Saturday, July 9, 2022

Zulhijah 9, 1443: Segera tunaikan haji (U)


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan

Hadis riwayat Abu Hazim, daripada Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Muslim, bermaksud: "Tidak akan hancur dunia ini (kiamat) hingga ada seorang laki-laki yang melewati kuburan lalu ia berguling-guling di atasnya seraya berkata, 'alangkah baiknya sekiranya aku berada di tempat penghuni kubur ini.' Hal ini bukan kerana faktor agama tetapi kerana adanya musibah."


"Saudaraku jemaah haji, kami berharap anda memberi kesempatan untuk selain anda supaya bisa melaksanakan sya'iroh (syariat) haji!" - kata-kata indah ini saya temui di badan sebuah bas jemaah Indonesia di Mina ketika menunaikan haji pada musim haji 1422 (2002M).


Kata-kata perangsang ini amat bermakna untuk menyuntik semangat muda-mudi Islam agar merancang pemergian mereka ke Tanah Suci. Sebaik-baiknya seseorang Muslim itu mula menyimpan sejumlah wang setiap bulan apabila dia mula bekerja, mungkin pada usia 23 tahun (selepas tamat pengajian universiti).


Dengan menyimpan atau membuat potongan gaji misalnya RM100 atau RM200 sebulan kepada Tabung Haji, seseorang itu boleh memasang niat dengan mendaftar menunaikan haji dalam masa 10 tahun kerana pada ketika itu jumlah simpanannya mungkin sudah mencukupi. Namun giliran menunggu sekarang tersangat panjang, maka bersabarlah.


Mungkin dengan mulai menyimpan sejak muda, seseorang itu dapat menunaikan haji pada usia 30 atau 40-an. Pada peringkat umur ini, fizikal seseorang itu adalah pada tahap terbaik dan ini akan memudahkannya melakukan manasik haji yang penuh cabaran seperti melontar di jamrah, bermalam di Mina, berwukuf di Arafah, bahkan untuk tawaf dan saie di Masjidilharam.


Selain tahap fizikal terbaik itu, adalah bermanfaat untuk seseorang itu memantapkan ilmu agamanya termasuk pengetahuan haji dan umrah secara beransur-ansur sejak dia muda lagi. Jika tahap fizikal dan ilmu serta amalan sudah mantap, maka pemergiannya ke Tanah Suci adalah bertepatan dalam usaha mendapatkan haji mabrur.


Selain pendaftaran dan usaha mencukupkan wang perbelanjaan yang dibuat sejak sekian lama, jejak ke Tanah Suci perlu pengorbanan masa, sekurang-kurangnya setahun sebelum berlepas. Ini kerana bakal jemaah itu perlu menghadiri kursus haji, menjalani pemeriksaan kesihatan, orientasi haji (termasuk amali) malah menduduki peperiksaan!


Semua ini memerlukan kesabaran tinggi, mungkin dapat disimpulkan melalui ungkapan - "bukan mudah nak bergelar haji dan hajah ni, bang dan kak oii!" - oleh seorang pengendali kursus.


Betapa tidak mudahnya seseorang itu terpilih menunaikan haji dapat dilihat daripada surat tawaran haji. Ramai juga penerima diletakkan dalam senarai calon menunggu - bermakna mereka tidak pasti dipilih ke Makkah tahun itu. Bagaimanapun calon 'standby' perlu mengikuti kursus haji bersiri, mungkin sebanyak 15 pengajian pada setiap hujung minggu.


Berceloteh mengenai haji, teringat saya bagaimana bermulanya kolum 'Kisah Dari Tanah Suci' yang termuat dalam akhbar Harakah setiap minggu sejak awal tahun 2002 tetapi 'amat menyedihkan' apabila pada akhir 2014, ia 'berkubur tanpa nesan' bersama-sama dengan 'pemergian' saya sebagai pekerja di Harakah.


"Kisah Dari Tanah Suci' dimulakan dengan sejumlah catatan saya sendiri selepas pulang daripada menunaikan haji pada Mac 2002 dan kemudian diisi dengan tulisan sumbangan penulis yang pernah ke Tanah Suci sama ada dalam menunaikan haji atau umrah.


Kolum ini berjaya menyuntik semangat orang ramai ke Tanah Suci. Galakan menunaikan  haji pada usia muda adalah antara tujuan utama saya memulakan penyiaran kisah-kisah dari Tanah Suci dan alhamdulillah sekarang ini begitu ramai 'orang muda' menunaikan haji sedangkan dulu haji adalah sinonim dengan orang tua termasuk yang sudah pencen.


Berbicara bab haji ini, saya teringat tazkirah seorang ustaz tak lama dahulu bahawa ada sejumlah amalan kita di tanah air yang insya-Allah boleh menyamai pahala haji.


Kata sang ustaz, salah satu bentuk kasih sayang Allah SWT ialah melimpahkan pahala berlipat ganda kepada umat-Nya, sekalipun amalan itu  terlihat kecil dan sederhana. Dalam beberapa hadis dijelaskan, ada beberapa amalan yang kalau dilakukan penuh keikhlasan dan istiqamah, maka pahala amalan tersebut setara ibadah haji.


Antaranya, solat berjemaah lima waktu, zikir setelah solat subuh berjemaah sampai terbit matahari selepas itu solat dua rakaat dan pergi ke masjid untuk menuntut ilmu.


Meskipun amalan-amalan ini diberikan pahala ibadah haji dan umrah, bukan bererti pelakunya tidak diwajibkan haji dan umrah. Kewajipan haji dan umrah tetap ada. Pahala amalan ini  diserupakan pahala ibadah haji dan umrah bertujuan memotivasi ummah untuk istiqamah beribadah. 


Bagi yang tak menunaikan haji, amat digalakkan berpuasa pada hari wukuf (9 Zulhijah) dan akhir sekali lakukan korban dengan menyembelih binatang ternakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah (Hari Tasyrik). Selamat Menyambut Aidiladha, Maaf Zahir dan Batin


No comments: