Friday, March 12, 2010

Biar papa asal bergaya!

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan: Dosa berguguran apabila berjabat salam

Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila dua orang Islam bertemu lalu berjabat salam (berjabat tangan), Allah SWT mengampuni dosa kedua-duanya selama tangan mereka belum terlepas. Dan Allah mengabulkan doa mereka berdua.” (HR. Ahmad dan Bazzar)
***

SEKALI-SEKALA jika tidak ke pejabat, saya menghantar anak saya ke tadika dengan motosikal. Biasanya dia minta diturunkan sebelum sampai.

Saya tidak tahu mengapa dia sanggup berjalan kerana enggan diturunkan dekat pintu masuk tadika itu.

Suatu hari rahsianya terbongkar. Termenung saya memikirkan jawapan budak lima tahun itu.

“Motor ayah buruk. Malu kawan-kawan tengok. Malu cikgu tengok,” katanya.

Tersentak saya mendengarnya. Saya berfikir dan terus berfikir bagi muhasabah diri.

Anak saya dalam usia sebegitu mentah sudah ada naluri hendakkan yang baru dan hebat, tidak mahu yang buruk. Malah malu kalau kawan dan cikgunya tahu ayahnya bermotosikal buruk.

Mungkinkah ini pengaruh persekitaran seperti televisyen, kawan-kawan sebaya dan paling ditakuti kesalahanan cara mendidik oleh kita sebagai ibu bapa.

Jika karenah anak-anak boleh difahami, bagaimana pula dengan karenah orang dewasa termasuk ‘orang besar’ dan pihak berkuasa.

Ini cerita ketika saya bertugas di sebuah syarikat akhbar gergasi beberapa tahun lalu. Seorang rakan setugas tetapi bahagian berlainan, mengajak saya ke rumah abangnya, seorang peguam (loyar) hebat di Damansara.

Kerana tiada kenderaan, dia bersetuju membonceng Kapcai saya ke sana. Sampai di Damansara, dia menyuruh saya meletakkan Kapcai itu di bawah pokok. “Mana rumahnya?” tanya saya.

Dia tidak menjawab tetapi berjalan laju-laju. Saya mengekorinya. Jauh juga kami berjalan. Akhirnya di membuka pintu pagar sebuah rumah yang tersergam gah. Itulah rumah abangnya, si loyar yang telah mencipta nama di Kuala Lumpur.

Terfikir saya mengapa tidak diparkir saja motosikal Kapcai saya itu di depan rumah gah itu. Mengapa sahabat saya itu sanggup mengarahkan saya meletakkan Kapcai buruk itu jauh-jauh dan berjalan ke rumah abangnya yang berpangkat itu?

Saya segan dan tidak sampai hati bertanyakan hal itu kepada sahabat tadi. Tapi jauh di sudut hati, saya tahu sahabat saya itu ingin menjaga reputasinya. Apa kata si abang yang berpangkat itu, melihatkan si adik datang dengan motosikal buruk?

Jatuh ‘standard’ lah ‘brother’, sebab itu kawan saya itu menyuruh saya parkir motosikal saya jauh-jauh. Abangnya tidak tahulah dia datang naik motor buruk; mestilah abang dia fikir dia datang dengan BMW (bukan dengan Bas Mini Wilayah, BMW, yang popular pada era 80-an dulu).

Pihak berkuasa juga cenderung untuk menunjukkan gah mereka sedangkan hakikatnya tidak. Misalnya, apabila negara menjadi tuan rumah sidang antarabangsa tertentu, sibuklah pihak berkuasa tempatan menghias kota dan memasang pagar tertutup di tepi-tepi jalan bagi mengelakkan pemadangan jelek seperti kawasan setinggan dan terbiar.

Langkah mengindahkan bandar dan kota memanglah terpuji tetapi jika dilakukan semata-mata bagi mengharapkan pujian tetamu asing dan pihak luar, menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena.

Mengharapkan pujian dan tidak mahu dikata orang (diumpat) bukan saja berlaku dalam pentadbiran negara tetapi juga dalam keluarga dan diri kita sendiri.

Ada antara kita yang mahu dilihat hebat tetapi hakikatnya kita tidak ada apa-apa. Kata orang, biar papa asal bergaya. Biar berkereta besar dan hebat, sekalipun poket kosong.

Dalam rumah tangga, ada isteri bertungkus-lumus membersihkan tandas apabila mengetahui ibu mentuanya akan menjenguk, ada suami yang tiba-tiba rajin solat apabila ayah mentuanya datang berkunjung.

Di pejabat pula ada pekerja yang buat-buat sibuk apabila bos berada di depan mata.

Tidak bolehkah kita ‘be yourself’ (berkelakuan jujur) di mana saja kita berada dan dalam apa jua situasi kita hadapi – ertinya jangan dibawa ciri-ciri munafik tidak kira sama ada dalam hal ehwal mengurus negara hatta dalam mengurus diri sendiri.

No comments: