Thursday, March 18, 2010

Pertarungan hak, batil sedang memuncak

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Abu Umamah r.a. menyatakan Rasulullah s.a.w. bersabda: "Kelebihan orang berilmu daripada orang beribadah (yang bodoh), bagaikan kelebihan bulan pada malam purnama daripada semua bintang-bintang." (HR. Abu Daud, Termizi, An-Nasa'i dan Ibnu Majah)
***
PAGI Sabtu baru-baru ini saya menghadiri program motivasi seorang anak saya yang berada di bangku sekolah menengah. Selain sesi teknik pembelajaran, ada slot ceramah agama. Saya tabik pada penceramah kerana beliau begitu bersungguh-sungguh membuat pesanan itu dan ini kepada pelajar dan ibu bapa selama lebih sejam.

Banyak tips penceramah lontarkan. Beliau begitu bimbang anak-anak semakin jauh daripada pegangan agama. Akhlak anak-anak muda termasuk pelajar semakin buruk, kewajipan agama seperti solat semakin terlerai. Beliau mendakwa sebuah kajian dilakukannya menunjukkan hanya sejumlah kecil pelajar solat, yang menunaikannya lima kali sehari semalam boleh dibilang dengan jari.

Ketika diajukan soalan kepada pelajar, siapa yang tidak pernah tertinggal solat walau sewaktu pun sepanjang tempoh sebulan lalu, tidak sampai lima pelajar mengangkat tangan. Lantas beliau berkata: "Ini sekolah terbaik, jumlah yang solat sepenuhnya beberapa orang saja, tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaan di sekolah lain."

Berdasarkan kebimbangan itu, beliau 'membasuh' pelajar dan ibu bapa cukup-cukup. Misalnya ibu bapa dan anak-anak terlalu mementingkan kejayaan akademik, soal keagamaan tidak berapa dititik-beratkan. Kejayaan diukur dengan deretan A dalam peperiksaan awam sedangkan pegangan agama termasuk akhlak ditolak ketepi.

Beliau bertanya berapa ramai ibu bapa membekalkan anak-anak mereka di asrama dengan baldi dan bahan pencuci tetapi tidak membekalkan mereka dengan naskhah al-Quran. Mungkin ibu bapa terlupa, katanya, tetapi itulah yang paling penting, anak-anak perlu ditanamkan dalam jiwa mereka untuk mencintai kitab suci itu, membaca, mengkaji, memahaminya setiap hari seterusnya mengamalkan suruhan dan menjauhkan larangannya dalam kehidupan.

Demikianlah betapa hebat pejuang-pejuang ini seperti pendakwah, pakar motivasi, guru dan ustaz bertungkus-lumus memastikan anak bangsa terutama generasi muda berada di jalan benar. Mereka bekerja siang dan malam, sebahagiannya tidak mengenal erti kebosanan, mereka mengharapkan ganjaran-Nya pada hari tiada perlindungan (akhirat).

Tetapi pada masa yang sama, ejen-ejen kebatilan juga sedang bekerja keras untuk menjahanamkan anak bangsa. Mungkin mereka tidak sedar, tetapi hakikatnya mereka bersama menyumbangkan ke arah kehancuran. Mungkin hati mereka sudah diselaputi kegelapan, jadi mereka gagal melihat jalan lurus itu.

Ketika di sekolah, guru bertungkus-lumus mendidik murid-murid tetapi sebaik saja berada di luar pagar, pelajar berhadapan dengan pelbagai unsur negatif. Misalnya, jika pelajar singgah di kedai mamak akhbar, mereka terdedah dengan akhbar dan majalah yang keterlaluan dalam penyiaran bahan mereka. Bukan saja akhbar dan majalah khusus mendedahkan itu dan ini termasuk anggota tubuh yang patut ditutup, tetapi akhbar yang dianggap arus perdana pun sama.

Bayangkan dalam melaporkan perkembangan semasa, istilah seperti liwat, dubur, zakar dan perkara menjijikkan lain seperti hubungan dalam kelambu hampir setiap hari digunakan. Apakah pihak-pihak berkenaan termasuk pemerintah, penguasa kehakiman, media dan sebagainya tidak ada cara bagi mengelakkan perkara yang menjijikkan ini tersebar luas di kalangan masyarakat termasuk anak-anak sekolah?

