***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu Yang Menciptakan. Dia telah Menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Paling Pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya." (Al-'Alaq, 96: 1-5)
***
KITA dukacita dengan perkembangan politik semasa yang membabitkan tindakan keluar parti oleh pemimpin parti tertentu.
Kita juga sedih dengan perkembangan negatif sosial rakyat seperti penderaan sehingga membawa kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Syafia Humairah Sahari. Selain kematian ini, terdedah satu sisi negatif lain iaitu permasalahan berat yang dihadapi si ibu seperti bekas suaminya berada dalam penjara atas tuduhan membunuh manakala dia pula didakwa mempunyai hubungan terlarang dengan si pembunuh anaknya sendiri.
Kita bimbang, perkembangan negatif ini berlaku disebabkan persaingan mementingkan diri dari segi kehebatan dunia seperti wang, pangkat, kedudukan dan kuasa sedangkan nilai-nilai positif dalam masyarakat semakin terhakis. Semua pihak (kecuali segelintir orang) semakin menepati peribahasa Melayu – bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.
Pihak pemerintah juga mempromosi kehidupan mementingkan diri sendiri ini seperti cuba mendirikan bangunan tertinggi di dunia, menaja perenang pertama menyeberangi Selat Inggeris, menghantar angkasawan pertama ke angkasa lepas sekalipun dengan menumpang kapal angkasa ‘orang lain’. Ini seolah-olah bermaksud rakyat diajar untuk melepaskan pucuk masing-masing. Apabila berjaya berbuat demikian sekali gus merebut gelaran orang terkaya, paling berkuasa, paling popular atau vokal, kita akan diiktiraf sebagai insan berjaya.
Dalam usaha kita melepaskan pucuk masing-masing, tidak timbul soal memijak kepala orang lain, meletupkan orang lain dan pelbagai tindakan buruk dan keji – yang penting kita mahu sentiasa berada di puncak termasuk dalam merebut jawatan tertinggi negara, bagaikan enau yang menang dalam pertarungannya dengan tanaman lain dalam belukar atau hutan.
Dalam kita melepaskan pucuk masing-masing (mencari nama, glamour dan kemasyhuran) seperti membina bangunan tertinggi di dunia atau menghantar angkasawan ke angkasa lepas atau mendakwa ekonomi negara sudah pulih (dalam sekelip mata), pernahkah kita terfikir ada kelompok rakyat yang terus hidup penuh penderitaan termasuk belajar di sekolah pedalaman yang masih tiada bekalan elektrik.
Dalam Islam, kita diajar hidup berjemaah. Hampir semua ibadat seperti sembahyang perlu dilakukan secara berjemaah. Tiada langsung konsep enau melepaskan pucuk masing-masing. Kalau seseorang itu kaya tetapi membiarkan jirannya kebuluran, dia tidak dikira sebagai insan beriman. Kita diajar bahawa solat berjemaah itu 27 kali ganda ganjarannya daripada solat sendirian. Ini bermakna untuk menuju kebahagiaan di akhirat juga kita perlu beramal secara berjemaah.
Bolehkah seseorang bapa itu ‘ke syurga secara solo’ iaitu dengan memperbanyakkan ibadat untuk dirinya saja sedangkan anak isteri dibiarkan tanpa bimbingan agama? Demikian juga bolehkan seseorang pemimpin itu bertindak melepaskan pucuknya saja sedangkan nasib rakyat kebanyakan tidak dipedulikan, malah dipijaknya seperti perlakuan enau dalam belukar?
Demikianlah masyarakat hari ini disalah didik, diberi penekanan supaya mencapai kejayaan secara individu, macam enau melepaskan pucuk masing-masing, tanpa mengambil kira keadaan masyarakatnya. Apabila ini berlaku, berlakulah kes seperti penderaan Syafia Humairah yang masyarakat tidak ambil peduli.
Dalam sistem pendidikan kita, kejayaan diukur berdasarkan prestasi individu – berapa A seseorang pelajar itu dapat dalam peperiksaan. Kemudian selepas tamat pengajian universiti, masyarakat dan negara mengukur kejayaan seseorang itu berdasarkan harta dan kuasa dimilikinya – akulah orang paling kaya, akulah orang paling berkuasa dan akulah orang paling hebat. Tidakkah ini menunjukkan masyarakat kita menepati peribahasa bagai enau melepaskan pucuk masing-masing.
Semua orang termasuk pemimpin politik mahu bersaing, mahu menunjukkan kehebatan masing-masing, jadi tidak hairanlah mereka ghairah menyelar satu sama lain dan akhirnya bertindak meninggalkan parti.
No comments:
Post a Comment