***
DENGAN nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.
Renungan
1. "Orang yang terbaik antara kalian ialah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya." (HR Bukhari)
2. Sesungguhnya orang yang di dalam rongganya tidak melekat sesuatu ayat al-Quran, maka dia laksana rumah bobrok." (HR. Thurmidzi)
3. Adakan janji dengan al-Quran ini, demi yang memegang jiwa Muhammad, al-Quran ini lebih cepat hilang (daripada dada seseorang) daripada seekor unta daripada tambatannya." (HR Bukhari dan Muslim)
***
BERSYUKUR kita kehadrat-Nya kerana dipanjangkan usia, antara lain dapat dimanfaatkan masa singkat sebelum mati untuk berbakti sesama manusia. Akhir-akhir ini kita begitu dukacita dengan kecenderungan sesetengah ahli politik yang mendedahkan apa yang didakwa keburukan dan kejelekan rakan malah pemimpin partinya sendiri.
Dalam memuzakarahkan perkembangan ini, kita mengambil kehidupan suami isteri sebagai perbandingan. Saat bercinta sebelum berkahwin, memanglah indah belaka. Apa yang dilihat dan alami adalah perkara muluk-muluk saja. Semasa berjumpa, jika mahu terkentut pun ditahan atau dilepaskan jauh-jauh agar pasangan tidak tercium bau busuknya.
Kemudian ketika awal berumah tangga, keadaan masih manis belaka. Namun lama kelamaan kelemahan atau tembelang diri terdedah satu persatu. Suami didapati tidak menepati cita rasa diri; bangun sudahlah lambat, jenis pengotor pula. Pakaian kotor ditanggalkan dan dibiarkan terperuk di sana sini. Kegemarannya asyik menonton televisyen dan tidur, selepas itu ‘chatting’ dan bermain ‘game’ berjam-jam depan skrin komputer.
Si isteri pula jenis tidak masuk dapur. Hari-hari makan di kedai. Kegemarannya membeli nasi dan lauk bungkus. Dapur tidak berasap berhari-hari. Pakaian hanya dicuci hujung minggu. Rumah pun tidak disapu. Dulu ketika berkasih, penampilan diri, waduh; tetapi sekarang wajah kusut masai dengan rambut mengerbang macam hantu.
Si suami tidak suka perangai buruk laki dan si laki tidak suka kejelekan isteri. Akhirnya mereka sepakat bercerai. Sudah bercerai, adakah wajar si suami menjaja kejelekan isteri dan sebaliknya? Kenapa dicerita yang buruk saja; tidakkah ada sekelumit pun yang indah dan membahagiakan. Daripada seribu kejahatannya, tentu ada satu dua yang baik.
Perceraian telah menoktahkan perhubungan mereka, jadi tiada hak dan erti janda dan duda masing-masing membawa cerita lagi. Kalau dibuat juga itu namanya jahat mulut.
Lalu apakah gelaran layak diberi kepada politikus membawa cerita jijik yang didakwa dilakukan bekas rakan dan pemimpin dalam partinya dulu? Bahkan dia melakukan di dewan mulia iaitu Parlimen di mana undang-undang negara digubal. Bukankah perbuatan itu amat tidak wajar kerana boleh membawa suasana kurang senang dalam negara.
Kejelekan yang didedahkan itu baru di peringkat dakwaan atau tuduhan; tiada siapa yang dapat mengesahkannya. Malah orang yang dituduh tidak berpeluang melakukan pembelaan diri, si penuduh diberi peluang melepaskan geramnya semahu-mahunya dan media massa tidak melepaskan peluang mengeksploitasinya dengan seluas mungkin.
Kita bimbang pendedahan ini ada persamaan dengan kes mahkamah membabitkan tokoh yang sama tidak lama dulu. Pemimpin itu diaibkan seluas-luasnya oleh dakwaan si penuduh; media massa membantu menyebar-luaskannya sehingga rakyat di ceruk pun tahu akan dakwaan kejelekan itu.
Namun selepas kerosakan paling teruk dialami tertuduh, kes itu ditangguhkan. Apa yang penting matlamatnya sudah tercapai, pemimpin berkenaan sudah dimalukan sehingga peringkat maksimum.
Kini apa yang didakwa kejelekan pemimpin berkenaan kembali didedahkan oleh rakan separtinya. Rakan menikam sesama rakan, demikian bahaya seorang rakan sehingga ada cendekiawan mengungkapkan bahawa memelihara seekor anjing adalah lebih baik daripada mempunyai sahabat yang jahat.
Anjing, jika dilatih dapat berbakti kepada kita, kesetiaannya tidak berbelah bagi, ia hanya taat kepada kita. Tetapi seorang sahabat yang jahat, segala keburukan kita akan dibongkar dan kemudian dijaja bagi membolehkan dia mendapat keuntungan maksimum.
Kita tidak ubah bagai alatnya saja – jika kita berguna untuk dia sampai ke kemuncak dia akan cium tangan kita, selepas kita tidak berguna lagi, dia akan menikam kita, kini bukan dari belakang lagi, tetapi berdepan, almaklumlah kita sudah lemah.
Kepada orang beriman, hanya kepada-Nya kita berserah diri selepas berusaha. Hanya Dia yang dapat menyelamatkan kita daripada kejahatan dan fitnah.
1 comment:
Bk 10 Transactions (Kitab Al−Buyu`)
Number 3921:
Sa'id b. Zaid b. 'Amr b. Nufail (Allah be pleased with them) reported that Arwi (bint Uwais) disputed with him (in regard to a part of the land) of his hodse. He said: Leave it and take off your claim from it, for I heard Allah's Messenger (may peace be upon him) as saying: He who took a span of land
without his right would be made to wear around his neck seven earths on the Day of Resurrection. He (Sa'id b. Zaid) said: O Allah, make her blind if she has told a lie and make her grave
in her house. He (the narrator) said: I saw her blind groping (her way) by touching the walls and saying: The curse of Sa'id b. Zaid has hit me. And it so happened that as she was walking
in her house, she passed by a well in her house and fell therein and that became her grave.
Sahih Muslim
Doa senjata Mukmin..
Wallahu A'lam..
Post a Comment