Perasaan ingin tahu anak-anak adalah tinggi, di sekolah apabila subjek 'reproduktiviti' mula diajar guru, maka bisinglah anak-anak murid; inikan pula perkara jijik ini ditulis dalam akhbar arus perdana yang dibaca mereka. Selain kes liwat ini, semaklah akhbar-akhbar Melayu pada hujung minggu di mana kadang-kadang gambar artis perempuan terkangkang atau mulut ternganga pun disiarkan, apa sebenar nak jadi dengan orang media kita hari ini, tak sensitif langsung pada agamanya sendiri?

Pada suatu hujung minggu selepas membeli dan menatap sebuah akhbar arus perdana Melayu, saya rasa amat malu sekali kerana kedapatan gambar seorang artis perempuan Melayu dengan pakaian terlondeh dengan wajah kehausan seks, maka akhbar itu saya sorokkan di bawah tilam. Saya tidak sanggup membiarkan anak-anak saya menatap akhbar yang tidak bermoral ini. Jika orang tua macam saya ini, kopiah boleh terbang melihat gambar-gambar gila itu bagaimana agaknya perasaan anak teruna saya yang baru bermimpi basah?

Orang media, tolonglah sensitif pada agama sendiri, janganlah otak yang dianugerahi Illahi itu diletakkan di kepala lutut. Nak untung jual akhbar, mahu habis laku (sold out) pun takkan sampai tak kenal halal dan haram. Janganlah rosakkan generasi muda termasuk anak-anak tuan dan puan sendiri yang kini dididik separuh mati oleh cikgu dan ustaz di sekolah.

Pada ketika guru berusaha bersungguh-sungguh membendung anak-anak daripada perkara negatif termasuk mengadakan program motivasi dan ceramah agama, pelbagai pihak lain seperti orang media dan mereka dalam industri hiburan, menanamkan unsur-unsur negatif seperti penyiaran bahan lucah dan penganjuran konsert dan hiburan. Malah ada anak-anak yang di bangku sekolah sekolah rendah ditarik untuk menjayakan program hiburan seperti Bintang Kecil. Maka berminggu-minggulah mereka ponteng sekolah, tinggal di sebuah akademi, belajar bagaimana mahu berkinja-kinja di pentas hiburan.

Dalam majalah Guru keluaran Oktober 2009 terbitan Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP) ada dinyatakan bagaimana guru perlu bersiap sedia menghadapi cabaran akibat perkembangan internet. Guru berusaha keras membentengi pelajar, tetapi mengapa golongan masyarakat lain termasuk media tidak sensitif?

NUTP menyenaraikan sembilan cadangan bagi membendung gejala penyalahgunaan internet yang antara lain meneruskan kempen penggunaan internet dengan cara betul, mengetatkan penguatkuasaan oleh pihak polis dan majlis perbandaran, membuka ruang dan masa untuk berkongsi pendapat dan berbahas mengenai sesuatu isu yang timbul dalam internet kerana pelajar lebih mempercayai guru dan tindakan undang-undang perlu dikenakan kepada mereka yang melanggar peraturan.

NUTP juga bimbang alam siber akan merosakkan generasi muda dan sehubungan itu mengusahakan kaedah melindungi kanak-kanak yang katanya adalah tanggugjawab bersama. Antara pesanannya: "Kami berharap guru di sekolah dapat memberi kesedaran kepada para pelajar bahawa mereka boleh mencapai internet dan menggunakan segala maklumatnya dengan selamat, tanpa menjadi ancaman di alam siber."

Jelaslah pertarungan hak dan batil sedang berlangsung dalam masyarakat. Di negara kita, ratusan ribu guru dan ustaz diperlukan untuk mendidik anak bangsa supaya menjadi 'manusia' tetapi dalam hal kejahatan, seorang guru pun tidak diperlukan untuk mengajarnya kerana nafsu dan syaitan sudah sedia menanti. Malahan mereka diperkuatkan lagi oleh syaitan bertopeng manusia dalam bentuk pengamal media massa, pemimpin dan sebagainya!

2 comments:

Singgah abbebakar said...

Terima kasih tuan, serangan melampau kebatilan melenyapkan keberkatan ajaran pakar motivasi paling hebat, apa lagi guru yang saban hari menghitung "A" bagi setiap pelajarnya.

Berapa punya banyak saluran kebatilan untuk melihat anak-anak sempurna dengan nasihat yang selalunya menjemukan.

Pihak paling berkuasa ialah pemerintah yang terkial-kial mencari dasar model dan modul pembangunan insan terbaik untuk rakyat Malaysia. Bukankah pemimpin juga agen kebatilan?

Lanh Sr. said...

terima kasih tuan singgah abbebakar