Sunday, March 21, 2010

Etika kewartawanan hanya untuk dipelajari?

***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti hati tetangganya. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia memuliakan tamunya. Dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam." (HR. Bukhari dan Muslim)
***

SEMASA saya menuntut dulu, seorang pensyarah kewartawanan berbuih-buih mulutnya menyatakan seseorang wartawan itu tidak boleh membabitkan dirinya (seperti memberi pendapat, pandangan dan rasa hati) dalam penulisan berita dan rencananya.

Masih terngiyang-ngiyang peringatan itu walaupun sudah hampir 30 tahun berlalu. Laporkan saja sesuatu kejadian kerana awak pelapor bukan pengulas, katanya. “Tugas awak macam posmen, menghantar surat, isi dalam surat itu jangan awak pandai-pandai tambah,” tegasnya.

Tetapi hari ini apabila membaca berita dan rencana, terasa apa yang dikuliahkan pensyarah itu tidak terpakai lagi. Pelapor (wartawan) sudah mengambil bahagian dalam pemberitaan. Mungkin si wartawan membuat laporan seadanya tetapi telah ditambah itu sang editor, menjadikan laporan itu kelihatan ‘senget’ (bias).

Ambil contoh, sebuah laporan politik yang memperincikan keputusan pilihan raya, mengapa ada nada seperti ‘pihak kita’ bagi merujuk kepada Umno-BN? Adakah pihak media bekerja sebagai wartawan yang membuat laporan atau mengesahkan sudah menyebelahi pihak dinyatakan?

Kemudian dinyatakan pula, parti pembangkang sebagai ‘pihak lawan’, persoalannya sejak bila parti yang didakwa pembangkang itu menjadi lawan kepada golongan media?

Syarikat media gergasi yang ada di negara kita sering mendabik dada mereka mempunyai wartawan terbaik dan cukup terlatih, tetapi mengapa perkara asas kewartawanan ini mereka ‘tidak lepas’? Mengapa wartawan mereka sebelah kakinya sudah masuk ke kem yang disebelahi mereka, menunggu masa untuk memasukkan kedua-dua kakinya ke dalamnya?

Media ini mendakwa mereka bebas, objektif dan telus dalam laporan mereka; hakikatnya mereka seakan-akan sudah menjadi organ parti. Mereka mendakwa sebagai media arus perdana hakikatnya mereka tidak lebih daripada organ parti.

Oleh itu akhbar mereka perlu dilabel dan dicetakkan perkataan ‘Untuk Ahli Umno saja’, ‘Untuk Ahli MCA saja’ atau ‘Untuk Ahli MIC saja’, sama seperti syarat dikenakan ke atas Harakah yang dicop ‘Untuk Ahli PAS saja’.

Jika akhbar-akhbar arus perdana ini sudah disahkan sebagai organ parti, ia juga perlu diletakkan di rak-rak khas yang ditulis ‘Untuk Ahli Umno’ dan parti lain. Jika bukan ahli Umno dan parti BN lain yang membelinya, pihak berkuasa hendaklah melakukan rampasan dan serbuan dengan segera. Penjual dan penerbitnya hendaklah dikenakan tindakan juga.

Jika akhbar-akhbar alternatif seperti Harakah, Suara Keadilan dan Roket didakwa ‘bias’ dalam laporan mereka, hal itu tidak menghairankan kerana ketiga-tiganya adalah organ dan suara parti. Semua orang tahu, mereka tidak berselindung tetapi apabila media yang mendakwa sebagai akhbar nasional, tetapi bertindak bagaikan organ parti, terjejaslah imej dan kredibiliti wartawan.

Menyebelahi sesuatu pihak dalam pemberitaan ini juga dikesan dalam siaran berita luar negara. Tidak lama dulu menonton siaran berita luar negara mengenai pencerobohan ke atas Iraq, wartawan Barat yang bersama pasukan tentera Amerika dan Britain, mengungkapkan ‘perang kita…’ dan ‘tentera kita…’. Ini secara tidak langsung mengesahkan wartawan berkenaan adalah sebahagian daripada armada tentera Amerika atau Britain.

Perkembangan ini membuat hati ini tertanya-tanya apakah prinsip asas kewartawanan itu terpakai lagi. Atau apakah penulis tersilap tafsir asas kewartawanan yang diajar oleh pensyarah dulu?

Bagi penulis, seseorang wartawan Muslim itu bukan hanya perlu tahu dan mengamalkan etika kewartawanan, tetapi lebih penting tahu dan mengamalkan asas-asas Islam. Mereka perlu peka tentang perkara halal dan haram.

Sebelum memulakan kerja, mereka tahu dan sedar Yang Maha Berkuasa sedang memerhatikan mereka. Bersandarkan ilmu yang menyuluh, mereka tahu yang mana halal dan haram.

Melaporkan berita secara tepat adalah halal tetapi memesongkan berita adalah haram. Menyiarkan berita pihak berkuasa menggempur kedai judi adalah kerja kebajikan tetapi menyiarkan keputusan empat nombor ekor adalah haram.

Mereka juga tahu menyiarkan kisah artis mencari jalan pulang (mencari Tuhan) adalah bagus tetapi mereka juga tahu menyiarkan gambar artis terlondeh sana, terbuka sana adalah haram; jadi mereka akan buat yang halal dan meninggalkan yang haram. Inilah yang kita mahu dalam dunia kewartawanan kita. Bersediakah wartawan-wartawan kita berubah, berhijrah?

Mengenai etika kewartawanan Islam seorang penulis menyatakan ia ada sedikit perbezaan dengan etika kewartawanan Barat yang mengutamakan kebebasan tanpa batasan dalam semua perkara.

Seorang wartawan Islam perlu sedar dia adalah seorang pelapor yang merakamkan kejadian sebenar seperti lensa kamera. Wartawan Islam dibatasi dengan hukum-hukum syariat halal-haram.

Seorang wartawan Islam itu sekali gus seorang pendakwah. Lembut lidah pendakwah dalam menyampaikan risalah Allah, lembutlah bahasa wartawan. Tinggi hemah ulama, tinggilah hemah wartawan. Tajam pandangan ulama,, tajamlah pandangan wartawan. Keras ulama mencegah kemungkaran, begitulah sikap wartawan. Wartawan juga perlu menjawab segala kebohongan yang dilemparkan terhadap Islam.

Berikut adalah sebahagian daripada etika kewartawanan Islam yang boleh dijadikan panduan:

1. Betulkan niat iaitu bekerja semata-mata untuk mencari keredaan Allah.

2. Memulakan setiap kerja dengam Bismillah dan apabila selesai mengucap Alhamdulillah.

3. Berada di medan penulisan kerana melaksanakan kewajipan dan fardu kifayah.

4. Kekalkan pendirian menulis hanya atas dasar kejujuran.

5. Bercita-cita menegakkan yang makruf dan mencegah/ menentang kemungkaran.

6. Melaksanakan Islam dalam diri, keluarga, masyarakat, negara dan dunia dengan mengambil kira hukum wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Membenci dan meninggalkan perkara yang haram dan makruh.

7. Menimba ilmu Islam melalui pengajian (berguru) di samping pembacaan dan pemerhatian.

Penulis ini mengingatkan bahawa pena adalah pedang jihad bukan senjata yang memuntahkan peluru-peluru fitnah, tohmahan dan seumpamanya. Sentiasa menimbang akan dosa dan pahala sebelum melakukan penulisan.

Kepada penulis baru, selamat berjaya; sentiasa timbangkan halal dan haram dalam berkarya!

No comments: