Sunday, March 28, 2010

Pendidikan percuma matlamat Pakatan Rakyat

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah s.a.w. bersabda; "Tidak terjadi hari Kiamat sehingga Sungai Furat (Eupharates) iaitu sebuah gunung daripada emas. Ramai orang berperang untuk merebutkannya. Maka terbunuh 99 daripada 100 orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata: 'Mudah-mudahan akulah yang terselamat itu'. Di dalam riwayat lain ada disebutkan: 'Sudah dekat suatu masa di mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu ternampak perbendaharaan daripada emas, maka barangsiapa yang hadir di situ, janganlah dia mengambil sesuatu pun daripada harta itu'." (H.R. Bukhari-Muslim)
***

MASA depan negara bergantung kepada generasi mudanya. Mereka wajar mendapat pendidikan terbaik termasuk bimbingan kerohanian bagi membolehkan generasi akan datang memberi sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan tanah airnya.

Namun demikian, kos pendidikan semakin lama semakin tinggi, suatu hari nanti dikhuatiri tidak mampu ditanggung golongan sederhana sekalipun. Perkembangan ini sungguh membimbangkan kerana pendidikan sebenarnya adalah keperluan asas yang didambakan setiap rakyat.

Mengapa kos yang dikenakan ke atas anak bangsa berterusan naik sedangkan negara didakwa sebagai paling berkembang maju dan dinamik di kalangan negara-negara sedang membangun? Malah ada pemimpin mendakwa Malaysia sudah mencapai taraf negara maju.

Hakikatnya, di banyak negara maju seperti Britain, pendidikan adalah percuma sedangkan ibu bapa di negara kita dikenakan bayaran yang berterusan bertambah pada sesi baru persekolahan.

Pada penggal baru Januari lalu, pelbagai bayaran persekolahan dinaikkan; antaranya bayaran makanan pelajar sekolah asrama yang dinaikkan daripada RM1 kepada RM3 sehari (membabitkan ibu bapa berpendapatan lebih RM5,000 sebulan). Kementerian Pelajaran turut mengurangkan jumlah hari peruntukan makanan kepada pelajar kononnya sebagai langkah penjimatan.

Berikutan bantahan pelbagai pihak termasuk parti politik gabungan Pakatan Rakyat, Kementerian Pelajaran akhirnya menambahkan peruntukan makanan pelajar di sekolah berasrama daripada 200 hari kepada 240 hari setahun.

Ini bermakna pelajar sekolah asrama termasuk berasrama penuh tidak perlu lagi pulang setiap minggu atas alasan makanan tidak disediakan. Kini ada sekolah berasrama penuh menetapkan pelajar wajib pulang bermalam pada hujung minggu sekali saja dalam sebulan.

Sebelum ini pelbagai pihak terutama ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati kerana anak-anak mereka terpaksa pulang hampir setiap minggu kerana pengurusan asrama tidak dapat menyediakan makanan pada hujung minggu kerana tiada peruntukan kerajaan untuk tujuan itu.

Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat, Salahuddin Ayub, ketika diwawancara penulis berhubung kejayaan desakan rakyat ini, berkata perkembangan itu membuktikan bahawa betapa pentingnya rakyat menghantar lebih ramai wakil Pakatan di Dun dan Parlimen bagi membolehkan suara dan kepentingan mereka didengar pihak pemerintah.

Katanya, suara rakyat yang kuat amat diperlukan kerana apabila bantahan dibuat terhadap tindakan kerajaan yang mengetepikan kepentingan rakyat, ia akan lebih berkesan dan mempunyai peluang lebih besar untuk berjaya.

“Kita tahu pengurangan peruntukan makanan di sekolah asrama itu telah mendatangkan kesan berganda kepada ramai ibu bapa. Mereka terpaksa bersusah payah mengambil anak masing-masing pada hujung minggu manakala yang terus tinggal di asrama perlu membayar sendiri untuk makanan. Ini semua akan meningkatkan perbelanjaan rakyat,” katanya.

“Sebenarnya, Pakatan Rakyat bukan saja berjuang untuk penambahan hari penyediaan makanan di asrama itu, tetapi apa yang kami hasratkan adalah memberi PENDIDIKAN PERCUMA kepada semua rakyat Malaysia, daripada peringkat tadika sehinggalah ke pengajian ijazah pertama,” kata beliau yang juga Anggota Majlis Tertinggi Pakatan Rakyat.

Salahuddin berkata pendidikan percuma itu adalah antara perkara terbesar akan cuba dilaksanakan Pakatan Rakyat apabila berjaya menguasai kerajaan Pusat; oleh itu seluruh rakyat perlu menyatakan sokongan termasuk pada pilihan raya umum ke-13 yang akan diadakan dua tiga tahun lagi.

Katanya, pendidikan percuma itu adalah berdasarkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang mana antara lain menyatakan hak bumiputera untuk berdaya saing dengan kaum lain; salah satu carannya melalui pendidikan.

“Kami di Pakatan Rakyat bercadang melanjutkannya kepada semua kaum; semua pihak terutama pelajar yang memerlukan akan dibantu sepenuhnya agar semua rakyat berpeluang mendapat pendidikan daripada tadika sehinggalah ke pengajian tingggi,” katanya.

Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS, yakin berdasarkan perolehan negara termasuk melalui pencukaiannya dan keunungan puluhan bilion ringgit oleh Petronas, membolehkan rancangan pendidikan percuma itu dijayakan.

Menurut beliau jika kerajaan mentadbir kewangan negara dengan telus, tidak timbul soal untuk memotong peruntukan dengan banyaknya dalam bidang pendidikan.

“Mengapa perlu dikorbankan generasi muda sedangkan mereka inilah yang akan memimpin negara pada masa depan,” katanya.

Katanya, penekanan Pakatan Rakyat kepada pendidikan ini kerana berpendapat ia satu tanggungjawab sosial dan kerajaan yang ada sekarang ini tidak boleh culas dalam bidang ini. “Tiada kompromi dalam soal pendidikan rakyat ini,” tegas beliau.

Selain pendidikan, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, berkata Pakatan Rakyat memperjuangkan agar rakyat mendapat rawatan kesihatan terbaik dengan yuran minimum kerana menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyatnya.

Beliau menyatakan kurang senang dengan perkembangan semasa di mana kerajaan dilaporkan bercadang menswastakan bahagian-bahagian tertentu di hospital dan pusat kesihatan.

Katanya, bidang kesihatan adalah tanggungjawab sosial kerajaan dan menjadi hak rakyat untuk mendapat rawatan terbaik, terutama di kalangan golongan veteran yang telah banyak menabur jasa kepada perkhidmatan kerajaan.

Katanya, pelbagai langkah penjimatan termasuk catuan ubat-ubatan seperti dilakukan sekarang, menunjukkan bahawa kerajaan menghadapi masalah serius dalam bidang ini. Ketika ini banyak farmasi kerajaan menyediakan tong plastik di kaunter bagi menggalakkan pesakit memulangkan ubat-ubatan yang tidak habis mereka gunakan.

Salahuddin percaya perkara ini tidak berlaku jika kerajaan telus dalam perbelanjaannya termasuk pembayaran ‘bail out’ dan menjayakan projek mega yang diberikan kepada kroni-kroni tertentu.

“Seperti bidang pendidikan, kesihatan rakyat juga perlu menjadi keutamaan. Bagi saya tiada kompromi dalam bidang-bidang ini,” kata bintang muda yang menyinari politik tanah air itu.

2 comments:

suratkhabarlama said...

Cita-cita murni Pakatan Rakyat itu bukanlah suatu yang mustahil.

Kita ambil iktibar dari kisah Khalifah Umar Abdul Aziz di mana dalam tempoh singkat beliau memerintah, kemiskinan dapat dihapuskan sehinggakan tiada yang sudi untuk menerima zakat serta dikatakan serigala pun kekenyangan dan tidak mengganggu ternakan.

Itulah rahmat dan berkat apabila Islam diamalkan sepenuhnya. Kita bantu agama Allah, Allah akan membantu kita, dan bantuan Allah sememangnya tiada siapa dapat menandinginya.

Wallahualam bissawab.

Lanh Sr. said...

terima kasihhhh suratkhabarlama