Friday, March 5, 2010

Pentingnya media alternatif
***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Sebelum terjadi hari kiamat, terlebih dahulu terhapus ilmu (agama)) dan berjangkit kejahilan dan banyak terjadi pembunuhan."
***

PEMBUNUHAN wartawan Al-Jazeera dan Reuters di Baghdad ketika kemuncak pencerobohan tentera bersekutu tidak lama dulu, membuktikan betapa sesetengah kerajaan Barat tidak senang dengan pendedahan kezaliman mereka.

Wartawan The Independent, Robert Fisk dalam tulisannya dari Baghdad dengan tajuk ‘After civilians, it’s time for scribes’, mengesahkan wartawan berkenaan dibunuh tentera Amerika.

Fisk menulis: “First, the Americans killed the correspondent of Al-Jazeera and wounded his cameraman. Then within four hours, they attacked the Reuters television bureau…”

Demikian juga pemecatan wartawan NBC, Peter Arnett, menggambarkan betapa tidak bebasnya dunia kewartawanan Barat sedangkan mereka mendakwa sebagai jaguh kebebasan media.

Bagaimanapun satu hal yang perlu diakui, dunia Barat masih memberi ruang kepada mereka yang mempunyai pandangan berbeza menyatakan pandangan melalui media massa.

Berhubung kes Arnett dalam masa tidak sampai 24 jam dipecat, beliau diambil oleh Daily Mirror sebagai petugasnya.

Jika dunia kewartawanan Barat mempunyai ciri berat sebelah, bagaimana pula bidang kewartawanan tanah air?

Dalam suasana media massa Malaysia yang dikuasai pihak pro-kerajaan, adalah penting penting untuk media alternatif diberi peluang yang sama dalam menjalankan tanggungjawab sosialnya.

Media alternatif secara tradisinya dilihat sebagai suara kumpulan minoriti tetapi tidak mustahil ia boleh mewakili kumpulan majoriti.

Chris Atton dalam artikelnya, ‘A Reassessment of the Alternative Press’ dalam jurnal ‘Culture and Society’ (Volume 21, Number 1, January 1999), menulis bahawa ‘Alternatives in Print Media’ mengesyorkan tiga kriteria mudah mendefinsikan penerbit alternatif. Mereka berpandangan bahawa sesebuah penerbit itu boleh dikatakan sebagai alternatif jika ia memenuhi salah satu syarat ini:

1. Penerbit bukanlah bersifat komersil, mempamerkan keprihatinan asasnya adalah idea dan bukannya keuntungan sebagai matlamat penerbitannya.

2. Subjek perkara penerbitan mereka sewajarnya memfokus kepada tanggungjawab sosial atau ekspresi kreatif atau biasanya kedua-duanya sekali.

3. Akhir sekali, penerbit mempunyai bukti cukup bagi mendefinisikan dirinya sebagai penerbit alternatif.

Royal Commission on the Press 1997 dalam laporannya mengenai akhbar alternatif British menegaskan sesebuah penerbitan alternatif mengetengahkan pandangan kumpulan minoriti, menjadi suara kepada golongan berpandangan melampau kepada yang mempunyai pandangan yang sama dengan orang ramai dan mengetengahkan pandangan atau membicarakan perkara yang tidak dibuat liputan oleh akhbar biasa.

Berdasarkan laporan berat sebelah media massa Barat berhubung pencerobohan ke atas penduduk rantau Timur seperti ke atas rakyat Iraq dan Afghanistan, tentunya peranan media alternatif menjadi semakin penting.

Hal ini tidak terkecuali di negara kita. Media alternatif bukan lagi suara golongan minoriti, sebaliknya membicarakan suara hati kumpulan majoriti yang selama ini mendiamkan diri.

No comments: