Monday, June 22, 2009

Dilema Seorang Wartawan Islam / Kisah 18: Fatahillah, Pembakar Semangat Perjuangan

Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Nyawa dan badan saya serahkan.

Demikian saya teringat serangkap pantun lama apabila terlihat sebuah papan tanda menyatakan Melaka bersiap sedia menyambut penubuhannya yang ke-600 tahun tidak lama dulu.

Ketika Melaka menyambut ulang tahunnya yang ke-600, kota raya Jakarta di Jawa pula merayakan ulang tahunnya yang ke-470 (pada tahun 1997). Jika kota Melaka roboh, dihancurkan oleh armada Portugis pada 1511, kota Jakarta pula didirikan selepas kejayaan rakyat tempatan mengusir Portugis pada 22 Jun 1527.

Sekalipun tiada hebahan di negara kita mengenai ulang tahun ke-470 kota Jakarta, peristiwa penubuhannya amat penting diketahui bagi menyemarakkan semangat perjuangan anak bangsa menghadapi kerakusan penjajah.

Kota Jakarta asalnya sebuah pelabuhan kecil di kuala Sungai Ciliwung dengan nama Sunda Kelapa yang masih wujud sampai sekarang.

Selepas menawan Melaka, Portugis meluaskan pengaruhnya di Nusantara termasuk membina sebuah kota di Sunda Kelapa pada 1522. Bagaimanapun, mereka tidak disenangi oleh penduduk tempatan dan selepas berlaku pertempuran hebat pada 1527, angkatan Portugis yang gagah perkasa itu akhirnya ditewaskan oleh angkatan perang seorang pemerintah Islam bernama Fatahillah.

Sempena kejayaan itu, Fatahillah menamakan kota itu Jayakarta, yang kemudian terkenal dengan nama Jakarta sehingga hari ini. Kisah Fatahillah ini sudah difilem dan ditayangkan di Indonesia dan Malaysia.

Ketika berada di Jakarta tidak lama dulu, saya sempat melawat pelabuhan Sunda Kelapa yang terletak di utara ibu kota Indonesia itu.

Pelabuhannya kecil tetapi sibuk. Ia dipenuhi tongkang dan kapal layar. Barangan utama yang diperdagangkan di sini ialah kayu-kayan yang diperolehi dari Sumatera dan Kalimantan. Kayu-kayan ini dieksport ke pelbagai negara seperti Jepun dan Korea Selatan.

Air di muara Sungai Ciliwung di mana terletaknya Sunda Kelapa ini kotor dan hanyir. Bagaimanapun, air sungai yang mengalir perlahan ini sebenarnya menyaksikan jatuh bangun anak bangsa di tangan penjajah - Portugis dan Belanda.

Kejayaan Fatahillah menewaskan Portugis adalah pembakar semangat kepada perjuangan anak watan. Ia membuktikan bahawa bangsa Asia adalah setaraf bangsa Eropah yang menjajah dan memporakperandakan kehidupan mereka.

Selepas beratus-ratus tahun dijajah, semua wilayah di rantau Asia sudah merdeka - ada melalui perang dan pertumpahan darah manakala sesetengahnya secara rundingan dan perjanjian.

Pada detik 12 tengah malam 30 Jun 1997, dunia menyaksikan satu peristiwa bersejarah, menandakan berakhirnya keangkuhan satu lagi bangsa Barat ke atas rantau Asia. Hong Kong akhirnya diserahkan kembali ke tangan China oleh penjajah British selepas menguasainya sejak 1842. British akhirnya terpaksa akur bahawa 'cahayanya di Timur sudah padam'.

Selain British yang terpaksa 'angkat kaki' dari rantau Timur, Portugis juga berbuat demikian apabila ia menyerahkan Macau kepada China pada 1999. Penyerahan Macau bermakna semua wilayah di rantau Asia bebas daripada cengkaman penjajah.

Sekalipun penjajahan Barat sudah lenyap dari bumi Asia, hakikatnya rantau ini masih terbelenggu dengan ideologi Barat. Negara Barat masih meneruskan penjajahan mereka di rantau ini - tetapi kini bukan dengan dasar pecah dan perintah tetapi dalam bentuk baru.

Penjajahan minda adalah antara contoh pendekatan baru dunia Barat. Sekalipun sudah bebas dari segi fizikal, masyarakat rantau ini terus disogokkan segala bentuk kehidupan Barat.

Jika dulu, China tewas kerana rakyatnya ketagihan candu yang dibawa oleh British, tidak memeranjatkan apabila negara di rantau Asia tewas sekali lagi jika penduduknya hanyut dibuai kelekaan yang didatangkan oleh Barat.

Seperti kepahlawanan Fatahillah yang menewaskan penjajah Portugis lebih 570 tahun lalu, kita mengharapkan kelahiran lebih ramai tokoh berwibawa sepertinya yang dapat menghancurkan penjajahan bentuk baru ini, seterusnya menyelamatkan rantau Asia daripada menanggung malu buat sekian kalinya.


**** Assalamualaikum wbt. Mulai 21 April 2009 penulis menyertakan isi kandungan buku ‘Dilema Seorang Wartawan Islam’ karya dan terbitan sendiri. Buku penulis ini terbuka untuk pembelian melalui pesanan pos. Harga asal RM12; kini dijual RM10 saja termasuk belanja pos dalam negara (Malaysia). Pesanan melalui pos boleh dibuat dengan mengirimkan wang pos atau kiriman wang RM10 kepada ROSLAN HAMID, 952-3 Batu 3, Jalan Muar Semabok, Melaka. Pembayaran melalui bank adalah melalui akaun Maybank bernombor 114011751218. Untuk maklumat, penulis (ROSLAN HAMID) menggunakan nama pena LanH pada kebanyakan artikel. Sekian, wassalam.

** Ikuti ulasan buku Dilema Seorang Wartawan Islam dengan melayari http://talkonly.blogspot.com/2009_05_01_archive.html

1 comment:

Naim said...

Syabas untuk buku ini.

http://naimisa.blogspot.com