Saturday, March 6, 2010

Kezaliman tetap akan berbalas

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Kebajikan itu ialah budi yang indah. Sedangkan dosa ialah perbuatan atau tindakan yang menyesakkan dada, pada hal engkau sendiri segan perbuatanmu itu akan diketahui oleh orang lain." (Sahih Muslim)
***

MENYAKITI atau menuduh orang beriman buruk akibatnya - demikian tegas seorang tuan guru tafsir al-Quran dalam kuliah mingguannya yang penulis hadiri baru-baru ini.

Begitu juga dengan pihak yang menyokong atau mengiyakan pihak yang menyakiti orang beriman itu, katanya. Mereka pasti menerima pembalasan setimpalnya di dunia dan juga akhirat.

Sebagai contoh, katanya, jika seseorang menyatakan orang Islam yang tidak mengamalkan ajaran Islam itu macam orang Yahudi, dia tidak salah apa-apa. Malah dia bercakap benar.

Tetapi apabila kata-katanya diselewengkan maksudnya, kemudian dihebohkan melalui media massa, bukan saja orang menyakiti orang beriman itu menempa nasib malang, malah orang yang mengiyakan juga akan dihumbankan ke jurang kebinasaan.

Kata tuan guru itu, perkara ini hendaklah diambil perhatian. Usahlah terikut-ikut dengan orang lain menyakiti orang beriman sedangkan kita tidak tahu pucuk pangkal cerita. Kita hanya ikut-ikut apa orang lain kata melalui TV, radio, surat khabar dan sebagainya.

Kini media massa seolah-olah sudah menjadi penyakit manusia moden. Masyarakat menjadikannya kitab. Apa yang dipaparkan, semuanya dipercayai belaka. Fitnah, pembohongan dan segala macam kejelekan seolah-olah sudah menjadi perkara biasa.

Tetapi percayalah, setiap yang bermula pasti akan berakhir. Ini termasuklah kezaliman dan kebobrokan yang melanda masyarakat hari ini. Sesuatu kejahatan itu akan sampai ke kemuncaknya dan selepas itu menuju kehancuran.

Peradaban dunia sepanjang sejarahnya menyaksikan kejatuhan empayar-empayar agung selepas pemerintahnya melakukan kezaliman peringkat tertinggi. Bacalah kisah empayar Rom, Parsi, Umaiyah, Abasiyah, Moghul, Uthmaniyah dan sebagainya - semuanya tersungkur selepas pemerintah asyik berfoya-foya dengan aneka maksiat.

Dalam era moden, Soviet Union yang gagah perkasa itu pun akhirnya tersungkur dan kini tiada sebab untuk menolak kemungkinan kuasa tunggal dunia, Amerika Syarikat sedang menuju kehancurannya selepas presiden-presidennya menzalimi jutaan insan di seluruh dunia terutama di negara umat Islam seperti Iraq dan Afghanistan.

Selain empayar, tokoh dunia yang zalim juga tidak dapat menongkat dunia buat selama-lamanya. Bacalah kisah Firaun yang mewakili zaman purba, kemudian hayatilah kisah Hitler, Marcos, Reza Pahlavi dan sebagainya - semuanya terhumban ke jurang kehinaan pada akhir hayat mereka.

Riwayat hidup Saddam Hussein adalah 'cerita klasik' pemerintah zalim mendapat penghinaan di dunia lagi. Tidak lama dulu Saddam hidup gembira, berdekah-dekah bersama keluarganya dalam istana mewah, tetapi selepas itu dia mati dalam keadaan hina sekali iaitu di tali gantung penceroboh Amerika.

Demikian setiap yang bermula itu pasti berakhir. Tidak ada orang yang dapat menongkat dunia buat selama-lamanya. Antara doa yang dimakbulkan adalah doa orang yang dizalimi. Hanya yang menjarakkan makbulnya doa itu adalah masa dan tempat.

Misalnya, ada riwayat menyebut doa Nabi Musa a.s. untuk kebinasaan Firaun itu berlaku selepas 40 tahun baginda berdoa. Kalau Nabi Musa, 40 tahun; kita yang banyak dosa ini tidakkah akan lebih lama lagi?

No comments: