Tuesday, March 9, 2010

Air mata Junjungan

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: Carilah 10 malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir dalam bulan Ramadan, jika kamu lelah, maka janganlah dilewatkan pada tujuh malam yang tinggal." (Sahih Muslim)
***

AIR mata Junjungan pasti mengalir melihat gelagat umat akhir zaman ini - di TV9 disiarkan secara langsung Halaqah manakala di TV3 disiarkan secara langsung konsert Jom Heboh. Kedua-dua siaran ini berlangsung pada waktu hampir sama, 9.30-10.30 malam malam Ahad, 28 Februari lalu.

Pada malam itu, kira-kira jam 9.30 selepas balik daripada menunaikan solat Isyak di masjid, saya pun berbaring di sofa merihatkan diri. Terlihat saya rancangan Halaqah yang dihoskan oleh 'Ustaz Zakat', Ahmad Shukri Yusof (dengan khabar beliau sudah berpindah tempat kerja), bergandingan dengan Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor, Dato' Zainal Abidin Sakom dan Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Dato' Noh Gadot sebagai ahli panel.

Perbincangan Halaqah adalah berkenaan pengorbanan dan kecintaan Rasulullah s.a.w kepada umatnya dengan tajuk 'Air mata Junjungan'. Selepas pengenalan oleh Ustaz Shukri, ahli panel pun mengulas penuh bersemangat pengorbanan Rasul yang sehingga akhir hayat baginda masih bimbangkan nasib umatnya.

Kemudian disiarkan satu sketsa, pembacaan kisah sedih saat-saat kewafatan Rasulullah s.a.w. Digambarkan kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada umatnya terutama yang berada pada akhir zaman sekarang ini. Kelihatan beberapa penonton menangis, ada yang mengesat air mata; terlalu sedih mengenangkan betapa agungnya cinta Rasul kepada kita semua sedangkan kita tidak bersemangat mengingati baginda apatah lagi mengikuti sepenuh jiwa ajaran baginda.

Disebabkan saya menonton televisyen bersama-sama seorang anak yang gemar menukar-nukar stesen, tertengoklah saya rancangan TV3, Jom Heboh, yang disiarkan secara langsung dari Stadium Bukit Jalil.

Maka terlihatlah saya Mas Idayu, terkinja-kinja menari. Dia mengenakan pakaian labuh tetapi bajunya daripada kain keras yang terbuka luas di bahagian dada. Sesekali apabila kamera mengambil 'shot' daripada sisi, maka nampaklah 'barangannya’ yang sepatutnya disembunyikan.

Jumlah penonton konsert Jom Heboh begitu ramai, mungkin 50,000 tetapi apabila TV menayangkan penonton Halaqah, saya anggarkan kira-kira 500 orang saja. Demikianlah, di TV9, ustaz-ustaz yang ditampilkan terjerit-jerit memberitahu contohilah Rasul, menerangkan perjuangan dan pengorbanan Rasul yang begitu sayangkan umatnya agar diselamatkan daripada neraka Allah SWT, tetapi di TV3 ditunjukkan pula artis berdendang di pentas; penyanyi wanita menggoyangkan tubuh dan pinggul, menunjukkan keseksian diri kepada ratusan ribu peminat.

Dalam siaran TV9, ustaz-ustaz Halaqah dengan penuh perasaan menyatakan jika Nabi s.a.w. hidup, baginda akan menangis melihat kelakuan umat hari ini; tanggapan mereka itu benar sekali, sekarang ini amalan hidup manusia bercampur-baur antara yang baik dan buruk. Dalam kes ini penganjuran majlis-majlis ilmu (seperti Halaqah) dibuat dan pada masa sama pihak yang sama juga menganjurkan program hiburan di mana artis-artis bebas terkinja-kinja di pentas hiburan. Sungguh anih, program agama dibuat, program meranapkan agama juga dibuat. Jadi, apa hendak jadi dengan masyarakat kita hari ini?

Segera saya teringat tazkirah seorang ustaz (namanya tidak dapat dinyatakan sebab-sebab tertentu), sempena sambutan Maulidur Rasul baru-baru ini. Katanya, perarakan Maulidur Rasul dibuat di mana peserta menjerit-jerit berselawat manakala pemimpin memberi nasihat penuh syahdu seperti ‘Ikutilah Rasul’, ‘Contohilah Rasul’ tetapi ada antara mereka tidak mengizinkan cara hidup Rasul dipraktikkan dalam kehidupan.

Ada syarikat berbesar hati mengarahkan pekerja mereka berarak tetapi ketika bekerja, petugas wanitanya dilarang memakai tudung. Ada pekerja lelaki pula diharamkan memakai serban dan kopiah sedangkan itu sunnah Nabi. Jadi bagaimana ini, cakap saja berdegar-degar ‘contohilah Nabi’, hakikatnya merekalah penentang ajaran Nabi paling kuat.

Kata ustaz berkenaan, salah seorang paling gembira menyambut kelahiran Nabi adalah bapa saudaranya sendiri, Abu Lahab. Dia terlalu gembira sehingga berarak (menggelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali), tetapi ternyata apabila Nabi Muhammad mengisytiharkan kerasulannya 40 tahun kemudian, Abu Lahablah penentang Rasul paling keras sehingga kejahatannya dirakam dalam al-Quran melalui Surah Tabbat (al-Lahab).

Sempena sambutan Maulidur Rasul ini dibimbangi ramai Abu Lahab berkeliaran, mereka beriya-iya menyambutnya termasuk mengadakan perarakan besar-besaran tetapi apabila dihadapkan dengan menunaikan kewajipan dan mencegah kejahatan (maksiat), mereka berkata nanti dulu. Ada pula yang buat dua-dua sekali – kebaikan buat, kemungkaran pun mereka buat. Konsert mereka buat, majlis ilmu pun mereka buat.

Percantuman hak dan batil semakin mengelirukan. Masyarakat sudah tidak tahu mana satu betul mana satu salah. Ambil contoh mudah, pemakaian tudung. Adalah perkara biasa sekarang, ada wanita yang kejap bertudung dan kejap tidak bertudung. Artis pun pandai bertudung litup, tetapi apabila berada di pentas, tudung mereka entah ke mana.

Ada wanita yang bertudung tetapi ‘menelanjangkan’ anggota aurat lain seperti betis dan paha (berkain belah), lengan (berpakaian baju ‘baby’) malah dada (tudung singkat manakala baju ‘low cut’). Fikir-fikirkanlah, adakah Nabi menyuruh umatnya (wanita) menutup kepala (atau rambut saja), tetapi mendedahkan aurat lain? Berdasarkan senario ini, tidak menangiskah Nabi melihat keadaan umatnya pada akhir zaman ini. Atau adakah layak atau tidak malukah kita untuk mengaku sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w.?

Kenapa hak dan batil kini semakin bercampur-aduk? Kenapa orang senang berbuat maksiat dan kemudian terbabit dalam apa yang mereka dakwa sebagai kebajikan? Misalnya, mereka mudah menyaksi konsert maksiat tetapi berkata wang kutipannya adalah untuk projek amal membantu anak-anak yatim.

Salah satu daripada punca kekeliruan ini adalah kerana anak-anak kita tidak mempunyai asas agama yang kukuh; kemudian pemikiran mereka disuburkan oleh pihak atasan (pemimpin) yang berfikiran songsang seperti membenarkan banyak kedai judi dan arak beroperasi tetapi pada masa yang sama menjeritkan slogan mahu membanteras perjudian dan kaki botol! Atau menjerit ‘Contohilah Nabi’ dan ‘Teladanilah Nabi’ ketika majlis Maulidur Rasul. Tidakkah ini kerja gila namanya; tidak malukah kita untuk mengaku umat Nabi Muhammad s.a.w.?

No comments: