka, tentulah Clinton dan Hillary risau. Lebih-lebih lagi Chelsea berada lebih 3,000 kilometer dari kediaman presiden (Rumah Putih) yang terletak di Washington D.C.

Hillary yang pernah melawak bahawa dia mahu menjadi teman sebilik Chelsea di kolej, tentulah sedih dengan perpisahan itu. Dia mati-matian mahukan anaknya melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di Washington.

Bagaimanapun, Clinton cuba menyembunyikan perasaannya dengan berkata: "Tak mengapa, ada kapal terbang ke sana. Ada hubungan telefon ke sana. Kita juga boleh menghantar e-mail. Jadi tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan."

Jika dalam kes keluarga Clinton ini, perpisahan berlaku disebabkan cita-cita si anak di bidang pelajaran, banyak lagi faktor menyebabkan anggota sesebuah keluarga terpaksa berpisah atau hidup berasingan.

Saya percaya penyebab utama perpisahan ketika ini ialah perang dan konflik yang melanda banyak kawasan dunia.

Misalnya, perang selama tiga setengah tahun di Bosnia, menyebabkan lebih dua juta penduduk negara itu menjadi pelarian, malah ada daripadanya terpaksa mendapatkan perlindungan di negara kita yang terletak beribu-ribu kilometer jauhnya.

Demikian juga dengan keganasan Russia di Chechnya ataupun pemberontakan di Zaire yang sampai ke kemuncaknya apabila pemimpin pemberontak, Laurent Kabila siap sedia memasuki Kinshasa dan menggulingkan Presiden Mobutu Sese Seko.

Sudah pasti dalam usaha menyelamatkan diri ketika puak bermusuhan bertempur, ada suami terpisah daripada isteri masing-masing, anak terpisah daripada ibu bapa dan sebagainya.

Malah ribuan orang mati dalam konflik yang seolah-olah tiada kesudahan ini.
Tragedi alam juga boleh menyebabkan perpisahan. Perpisahan akibat bencana ini mengharukan kerana ia membabitkan perasaan mangsa terselamat terhadap yang terbunuh.

Di Iran misalnya, gempa bumi yang melanda timur negara itu pada 1997 dan menyebabkan hampir 2,000 orang terkorban, sudah pasti meninggalkan kesan mendalam dan berkekalan di hati penduduknya.

Dalam tragedi itu, ada anak kehilangan ibu atau bapa, ada bapa kehilangan anak, ada isteri kehilangan suami, ada suami kehilangan isteri dan ada orang kehilangan kekasihnya.

Demikianlah perpisahan tidak dapat dielakkan. Setiap orang pasti menempuhnya, sama ada perpisahan sementara waktu atau buat selama-lamanya. Kata orang berjumpa, bermesra dan kemudian berpisah adalah adat manusia.


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

No comments: