Monday, March 15, 2010

Hati-hati hadapi mereka berciri munafik

***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Said menyatakan, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jangan kamu jual daging denda haji (dam) dan daging korban. Makan dan sedekahkanlah daging itu. Ambil manfaat kulitnya, dan jangan dijual kulitnya. (HR Ahmad)
***

BERSYUKUR kita ke hadrat Illahi, kini sudah dua tahun Pakatan Rakyat memerintah negeri-negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor selepas mencatat pencapaian gemilang pada pilihan raya 8 Mac 2008.

Sewajarnya, selepas berakhirnya pilihan raya wujud hormat menghormati Kerajaan Pusat dengan Kerajaan Negeri bagi membolehkan semua pihak termasuk rakyat mengembleng segala kekuatan bagi menjadikan masyarakat dan negara utuh dalam menghadapi pancaroba dalam segala bidang – daripada kehidupan duniawi membawa kepada kehidupan akhirat.

Namun apa yang berlaku sepanjang dua tahun lalu, seolah-olah wujud konspirasi pemimpin parti politik yang menguasai Kerajaan Pusat dan kuncu-kucunya untuk menyukar, malah sehingga menggulingkan Kerajaan Negeri yang tidak dikuasainya. Kemuncak daripada perkembangan ini membawa kepada rampasan kuasa ke atas kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak setahun lalu.

Perkembangan ini bukanlah sesuatu yang sihat bagi kesejahteraan rakyat negara ini. Apa yang ditonjolkan oleh pemimpin, menyerlahkan sikap munafik (seperti tidak menepati janji, bercakap bohong dan pecah amanah) yang menjadi ikutan rakyat negara ini. Apabila pemimpin zalim, rakyat pun zalim; apabila pemimpin berbohong rakyat pun jadi pembohong; dan apabila pemimpin pecah amanah dengan mengamalkan rasuah, rakyat pun terikut sama.

Apabila pemimpin negara bertindak merampas negeri secara rakus, rakyat yang tidak diberkahi juga bertindak melakukan kejahatan sama. Sudah tentu kejahatan yang dilakukan adalah dalam skala lebih kecil seperti Pengerusi JKKK merampas atau ‘mengsonglap’ duit peruntukan kampungnya atau pengerusi masjid menggelapkan duit derma orang ramai.

Sebenarnya, kejahatan manusia ini bukan sahaja berlaku dalam negara tetapi bersifat sejagat. Sifat munafik dalam politik antarabangsa begitu ketara. Semuanya bagaikan matlamat menghalalkan cara seperti disebut Machiavelli. Di pentas dunia adalah biasa bagi kuasa besar dunia seperti Amerika dan Britain bercakap hebat mengenali amalan hak demokrasi dan hak asasi manusia.

Tetapi hakikatnya, mereka tidak pedulikan apa yang mereka hebohkan itu. Kuasa besar ini mahu negara lain mengikut telunjuk mereka. Negara yang melawan seperti Iraq pimpinan Saddam Hussein sudah dimusnahkan. Negara lain seperti Sudan, Libya, Korea Utara dan Syria sedang menunggu nasib masing-masing. Cuma Iran yang berani bersemuka, natijahnya belum diketahui.

Laungan demokrasi dan hak asasi adalah untuk memuaskan nafsu mereka saja. Malah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mereka wujudkan, diperkudakan untuk kepentingan sendiri. PBB dijadikan topeng untuk mengesahkan sifat munafik mereka.

Politik negara kita juga menyaksikan perkara yang sama. Daripada peringkat paling atas, cakap-cakap mengenai demokrasi dan hak asasi dihebohkan, tetapi setakat mana ia benar-benar dikotakan, tidaklah diketahui.

Di kalangan tokoh politik, sifat hipokrit boleh disaksikan menjelang satu-satu pilihan raya. Biasanya, sebelum sesuatu pilihan raya, sesebuah parti atau calon itu akan membuat pelbagai janji manis, tetapi selepas pilihan raya, kebanyakannya dilupakan. Ini satu ciri munafik – mungkir janji.

Kemudian kita saksikan gelagat sesetengah tokoh politik dan pemimpin yang bercakap tidak serupa bikin. Akhir-akhir ini gelagat golongan ini semakin menjadi-jadi. Sungguh menghairankan dulu mereka bermatian-matian menegakkan parti masing-masing; sekarang ini pula melompat parti, menyerang dan menafikan apa yang mereka perjuangkan dulu – tidakkah ini namanya mempamerkan sifat munafik paling hebat?

Pakatan Rakyat sudah pergi jauh, selama dua tahun KeADILan, DAP dan PAS berjaya membendung perbezaan besar antara parti, sebaliknya mengukuhkan persamaan yang ada demi masa depan rakyat, oleh itu pada saat mencabar sekarang, wajarlah ia berhati-hati menghadapi golongan penzalim termasuk pemimpin yang mempamerkan sifat munafik seperti pecah amanah, pembohong dan gagal menunai janji.

No comments: